Pengkategorian merupakan proses yang mana gagasan dan benda dikenali, dibezakan, dan difahami[1] Pengkategorian membayangkan bahawa benda-benda digolongkan dalam kategori untuk suatu tujuan tertentu. Sewajarnya, sesebuah kategori menerangkan hubungan antara subjek dan objek pengetahuan. Pengkategorian adalah asas dalam bahasa, ramalan, inferens, keputusan dan segala jenis interaksi persekitaran. Adalah dinyatakan bahawa pengkategorian memainkan peranan utama dalam pengaturcaraan komputer.[2]

Terdapat banyak teori dan teknik pengkategorian. Apapun, dari sudut pandangan bersejarah yang lebih luas, terdapat tiga pendekatan am kepada pengkategorian, iaitu:

  • Pengkategorian klasik
  • Penggugusan konsep
  • Teori prototaip

Pandangan klasik sunting

Pengkategorian klasik mula-mula terdapat dalam konteks falsafah Barat dalam karya Plato yang memperkenalkan pendekatan menggolongkan benda-benda berasaskan persamaan ciri dalam dialog Negarawan beliau. Pendekatan ini diselami lagi dan disistemkan oleh Aristotle dalam karya Kategori, yang mana beliau mengupas perbezaan antara kelas dan objek. Aristotle turut menerapkan skema pengkategorian klasik secara intensif dalam pendekatannya kepada pengelasan hidupan (yang menggunakan teknik soalan pembatas berturut-turut seperti "Adakah ia haiwan atau tumbuhan?", "Berapa banyak kakinya?", "Adakah ia berbulu atau bersisik?", "Bolehkah ia terbang?"...), maka dengan begini terciptanya asas untuk taksonomi am.

Menurut pandangan fahaman Aristotle yang klasik, bahawa kategori adalah entiti terperinci yang bercirikan sekumpulan sifat tertentu yang dikongsi oleh ahli-ahlinya. Dalam falsafah analisis, sifat-sifat ini dianggap sebagai menentukan syarat-syarat yang perlu dan cukup untuk menangkap makna.

Menurut pandangan klasik, kategori seharusnya ditakrifkan dengan jelas, saling menyisihkan dan menyeluruh secara kolektif. Dengan ini, sebarang entiti daripada alam pengelasan tertentu tanpa diragui lagi tergolong dalam hanya satu kategori yang dicadangkan.

Penggugusan konsepsi sunting

Conceptual clustering adalah suatu pembaharuan terhadap pendekatan klasik yang terhasil daripada cubaan untuk menjelaskan bagaimana pengetahuan digambarkan. Dalam pendekatan ini, kelas-kelas (gugusan atau entiti) dihasilkan dengan mula-mula merumuskan pemerian konsepsinya, kemudian mengelaskan entiti itu mengikut pemerian tersebut.

Penggugusan konsepsi dicipta sekitar 1980-an sebagai paradigma mesin untuk pembelajaran tak terselia. Ia berbeza dengan penggugusan data biasa dengan menjana pemerian konsep untuk setiap kategori yang dijana.

Tugas-tugas pengkategorian yang mana pelajar diberi label-label kategori untuk benda-benda tertentu dipanggil pengelasan terselia, pembelajaran terselia, atau pembelajaran konsep. Tugas-tugas pengkategorian yang mana tidak dibekalkannya label-label itu pula dipanggil pengelasan tak terselia, pembelajaran tak terselia, atau penggugusan data. Tugas pengelasan terselia melibatkan penyarian maklumat daripada contoh-contoh berlabel yang membolehkan ramalan label kelas yang tepat bagi contoh akan datang. Ini mungkin melibatkan pengabstrakan suatu aturan atau konsep yang mengaitkan ciri-ciri objek yang diamati pada label kategori, ataupun yang tidak melibatkan pengabstrakan (cth. model-model contoh). Penggugusan melibatkan pengenalpastian struktur yang tersirat dalam suatu peranggu data serta pengelasan benda-benda mengikut persamaan. Oleh itu, ianya adalah proses menjana struktur pengelasan.

Penggugusan konsepsi amat berkait rapat dengan teori set kabur yang mana objek-objek mungkin tergolong dalam satu atau lebih golongan sama ada secara umum mahupun terperinci.

Teori prototaip sunting

Semenjak usaha penyelidikan oleh Eleanor Rosch dan George Lakoff pada 1970-an, pengkategorian juga boleh dipandang sebagai proses mengumpulkan benda-benda berasaskan prototaip, iaitu gagasan syarat perlu dan cukup hampir tidak dipuaskan dalam kategori yang wujud sejadi. Juga pernah diusulkan bahawa pengkategorian berasaskan prototaip adalah asas untuk perkembangan manusia, malah pembelajaran sebegini bersandarkan pembelajaran tentang dunia secara pengandungan.

Pendekatan kognisi menerima bahawa kategori sejadi adalah bertingkat-tingkat (iaitu sering samar-samar di batasan takrifan) dan tidak konsisten dalam penarafan anggota-anggotanya.

Sistam kategori tidak wujud di dunia secara objektif tetapi berakar dalam pengalaman insan. Kategori konsepsi tiada yang seirasnya sesama pelbagai budaya, atau sesungguhnya sesama setiap individu dalam sesebuah budaya.

Kategori membentuk sebahagian daripada struktur tatatingkat apabila digunakan pada perkara-perkara seperti taksonomi dalam pengelasan biologi: hidupan sebagai tingkat atas, genus sebagai tingkat tengah, dan spesies sebagai tingkat bawah. Ini boleh dibezakan melalui sifat-sifat tertentu yang meletakkan suatu perkara dalam kategori tersendirinya. Namun itu pun mungkin boleh dipertikai dan tertakluk kepada kajian semula.

Kategori tingkat tengah khususnya dan secara konsepsi adalah yang menonjol sekali. Tingkat kategori yang lebih umum sering membangkitkan maklum balas yang terbanyak serta gambaran yang paling kaya, malah kelihatan sebagai tingkat yang paling asas dari segi psikologi. Contohnya, taksonomi dalam bidang zoologi biasanya mempamerkan pengkategorian di tingkat terkandung dengan persamaan yang menjurus kepada perumusan kategori "lebih tinggi", dan perbezaan yang menjurus kepada pembezaan dalam kategori.

Rujukan sunting