Pelangi

fenomena alam

Pelangi (Jawi: ڤلاڠي) atau, dalam bahasa Melayu Kedah, ular danu (Jawi: اولر دانو, Melayu Kedah: ulaq danu) merupakan fenomena optik dan meteorologi yang terhasil berikutan pemantulan, pembiasan dan penyerakan spektrum cahaya yang terkena titisan air; ia lazim boleh diperhatikan (hampir) selanjar di langit apabila matahari bersinar semasa hujan turun. Ia merupakan satu lengkung yang berwarna-warni dengan warna merah di lengkung paling luar dan ungu di lengkung paling dalam. Mengikut urutan, warnanya ialah merah, jingga, kuning, hijau, biru, nila dan ungu.

Pelangi yang menyinari di hujung tasik, di Taman Negara Jasper, Alberta, Kanada

Pelangi dihasilkan apabila cahaya terbias melalui titik air di udara, maka pelangi selalu dapat dilihat selepas hujan. Ia berbentuk melengkung bulat mengikuti bentuk bulat/sfera titisan air di udara, namun separuh bahagian bawah pelangi ini biasanya terhalang daripada diperhatikan kerana "terlindung" oleh ufuk bumi.[1] Fenomena pelangi ini juga boleh dilihat dengan membelakangi matahari dan menyembur air pada hari yang cerah.

Peristilahan sunting

"Pelangi" berasal dari perkataan pelang bermaksud "jalur" atau "berbelang"[2]:14[3][4] yang turut disebut belang;[3][4] kedua-dua perkataan pelang dan belang diturunkan dari akar Melayu-Polinesia Barat *-laŋ.[5]

Terdapat banyak istilah lain digunakan dalam menggambarkan fenomena ini termasuk:

  • benang raja (Jawi: بنڠ راج‎)[6]
  • bianglala (Jawi: بياڠلالا‎)[7]
  • ular danu (Jawi: اولر دانو‎), dipakai di Kedah, Pulau Pinang, Riau dan Johor.[8][2][9]

Prinsip fizik sunting

 
Rajah menunjukkan pembentukan pelangi yang biasa (3) serta "pelangi sekelamin"[2]:16 (5) akibat pembiasan cahaya dalam titisan air

Cahaya matahari yang mengena titisan air hujan akan terpantul sebahagiannya dan terserap sebahagian lain; cahaya ini dibiaskan pada permukaan titisan seakan prisma dan terpantul dalam sebelum terpancar keluar, sebahagian pancaran ini terbias lagi di permukaan sebelum dipantulkan keluar dari titisan. Sudut yang dipantulkan cahaya terbias ini diperhatikan antara 0° hingga 42° yang paling kuat.[10]

Pelangi dilihat melengkung kerana sudut pemerhatian cahaya yang dibiaskan dari ufuk tempat berdiri: pelangi yang dipancar dalam suatu turutan kon di hujungnya suatu bulatan pada sudut 40–42° di mana separuh pelangi ini diserap di ufuk pada kaki pemerhati; bulatan pelangi boleh diperhatikan jika berada di ketinggian tertentu jauh dari permukaan bumi, misalnya jika dilihat semasa duduk di atas kapal terbang.[11][12]

Jarak atau besar kecilnya bergantung kepada indeks biasan air yang menyerak cahaya disinari; air laut mempunyai indeks biasan lebih tinggi menyebabkan pelangi yang terhasil lebih kecil.[13]

Adakalanya, akan ada suatu pelangi tambahan yang dapat dilihat disebutkan iaitu "pelangi sekelamin" (atau "pelangi sekunder") adakala akan terbentuk dengan urutan warna yang terbalik serta agak lebih redup sekitar 10° di luar pelangi utama.[14]

Kepercayaan sunting

Ada cerita yang dikisahkan dalam kepawangan orang Melayu bahawa pelangi kononnya merupakan pedang milik seekor Ular Sakatimuna yang membelit Bumi lalu Malaikat Jibrail diperintahkan Allah untuk melawan ular tersebut, ular ini akhirnya ditumpaskan dan "pedang-nya itu menjadi plangi...".[2]:3, 582

Masyarakat Perak di Semenanjung Melayu percaya bahawa pelangi merupakan laluan membawa semangat roh orang yang sudah meninggal dunia ke Bumi untuk meminum air (pelangi minum).[2]:14-15

Terdapat pantang larang yang wujud dalam masyarakat Melayu kononnya bahawa anak-anak yang menunjuk ke arah pelangi akan terpotong atau "kudung" jari menunjuk ini.[15] Namun, pelangi boleh dilihat sebagai petanda keberadaan tertentu: masyarakat Melayu pulau Bintan percaya pelangi memandakan kayanya rezeki di laut mahupun turunnya bidadari kayangan untuk mandi di mata air,[16] masyarakat Perak pula percaya bahawa penampakan suatu kilasan pelangi di sebelah barat ufuk (tunggul-tunggul membangun atau ringkasnya tunggul) di sebelah barat ufuk menandakan kematian seorang raja.[2]:15

Dalam agama sunting

Pelangi dikatakan dalam mitologi Hindu merupakan busur dewa Indera yang dipersenjatakan untuk menembak panahan petir;[17] ia turut tercermin pada nama fenomena ini dalam bahasa-bahasa tertentu termasuk bahasa Sanskrit (इन्द्रधनुस् Indradhanus)[18] dan bahasa Malayalam (ഇന്ദ്രധനുസ് indradhanusŭ).

Kitab Kejadian dipegang orang Kristian menceritakan bahawa nabi Nuh melihat dari bahteranya suatu pelangi yang muncul di langit sebagai petanda dari Tuhan menandakan berakhirnya banjir besar yang diturunkan menimpa kawasannya.[19]

Galeri sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Masters, Jeff (14 April 2005). "The 360-degree Rainbow". Weather Underground. The Weather Company. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Jan 2015.
  2. ^ a b c d e f Skeat, Walter William (1900). "Chapter 1: Nature". Malay Magic. London: Macmillan and Co., Limited. m/s. 1–15, 582.
  3. ^ a b Bandingkan "belang" & "pelang" di Wilkinson, Richard James (1901). A Malay-English dictionary. Hong Kong: Kelly & Walsh, limited. m/s. 110, 466–467.   Rencana ini mengandungi teks dari sumber yang berada dalam domain awam.
  4. ^ a b Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  5. ^ Blust, Robert; Trussel, Stephen (2010). "*-laŋ₂ striped". Austronesian Comparative Dictionary. Dicapai pada 26 Julai 2021.
  6. ^ "benang raja". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  7. ^ "bianglala". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  8. ^ "ular danu". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  9. ^ Wilkinson, Richard James (1901). "ular". A Malay-English dictionary. Hong Kong: Kelly & Walsh, limited. m/s. 59.   Rencana ini mengandungi teks dari sumber yang berada dalam domain awam.
  10. ^ "About Rainbows". Eo.ucar.edu. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 Ogos 2013. Dicapai pada 18 Ogos 2013.
  11. ^ "Why are rainbows curved as semicircles?". Ask the van. The Board of Trustees at the University of Illinois. 7 November 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Oktober 2015. Dicapai pada 13 April 2015.
  12. ^ "How to see a whole circle rainbow – EarthSky.org". earthsky.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Oktober 2013.
  13. ^ Cowley, Les. "Sea Water Rainbow". Atmospheric Optics. Dicapai pada 7 Jun 2007.
  14. ^ "What is a double rainbow?". Meteorological Office United Kingdom. 2021.
  15. ^ Ani Haji Omar (Januari 2014). "Pantang Larang dalam Kalangan Orang Melayu: Analisis dari Perspektif Teori SPB4K". Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 7 (1): 76-97. ISSN 2682-8049.
  16. ^ Tessa Dwi Leoni; Wahyu Indrayatti (Disember 2018). "Folklor Kepercayaan Rakyat Masyarakat Melayu di Kabupaten Bintan". Kiprah. Universitas Maritim Raja Ali Haji. 1 (2): 8-16. ISSN 2580-6947.
  17. ^ "Rainbows in Mythology", National Geographic.
  18. ^ Alain Daniélou (1991). The Myths and Gods of India: The Classic Work on Hindu Polytheism from the Princeton Bollingen Series. Inner Traditions. m/s. 110–111. ISBN 978-0-89281-354-4.
  19. ^ Lee Jr., Raymond L. and Fraser, Alistair B., The Rainbow Bridge: Rainbows in Art, Myth, and Science, Preface, p. viii, Penn State Press, 2001, ISBN 9780271019772