Tan Sri Dato' Wira Dr. Nordin Kardi (lahir 1952) merupakan seorang rakyat Malaysia dan sekarang ini beliau menjawat jawatan sebagai CEO, Jakarta Business School, Jakarta, Indonesia. Sebelumya beliau ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (Universiti Awam, 2005-2010) dan Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS, 2010-2023), Ketua Pengarah di Jabatan Perdana Menteri (1999-2005), Pengurus Kanan LAN (MQA sekarang, 1997-1999) dan lama sebagai pegawai tadbir dan pegawai akademik di Universiti Putra Malaysia (Universiti Penyelidikan, 1977-1997). Beliau ialah Alumni UKM, WMU, USA, Hull, Great Britain, dan HBS, Harvard, USA.

YBhg Prof. Tan Sri Dato' Wira Dr. Haji

Nordin Kardi

PSM; DGMK (Kedah), DPMP (Perlis), DPMK (Kedah); DSNS (Negeri Sembilan); DPMP (Perak); JSM
Naib Canselor
Universiti Sultan Azlan Shah
Memegang jawatan
16 Jun 2016
Didahului olehPenyandang sulung
Naib Canselor
Universiti Utara Malaysia
Dalam jawatan
16 Jun 2005 – 16 Jun 2010
Didahului olehAhmad Fawzi Mohd Basri
Digantikan olehMohamed Mustafa Ishak
Butiran peribadi
LahirNordin bin Kardi
(1952-07-14) 14 Julai 1952 (umur 71)
Kampung Sungai Tunku, Teluk Anson (kini Teluk Intan), Perak, Persekutuan Tanah Melayu
Alma materUniversity of Hull, United Kingdom

Memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Tungku, Teluk Intan (1959-1964) dan meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Intan (1665-1967). Beliau menyiapkan Tingkatan Enam atau Pra-Universiti di bawah Program Khas Kerajaan Perak untuk pelajar-pelajar luar bandar, ditumpangkan di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh.

Setelah lulus Sijil Tinggi Persekolahan (STPM, 1972), masih dengan kerjasama Cambridge, beliau memulakan pendidikan tinggi dengan memasuki Maktab Perguruan Teknik, Cheras, Kuala Lumpur (1973) tetapi tidak menamatkan pengajian kerana beliau mendapat tawaran memasuki program Ijazah Pertama di Universiti Kebangsaan Malaysia (1973) dengan biasiswa penuh daripada Kerajaan Negeri Perak. Semasa di UKM beliau adalah salah seorang pemimpin pelajar dengan jawatan Setiausaha Agong Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu (GPMS) Kebangsaan dan Setiausaha Agong Gerakan Mahasiswa Luar Asrama, UKM. Sebagai Setiausaha Agong, beliau kerap mewakili GPMS ke Majlis Belia Malaysia (MBM).

Selepas mendapat Ijazah Sarjana Muda (Ekonomi dan Psikologi, Konvokesyen di Dewan Bankuasi, Parlimen Malaysia, 1976), Sarjana Muda Kepujian (Honors) Sains Kemasyarakatan (1977) mengkhusus bidang psikologi beliau terus mendapat tawaran bekerja di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) sebagai Pegawai Tadbir. Selepas bekerja selama dua tahun, beliau dihantar Universiti itu ke Amerika Syarikat untuk meneruskan pengajian pada peringkat Ijazah Ke-2, Sarjana. Beliau dianugerahkan Biasiswa Penuh Jabatan Perkhidmatan Awam di bawah Skim Latihan Akademik.

Kembali ke UPM, setelah lulus Sarjana, beliau ditugaskan sebagai Pegawai Khas kepada Naib Canselor, Tan Sri Dr. Rashdan Baba. Apabila Tan Sri Dr Rashdan meninggalkan UPM untuk mengetuai Guthrie selepas Guthrie dikuasai Malaysia (yang sebelumnya dikuasai Inggeris) Nordin Kardi pula diundang untuk berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri, mulai tahun 1982. Selepas dua tahun di JPM, beliau pulang kembali ke UPM sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Pendidikan. Pada masa beliau menjawat jawatan pensyarah di Fakulti beliau dipinjamkan ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPM untuk mengetuai Perkhidmatan Kaunseling dan menjadi Pengetua pertama Kolej Tun Perak UPM.

Selepas lima tahun berkhidmat, pada tahun 1989 UPM sekali lagi menghantar beliau menyambung pengajian, dengan Biasiswa Penuh Jabatan Perkhidmatan Awam. Kali ini beliau dihantar ke Universiti di England. Setelah lulus Phd dengan jayanya pada tahun 1993, beliau pulang dan berkhidmat sepenuhnya di Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM. Semasa di Fakulti itu Nordin ditugaskan Dekan menjadi orang yang memulakan Program Jarak Jauh, kali pertama diperkenalkan di UPM.

Jawatan Pentadbiran terakhir beliau di UPM ialah Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan sebelum beliau dipindahkan sebagai antara 'pioneer staff' Lembaga Akreditasi Negara (sekarang MQA) pada tahun 1997. Di LAN beliau ditempatkan secara pinjaman sebagai Pengurus Kanan (pada gred menyamai Gred Profesor Madya). Tugas meja beliau di LAN ialah menyediakan kerangka akreditasi bagi bidang Sains Sosial.

Selepas dua tahun di LAN beliau di undang pula untuk berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah Biro Tatanegara pada Gred Jusa C bermula pada tahun 1999. Jawatan beliau juga pada awalnya ialah secara pinjaman. Sepanjang tempoh itu, beliau diundang untuk berpindah jawatan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan gelaran Profesor Madya. Namun begitu beliau kekal sebagai staf pinjaman di Jabatan Perdana Menteri sehingga beliau kemudiannya diserap secara tetap dengan kenaikan daripada Gred C ke Gred B hakiki.

Semasa di Jabatan Perdana Menteri, beliau sekali lagi ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mengikuti program Advanced Management Program di Harvard Business School, Harvard University. Namun pemergian beliau yang sepatutnya berlaku pada tahun 2005 ditangguhkan kerana beliau mendapat tawaran pekerjaan baru.

Dengan kekosongan jawatan Naib Canselor di Universiti Awam, Universiti Utara Malaysia, Nordin Kardi ditawarkan mengisi jawatan itu. Beliau berpindah ke UUM pada tahun 2005, selepas berkhidmat selama enam tahun di Jabatan Perdana Menteri. Selepas setahun di UUM, beliau menerima kembali tawaran Biasiswa JPA, dan beliau meneruskan pengajian intensif bidang pengurusan di Harvard University pada tahun 2006. Beliau menjawat jawatan Naib Canselor UUM selama lima tahun dan bersara wajib pada jawatan hakiki Profesor Gred A pada tahun 2010. Namun begitu UUM telah menawarkan beliau terus berkhidmat sebagai Pensyarah Kontrak Profesor Gred A.

Semasa di UUM, legasi beliau ialah menggabungkan 14 fakulti yang ada pada ketika itu menjadi tiga sistem Kolej. Kolej-kolej itu ialah College of Business (COB), College of Arts and Sciences (CAS) dan College of Law, Government and International Studies (COLGIS). Itu menjadikan UUM satu satunya universiti awam yang mengamalkan sistem Kolej.

Bagi menjadikan UUM sebagai sebuah universiti pengurusan yang unggul, beliau memulakan usaha supaya UUM mendapat akreditasi antara bangsa iaitu akreditasi AACSB International. Langkah pertama beliau ialah membawa Timbalan Naib Canselor Akademik UUM bersama menghadiri Konferens Tahunan AACSB di Hawaii, Amerika Syarikat. Usaha itu diteruskan lagi oleh penyambung tugas beliau sehingga UUM menjadi antara universiti di Malaysia yang terawal memperolehinya. Semasa beliau juga, UUM Kampus Kuala Lumpur memulakan penawaran program pengajian.

Semasa beliau di UUM, ditubuhkan Akademi Golf dengan memasukkan pemain-pemain golf berbakat dari sekolah ke dalam pelbagai program pengajian di UUM. Antara angkatan awal itu ada yang telah menjadi golf sebagai kerjaya profesional. Usaha beliau mendapat sokongan daripada Kementerian Pengajian Tinggi yang kemudian memberi peruntukan khas beberapa juta ringgit untuk menjayakannya dan membawa kepada usaha penambahan lapangan golf UUM daripada berstatus 9 lubang kepada 18 lubang. Semasa beliau mengetuai UUM, UUM diisytiharkan sebagai Universiti Nombor Satu di Malaysia dalam menjana kewangan sendiri paling tinggi.

Selepas di UUM, beliau diundang pula oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk menjawat jawatan Pengarah Institut Peradaban Melayu dan Penyandang Kursi Za'ba.

Selepas dua tahun di UPSI beliau diundang oleh Kerajaan Perak untuk mengetuai Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dengan misi mengangkatnya menjadi sebuah universiti penuh. Bermula pada 2014, dengan sokongan dan kerja keras semua staf KUISAS dan dengan pengaruh Menteri Besar Perak YB DS Zambry serta Sultan Perak, dalam tempoh dua tahun sahaja usaha itu berhasil. KUISAS diisytiharkan sebagai sebuah universiti penuh oleh Perdana Menteri pada tahun 2016 dengan nama barunya Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Walaupun misi asal beliau bertugas di USAS telah tercapai, namun beliau kekal di USAS sehingga 2023. Beliau ialah Naib Canselor Pertama USAS dan berkhidmat di situ hampir sembilan tahun.

Di sepanjang perkhidmatan beliau di dalam dunia pengajian tinggi, beliau pernah dipilih sebagai Presiden Persatuan Universiti-Universiti Malaysia, Yang di-Pertua Persatuan Badan-Badan Berkanun Malaysia, Pengerusi Persatuan Universiti-Universiti milik Kerajaan Negeri, Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) dan Setiausaha Agong Persatuan Universiti Islam Asia (AIUA). Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Meteor yang memiliki Open University Malaysia, Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia, ALP Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, YALP Yayasan Dakwah Malaysia, ALP Kolej Islam Darul Ridzuan, ahli Board of Governors Segi University, ALP ASAIHL dan beberapa lagi.

Sebagai seorang Kaunselor Profesional berdaftar, beliau adalah Ahli Pertama Lembaga Kaunselor Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Kaunseling Malaysia. Untuk beberapa tahun beliau dilantik sebagai 'Guest Counselor' Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Bank Rakyat dan Maybank Life.

Beliau seorang penulis yang aktif. Bidang akademik dan penulisan beliau ialah psikologi, kaunseling dan pengurusan personelia. Namun begitu buah fikiran beliau jelas multi-disciplinary seperti tergambar dalam tulisan-tulisan selain psikologi dan kaunseling, termasuk ekonomi, politik, sosial, pentadbiran, pengurusan dan lebih lebih lagi pendidikan. Terakhir ini beliau cenderung dalam disiplin ilmu gelagat organisasi (organizational behavior), 'organizational culture' dan negosiasi (negotiation). Untuk memahami pemikiran beliau, boleh dirujuk https://nordinkardi.wordpress.com/ di bawah Tajuk "Mari Kita Terbang" dan nordinkardi.blogspot. Daripada tajuk blog beliau, dapat difahami bahawa beliau mempropagasikan idea 'kebebasan'. Beliau juga telah melahirkan beberapa orang Sarjana dan Doktor Falsafah di bawah seliaan beliau.

Sepanjang berkhidmat, beliau telah diberi pengiktirafan Negara dengan gelaran-gelaran Dato' (Negeri Sembilan), Dato' Paduka (Kedah), Dato' Paduka (Perlis), Dato' Wira (Kedah), Dato' (Perak) dan Tan Sri (Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong).

Anugerah sunting

Sumbangan besar beliau dalam sektor pendidikan, perkhidmatan awam dan perkhidmatan masyarakat di Malaysia telah diberi pengiktirafan dan penghargaan oleh kerajaan Malaysia apabila beliau dianugerahkan beberapa pingat kebesaran negara. Anugerah tertinggi negara kepada beliau ialah pingat Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 2 Jun 2007 yang membawa gelaran "Tan Sri".

  •   Malaysia
  •   Perlis
    •   Darjah Dato' Paduka Mahkota Perlis (DPMP) - Dato' (2007)
  •   Kedah
    •   Darjah Dato’ Wira Gemilang Mahkota Kedah (DGMK) - Dato' Wira (2009)
    •   Darjah Dato' Paduka Mahkota Kedah (DPMK) - Dato' (2007)
  •   Negeri Sembilan
    •   Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (DSNS) - Dato' (2001)
  •   Perak
    •   Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) - Dato' (2021)
  • Beliau juga diiktiraf sebagai salah seorang Alumni terkemuka oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Alumni Harvard Business School, Harvard USA.
  • Alumni Western Michigan University, USA.
  • Alumni Hull University, England.