Pengkontenaan ialah satu sistem pengangkutan antara mod yang menggunakan kontena piawai yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO). Kontena piawai ini boleh dimuatkan dan dikunci kemas di atas kapal kontena, keretapi dan trak.

Tindanan kontena di sebuah terminal di Pelabuhan Elizabeth, New Jersey,AS
Sebuah keretapi pembawa kontena di UK

Sejarah sunting

 
Sebuah kapal kontena sedang dimuatkan dengan kontena oleh kren dermaga di Pelabuhan Copenhagen.
 
Kunci pulas yang digunakan untuk mengunci kontena di atas geladak kapal. Foklif yang mengendalikan kontena juga mempunyai alatan yang sama.

Pengenalan kontena telah membawa banyak kemajuan dan meningkatkan kecekapan pengendalian di pelabuhan. Ia membantu mengurangkan caj pengangkutan, yang kemudiannya menyumbang kepada peningkatan aliran perdagangan. Pada masa kini, hampir kesemua barang kegunaan harian manusia dikirim di dalam kontena.

Asal usul sunting

Sejarah kontena sudah bermula sejak tahun 1780-an. Pemiawaian kontena dan perkakasannya adalah antara inovasi terpenting kepada sistem logistik pada kurun ke-20.


  • 1780-an – Arang batu diangkut di atas baj menggunakan kontena kayu mudah lerai.
  • 1830-an – Jaringan keretapi di beberapa benua menggunakan kontena yang boleh dipindah ke atas

trak dan kapal, tetapi bersaiz lebih kecil dari piawai sekarang.

  • 1840-an – Kontena besi diperkenalkan, tetapi kontena kayu masih digunakan.
  • 1900 – Kontena tertutup direka untuk memudahkan pengangkutan antara jalanraya dan landasan keretapi.
  • 1920 – Pengenalan kontena piawai pertama yang bersaiz 5 atau 10 kaki panjang, diperbuat dari kayu dan tidak boleh ditindan. Ia merupakan satu kejayaan besar tetapi terhad di dalam UK sahaja.
  • 1926-1947- Perkhidmatan keretapi Chicago North Shore and Milwaukee Railway di Amerika Syarikat mengangkut kenderaan di atas gerabak rata antara Milwaukee, Wisconsin dan Chicago, Illinois.
  • 1929 - Seatrain Lines membawa gerabak ke atas kapal untuk mengangkut kargo dari New York dan Cuba.
  • 1930-an – Perkhidmatan keretapi Chicago Great Western Railway dan New Haven Railroad mula mengangkut treler di atas gerabak rata.
  • 1953 – Perkhidmatan keretapi Chicago, Burlington and Quincy Railroad, Chicago and Eastern Illinois Railroad dan Southern Pacific Railroad juga mengangkut kenderaan di atas gerabak rata.
  • 1955 – 25 lagi perkhidmatan keretapi menawarkan khidmat yang sama.
  • Penghujung Perang Dunia KeduaTentera Darat Amerika Syarikat mula menggunakan kontena khas untuk mempercepatkan proses memuat dan memunggah dari kapal. Pihak tentera menggunakan istilah "pengangkut" (transporters) untuk merujuk kepada kontena yang digunakan untuk mengangkut barang kegunaan pegawai di medan. Sebuah “pengangkut” adalah kontena boleh guna semula, 8.5 kaki (2.6 m) panjang, 6.25 kaki (1.91 m) lebar, dan 6.83 kaki (2.08 m) tinggi, diperbuat dari keluli tegar dan mapu menampung berat kargo sehingga 9000 paun.


  • Perang Korea – Penggunaan “pengangkut” keluli diperluaskan setelah lulus ujian membawa peralatan sensitif tentera. Masalah kecurian, kontena kayu yang mudah rosak, dan pembaziran masa pengendalian di Pelabuhan Pusan adalah antara penyebab utama kontena keluli menjadi pilihan tentera.
  • 1952 – Tentera AS mula menggunakan istilah CONEX (singkatan Container Express). Kargo utama terawal yang dibawa oleh CONEX ialah bekalan kejuruteraan dan alat ganti yang dibawa dengan keretapi dari depoh di Columbus, Georgia ke Pelabuhan San Francisco, kemudiaannya dibawa belayar ke Yokohama, Jepun dan akhirnya dihantar ke Korea.
  • Lewat 1952 – Semasa Perang Vietnam, kebanyakan bekalan dan bahan mentah dihantar dengan CONEX dan masa penghantaran telah dikurangkan sehingga separuh. Selepas Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat memiawaikan kontena dengan keratan rentas 8'kaki x8' kaki dan panjang 10 kaki untuk kegunaan tentera, ia diterima pakai dengan meluas kemudiannya.[1][2]
  • 1950-an - Piawaian ini juga diterima pakai di United Kingdom menggantikan penggunaan kontena kayu.

Kapal khusus untuk kontena sunting

 
Kontena di laman kontena di Pelabuhan Busan, Korea Selatan.

Kapal pertama yang dikhususkan untuk membawa kontena (Kapal kontena) mula digunakan di Denmark pada tahun 1951. Di Amerika Syarikat, kapal-kapal khusus mula digunakan untuk membawa kontena antara Seattle dan Alaska pada tahun yang sama. Sistem kontena antara mod yang pertama di dunia menggunakan kapal kontena, Clifford J. Rodgers, yang dibina di Montreal pada tahun 1955 dan dimiliki oleh White Pass and Yukon Route. Dalam pelayaran sulungnya pada 26 November, 1955, ia membawa 600 kontena dari North Vancouver, British Columbia ke Skagway, Alaska; di Skagway, kontena itu dimuatkan ke atas keretapi kontena dan dibawa ke utara ke Yukon dan kemudiannya dimuatkan ke atas trak, satu urutan lengkap sistem pengangkutan kontena antara mod, yang menggunakan trak, kapal, dan keretapi. Sistem antara mod yang pertama ini beroperasi sejak November 1955 dan kekal untuk beberapa tahun.

Industri penghantaran kontena di Amerika Syarikat bermula pada 26 April 1956, apabila usahawan trak Malcom McLean memuatkan 58 kontena di atas kapal tangki yang sudah diubah suai, Ideal-X, yang belayar dari Newark ke Houston [3]. McLean memperkenalkan idea menggunakan kontena besar yang tidak akan dibuka dalam transit antara pengirim dan penerima, dan boleh dihantar menggunakan pelbagai mod iaitu trak, kapal dan keretapi. Pada mulanya McLean lebih berminat dengan pembinaan “kapal treler” (trailerships) – yang mengangkut badan treler di dalam ruang palkanya . Kaedah atur muat sebegini yang dikenali sebagai roll-on/roll-off, tidak diterima pakai kerana pembaziran potensi ruang untuk kargo di dalam kapal atau “ruang hilang” (broken stowage). Sebaliknya, beliau mengubah suai konsep asalnya dengan memuatkan kontena sahaja tanpa casis ke dalam kapal. Ini merintis kepada designasi kapal kontena.[4][5]

Ke arah pemiawaian sunting

Sepanjang 20 tahun pertama perkembangan pengkontenaan, terdapat saiz kontena dan penyambungnya yang sangat berbeza dan tidak padan antara satu sama lain. Ada berdozen sistem kontena yang tidak berpadanan di AS sahaja. Pengendali terbesar seperti ‘’ Matson Navigation Company’’ menmpunyai kontena 24 kaki (7.3 m), manakala ‘’Sea-Land Service, Inc’’ mempunyai kontena 35 kaki (11 m). Saiz dan penyambung piawai serta penguatkuasaan yang wujud cuma berdasarkan kompromi antara syarikat perkapalan antarabangsa. perkhidmatan keretapi di Eropah dan AS, dan syarikat trak di AS. 4 syor terpenting ISO untuk pemiawaian pengkontenaan antarabangsa.[6]

  • Januari 1968 - R-668 menggariskan peristilahan, dimensi dan rating
  • Julai 1968 - R-790 menggariskan tanda pengenalan
  • Januari 1970 - R-1161 membuat cadangan tentang penyambung penjuru
  • Oktober 1970 - R-1897 menentukan dimensi dalaman minimum untuk kontena kegunaan umum.

Di Amerika Syarikat, suruhanjaya perdagangan antara negeri (‘’Interstate Commerce Commission’’) ditubuhkan pada tahun 1887 untuk mengekang kegiatan monopoli dan diskrimanasi terutamanya ke atas petani luar bandar di wilayah barat dalam perkhidmatan keretapi. Bagaimanapun, penubuhan suruhanjaya ini membawa banyak keburukan kepada industri pengangkutan. Pada tahun 1960-an, sebelum syarikat pengangkutan boleh membawa barangan berbeza dalam satu kenderaan, atau ingin menukar kadar caj, ia perlu mendapat kebenaran dari ICC. Ini menghalang perkembangan pengkontenaan dan kemajuan industri pengangkutan. Sistem integrasi penuh yang ada di Amerika Syarikat sekarang direalisasikan selepas kawalseliaan ICC dikurangkan (kemudiannya dimansuhkan pada tahun 1995), penyahkawalseliaan perkhidmatan trak dan keretapi pada tahun 1970-an, dan penyahkawalseliaan kadar maritim pada tahun 1984. [7]

Hari ini sunting

Pengkontenaan telah merevolusikan pengangkutan kargo. Hari ini. lebih kurang 90% kargo bukan pukal di seluruh dunia dihantar dengan kapal kontena.[8]. Sehingga 2005, lebih 18 juta kontena membuat 200 juta perjalanan setahun. Terdapat kapal yang boleh membawa sehingga 14,500 TEU, contohnya kapal Emma Mærsk (panjang 396 m), yang dilancarkan pada bulan Ogos 2006. Kapal kontena diramal akan terus dibina pada saiz yang lebih besar sehingga mencapai had kedalaman Selat Melaka – satu daripada laluan perkapalan tersibuk di dunia yang menghubungkan Lautan Hindi dengan Lautan Pasifik. Saiz yang dipanggil Malaccamax ini akan menghadkan saiz kapal pada dimensi 470 m panjang dan 60 m lebar (1542 kaki ×197 kaki).[5]

Tidak ramai yang dapat meramal pengaruh besar pengkontenaan kepada industri perkapalan. Pada tahun 1950-an, ahli ekonomi Universiti Harvard, Benjamin Chinitz meramalkan pengkontenaan bakal membawa keuntungan kepada New York dengan wujudnya pengangkutan murah ke wilayah selatan AS untuk barangan industrinya, tetapi dia tidak dapat meramal yang pengkontenaan juga memungkinkan barangan sedemikian diimport dari luar negara dengan harga yang jauh lebih murah. Kebanyakan kajian ekonomi tentang pengkontenaan mengandaikan syarikat perkapalan akan menggantikan cara lama pengangkutan dengan pengkontenaan sahaja, tetapi tidak dapat meramal yang pengkontenaan itu sendiri bakal membawa pengaruh besar kepada pengeluar dan perkembangan perdagangan[5].

 
Kontena yang diubah suai menjadi pejabat di sebuah tapak pembinaan

Penggunaan meluas kontena piawai ISO (Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa) telah menyebabkan pengubahsuaian kepada piawai sistem pengangkutan yang lain. Badan trak boleh tanggal telah dipiawaikan pada saiz dan bentuk tertentu, dan penggunaan palet barangan diubah sepenuhnya di seluruh dunia agar ia disesuaikan dengan kontena ISO atau kenderaan komersil yang lain.

Aspek keselamatan yang ditambah baik merupakan salah satu kelebihan pengkontenaan. Kargo di dalam kontena tidak kelihatan dari luar sekaligus mengurangkan risiko dicuriI. Pintu kontena juga dikunci rapat dengan “seal”, ini dapat mengurangkan insiden kargo terjatuh dari trak yang sudah lama menghantui industri pengangkutan.

Keseragaman saiz kontena di seluruh dunia mengurangkan masalah yang timbul dari ketidaksepadanan antara saiz landasan keretapi di negara yang berbeza. Majoriti jaringan keretapi di dunia dioperasikan di atas landasan yang dikenali sebagai landasan piawai, tetapi banyak negara seperti Rusia, India, Finland, dan Sepanyol menggunakan landasan yang lebih lebar manakala negara-negara di Afrika dan Amerika Selatan menggunakan landasan yang lebih sempit. Penggunaan keretapi kontena di negara-negara ini membolehkan pemindahan antara keretapi landasan yang berbeza menjadi lebih mudah.

Piawai ISO sunting

Kontena pengangkutan sunting

Terdapat lima panjang piawai biasa, 20 kaki (6.1 m), 40 kaki (12.2 m), 45 kaki (13.7 m), 48 kaki (14.6 m), dan 53 kaki (16.2 m). Piawai domestik Amerika Syarikat ialah 48 kaki dan 53 kaki (keretepi dan trak). Kapasiti kontena dinyatakan dalam unit bersamaan dua puluh kaki (“TEU” atau “teu”), satu unit persamaan yang menentukan kapasiti kargo berdasarkan satu kontena piawai 20 kaki (panjang) × 8 kaki (lebar). Disebabkan ianya adalah unit anggaran, ketinggian kontena diabaikan, contohnya kontena 20 kaki (panjang) “kiub tinggi” 9 kaki 6 inci (2.9 m) dan kontena 20 kaki “separuh tinggi” 4 kaki 3 inci (1.3 m) masih dikira sebagai satu TEU.

Besar kasar maksimum bagi sebuah kontena 20 kaki dengan kargo kering ialah 30,480 kg, dan untuk 40 kaki (termasuk kontena kiub tinggi 2.87 m (9 kaki 6 inci)) ialah 34,000 kg. Selepas ditolak dengan berat kosong, berat maksimum berkurangan kepada 28,380 kg untuk kontena 20 kaki, dan 30,100 kg untuk kontena 40 kaki.[9]

Asalnya, pemilihan saiz 8 kaki tinggi untuk kontena ISO ialah untuk membolehkan kontena melepasi tinggi biasa terowong landasan keretapi. Dengan munculnya kontena yang lebih tinggi, pengangkutan melalui keretapi telah dihadkan dan terowong mungkin juga perlu dibesarkan. [10]

Kontena pengangkutan udara sunting

 
Beberapa kontena ULD designasi LD

Walaupunn kebanyakan syarikat penerbangan menggunakan kontena yang direka khusus untuk kapal terbang dan perkakasan pengendalian di daratan yang berkaitan, IATA telah menetapkan set saiz kontena piawai, dikenali sebagai saiz designasi LD seperti di bawah:

Designasi Lebar (in) Tinggi (in) Dalam (in) Tapak (In) Muatan maks. (lb) Muatan maks. (kg) Bentuk
LD-1 92.0 64.0 60.4 61.5 3500 ~1588 Jenis A
LD-2 61.5 64.0 47.0 61.5 2700 ~1225 Jenis A
LD-3 79.0 64.0 60.4 61.5 3500 ~1588 Jenis A
LD-4 96.0 64.0 60.4 n/a 5400 ~2449 Segi empat tepat
LD-5 125.0 64.0 60.4 n/a 7000 ~3175 Segi empat tepat
LD-6 160.0 64.0 60.4 125.0 7000 ~3175 Jenis B
LD-7 125.0 64.0 80.0 n/a 13300 ~6033 Segi empat tepat atau Kontur
LD-8 125.0 64.0 60.4 96.0 5400 ~2449 Jenis B
LD-9 125.0 64.0 80.0 n/a 13300 ~6033 Segi empat tepat atau Kontur
LD-10 125.0 64.0 60.4 n/a 7000 ~3175 Kontur
LD-11 125.0 64.0 60.4 n/a 7000 ~3175 Segi empat tepat
LD-29 186.0 64.0 88.0 125.0 13300 ~6033 Jenis B


LD-1, -2, -3, -4, dan -8 adalah designasi yang paling banyak digunakan bersama kontena M3 yang berbentuk segi empat tepat.

Isu sunting

Meningkatkan kecekapan sunting

Pengkontenaan memberi kesan langsung kepada peluang pekerjaan dalam industri pengangkutan. Satu kajian pada tahun 1998 tentang pekerjaan pasca pengkontenaan menunjukkan penggunaan kontena membolehkan kargo dipindah hampir 20 kali lebih pantas dari sistem lama yang menggunakan kargo pukal.[11] Sistem baru ini juga menggabungkan banyak bidang kerja dalam industri pengangkutan sekaligus mengurangkan peluang pekerjaan.

Peningkatan kos bahan api sunting

Pengkontenaan juga telah meningkatkan kos bahan api dan mengurangkan kapasiti pengangkutan kerana bukan sahaja barangan, tetapi kontena juga perlu diangkut ke merata tempat. Untuk beberapa jenis barangan pukal, kaedah ini tidak efektif dan kurang menarik. Pengangkutan keretapi juga sering membawa kontena dengan barangan yang kurang daripada kapasiti maksimumnya menyebabkan pembaziran bahan api. Walaupun masalah ini diatasi di beberapa negara seperti AS dan Kanada, dengan menindan 2 kontena di atas satu gerabak, kebanyakan negara lain tidak menggunakan kaedah ini.

Bahaya sunting

Banyak kontena di dunia digunakan untuk penyeludupan dan apa yang membimbangkan kebanyakan kontena tidak pernah diperiksa kerana jumlahnya yang terlalu banyak. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat kebimbangan yang kontena akan disalah gunakan untuk mengangkut pengganas atau barangan mereka tanpa dikesan. Kerajaan AS telah memajukan lagi Inisiatif keselamatan kontena (Container Security Initiative) (CSI), untuk memastikan setiap kargo berisiko tinggi diperiksa dan diimbas di setiap pelabuhan.

Kontena kosong sunting

Matlamat syarikat pengangkutan ialah agar kontena digunakan sekerap mungkin, dimuatkan dengan kargo baru untuk destinasi baru selepas kargo sebelumnya dipunggah. Malangnya ini tidak selalunya berlaku, dan dalam beberapa kes, kos mengangkut kontena kosong ke tempat ia boleh digunakan dianggap lebih tinggi dari nilai menggunakan kotena itu. Syarikat perkapalan dan syarikat penyewa kontena telah menjadi pakar dalam memindahkan kontena kosong dari tempat yang kekurangan atau tiada langsung permintaan seperti di pantai barat AS, ke tempat yang banyak permintaan seperti di China. Bagaimanapun, kontena yang sudah rosak atau tidak digunakan lagi boleh diubah suai menjadi seni bina kontena, ataupun dikitar semula menjadi keluli.

Kehilangan di laut sunting

Kontena yang sedang dibawa oleh sebuah kapal boleh jatuh ke dalam laut, selalunya ketika ribut. Dianggarkan lebih daripada 10,000 kontena telah hilang di laut setiap tahun.[12] Contohnya, pada 30 November 2006, sebuah kontena terdampar di pantai di tebing luar North Carolina, AS bersama ribuan beg kargonya. Kontena yang hilang tidak semestinya karam, tetapi jarang timbul tinggi di permukaan air, menjadikannya sukar dikesan. Kadang-kadang, kontena yang hilang memberi peluang yang tak diduga kepada ahli kaji lautan untuk menentukan arah arus lautan global. [13]

Pada tahun 2007, Dewan Perkapalan Antarabangsa dan Majlis Perkapalan Sedunia memulakan kajian tentang kod tataamalan untuk penyimpanan kontena, termasuklah latihan parametrik alunan untuk kru, tindanan dan tandaan yang lebih selamat untuk kontena, dan keselamatan kontena di geladak ketika cuaca buruk.[14]

Pengkontenaan dwitindanan sunting

 
Gerabak dwitindanan di AS dengan kontena 53 kaki (16.2 m)
 
Satu gerabak keretapi dengan sebuah kontena tangki 20 kaki dan kontena konvensional 20 kaki

Kebanyakan gerabak tidak boleh membawa lebih dari satu kontena piawai 40 kaki, tetapi jika landasan dibina dengan kelegaan tegak yang mencukupi, gerabak dwitindanan boleh menerima satu lagi kontena kecuali jika terdapat jaringan wayar elektrik di atas landasan. Landasan Betuweroute di Jerman mempunyai jaringan wayar yang rendah di atas landasan. Untuk tujuan penggunaan gerabak dwitindanan, terowong-terowong diubah suai dan jaringan wayar elektrik di atas landasan ditukar.[15] Kontena yang rendah dari saiz piawai diangkut secara dwitindanan di bawah wayar elektrik di China.[16]

Sejarah sunting

  •  / /  – Idea penggunaan gerabak kontena dwitindanan dicetuskan oleh Southern Pacific Railroad, dan Malcom McLean (SP)pada tahun 1977.[4][17] SP kemudiannya mereka bentuk gerabak yang pertama dengan ACF Industries pada tahun yang sama.[18][19] Penggunaan awalnya sangat terhad dan tidak menjadi satu piawai industri. Pada tahun 1984, American President Lines memulakan kerjasama dengan SP, dan keretapi dwitindanan pertama berlepas dari Los Angeles ke South Kearny, New Jersey pada tahun yang sama. Di pertengahan jalan, kargonya dipindah pula ke perkhidmatan keretapi Conrail. Kaedah sebegini menjimatkan kos bagi pengirim, dan pada hari ini ia meliputi 70% penghantaran kontena di AS. Ia menjadi kenyataan kerana landasan keretapi AS dibina dengan kelegaan tegak yang mencukupi, selain daripada tiada jaringan wayar di atas landasan, kerana kebanyakan sistem keretapi ini masih menggunakan enjin diesel.
  •   – Gerabak dwitindanan juga digunakan di Australia antara Adelaide, Parkes, Perth and Darwin. Sistem keretapi ini juga menggunakan diesel.
  •   – Dwitindanan juga dicadangkan di India untuk beberapa perkhidmatan keretapi yang terpilih. Ia adalah sistem keretapi elektrik yang wayar di atas landasannya akan dibina lebih tinggi.
  •   China - menggunakan keretapi kontena dwitindanan di bawah wayar elektrik 25kV AC.

Gerabak sunting

Keretapi kontena menggunakan gerabak rata dan gerabak gondola untuk mengangkut kontena ISO 40'.

Landasan sempit berukuran 610 mm (2ft) mempunyai gerabak yang lebih kecil yang tidak mampu membawa kontena ISO, contohnya gerabak berukuran 30 kaki panjang dan 7 kaki lebar yang digunakan di landasan keretapi Kalka-Shimla. Landasan yang lebih lebar, seperti yang berukuran 1,000 mm boleh membawa kontena ISO.

Kegunaan lain kontena sunting

Seni bina kontena ialah pengubahsuaian kontena menjadi rumah atau bangunan lain yang berfungsi seperi kabin atau bengkel. Kontena juga boleh diubah suai menjadi pondok atau stor simpanan di kawasan perniagaan dan industri.

Kontena khas juga mula digunakan untuk menyimpan pusat data komputer. Sun Microsystems adalah antara yang pertama melakukannya dengan Sun Modular Datacenter; diikuti oleh syarikat Hewlett-Packard yang memperkenalkan HP Performance Optimized Datacenter (atau POD).

Syarikat sunting

Syarikat perkapalan kontena ISO terbesar sunting

Senarai 10 teratas, Syarikat perkapalan terbesar berdasakarkan kapasiti TEU, 1 Januari 2006
Syarikat Kapasiti TEU[20] Bahagian pasaran Bilangan kapal
A.P. Moller-Maersk Group 1,900,000+ 18.2% 600+
Mediterranean Shipping Company S.A. 865,890 11.7% 376
CMA CGM 507,954 5.6% 256
Evergreen Marine Corporation 477,911 5.2% 153
Hapag-Lloyd 412,344 4.5% 140
China Shipping Container Lines 346,493 3.8% 111
American President Lines 331,437 3.6% 99
Hanjin Shipping 328,794 3.6% 145
COSCO 322,326 3.5% 118
NYK Line 302,213 3.3% 105

Sistem kontena yang lain sunting

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "History & Development of the Container". - U.S. Army Transportation Museum. - United States Army Transportation School. - Retrieved: 2007-12-29
  2. ^ CONEX. - Defense Technical Information Center (DTIC)
  3. ^ Marc Levinson, The Box: How the Shipping Container Made the World Smaller and the World Economy Bigger (Princeton University Press, 2006), p1
  4. ^ a b Cudahy, Brian J., - "The Containership Revolution: Malcom McLean’s 1956 Innovation Goes Global" TR News. - (c/o National Academy of Sciences). - Number 246. - September-October 2006. - (Adobe Acrobat *.PDF document)
  5. ^ a b c Marc Levinson (2006). The Box, How the Shipping Container Made the World Smaller and the World Economy Bigger. Princeton Univ. Press. ISBN ISBN 0-691-12324-1 Check |isbn= value: invalid character (bantuan). Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-05-16. Dicapai pada 2009-07-22.
  6. ^ Rushotn, A., Oxley, J., Croucher, P. (2004) The Handbook of Logistics and Distribution Management Kogan Page: London
  7. ^ Postrel, Virginia (2006-03-23). "The Box that Changed the World". Dynamist.com. Dicapai pada 2008-02-14.
  8. ^ Ebeling, C. E., "Evolution of a Box", Invention and Technology, 23 (4): 8–9, issn = 8756-7296 Missing pipe in: |id= (bantuan)
  9. ^ "Shipping containers". Emase. Dicapai pada 2007-02-10.
  10. ^ http://railwaysafrica.com/index.php?option=com_content&task=view&id=3493&Itemid=36
  11. ^ Herod, Andrew (1998). "Discourse on the Docks: Containerization and Inter-Union Work Disputes in US Ports, 1955-85". Transactions of the Institute of British Geographers. United Kingdom: The Royal Geographical Society. 23 (2): 177–191. doi:10.1111/j.0020-2754.1998.00177.x. Dicapai pada 2008-02-14.
  12. ^ Podsada, Janice. (2001-06-19) 'Lost Sea Cargo: Beach Bounty or Junk?', National Geographic News.[1] Retrieved 2007-04-17
  13. ^ "Rubber Duckies Map The World" - CBS News - July 31, 2003
  14. ^ "Banana box slip a worry". Lloyd's List Daily Commercial News. Informa Australia. 2008-02-07. Dicapai pada 2008-02-14.
  15. ^ "Betuweroute:Frequently Asked Questions". Ministry of Transport, Public Works and Water Management, Government of the Netherlands. 2007. Dicapai pada 2008-02-14.
  16. ^ Das, Manumi (2007-10-15). "Spotlight on double-stack container movement". The Hindu Business Line. The Hindu Group. Dicapai pada 2008-02-14.
  17. ^ Chronological History - Union Pacific Railroad Company
  18. ^ Kaminski, Edward S. (1999). - American Car & Foundry Company: A Centennial History, 1899-1999. - Wilton, California: Signature Press. - ISBN 0963379100
  19. ^ "A new fleet shapes up. (High-Tech Railroading)". - Railway Age. - (c/o HighBeam Research). - September 1, 1990
  20. ^ "Liner market shares". BRS report for Alphaliner. 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-10-25. Dicapai pada 2009-07-24. Unknown parameter |month= ignored (bantuan)

Bacaan lanjut sunting

Ekonomi
Teknik
Atas talian
Fiksyen
  • William Gibson (2007). Spook Country. Putnam Publishing Group. ISBN 0-399-15430-2. Unknown parameter |month= ignored (bantuan) – Novel set in U.S., wherein mystery surrounding a containerized shipment serves as the MacGuffin