Pendawaian elektrik

Pendawaian elektrik merupakan satu sistem rangkaian pengalir elektrik bagi mengangkut arus elektrik ke peralatan elektrik yang terlibat. Rencana ini adalah berkaitan dengan sistem pendawaian bagi bangunan di Malaysia.

Di Malaysia, sistem pendawaian elektrik adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia sebagaimana yang termaktub di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990, Peraturan-Peraturan Elektrik 1994, Piawaian MS IEC 60364:2003 ‘Electrical Intallations of Building’, MS 1936:2006 ‘Electrical Intallations of Building - Guide To MS IEC 60364’ dan MS 1979:2007 ‘Electrical Intallation of Building – Code of Practice’. Sistem pendawaian yang digunakan di Malaysia adalah hampir serupa dengan piawaian pendawaian elektrik yang digunakan oleh United Kingdom tetapi dengan piawaian bagi wayar pengalir yang sudah berubah.

Spesifikasi bekalan elektrik sunting

Menurut Piawaian MS IEC 60364, sistem bekalan elektrik bagi pengguna domestik di Malaysia menggunakan bekalan elektrik satu fasa AC 230 V (RMS, julat +10%, -6%) 50 Hz; ataupun tiga fasa AC 400 V (RMS, julat +10%, -6%).

Sistem pendawaian sunting

 
Pendawaian tersembunyi dilakukan dengan membuat alur pada dinding bangunan.
 
Pendawaian yang menggunakan tiub PVC di Eropah.
 
Dua soket piawai 13 A.

Pendawaian elektrik boleh dilakukan sama ada secara terdedah ataupun tersembunyi. Pendawaian secara tersembunyi lazimnya dilakukan semasa pembinaan bangunan dengan membuat alur untuk dawai elektrik pada dinding bangunan. Namun demikian, kelemahan utama kaedah ini ialah pengguna mungkin menghadapi risiko kejutan elektrik sekiranya pengguna memaku atau memasang skru pada dinding, misalnya untuk memasang rak buku ataupun penyangkut baju. Dahulunya, kabel elektrik yang digunakan disalut dengan penebat getah, tetapi kemudiannya digantikan dengan PVC kerana penebat getah tidak tahan lama serta mudah rapuh dan haus mengikut masa.

Di Malaysia, kabel yang ditetapkan bagi tujuan pendawaian adalah berpenebat PVC serta berpengalir kuprum atau aluminium tetapi bagi kabel dengan luas keratan rentas pengalir kurang daripada 16 mm², hanya pengalir kuprum sahaja yang dibenarkan.

Perlindungan arus sunting

Terdapat tiga bentuk perlindungan yang disediakan pada unit pengguna dalam sistem pendawaian elektrik daripada bahaya yang disebabkan oleh arus elektrik seperti litar pintas, kilat, arus berlebihan ataupun kebocoran arus elektrik, iaitu:-

  • Suis utama - Pensuisan serta perlindungan daripada arus berlebihan
  • Pemutus litar bocor ke bumi (ELCB) - Memutuskan litar jika berlaku kebocoran arus elektrik ke bumi
  • Pemutus Litar Miniatur / pemutus litar kecil (MCB) - Memutuskan litar sekiranya berlaku lebihan arus elektrik

Sebagai tambahan, peralatan elektrik yang menggunakan piawaian BS 1363 iaitu melalui plag piawaian 13 ampere turut dilindungi fius 13 A sebagai perlindungan tambahan daripada lebihan arus elektrik.

Pemasangan mata suis dan soket sunting

Kesemua suis dan soket yang digunakan dalam sistem pendawaian di Malaysia direka bentuk untuk dimuatkan pada kotak pemasangan piawai berbentuk segiempat sama, bersaiz 86 mm x 86 mm, seperti yang tertakluk pada piawaian BS 4662. Terdapat juga kotak pemasangan berkembar bersaiz 143 mm x 86 mm bagi menempatkan dua petak suis atau soket piawai.

Mata soket yang digunakan direkabentuk untuk digunakan oleh plag piawai 13 ampere Jenis G (BS 1363) serta dilengkapi dengan suis. Terdapat juga peralatan elektrik yang menggunakan plag 2 pin 2.5 ampere (Jenis C; juga dikenali sebagai "Europlug") yang boleh dipalamkan ke soket BS 1363 menggunakan penyuai khas. Bagi peralatan berarus lebih tinggi seperti pendingin udara, biasanya soket 15 ampere Jenis M (BS 546) digunakan.

Pembumian sunting

Pendawaian elektrik mestilah dibumikan bagi menyediakan perlindungan kepada pengguna daripada bahaya renjatan elektrik akibat kebocoran arus elektrik ke bumi dengan menyediakan laluan berintangan rendah ke bumi. Komponen utama pendawaian (yang tidak membawa arus, seperti pembuluh logam), rangka bumbung yang diperbuat daripada logam serta peralatan elektrik (terutamanya yang menggunakan motor elektrik serta unsur pemanas) adalah antara komponen yang wajib dibumikan.

Tujuan Pembumian sunting

Tujuan pembumian diadakan pada pemasangan elektrik adalah:-

  • Untuk mengekalkan keupayaan system pendawaian supaya sentiasa berada dalam keupayaan yang sama dengan bumi (0 V).
  • Untuk membolehkan arus mengalir kebumi sekiranya berlaku kerosakan pada system pendawaian.
  • Untuk mengurangkan kesan kejutan elektrik kepada pengguna.[1]

Rujukan sunting

Lihat juga sunting