Pelan Integriti Nasional

Pelan Integriti Nasional adalah satu pelan atau rancangan yang dirancangkan serta dilancarkan oleh kerajaan Malaysia dengan fokus utamanya untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia.

Budaya etika dan integriti ini adalah amat penting dalam mana-mana organisasi kerana ia memastikan perlaksanaan apa jua program serta matlamat dicapai dengan baik serta beretika.

Pelan ini membolehkan Kerajaan merancang pelbagai program secara teratur dalam usaha membudayakan etika dan integriti masyarakat. Sebelum ini telah terdapat pelbagai usaha yang dilakukan, tetapi didapati usaha-usaha ini tidak tekal dan tidak menyeluruh dan hasilnya sebilangan besar usaha-usaha ini menemui kegagalan terutamanya dalam usaha mewujudkan sinergi semua sektor. Ini mungkin disebabkan terdapat halangan-halangan seperti sikap individu, kepimpinan sesebuah organisasi, sistem penyampaian atau karenah birokrasi, serta disiplin dan budaya masyarakat itu sendiri dalam melaksanakan satu-satu program.

Skop dan konsep yang dibawa oleh PIN kelihatannya lebih menyeluruh dan holistik dalam memberi panduan kepada setiap komponen masyarakat untuk membudayakan integriti.

Pelan Integriti Nasional ini telah dilancarkan pada 23 April 2004, oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.

Pautan luar sunting

  1. Ringkasan mengenai Pelan Integriti Nasional Diarkibkan 2008-05-16 di Wayback Machine