Operasi Matador

Laman nyahkekaburan

Operasi Matador adalah nama yang diberikan untuk satu perancangan perang yang dibuat oleh Markas Gerakan Tanah Melayu atau Malaya Command untuk menggerakkan pasukan Tentera British ke wilayah Thailand sebagai tindakan balas untuk menentang satu serangan amfibi oleh pasukan Jepun di bumi Thailand.

Latar Belakang sunting

Dalam tahun 1937, Mejar Jeneral William Dobbie, Jeneral Memerintah Markas Gerakan Tanah Melayu (1935-1937) melihat secara serius sistem pertahanan Malaya sekiranya Jepun melancarkan serangan ke atas Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura. Setelah membuat kajian,. Dobbie melaporkan bahawa semasa musim monsun dalam bulan Oktober hingga Mac, pihak Jepun boleh membuat pendaratan di pantai timur dan menubuhkan pangkalan mereka di Thailand, khususnya di Songkhla dan Pattani. Dobbie membuat tekaan bahawa Jepun akan membuat pendaratan di Songkhla, Pattani dan Kota Bharu. Untuk menangani senario ini, Dobbie mencadangkan supaya pasukan bantuan dihantar dengan segera. Dalam tahun 1941, tekaan Dobbie menjadi realiti, tetapi malangnya, cadangannya mengenai cara menangani serangan Jepun tidak diambil tindakan. Ini disebabkan pihak pemerintah Inggeris pada masa itu tidak mahu mencetuskan perperangan dengan Thailand sekiranya jangkaan tersebut salah. Ini disebabkan pergerakan tentera Jepun tidak dapat dikesan kerana mereka bergerak dalam keadaan sunyi radio.

Ancaman Perang sunting

Dalam bulan Ogos 1941, Panglima Tertinggi Timur Jauh Ketua Marsyal Udara Robert Brooke-Popham mengemukakan kepada Jabatan Perang di London satu pelan tindakan yang diberikan nama Operasi Matador. Pelan tindakan ini berkisar kepada senario bahawa Jepun membuat pendaratan di Songkhla, Pattani dan Kota Bharu. Pasukan Jepun tersebut akan mara menuju Semenanjung Tanah Melayu dan masuk melalui Jitra dan Kroh. Pelan tindakan itu menggariskan pementasan pasukan Jepun tersebut oleh dua pasukan British di seberang sempadan Thailand, dan menahan kemaraan pasukan itu untuk satu jangka masa untuk membolehkan pasukan bantuan berkumpul dan menyediakan pertahanan sebelum melakukan serangan untuk memusnahkan pasukan Jepun berkenaan. Pelan tindakan itu menggariskan bilangan tentera bantuan yang perlu dihantar untuk mengukuhkan pertahanan Semenanjung Tanah Melayu.

Tetapi dalam tahun 1940, pihak British dan Thailand telah menandatangani satu perjanjian tiada kekerasan. Tetapi Ops Matador sendiri mempunyai beberapa masalah, khususnya dengan keengganan pihak British memberikan pasukan-pasukan tentera untuk mengukuhkan pertahanan Semenanjung Tanah Melayu.

Pada 5 Disember 1941, apabila ancaman serangan oleh Jepun semakin memuncak, Jeneral A. E. Percival telah membuat pengubahsuaian yang perlu kepada Ops Matador dengan mengambil kira pasukan-pasukan yang ada yang boleh dikerahkan olehnya untuk digerakkan segera. Pengubahsuaian ini dibuat agar operasi ini dapat dilaksanakan dengan segera apabila ditentukan Jepun hampir melancarkan serangan mereka.

Cadangan Arthur Percival sunting

 
Arthur Percival mahu lancarkan Ops Matador tetapi dihalang oleh Brooke-Popham
 
Tentera Udara Diraja hanya mempunyai pesawat Brewster Buffalo Untuk Menentang pesawat Mistubishi Type O Jepun

Jeneral A. E. Percival berhasrat menyerang Thailand sekiranya Jepun menyerang Thailand, ataupun pihak Thailand menjemput pasukan Tentera Jepun masuk ke wilayah Thailand. Dalam keadaan itu, Arthur Percival akan mengerahkan askar-askarnya mara ke Songkhla dan membuat barisan pertahanan untuk menyekat kemaraan pihak Jepun. Tugas ini dikerahkan kepada Divisyen ke-11 India di bawah pimpinan Mejar Jeneral Murray-Lyon yang juga bertanggungjawab mempertahankan Jitra.

Pada 5 Disember 1941, Jabatan Perang di London memberikan kebenaran kepada Panglima Tertinggi Markas Timur Jauh Ketua Marsyal Udara Robert Brooke-Popham untuk menggunakan pertimbangan beliau dalam membuat keputusan untuk melancarkan Ops Matador sekiranya diperlukan. Kebenaran ini membolehkan Brooke-Popham bebas membuat keputusan tanpa dikekang oleh keputusan dari London. Brooke-Popham perlu memberikan pertimbangan sama ada wajar Thailand diserang tanpa amaran (perlakuan satu serangan sangkal) sebelum pihak Jepun melakukan pendaratan di Thailand.

Markas Gerakan Tanah Melayu bertanggungjawab untuk perancangan terperinci Ops Matador, dan pada 6 Disember 1941 (2 hari sebelum serangan Jepun di Kota Bharu) Markas Gerakan Tanah Melayu telah membuat perancangan semula dan telah mengenal pasti pasukan-pasukan tentera yang perlu dikerah serta merta untuk perlaksanaan Ops Matador.

Jeneral Arthur Percival sendiri mahukan pelancaran Ops Matador kerana percaya bahawa pertahanan Tanah Melayu dan Singapura perlu dibuat di Thailand untuk membolehkan perolehan masa bagi pasukan-pasukan bantuan sampai ke Malaya. Jeneral Arthur Percival dalam perjumpaan pada 6 Disember 1941 dengan Gabenor Sir Shenton Thomas dan panglima tertinggi Markas Timur Jauh Ketua Marsyal Udara Robert Brooke-Popham meminta Ops Matador dilancarkan, tetapi Brooke-Popham berpendirian bahawa masih terlalu awal untuk melancarkan serangan sangkal ke atas Thailand. Pengkaji sejarah pasti merumuskan kesilapan besar Brooke-Popham untuk tidak melancarkan Ops Matador, yang secara langsung mendorong kepada kejayaan Jepun menakluk Tanah Melayu dan Singapura.

Tambahan pula, sekiranya Ops Matador dilaksanakan oleh pihak Tentera British, Tentera Jepun telah bersedia dengan rancangan balasnya, dengan menggunakan lapang terbang Bangkok dan lain-lain lapangan terbang di Selatan Thailand untuk membolehkan angkatan udaranya mendapatkan penguasaan udara, dan membolehkan pasukan daratnya mara menuju Segenting Kra dengan diberikan perlindungan oleh penguasaan udara tersebut.

Kesan sunting

Ops Matador tidak pernah dilaksanakan, dan dengan demikian tidak dapat ditentukan keberkesanan rancangan itu. Tetapi pihak Jepun telah mendarat di ketiga-tiga lokasi yang menjadi tekaan Jeneral Arthur Percival sejak tahun 1937 lagi. Dengan pemberian pasukan tentera yang diminta oleh Jeneral Arthur Percival, mungkin Ops matador dapat memberikan masa membolehkan pasukan bantuan sampai ke Tanah Melayu dan kemaraan pasukan Jepun dihalang di Thailand sahaja.

Sebaliknya, pasukan Tentera British nyata tidak berpengalaman dan tidak menyesuaikan diri dengan cuaca di Semenanjung Tanah Melayu, dan tidak dilengkapkan dengan kelengkapan perlu. Dengan demikian, walaupun Ops Matador dilancarkan, kita masih boleh bahaskan sama ada pasukan yang dihantar ke Songkhla dapat melaksanakan tugasan yang diberikan untuk menahan kemaraan pasukan Jepun ke Tanah Melayu.

Lihat Juga sunting

Pautan Luar sunting

Rujukan sunting