Pantun

jenis gazal daripada Sumatera

Pantun (Jawi: ڤنتون) merupakan salah satu jenis puisi lama yang sangat luas dikenal dalam bahasa-bahasa dituturi dan dikarang serantau Nusantara di Asia Tenggara, terutamanya bahasa Melayu. Ia paling ringkas dan asasnya terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama di hujungnya. Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat baris.

Pantun
NegaraIndonesia dan Malaysia
Rujukan01613
KawasanAsia-Pasifik
Sejarah inskripsi
Inskripsi2020

Pantun terbahagi kepada dua bahagian sama banyak rangkapnya, iaitu bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun. Bahagian pembayang bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat ialah empat ayat pembayang dan empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.

Seni ini mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai suatu warisan budaya tidak ketara oleh Malaysia bersama-sama dengan Indonesia pada tahun 2020.[1][2]

Peristilahan sunting

Menurut Za'ba, 'pantun' difikirkan datang hasil terbitan 'sepantun'[3] (Jawi: سڤنتون) yakni bermaksud 'seperti', 'seumpama' atau 'macam'.[4] 'Sepantun' lanjutnya boleh ditafsirkan sebagai pengungkapkan bandingan-bandingan langsung[5] yang wujud pada sastera Melayu klasik.[3] Ia turut mempunyai maksud lama bererti peribahasa gambaran halus[6] yang digayakan beraneka cara termasuk secara 'sindir' (maksud asal: 'menyebut tidak langsung') dan 'kias'.[7] Kata 'pantun' juga boleh dihujahkan berasal dari turunan kata 'penuntun[8]' baik daripada terbitan kata dasar 'tuntun[9]'.

Nama lain pantun dalam bahasa-bahasa di serata Nusantara termasuklah, parikan dalam Bahasa Jawa, paparikan dalam Bahasa Sunda dan umpasa dalam sebutan Bahasa Batak. Perkataan parikan pula dikatakan berasal daripada perkataan Bahasa Sanskrit paribhasya atau Bahasa Jawa parik yang bererti pari atau peribahasa dalam Bahasa Melayu[10].

Antara penulisan klasik Tamil yang mempunyai bentuk pantun telah dikarang antara kurun ke dua hingga kurun ke lima dalam tempoh cankam. Contoh rangkapnya adalah:-

nilattinum perite vaninum uyarntanru
nirinum arala vinre carar
karunkor kurincip pukkontu
perunte nilaikkum natanotu natpe
(Tevakulattar: Kuruntokai, 3)

Terjemahan

Besar dari bumi, tinggi dari langit
Dalam dari laut, dilereng gunung
kurunci tangkai gelap mekar - seperti madu
Besar lagi cintaku bagi Tuanku (lord of the land)

Antara persamaan yang boleh dilihat adalah ia menggunakan puisi sebagai gambaran cinta, mempunyai jumlah silables sekata setiap baris, dan pecahan gambaran pada dua baris yang sama.

Jenis-jenis pantun sunting

Pantun dapat dibahagikan kepada beberapa jenis bergantung pada jumlah kerat dan kandungannya.

Jumlah Kerat sunting

Didirikan dari 2,4,8,10,12 dan 14 kerat. Pantun 16,18 dan 20 kerat pula agak asing untuk dikarang. Pantun 2 kerat juga dikenali sebagai karmina, pantun kilat atau pantun dua serangkai.

Jenis pantun mengikut jumlah kerat:-

Pantun 2 kerat sunting

   Daun senduduk daun semalu;
   Mari duduk janganlah malu.

[11]Mengaku dulang paku serpih;
   Mengata orang dia yang lebih.

   Kalau tak cengal, giam,
   Kalau tak kenal diam.

Pantun 4 kerat sunting

[12]Kalau padi katakan padi,
      Tidaklah hamba tertampi-tampi;
   Kalau sudi katakan sudi,
      Tidaklah hamba ternanti-nanti.

   Kalau bawang katakan bawang,
      Dapatlah hamba tolong mengupas;
   Kalau sayang katakan sayang,
      Tidaklah hamba penat berhias.


Pantun 6 kerat sunting

[13]Kota Lukut tempat semayam,
      Raja Haji datang menyerang,
         Banyak pediti ikut bersama;
   Jangan ikut resmi ayam,
      Bertelur sebiji riuh sekampung,
         Mengagung bukti sebesar hama.

Pantun 8 kerat sunting

[14]Bagus rupa bunga melur,
      Putih rupanya bunga pinang,
         Berukir bertangkai perak,
            Permainan raja perempuan;
   Pahar cerek sudah teratur,
      Cawan mangkuk sudah terhidang,
         Penganan mulia sudah terletak,
            Samalah duduk kita makan.

Pantun 10 kerat sunting

[15]Ke lepau sekali ini,
      Entah membeli entahkan tidak,
         Entah membeli limau kapas,
            Entah melambung limau gedang,
               Pecah belah dalam perahu;
   Merantau sekali ini,
      Entah kembali entahkan tidak,
         Entah mengharung laut lepas,
            Entah di rantau orang,
               Gerak Allah siapa tahu.

Pantun 12 kerat sunting

[16]Anak jentayu dari hulu,
      Disambar ombak Laut Cina,
         Dibawa terbang ke perahu,
            Hinggap melahap di landasan,
               Turun minum ke muara,
                  Anak ikan berkeliaran;
   Kamilah tahu dari dulu,
      Adik jauhari bijaksana,
         Membubul tidak membeku,
            Mengulas tidak mengesan,
               Meratap langit dengan bicara,
                  Bumi tidak ketirisan.

Pantun 14 kerat sunting

[17]Rotan sepatah dua patah,
      Tarik kerakap batang padi,
         Dibawa Sultan dari Judah,
            Padi yang jangan digempakan,
               Kalau gempa antara gugur,
                  Bila gugur masuk perigi;
                     Di situ ditanamkan pula;
   Tuan di Mekah dan Madinah,
      Naik akhirat batu haji,
         Tegak berdiri Rasulullah,
            Kami yang jangan dilupakan,
               Kalau lupa antara tidur,
                  Dalam tidur menjadi mimpi,
                     Jika bangun diingat pula.

Pantun 16,18 dan 20 kerat sunting

Lihat pautan ini


Mengikut kandungan sunting

Pantun digolongkan mengikuti isi yang cuba disampaikan dan sering dikaitkan dengan sesuatu tema.[18]

Pantun Teka-teki sunting

Untuk berseronok dan menduga kebolehan dalam berfikir:

   Kelip-kelip disangka api,
      Kalau api di mana dapurnya?
   Hilang ghaib disangka mati,
      Kalau mati di mana kuburnya?

Pantun Jenaka sunting

Semata-mata untuk hiburan dan sendaan:

   Orang Rengat menanam betik,
      Betik disiram air berlinang;
   Hilang semangat penghulu itik,
      Melihat ayam lumba berenang.

Pantun Kasih Sayang sunting

   Burung merbuk membuat sarang,
      Anak enggang meniti di paya;
   Tembaga buruk di mata orang,
      Intan berkarang di hati saya.

Pantun Nasihat sunting

Untuk menyampaikan nasihat dan teladan:

   Air melurut ke tepian mandi,
      Kembang berseri bunga senduduk;
   Elok diturut resmi padi,
      Semakin berisi semakin tunduk.

Pantun Budi sunting

   Tingkap papan kayu bersegi,
      Sampan sakat di Pulau Angsa;
   Indah tampan kerana budi,
      Tinggi darjat kerana bahasa.

Pantun Nasib sunting

   Payang retak tali bersimpul,
      Kendi lokan airnya tumpah;
   Hidup tidak kerana kaul,
      Mati bukan kerana sumpah.

   Pungut teritip di tiang batu,
      Batu pecah dilanda karang;
   Beginilah nasib dagang piatu,
      Kain basah kering di pinggang.

Pantun Adat sunting

Menerapkan kepentingan adat resam dalam aktiviti seharian:

   Buah berangan di rumpun pinang,
      Limau kasturi berdaun muda;
   Kalau berkenan masuklah meminang,
      Tanda diri beradat budaya.

   Patah rotan tali bersilang,
      Batang meranti rimbun berjejal;
   Langkah pahlawan tengah gelanggang,
      Berpantang mati sebelum ajal.

Pantun Kiasan (peribahasa) sunting

Untuk menyampaikan nasihat, sesuatu hajat atau sindiran secara sopan dan tersirat:

   Pungguk rebah puyuh mendengut,
      Dengut melata di tengah padang;
   Sedangkan bah kapal tak hanyut,
      Inikan pula kemarau panjang.

   Gesek biola tiup serunai,
      Sayu dara berhati walang;
   Putih mata si burung punai,
      Kayu ara ditunggu helang.

Pantun Agama sunting

Menegaskan kepentingan agama dalam masyarakat:

   Letak bunga di atas dulang,
      Sisipkan daun hiasan tepinya;
   Banyak berdoa selepas sembahyang,
      Mohon diampun dosa di dunia.

Pantun Kanak-kanak sunting

Disisipkan dalam lagu dan nyanyian untuk bersuka-ria:

   Burung kenek-kenek,
      Hinggap atas pagar;
   Pesan datuk nenek,
      Rajin-rajinlah belajar.

Koleksi Pantun sunting

Pantun juga dapat digunakan untuk 'berjual beli', yakni dua pihak menggunakan pantun untuk menjual pantun sambil dijawab ('beli') oleh seorang lagi. Hal ini dapat dilihat dalam contoh-contoh berikut.

Pantun agama sunting

Jual:
Bila todak melanda Singapura
Habis dikerat dicincang lumat
Bila khianat pada manusia
Dunia akhirat takkan selamat

Beli:
Habis dikerat dicincang lumat
Patinya diaduk dijadikan ubat
Dunia akhirat takkan selamat
Kecuali minta ampun nasuha taubat

Anak jantan anak Temenggung
Pergi memburu sampai ke Gombak
Lalu berhenti mengutip petai
Berani buat, berani tanggung
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah ditepi pantai

Jual:
Kemuning daunnya lampai[19]
Tubuh dijirat Paduka Tuan
Di atas dunia kaul tak sampai
Di dalam syurga ada penantian

Beli:
Tubuh dijirat Paduka Tuan
Tidak cacat tidak selia[20]
Di dalam syurga ada penantian
Hanya untuk yang beramal mulia

Sungguhlah besar taman Seri Mahkota
Tempat bermain bidadari Lela Utama
Sungguhlah benar bagi orang yang takwa
Ada tempat yang aman dan bahagia

Jual:
Kain besurek kain bertulis
Pakaian raja Bugis - Makassar
Di Luh Mahfuz sudah tertulis
Janji sudah tak dapat ditukar

Beli:
Anak merak anak merbah[21]
Beradu kedua di dalam sarang
Siibu mendodoi[22]
Anak sungai lagikan berubah
Inikan pula hati orang
Mengapa dirindui

Cari lebah bersarang besar
Jangan tersengat racun berbisa
Janji Allah adalah benar
Jangan tertipu kehidupan dunia

Jual:
Harban Dewa anaknya Zanggi[23]
Manis rupanya elok bercahaya
Jika perempuan taatkan laki
Beroleh syurga Jannatul Mahwa

Beli:
Menantunya pula Lela Sari
Semua melihat jatuh berahi
Selagi agama tidak diingkari
Sebarang perintah wajib dipatuhi

Kelat sekali buah peria
Kelatnya[24] kurang buah dibelah
Taatkan laki beroleh syurga
Taat mutlak semata kepada Allah


Pantun budi sunting

Jual:
Payah kami menabur padi
Nenas juga ditanam orang
Payah kami menabur budi
Emas juga dipandang orang

Beli:
Tinggi bukit gilang-gemilang
Air laut tenang-tenangan
Budi sedikit tidakkan hilang
Itu menjadi kenang-kenangan

Jentayu burung jentayu
Hinggap dibalik pokok mayang
Bunga kembang akan layu
Budi baik bilakan hilang

Jual:
Biarlah orang bertanam buluh
Mari kita bertanam padi
Biarlah orang bertanam musuh
Marilah kita bertanam budi

Beli:
Ayam jantan siayam jalak[25]
Jaguh Siantan nama diberi
Rezeki tidak saya tolak
Musuh tidak saya cari

Jikalau kita bertanam padi
Senanglah makan adik-beradik
Jikalau kita bertanam budi
Orang yang jahat menjadi baik

Jual:
Baik-baik makan keladi
Keladi itu ada miangnya[26]
Baik-baik termakan budi
Budi itu ada hutangnya

Beli:
Miang buluh miang keladi
Miang kedua tiada badi[27]
Baik-baik memakan budi
Jangan sampai tergadai body

Buah nenas bawa belayar
Dimakan sebiji di Tanjung Jati
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Jual:
Tenanglah tenang air di laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi yang baik rasa nak junjung

Beli:
Cindai bercorak penuh berpita
Pakaian anak Panglima Garang
Emas dan perak pengaruh dunia
Budi yang baik dijunjung orang

Jual:
Jangan suka mencabut padi
Bila dicabut hilang buahnya
Jangan suka menyebut budi
Bila disebut hilang tuahnya

Beli:
Kalau keladi sudah ditanam
Jangan lagi meminta talas
Kalau budi sudah ditanam
Jangan lagi meminta balas

Jual:
Singgah ke pulau menggali ubi
Kalau ke beting[28] berdayung juga
Sepuluh kali kita berbudi
Kalau miskin terbuang juga

Beli:
Sudah lama memakai gelang
Gelang berukir sirama-rama
Harimau mati meninggalkan belang
Manusia mati meninggalkan nama

Jual:
Mati kayu kerana benalu
Patah layu dahannya mati
Mati Melayu kerana malu
Kalah Melayu termakan budi

Beli:
Mencari ikan belida
Terpancing pula si ikan keli
Buat baik berpada-pada
Buat jahat jangan sekali

Jauh sungguh pergi mandi
Setapak jalan lewatkan huma[29]
Berat sungguh menanggung budi
Seribu tahun takkan lupa

Jual:
Ragi pulut dalam kati
Tapai manis dalam kuali
Selagi hidup dalam pekerti
Sampailah mati dalam budi

Beli:
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Lalu diambil untuk dimakan
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati
Budi tuan tuhan balaskan

Kain prai baju prai
Pakaian anak raja Yamtuan
Badan berkecai tulang bercerai
Barulah lupa budimu tuan

Pantun jenaka sunting

Jual:
Oh bulan kemana bintang
Atas pucuk kayu ara
Oh tuan kemana hilang
Dalam bilik anak dara

Beli:
Atas pucuk kayu ara
Lebat daunnya pokoknya rindang
Hilang kedalam bilik nak dara
Cuma meminta rokok sebatang

Jual:
Ambil segulung rotan saga
Sudah diambil mari diurut
Duduk termenung harimau tua
Melihat kambing mencabut janggut

Beli:
Sudah diambil mari diurut
Diurut dibawah pokok sena
Melihat kambing mencabut janggut
Gajah pula mengorek telinga

Ambilkan bilah pokok sena
Jadikan lata tempat berhandai
Andaikan gajah korek telinga
Giliran buaya hajat berinai

Jual:
Jadikan lata tempat berhandai
Terbang sekawan burung belibis
Giliran buaya hajat berinai
Pipit pula membilang tasbih

Beli:
Ambil sejimpit beras dan bertih
Ditabur penawar merubah nasib
Andaikan pipit membilang tasbih
Tafakur elang membaca ratib

Ditabur penawar merubah nasib
Nasib baik bukan sebarang
Tafakur elang membaca ratib
Melihat sitikus mengasah parang

Janda berhias merambah karang
Sirih kuning disangka serai
Melihat tikus mengasah parang
Datang kucing meminta damai

Sirih kuning disangka serai
Dijemur panas daunnya kering
Melihat kucing meminta damai
Ayam memasak pulut kuning

Jual:
Elok sungguh bunga kantil
Tumbuh kearah kolam telaga
Elok sungguh berbini sungil
Walaupun marah tersenyum juga

Beli:
Tumbuh kearah kolam telaga
Telaga mencuci badan yang melekit
Walaupun marah tersenyum juga
Tangan ketam cubitnya sakit

Bunga kantil sunting di Aceh
Bunganya putih dalam cerana
Biarlah sungil hatinya kasih
Cubitnya perih saya terima

Jual:
Bunganya putih dalam cerana
Dipetik dijual didalam pekan
Sementelah cubitan tuan terima
Hatinya jangan tuan lukakan

Beli:
Bentan Telani diberi nama
Lagunya indah menawan merayu
Jangan hatinya diberi luka
Nantinya hilang kawan beradu

Jual:
Disana merak disini merak
Merak mana hendak dikepung
Disana hendak disinipun hendak
Pening kepala terajang punggung

Beli:
Diumpan merak dengan dedak
Hendak ditangkap dengan segera
Di sana hendak di sinipun hendak
Tepuk dada tanyakan selera

Bayan merbah merbuk dara
Terbang bebas hiasan angkasa
Jangan salah tertepuk dada
Badan terhempas mara bencana

Tuan puteri di atas puri
Dato hulubalang di atas padang
Bila dinasihati dengar-dengari
Bila bertepuk pandang-pandang

Jual:
Air tawar ditambah gula
Lalu dihidang beralaskan kain
Memang awak mencari bala
Pergi menepuk dada yang lain

Beli:
Bertelepuk emas diatas kain
Ada sirih bergambir tiada
Tak menepuk dada yang lain ?
Dada sendiri berdaging tiada

Bertelepuk emas diatas kain
Kain pelangi dari Melaka
Berani tuan menepuk yang lain
Bila dah kena... Padan dengan muka

Tuah merbuk pada kung-nya
Bandan menukik begap rupa
Raja Chola menggeleng kepala
Berubah tepuk pada dada
Padan menjadi usap dimuka
Inikah tanda millenium tiga ?

Jual:
Bergetah putih pokok ketiau
Garu pelandok lumut garit
Manalah hati tak geruh risau
Lalu bidukku umbut berkait

Beli:
Garu pelandok lumut garit
Gugur pucuk habis kontot
Lalu bidukku umbut berkait
Lenguh sendi siku dan lutut

Pelatuk besi lupuh melurut
Harimau dahan pelandok melompat
Melenguh sendi siku dan lutut
Balikkan badan biduk terjungkat

Harimau dahan pelandok melompat
Julang enggang sayap mengepak
Balikkan badan biduk terjungkat
Tanya penumpang apakah mendapat

(hati2 tak dibuatkan breakfast je)

Jual:
Kerbau putih membongkah tanah
Badak sumbu pagut resam
Kalau mandi biarlah basah
Bidukku lalu umbut terendam

Beli:
Aduhai sayang sekali,tiada siapa yang membeli

Pantun percintaan sunting

Jual:
Jahit setangan pinggirnya dikelim
Baik dikelim kembang kelapa
Rindu dendam kemana nak dikirim
Nak dikirim kepada siapa

Beli:
Segak menawan datuk penghulu
Mahir berlawan langkahnya tangkas
Kirimkan saja diangin lalu
Atau melalui SMS pesanan ringkas

Hijau daun diranting kayu
Mayang ditabuh bulir hamburan
Hajat dikirim di angin lalu
Sayang dihembus balik haluan

Jual:
Bukan kacang sembarang kacang
Kacang melilit kayu jati
Bukan datang sembarang datang
Datang melihat sijantung hati

Beli:
Apa guna pasang pelita
Jika tidak dengan sumbunya
Apa guna bermain mata
Kalau tidak dengan sungguhnya

(Takkan tengok je)

Ambil gendang di kampung Kandis
Ditabuh ramai ditingkah biola
Makin dipandang semakin manis
Dilabuh hati menyala cinta

Dipanah semata Indera Sakti
Seekor dara dipohon keranji
Sudah sama menaruh hati
Diekor mata konon berjanji

Pat-pat nya
Siapa cepat dia punya.
Lain padang lain belalang
Belalang kunyit dilihat jarang
Asik dok pandang-pandang
Bunga terlepas dikebas orang

Belalang Kunyit dilihat jarang
Kinantan lelah lagi lunglai
Kononnya pula terok bertarung
Bunga terlepas dikebas orang ?
Ditangan Raja lagi diungkai
Kononlah pula ditangan orang

Minum air, air dijerang
Untuk dibuat si air ketum
Rasa mabuk tidur belekor
Apa dilihat di tangan orang
Bunganya bukan sekuntum
Kumbangnya bukan seekor

Jual:
Batu loyang buat asahan
Batunya hitam seruas jari
Bimbang siang boleh ditahan
Bimbang malam serasa mati

Beli:
Banyak orang mengetam pulut
Saya sendiri mengetam padi
Banyak orang karam dilaut
Saya sendiri karam dihati

Balam mendengut tengah rimba
Balam serati jambul merah
Karam dilaut boleh ditimba
Karam dihati bilakan sudah

Biskut dalam peti
Ambil satu hendak rasa
Kalau diikut hati; mati
Ikut rasa, habis binasa

Rumput manis cemperai hidup
Lada muda perca kain
Jangan menangis bercerai hidup
Sama-sama mencari lain

Jual:
Ikan belanak hilir berenang
Burung reruak menata sarang
Makan tak enak tidur tak tenang
Konon teringat dinda seorang

Beli:
Kumbang menyumbang bunga berseri
Bunga ditaman puteri raja
Entahkan benar demikian peri
Atau sekadar cakap sahaja

Api-api unggunan kandis
Damar tumpah dikulit tengar
Laki-laki mulutnya manis
Jika bersumpah jangan didengar

Habis jalan, bangunan bergegar
Tanda bencana yang amat berat
Kalau sumpah selalu dilanggar
Tidak selamat dunia akhirat

Jual:
Dimana tempat murai berbunyi ?
Pokok kekabu ditepi kolam
Dimana tempat kita berjanji ?
Dalam kelambu diatas tilam

Beli:
Pelbagai penangan telah dibeli
Buat jamuan lepas berzanji
Kerbau dipegang pada tali
Manusia dipegang pada janji

Anak raja mendaki bukit
Patah galah dalam perahu
Pegang tangan jeling sedikit
Hati didalam Allah yang tahu

Buah jering diatas para
Diambil budak sambil berlari
Hingga kering lautan Melaka
Barulah saya mungkir janji

Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa saya dirikan
Kalau sungguh bagai di kata
Badan dan nyawa saya berikan.

Jual:
Ke teluk sudah, ke siam sudah
Ke Mekkah saja saya yang belum
Berpeluk sudah bercium sudah
Menikah saja saya yang belum

Beli:
Si Luncai bermain rodat
Memukul tetawak pelbagai lakunya
Tidak sopan menyalahi beradat
Berbulu mata lihat lakunya

Terang bulan cahaya berseri
Nampak dilihat dari saujana
Siksanya tuan cinta birahi
Semua dibuat serba tak kena

Terang bulan cahaya berseri
Berbalam-balam diperdu rotan
Kalau sungguh cinta birahi
Hantarkan utusan sempurnakan ikatan

Jual:
Mahu dihitung bilangan bintang
Tidak terkira jumlah adanya
Jika dihitung kasih dan sayang
Tidak terukur sebesar mana

Beli:
Pinggan tak retak nasi tak dingin
Kalau tak salah orang tak tegor
Orang tak hendak, kenapa awak masih ingin?
Bunga tak sekuntum, kumbang tak seekor

Anak beruk duduk bersanding
Cari makan dalam hutan
Tujuh teluk sudah dibanding
Mana sama padamu tuan

Pantun perpisahan sunting

Jual:
Pucuk pauh selara pauh
Sembilu ledung ledungkan
Adik jauh kekanda jauh
Kalau rindu sama menungkan

Beli:
Pucuk pauh selara pauh
Pucuk terjuntai di atas titi
Adik jauh kekanda jauh
Menaruh rindu di dalam hati

Patah pasak dalam kemudi
Patah diruang bunga kiambang
Kalaulah tidak bertemu lagi
Bulan yang terang sama dipandang

Jual:
Batang selasih permainan budak
Berdaun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

Beli:
Batang selasih permainan budak
Tumbuhnya jarang tepi telaga
Bercerai kasih bukan kehendak
Paksaan orang dituruti juga

Sayang Semarang Gunung Merapi
Anak gelama dituba jangan
Tidak dilarang adik berlaki
Janji yang lama dilupa jangan

Ikan sepat dimasak berlada
Kuah cencaluk jadi bumbunya
Kalau tak dapat dimasa muda
Akan kutunggu sampai menjanda

Jual:
Harum sungguh bunga melati
Kembang setangkai diwaktu pagi
Hancur sungguh rasa dihati
Sedang berkasih ditinggal pergi

Beli:
Jauh berdagang ditengah kota
Menjual dagangan pelbagai benda
Abang pergi mencari harta
Buat meminang akan adinda

Kalau ada sumur diladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Anak tani mengutip lokan
Lokan dikutip untuk dimakan
Sayang anak tangan-tangankan
Sayang isteri tinggal-tinggalkan

Jual:
Pulau Sipadan pulau Ligitan
Tempat singgah raja Bulungan
Risau dibadan galau ingatan
Ingat pungguk rindukan bulan

Beli:
Serapah disembur mengubat gatal
Tok bomoh membaca jampi
Sebelum tidur ditepuk bantal
Menyeru nama dalam mimpi

Berjalan di malam kelam
Baiklah kiranya berteman
Kenapa pungguk rindukan bulan
Bunga banyak kembang ditaman

Hilir rakit berkajang kain
Dimana teluk singgah bertimba
Niatku tidak pada yang lain
Adinda seorang tiadalah dua

Jual:
Berinai orang berhitam kuku
Mandi disiram si air mawar
Tuan seorang biji mataku
Racun diminum jadi penawar

Beli:
Leher merah itu helang
Terbangnya tangkas perangai garang
Jangan dinda berhati walang
Kasih kanda padamu seorang

Bunga lada tingginya sama
Ambil setangkup bunga melati
Kanda berjanji terlalu lama
Manalah sanggup dinda menanti

Ambil setangkup bunga melati
Hiasan rambut puteri jelita
Kenapa dinda tak sanggup menanti
Mana perginya janji setia

Kayu mempoyan kulitnya manis
Patah galah dalam paya
Laku perempuan mulutnya manis
Cakap sepatah jangan percaya

Kerisi, Cencaru, siikan Parang
Ikan Belut siikan gerut
Tidak sangka orangnya curang
Lain dimulut lain diperut

Dari Lagu " Kerana budi Jasad Tertawan"
Kain buruk jatuh di papan,
Patah terkulai dahan meranti;
Biarlah buruk rupamu tuan,
Asal pandai mengambil hati.

Dari Lagu "Kerana Budi Jasad Tertawan"
Tengah padang pasang pelita,
Anyam ketupat bulan puasa;
Bukan nak pandang cantiknya rupa,
Hati terpikat budi bahasa.

Jual:
Kalaulah jadi pergi ke ladang
Kain panjang cari dahulu
Kalaulah jadi pergi berdagang
Induklah semang cari dahulu

Beli:
Kain panjang menutup diri
Menutup diri dari kelkatu
Aduhai tiada yang sudi membeli...
Penyunting wiki terpaksa membantu

"Nasihat supaya kita berbudi bahasa"

Orang buta pergi ke kebun Makan longan dibekal cucur Janganlah kita bermain mercun Kelak badan pasti hancur </poem>

Pantun-pantun daripada filem-filem Melayu klasik sunting

 
Seri Mersing

Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang saya mengkuang layu;
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang saya musafir lalu.

Gurindam Jiwa (1966)

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

 
Hang Tuah (1956)

Burung nuri burung helang,
Tidak sama terbang tinggi;
Sekarang puteri berangkat pulang,
Bila pula berjumpa lagi.

Kain buruk tepi perigi,
Dibuat orang pengesat belanga;
Esok kita berjumpa lagi,
Tunggulah Teja di taman bunga.

Pantun Moden sunting

Burung pekaka menangkap ikan
Di atas tender duduk terpaku
Pergi berdagang apa takutkan
Kartu kredit ada disaku

Burung serindit jalannya kaku
Sayang sayapnya sudah terkulai
Kartu kredit memang ada disaku
Sayang limitnya sudah terlampaui

Sayang sayapnya sudah terkulai
Lalu dianduh dengan kain
Kalau limitnya sudah terlampaui
Isi borang pohon yang lain

Sayap dianduh dengan kain ?
Jadi tergulir tak dapat jalan
Isi borang pohon yang lain ?
Bagi dipikir dulu pendapatan

Di sana serindit di sini pipit
Ramai merak mengigal badan
Disana kredit disini kredit
Bagai beranak tak berbidan

Kertas buruk jangan diruyuk
Dibuat menyala unggun api
Besar kerak dari periuk
Babi gemuk pun boleh mati

Di dalam laut ada buaya
Lemas kerana lautnya mati
Jangan ditakut pada bahaya
Emas bernilai sinar dihati

Cencaluk budu tempoyak sambal
Dicicah ulam enak sekali
Hendak beradu rasanya janggal
Mencelah-celah dihujung kaki

Pahlawan menggunakan kapak
Untuk mengalahkan raksasa
Jangan suka melepak
Ia hanya membuang masa

Pantun dalam budaya serumpun sunting

Orang Melayu Cocos sunting

Orang Melayu Cocos mendendangkan "panton" dalam adat perkahwinannya seperti upacara "mintak anak orang" (meminang), melamar, seminggu sebelum perkahwinan dan semasa perkahwinan, iaitu keramaian meraikan pengantin atas "pajangan" (pelamin).[30] Pantun Cocos berbeza dengan pantun Melayu dari segi pengucapan dan pemilihan diksinya. Pantun Cocos melengkapkan tarian selong yang dipersembahkan semasa majlis bersanding yang diiringi muzik biola dan gendang.[31] Pantun biasanya bersifat menyakat atau jenaka.[32] Tarian Melenggok juga diiringi dua kumpulan pemantun.[33] Pantun didendangkan dalam bahasa Melayu Cocos. Contoh panton:

Ari minggu duduk menyucik,
Ambik piso mengupas kates,
Anak muda lagi menyucik,
Air mata jatoh menetes.

Nota sunting

Maksud perkataan yang terkandung dalam anotasi diambil daripada laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. Antara lain, rujukan dalam PRPM meliputi kamus Melayu dan Inggeris dan istilah (Malaysia, Indonesia dan Brunei).

PRPM juga rujukan piawai bahasa Melayu buat Wikipedia Bahasa Melayu.

Rujukan sunting

  1. ^ Nailah Huda (18 Disember 2020). "Pantun, upacara wangkang diiktiraf UNESCO". Astro Awani.
  2. ^ Kurnia, Tommy (18 Disember 2020). "Pantun Resmi Jadi Warisan Budaya Dunia UNESCO". Liputan 6.
  3. ^ a b Za’aba (1962). Ilmu Mengarang Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s. 219.
  4. ^ "sepantun". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dicapai pada 17 January 2021.
  5. ^ Wright, Arnold (1908). Twentieth Century Impressions of British Malaya: Its History, People, Commerce, Industries, and Resources. Lloyd's Greater Britain Publishing Company. m/s. 230.
  6. ^ "pantun". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017. Dicapai pada 17 January 2021.
  7. ^ Daillie, Francois-Rene (1988). Alam Pantun Melayu: Studies on the Malay pantun. Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s. 79, 149. ISBN 978-9836203106.
  8. ^ Harun Mat Piah (2007). Pantun Melayu : bingkisan permata. Yayasan Karyawan. m/s. 58. ISBN 978-9814459884.
  9. ^ "tuntun". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017. Dicapai pada 17 January 2021.
  10. ^ R.O. Winstedt (1992), Liaw Yock Fang (1993)
  11. ^ http://bmpantun-tarmizi.blogspot.com/2011/11/simpulan-bahasa-atas-pagar.html?m=1
  12. ^ http://wali-pantunmelayu.blogspot.com/2014/06/pantun-kalau-padi.html?m=1
  13. ^ http://bmpantun-tarmizi.blogspot.com/2011/11/simpulan-bahasa-ambil-angin.html?m=1
  14. ^ http://bmpantun-tarmizi.blogspot.com/2011/11/simpulan-bahasa-alim-kucing.html?m=1
  15. ^ https://www.academia.edu/37693339/Pantun_6_Kerat_8_kerat_10_kerat_12_kerat_dan_14_kerat
  16. ^ https://www.academia.edu/37693339/Pantun_6_Kerat_8_kerat_10_kerat_12_kerat_dan_14_kerat
  17. ^ https://www.academia.edu/37693339/Pantun_6_Kerat_8_kerat_10_kerat_12_kerat_dan_14_kerat
  18. ^ http://blogpantunmelayu.blogspot.com/2015/04/jenis-jenis-pantun.html?m=1
  19. ^ Panjang menjulai; kecil dan tinggi
  20. ^ Elok, bersih dan bagus, rapi.
  21. ^ Sejenis burung
  22. ^ Diolek oleh nyanyian
  23. ^ Nama orang Habsyi
  24. ^ Rasa hampir-hampir pahit
  25. ^ Ayam jantan yang berani, digunakan untuk bersabung
  26. ^ Gatal, merenyam, pengas
  27. ^ Kesan buruk yang dialami oleh seseorang kerana mendekati mayat, bangkai, sesuatu yang dianggap keramat dan sebagainya.
  28. ^ Timbunan pasir atau lumpur yang panjang di kuala sungai atau di laut
  29. ^ Tanah yang baru dibuka
  30. ^ Romtie, Isa (2016). Keindahan Pantun dalam Perkahwinan Cocos (PDF) (Tesis). Universiti Malaysia Sabah. Dicapai pada 13 Mac 2020.
  31. ^ Isa Romtie, Asmiaty Amat & Lokman Abd. Samad. "Nyanyian Panton Dalam Tarian Selong Perkahwinan Cocos di Sabah" (PDF). Universiti Malaysia Sabah. Dicapai pada 13 Mac 2020.
  32. ^ Romtie, Isa (10 Mei 2016). "Pantun dalam 'Melenggok Kemanten Cocos' di daerah Tawau". Utusan Borneo (Sabah). Dicapai pada 13 Mac 2020.
  33. ^ Kamaruddin, Noorazean. "The Entities of Cocos Malays Communities in Sabah" [Entiti Masyarakat Melayu Cocos di Sabah]. Proceedings of the Art and Design International Conference (AnDIC 2016) (dalam bahasa Inggeris). The Springer. m/s. 360. ISBN 978-981-13-0486-6.

Bacaan lanjut sunting

  • Pogadaev, Victor (2002). "Malay Pantun in Russia". in "Dewan Sastera", Jilid 32, Bilangan 10, 2002, p. 88-89.

Pautan luar sunting