Penyerahan Hong Kong

Penyerahan Hong Kong daripada United Kingdom kepada Republik Rakyat China berlaku pada 1 Julai 1997. Peristiwa ini menandakan berakhirnya pemerintahan British di Hong Kong dan penyerahan kedaulatan Hong Kong kembali kepada pemerintahan China.

Gambaran keseluruhan sunting

 
Great Britain mengambil Pulau Hong Kong pada tahun 1842, Semenanjung Kowloon pada tahun 1860, dan memajak Wilayah Baru pada tahun 1898.

Wilayah Hong Kong diambil daripada tiga perjanjian berlainan: Perjanjian Nanking pada tahun 1842, Perjanjian Beijing pada tahun 1860, dan Konvensyen bagi Peluasan Wilayah Hong Kong pada tahun 1898 yang memberi United Kingdom kawalan ke atas Pulau Hong Kong, Kowloon (kawasan selatan Boundary Street), dan Wilayah Baru (kawasan utara Boundary Street dan selatan Sungai Shenzhen, dan pulau-pulau di sekitarnya. Walaupun Pulau Hong Kong dan Kowloon sudah diberikan kepada United Kingdom selama-lamanya, kawalan ke atas Wilayah Baru adalah pajakan selama 99 tahun. Pajakan 99 tahun ini tidak mengganggu pembangunan Hong Kong kerana Wilayah Baru digabungkan sebagai sebahagian daripada Hong Kong. Pada tahun 1997, adalah tidak praktikal untuk memisahkan ketiga-tiga wilayah terbabit dengan hanya mengembalikan Wilayah Baru. Tambahan pula, dengan tanah dan sumber alam yang terhad di Pulau Hong Kong dan Kowloon, Wilayah Baru dibangunkan dengan skala yang besar dan ada pembangunan yang akan siap selepas 30 Jun 1997. Oleh itu, status Wilayah Baru selepas pajakan tamat menjadi penting bagi pembangunan ekonomi Hong Kong.

Pada bulan Mac 1979, Gabenor Hong Kong, Murray MacLehose, melakukan lawatan rasmi pertama ke Republik Rakyat China sebagai satu inisiatif untuk membincangkan kedaulatan Hong Kong dengan Deng Xiaoping. Tanpa penjelasan rasmi daripada kerajaan China, menguruskan pajakan dan perjanjian pinjaman hartanah di Hong Kong akan menghadapi kesukaran. Malahan, seawal pertengahan tahun 1970an, Hong Kong menghadapi masalah mendapatkan pinjaman untuk projek berskala besar seperti sistem keretapi transit awam (MTR) dan lapangan terbang baru. Deng, yang tidak bersedia, menekankan kepentingan Hong Kong dikembalikan kepada China, dan akan diberikan status istimewa.

Ramai berpendapat kalau tidak kerana sikap terburu-buru MacLehose, kerajaan China mungkin tidak meletakkan persoalan Hong Kong dalam agendanya. Bagaimanapun, lawatan MacLehose ke China menyebabkan isu kedaulatan Hong Kong menjadi penting. Britain kini sedar hasrat China yang mahukan Hong Kong dikembalikan, dan mula mengatur rancangan untuk memastikan kepentingannya dilindungi dan merancang pelan pengunduran.

Tiga tahun kemudia, Deng menerima lawatan bekas Perdana Menteri British Edward Heath. Heath dihantar sebagai utusan khas Perdana Menteri Margaret Thatcher untuk memahami kehendak dan pandangan China tentang Hong Kong. Sepanjang perjumpaan mereka, Deng menyatakan dengan jelas kesanggupan China berunding secara rasmi dengan Britain mengenai isu kedaulatan.

Pada tahun yang sama, Edward Youde, yang menggantikan MacLehose sebagai Gabenor Hong Kong ke-26, mengetuai delegasi lima orang Ahli Majlis Eksekutif Hong Jong ke London. Mereka ini termasuk Chung Sze Yuen, Lydia Dunn dan Roger Lobo. Chung memberikan pandangan mereka mengenai kedaulatan Hong Kong kepada Thatcher dan menggalakkannya untuk menimbang kepentingan penduduk asli Hong Kong dalam lawatannya ke China nanti.

Pada tahun 1982, kedua-dua kerajaan mula berbincang mengenai kedaulatan Hong Kong. Dengan mengambil kira keterbukaan kerajaan China dan pembaharuan ekonominya, Perdana Menteri Britain ketika itu, Margaret Thatcher, meminta persetujuan China untuk membenarkan British terus memerintah Hong Kong. [1] Bagaimanapun, China mengambil pendirian sebaliknya. Ia bukan sahaja mahukan Wilayah Baru yang dalam pajakan sehingga tahun 1997, tetapi juga menolak untuk mengiktiraf perjanjian yang meletakkan Pulau Hong Kong dan Kowloon sebagai hak milik kekal British. [1]. Selanjutnya, China hanya mengiktiraf pentadbiran British di Hong Kong, bukan kedaulatan British ke atas Hong Kong.

Nota kaki sunting

  1. ^ a b Yahuda, Michael B. [1996] (1996) Hong Kong: China's Challenge. United Kingdom: Routledge. ISBN 0415140714