Pasukan Operasi Khusus Malaysia

Pasukan Operasi Khusus Malaysia atau lebih dikenali sebagai Pasukan Operasi Khusus Nasional terdiri daripada beberapa pasukan khas moden yang datang daripada tiga formasi daripada cabang Angkatan Tentera Malaysia dan dua formasi daripada pasukan Polis Diraja Malaysia serta satu formasi yang bernaung di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Dengan hasil kerjasama daripada ketiga-tiga agensi keselamatan ini, pasukan-pasukan khas ini menyertai industri pertahanan dan penguatkuasaan khas yang dikenali sebagai Pasukan Operasi Khusus Malaysia dan ia terdiri daripada Grup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL), Pasukan Khas Udara (PASKAU) , Special Task & Rescue (STAR).

Pasukan Operasi Khusus Nasional
Ditubuhkan pada27 Oktober 2016; 7 tahun yang lalu (2016-10-27)
Negara Malaysia
Cawangan Angkatan Tentera Malaysia
Fail:Flag of the ]
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
JenisPasukan khas
PerananBerperanan membanteras ancaman keganasan global di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
Saiz187 pegawai dan anggota (Oktober 2016)
Sebahagian daripadaMajlis Keselamatan Negara Malaysia
Pangkalan OperasiKem Perdana, Sungai Besi, Kuala Lumpur
Moto"Tangkas dan Tepat"

Pengenalan sunting

Kesemua elemen ini mempunyai objektif yang paling penting dalam keselamatan Malaysia, khasnya memerangi keganasan dan pencerobohan. Hal ini amat penting, memandangkan selepas insiden serangan 11 September 2001 yang berlaku di World Trade Center (Pusat Dagangan Dunia) dan Pentagon di New York, Amerika Syarikat, keganasan di peringkat global kian memuncak yang mana kemudiannya diikuti dengan insiden letupan bom di pusat pelancongan di Bali dan Hotel J.W. Marriott di Jakarta, insiden letupan bom di stesen keretapi dan transit di London, pengeboman dan pembunuhan di Selatan Thailand serta pengeboman di Madrid. Agensi keselamatan ini amat menitikberatkan kesemua insiden ini sebagai persediaan untuk menangani keganasan agar tiada sebarang agenda keganasan menular masuk ke dalam tanahair Malaysia walaupun seinci sekalipun. Setakat ini, Malaysia masih berada di tahap keselamatan yang amat tinggi dan tiada sebarang insiden keganasan berlaku di negara ini. Jika adapun, hanyalah kes kecurian senjata di pos tentera oleh kumpulan militan Al Ma'unah serta letupan bom di stesen bas Puduraya, Kuala Lumpur tetapi insiden ini berjaya ditangani dengan cepat. Hal ini ialah berkat daripada kerjasama dan hubungan erat agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat. Mereka mengambil inisiatif ini sepertimana yang berlaku semasa zaman darurat mulai dari tahun 1948 hingga 1989, dan rakyat Malaysia ingin memastikan tiada lagi sejarah keganasan berulang untuk kali yang ketiga mahupun untuk selamanya. Jika dinilai dari segi formasi, kekuatan, kelengkapan, kemahiran dan jumlah keanggotaan pasukan-pasukan elit Malaysia ini, ia setanding dengan pasukan elit dari Britain, Australia, New Zealand dan juga Amerika Syarikat. Malahan kesemuanya pernah mengharumkan nama Malaysia dengan penyertaan mereka di peringkat antarabangsa, misalnya misi pengaman PBB di negara-negara yang mengalami ancaman peperangan.

Umum sunting

10 Briged Para sunting

10 Briged Paratruper atau lebih dikenali sebagai 10 Briged Para Tentera Darat Malaysia ialah sebuah pasukan elit payung terjun yang asalnya sebuah unit infantri biasa dalam cabang Tentera Darat Malaysia yang dipertingkatkan tarafnya kepada unit perajurit para. Formasi elit ini ditubuhkan hasil gabungan daripada 3 Batalion Elit Para iaitu Batalion ke-8 Rejimen Renjer Diraja (Para) yang merupakan batalion pertama yang menyertai formasi ini, Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) dan Batalion ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), disokong dengan penyertaan 1 Rejimen Pertama Artileri Diraja (Para) dengan 1 Skuadron Rejimen Armor Diraja (Para) serta 10 unit sokongan yang sedia ada dalam cawangan Tentera Darat.

Sungguhpun mempunyai objektif yang sama dalam memerangi keganasan tetapi berbeza dengan keempat-empat pasukan elit yang lain. Hal ini kerana penugasan 10 Para ini lebih tertumpu kepada taktik peperangan konvensional iaitu sebagai pasukan barisan hadapan yang akan digugurkan dibelakang garisan musuh. Hal ini bertepatan dengan tugas mereka sebagai anggota perajurit PARA dimana tugas mereka akan cuba memusnahkan barisan musuh dibelakang, memusnahkan laluan dan bekalan musuh serta unit-unit bantuan musuh supaya. Penugasan mereka amat berbeza dengan unit Komando atau Grup Gerak Khas. Dimana, pasukan PARA akan diterjunkan beramai-ramai berbanding dengan Grup Gerak Khas yang diterjunkan mungkin dalam jumlah yang amat kecil dan hanya melakukan tugas sabotaj dan khianat kepada pihak musuh. Kini, 10 Briged Para mempunyai laman web untuk para pembaca meneliti dan memahami serta mengetahui berkenaan briged elit ini di http://smartpara.com Diarkibkan 2008-06-04 di Wayback Machine

Grup Gerak Khas sunting

Grup Gerak Khas atau GGK merupakan entiti pasukan elit utama dalam Malaysia. Ianya terdiri daripada dua buah rejimen komando dan sebuah rejimen melawan keganasan dalam formasi Tentera Darat Malaysia. Penugasan GGK ialah melengkapkan skuadronnya dalam mengesan, melapor dan menghuru-harakan kedudukan musuh melalui penyusupan jauh ke dalam kawasan operasi melalui hubungan kerjasama dengan pihak gerila atau puak penentang. GGK akan menyusun strategi, persediaan dan apabila diarahkan, serangan susulan akan dilakukan meliputi pertempuran bukan konvensional, pertahanan dalaman, pengintipan khas dan tindakan berterusan melalui sokongan objekif oleh polisi kerajaan di dalam kawasan yang dipertanggungjawabkan.

 
Grup Gerak Khas merupakan entiti utama pasukan elit negara dalam cabang Tentera Darat Malaysia. Perhatikan karbin Colt M4A1 yang menjadi entiti persenjataan unit ini dalam operasi menangani keganasan.

GGK yang mendapat latihan khas daripada 40th Royal Marines Commando Britain selepas konfrontasi melibatkan Malaysia-Indonesia ini dilatih meliputi pertempuran bukan konvensional yang merangkumi pelbagai teknik - Taktik Gerila / Anti-Gerila, Taktik Elak dan Lari, Subversif, Sabotaj, Anti Pengganas dan kepakaran yang sudah menjadi lumrah bagi tentera darat - Pertempuran Di dalam Hutan. Unit ini memperolehi reputasi yang paling baik (selain Komando 69 PDRM) dalam operasi memerangi pengganas komunis suatu ketika dahulu. Selepas peletakkan senjata oleh Parti Komunis Malaya pada tahun 1989, unit ini dipertingkatkan kemahiran dengan operasi dan pengintipan khas. Bagi menjaga hubungan baiknya dengan negara serumpun berikutan selepas insiden konfrontasi tersebut, Grup Gerak Khas turut mengalu-alukan pasukan sahabatnya iaitu Tentera Nasional Indonesia (TNI) - Tentera Darat melalui latihan bersama Grup Gerak Khas dengan pasukan elit Kopassus Indonesia. Dari situ, hubungan baik antara GGK dengan Kopassus bertambah kukuh. Kini, terdapat tiga buah rejimen yang terdiri daripada Rejimen ke-11, 21 dan 22 GGK. Rejimen ke-11 RGK atau Rejimen Lawan Keganasan merupakan sebuah rejimen memerangi keganasan khasnya di kawasan yang memerlukan pertempuran jarak dekat taktikal, misalnya di dalam bangunan, kapal dan pesawat udara. Amat unik sekali, taktikal rejimen ini lebih berpaksikan pasukan elit British iaitu Rejimen 22 Special Air Service (SAS). Hal ini dapat dibuktikan dari segi kelengkapan baik persenjataan, peralatan mahupun pakaian taktikal rejimen ini kelihatan menyamai pasukan 22 SAS. Rejimen ini dilatih oleh pasukan elit berkenaan melalui Projek Nelson Glory pada tahun 1990 selepas peletakkan senjata oleh PKM dan memerlukan pasukan taktikal bagi menangani keganasan yang paling mencabar ini, termasuklah keganasan global. Manakala, rejimen ke-21 dan 22 merupakan rejimen komando dan unit-unit inilah yang menjadi nadi utama untuk melakukan serangan di dalam kawasan musuh.

Grup Gerak Khas turut melibatkan diri dalam misi pengaman antarabangsa di Kemboja, Somalia, Sahara Barat, Namibia dan Bosnia Herzegovina serta kini di Lubnan. Unit ini pernah terlibat dalam beberapa siri operasi di dalam tugas misi pengaman ini. Antara contoh yang paling dikagumi oleh Grup Gerak Khas ini ialah operasi menyelamat 40 orang anggota komando Delta Force dan 75 anggota Renjer tentera darat Amerika Syarikat yang terperangkap dalam pertempuran di Pasar Bakhara, Moghadishu, Somalia dengan pasukan tentera Jeneral Mohamed Farrah Aidid. Unit ini turut digandingkan dengan Rejimen ke-19 Askar Melayu Diraja (Mekanis), rejimen ke-10 tentera darat Pakistan dan division ke-10 tentera darat Amerika serta disokong dengan bantuan helikopter tempur Amerika jenis A/MH-6 Little Bird dan MH-60 serta kereta perisai Condor Malaysia dan M48 (Pakistan). Sepertimana warga 19 RAMD kehilangan seorang anggotanya di dalam misi menyelamat itu, warga GGK juga turut kehilangan dua orang anggotanya semasa operasi bersama dengan komando tentera Amerika untuk menangkap orang kanan Farrah Aidid.

PASKAL sunting

 
Anggota PASKAL ketika latihan serbuan.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga turut mempunyai aset pasukan elitnya dalam menjaga perairan Malaysia khasnya Selat Melaka daripada pencerobohan kuasa luar dan keganasan dan juga perkatakan oleh masyarakat Malaysia sebagai pasukan elit No.1 di Malaysia. Unit yang diperkatakan tersebut dikenali sebagai Pasukan Khas Laut atau PASKAL. Unit ini mendapat latihan khas komando daripada Grup Gerak Khas sendiri dan Komando Pasukan Katak atau KOPASKA, sebuah pasukan elit tentera laut dari Indonesia. Diawal penubuhannya pada tahun 1975, peranan pasukan ini tidak ubah seperti pasukan pengawal pantai di mana ia diberi tugas mengawal kapal-kapal TLDM dan pantai serta membanteras ancaman lanun yang mengganas di laut. Selain itu, kelengkapan logistik dan senjata juga tidak banyak.

Namun, segalanya telah berubah apabila Royal Marines Commando British dan US Navy SEALs menyusun semula struktur pasukan elit PASKAL. Penstrukturan semula unit khas marin TLDM ini bermula setelah menyedari akan kurangnya peralatan logistik serta taktikal pasukan ini bagi menghadapi peperangan maritim yang semakin moden ini. Atas sebab inilah, para pegawai dan anggota PASKAL telah dihantar berkursus di Royal Marines dan SEALs, memandangkan kedua-dua pasukan elit dari Britain dan Amerika Syarikat ini amat berpengalaman luas dalam teknik pertempuran maritim ini. Dengan hasil latihan khas tersebut, pada tahun 1980, PASKAL akhirnya menjadi sebuah pasukan elit yang setanding dengan negara-negara luar dan telah dipertanggungjawab menjaga kawasan-kawasan strategik Zon Ekonomi Eksklusif di perairan Malaysia. PASKAL kini berperanan dalam pelbagai operasi menangani keganasan di kapal-kapal dagang, pelantar minyak dan kawasan bandar. Anggotanya pernah melibatkan diri bersama Grup Gerak Khas tentera darat dalam menjaga pulau-pulau berhampiran Malaysia, khasnya Spratlys. PASKAL kini dilengkapi dengan senjata dan peralatan yang jauh lebih moden dan canggih yang tidak mampu ditandingi oleh pasukan elit Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia. Amat menarik yang ingin diperkatakan, persenjataan pasukan elit ini majoritinya lebih berpaksikan buatan Jerman dan Amerika Syarikat berbanding persenjataan lain yang digunakan, dimana kesemuanya adalah buatan Heckler & Koch. Contohnya, penggunaan raifal G36, HK416, XM8, HK417 mesingan MG4 serta persenjataan buatan Jerman yang lain dilihat hampir-hampir menyamai persenjatan yang digunakan oleh KSK Jerman dan pasukan elit yang lain. Baru-baru ini, PASKAL terlibat dalam operasi berprofil tinggi dalam menangani keganasan global iaitu operasi menyelamat tebusan di Lautan Teluk Aden, Somalia apabila kapal kargo MISC Bunga Melati Dua dan Bunga Melati Lima dirampas lanun dan militan di teluk tersebut. Operasi yang dinamakan Ops Fajar berjaya dilaksanakan tanpa sebarang pertumpahan darah setelah pihak kerajaan dan antarabangsa berjaya menyelesaikan insiden ini melalui rundingan dengan pihak militan dan tebusan berjaya diselamatkan dan ini salah satu contoh manifestasi dimana tebusan berjaya diselamatkan tanpa melepaskan sebutir peluru sekalipun. Pada awal tahun 2011, PASKAL berjaya mengharumkan nama Malaysia atas kejayaan menawan semula kapal tangki MT Bunga Laurel yang ditawan lanun di perairan Teluk Aden, tidak jauh dari Laut Arab. Dalam operasi berkenaan, tujuh lanun Somalia berjaya ditangkap tanpa ada korban jiwa sama ada di pihak lanun, anggota PASKAL mahupun krew kapal yang ditawan.

PASKAU sunting

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai sebuah pasukan khas yang berkebolehan menjaga keselamatan pangkalan strategik TUDM dan Pasukan Anti Keganasan dan Rampasan Pesawat yang dikenali sebagai Pasukan Khas Udara atau PASKAU. Asalnya, nama unit ini dikenali sebagai HANDAU dan ketika itu ia tidak berperanan sepenuhnya sebagai unit anti keganasan. Pasukan ini ditubuhkan berikutan selepas insiden serangan mortar ke atas Pangkalan TUDM Simpang, Kuala Lumpur oleh ejen-ejen Parti Komunis Malaysia.

Dengan keperluan yang paling penting inilah taraf sebagai pasukan khas telah diberikan kepada unit ini bagi menjaga kemudahan dan lapangan terbang TUDM serta lapangan-lapangan terbang awam termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekiranya diperlukan jika terdapat sebarang serangan atau rampasan ke atas kemudahan serta pesawat milik TUDM mahupun pesawat awam. Diawal penubuhannya, anggota-anggota HANDAU menerima latihan asas Komando di PULPAK, Melaka. Begitu juga adanya anggota-anggota GGK yang diserapkan masuk atau ditukarkan ke perkhidmatan ke TUDM untuk menampung jumlah anggota HANDAU. Kini, PASKAU mempunyai tiga rejimen meliputi Skuadron Sayap Tempur - SST, Skuadron Penyelamat Tempur Udara - SPTU dan Skuadron Kawalan Medan - SKM atau Force Protection Team. Skuadron Sayap Tempur atau Flight Hostage Rescue Team merupakan pemukul hadapan dan entiti utama melawan keganasan bagi pihak TUDM dan unit ini secara keseluruhannya dipengaruhi dengan taktikal yang sama dan dilatih oleh Rejimen Ke-22 SAS United Kingdom. PASKAU juga satu-satunya pasukan di Malaysia dan rantau Asia Tenggara yang mempunyai unit Maritime Para Rescue Team MPRT yang ditubuhkan sejak tahun 2000. Pasukan ini dilatih dengan teknik tempur khas dan misi menyelamat, khasnya operasi menyelamat juruterbang pesawat udara yang terhempas berada jauh dari lokasi musuh.

Pasukan Gerakan Khas (VAT69 dan UTK) sunting

 
Pasukan polis anti-pengganas Pasukan Gerakan Khas merupakan pasukan elit domestik bagi pasukan Polis Diraja Malaysia dalam menangani keganasan dan jenayah. Pasukan ini juga turut membantu pasukan elit ATM dalam memerangi keganasan.

Polis Diraja Malaysia atau PDRM turut mempunyai sebuah pasukan khusus berstatus Komando dan sebuah Unit Khas Anti Pengganas yang amat terlatih yang dikenali sebagai 69 Komando PGK dan Unit Tindakhas (UTK) yang dipertanggungjawab menangani keganasan dan jenayah berbahaya. 69 Komando dahulunya merupakan sebuah pasukan khusus bagi unit separa tentera PDRM iaitu Pasukan Polis Hutan (PPH). 69 Komando atau VAT 69 ditubuhkan pada tahun 1969 (69 - bersempena tahun penubuhan unit tesebut).

Pasukan ini dilatih oleh Special Air Service Britain dan New Zealand yang ditugaskan bagi memerangi pengganas komunis pada Darurat Kedua berikutan pemberontakan PKM pada lewat tahun 1968. Sementara Unit Tindakhas (UTK) merupakan sebuah pasukan anti pengganas yang mengamalkan taktik pertempuran di kawasan bandar sepertimana yang diamalkan oleh unit GSG 9 Jerman dan SWAT Amerika Syarikat. Selepas PKM meletakkan senjata pada tahun 1989, 69 Komando berhadapan dengan masalah berkaitan peranannya selepas darurat. Akhirnya pada bulan Oktober 1997, kedua formasi ini digabungkan serta diselaraskan menerusi satu Markas Gerakan Khas yang dikenali sebagai Markas Pasukan Gerakan Khas (PGK) yang berpusat di Bukit Aman. Para pegawai dan anggota kedua-dua unit ini turut mendapat latihan khas daripada Jerman dan Amerika Syarikat (selain SAS Australia, Britain dan New Zealand) meliputi siasatan khas, kepakaran anti pengganas, risikan, letupan khas, lintas udara dan banyak lagi.

Kedua-dua unit ini pernah terlibat dalam operasi menangani keganasan di Malaysia, misalnya pemberontakan bersenjata daripada pengganas militan Al Ma'unah yang diketuai oleh Mohamed Amin Razali. Unit 69 Komando yang digandingkan dengan Grup Gerak Khas Tentera Darat Malaysia ini berjaya mematahkan pemberontakan ini. Selain itu, pasukan ini turut mengambil alih tugas 10 Para dan GGK di Timor Leste selepas keganasan di negara bergolak itu reda.

Unit Gempur Marin sunting

 
Komando marin UNGERIN ialah sebuah entiti terbaru pasukan elit Polis Diraja Malaysia dalam menjalankan operasi menangani keganasan di maritim.

Unit Gempur Marin ialah sebuah unit elit yang baru ditubuhkan pada bulan Mac 2006 dan ia diletakkan dibawah tanggungjawab pasukan marin Polis Diraja Malaysia. Unit yang mendapat didikan khas daripada truper 69 Komando PGK dan US Navy SEALs ini ditugaskan menjaga perairan Malaysia khasnya Selat Melaka dan Laut Sulu daripada sebarang ancaman di kawasan lautan, khasnya aktiviti lanun mahupun penyeludupan dan bekerjasama dengan unit-unit elit tentera laut dan pengawal pantai (APMM) sepertimana statusnya sebagai pasukan elit.[1]

STAR sunting

Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat atau Special Task And Rescue (STAR) ialah sebuah entiti melawan keganasan maritim yang bernaung dibawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Pasukan ini ditubuhkan dibawah sel latihan oleh Pasukan Khas Udara TUDM dan diperkasakan lagi dengan latihan khas oleh Pasukan Khas Laut TLDM. Pasukan ini bertindak melindungi keselamatan aset-aset terpenting maritim milik negara dan bertindak sebagai first responder yang diaturgerakkan ke lokasi ancaman sebelum bantuan daripada pasukan khusus ATM dan PDRM tiba.

Rujukan sunting

  1. ^ "Unit Selam Tempur - miliki kemahiran ala komando". Utusan Malaysia. 2008-07-28. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-05-29. Dicapai pada 2008-08-01. Check date values in: |date= (bantuan)

Lihat juga sunting