Peristiwa Memali 1985

Peristiwa Memali yang juga digelar pihak polis sebagai Operasi Angkara atau Operasi Hapus merupakan insiden yang berlaku pada 19 November 1985 di Kampung Memali, Baling, Kedah. Dalam operasi tersebut, di bawah arahan Tun Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu, lebih 200 anggota polis telah mengepung Kampung Memali di Baling, Kedah dan sasaran utama pada masa itu ialah Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Peristiwa Memali
Sebahagian daripada Sejarah Malaysia
Tarikh19 November 1985; 38 tahun yang lalu (1985-11-19)
Lokasi
Kampung Memali, Baling, Kedah, Malaysia
MatlamatCubaan menangkap Ustaz Ibrahim Mahmud yang didakwa membawa ajaran sesat
KesanKemenangan Kerajaan Malaysia
  • Ibrahim Mahmud dan 13 orang pengikutnya terbunuh
  • Penangkapan beramai-ramai pengikut Ustaz Ibrahim Mahmud
  • Hubungan UMNO dan PAS yang semakin meruncing (pulih pada 2019)
Pihak terlibat
Tokoh dan pemimpin utama
Mahathir Mohamad
Musa Hitam
Mohammed Hanif Omar
Ibrahim Mahmud
Bilangan
200+ anggota polis

400 orang pengikut

Jumlah orang kampung bersenjata tidak diketahui
Korban
4 terbunuh

14 terbunuh

159 ditahan (36 darinya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Insiden ini merekodkan bahawa 18 orang telah terkorban iaitu 14 orang kampung dan 4 orang anggota polis dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain serta 159 orang ditahan. Kesemua yang ditahan telah dibebaskan kecuali 36 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dalam pertempuran antara orang kampung dengan pihak polis, Ustaz Ibrahim Mahmud telah terbunuh.

Ketika peristiwa tersebut berlaku, Tun Musa Hitam merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Ketika itu juga, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dilaporkan berada di China.

Lokasi sunting

Peristiwa tersebut berlaku di Kampung Memali yang terletak di mukim Siong, Baling, Kedah berhampiran dengan sempadan Kedah-Thailand. Penduduknya keturunan Melayu. Sebahagian mempunyai kaitan dengan Siam/Patani. Kegiatan ekonomi mereka ialah menoreh getah dan bersawah padi.

Baling merupakan sebuah daerah yang dikaitkan dengan pertemuan antara Tunku Abdul Rahman dengan Chin Peng daripada Parti Komunis Malaya pada tahun 1955. Baling dikejutkan lagi pada tahun 1974 berikutan insiden kebuluran pada era Anwar Ibrahim menjadi pemimpin pelajar. Seterusnya Baling dikejutkan dengan Peristiwa Memali.

Operasi Angkara sunting

Tun Musa Hitam menjelaskan bahawa Operasi Angkara bertujuan menangkap dan menghapuskan penjenayah. Ibrahim Libya memang dikehendaki pihak polis di bawah ISA. Ibrahim Libya dituduh mengancam keselamatan negara dengan kegiatan memecah-belahkan masyarakat Islam. Selain itu, dalam sidang akhbar New Straits Times bertarikh 21 November 1985, Musa Hitam turut menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah yang mengatakan Ustaz Ibrahim hanyalah memberikan ceramah agama.

Ibrahim Libya juga dituduh melindungi penjenayah yang sangat dikehendaki oleh polis iaitu Yusof Che Mit dan Ramli Che Mit. Sebelum polis menyerang, penduduk kampung yang berkumpul di rumah Ibrahim Libya diminta menyerahkan Yusuf dan Ramli, tetapi mereka berdua tidak ada di situ. Beberapa hari kemudian Ramli ditangkap, tetapi tidak pula dibicarakan di mahkamah kerana dia ditahan di bawah ISA.

Ibrahim Libya lahir dan tinggal di Kampung Memali, mukim Siong, Baling, Kedah. Beliau mempunyai lulusan Universiti Al Azhar, Mesir. Kemudian beliau menyambung pengajiannya di India dan Libya. Beliau juga bekerja sebagai pegawai pendakwah di Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Beliau kerap berceramah di RTM1 Malaysia. Kemudian memulakan kelas agama dan sekolah agama di kampungnya di Kampung Memali. Beliau ingin meneruskan usaha tuan-tuan guru pada masa yang dahulu yang membuka sekolah pondok atau sekolah agama. Perjuangannya sealiran dengan PAS dan beliau menyertai PAS kemudiannya.

Pada tahun 1978, atas tiket PAS bertanding di kawasan Bayu-Baling. Beliau memperoleh 5,081 undi berbanding 6,169 undi yang dimenangi Barisan Nasional.

Tindakan polis sunting

Terdapat banyak ajaran sesat di Malaysia sehingga berlaku serangan terhadap Balai Polis Batu Pahat dan serangan terhadap kuil Hindu di Kerling pada tahun 1979. Kementerian Dalam Negeri Malaysia menerusi polis dan pegawai agama di Jabatan Agama Islam tidak mahu insiden ini berpanjangan dan menyatakan bahawa ajaran sesat perlu ditumpaskan terlebih dahulu sebelum menjadi tragedi. Peristiwa Memali adalah insiden yang dianggap oleh parti pemerintah sebagai satu kaedah untuk menghapuskan ajaran sesat.

Di Kem Pasukan Polis Hutan Sungai Petani, Kedah; 3,600 anggota polis daripada pelbagai bahagian termasuk FRU (Kedah), Pasukan Senoi Praaq, anggota polis beruniform, Unit Tindakan Khas (UTK Berpakaian Komando 69) dari Bukit Aman menerima taklimat dari pegawai Bukit Aman.

Taklimat yang diberi adalah berkaitan dengan operasi menggempur pengganas komunis. Ramai dikalangan anggota polis yang tidak menyangka Ibrahim Libya yang akan menjadi sasaran mereka, bukannya komunis sepertimana yang disampaikan oleh pihak pegawai atasan.

Malam tersebut Ibrahim Mahmud memberi kuliah sehingga jam 11.45 malam. Seramai 50 orang penduduk hadir. Dikatakan jarang sekali kuliah atau ceramah biasa dijalankan sehingga 11.45 malam kecuali ceramah politik, itupun terdapat sekatan dan larangan dan memerlukan permit daripada Balai Polis Daerah.

Sekatan jalan raya dan meminta Ibrahim Libya menyerah diri merupakan tindakan terbaik. Alternatif lain turut difikirkan. 10 orang polis dikatakan telah menyusup masuk ke Kampung Memali dan memberi laporan.

Jika tindakan mengepung dilakukan, mungkin memakan masa 3 bulan. Dua buah kereta perisai digunakan bagi mengelakkan kemalangan dalam kalangan FRU dan polis. Tambahan pula Baling merupakan kawasan berhampiran sempadan di mana komunis dipercayai masih berkubu. Komunis sentiasa mencari titik lemah anggota tentera yang meronda sempadan Malaysia-Thailand.

Persediaan di madrasah sunting

Ibrahim Libya dan 39 pengikutnya yang tidur di madrasah tersebut telah dimaklumkan oleh seseorang akan bilangan polis yang ramai di Balai Polis Sungai Petani. Pelbagai senjata ala kampung disediakan seperti kapak, pisau dan buluh runcing. Mereka yang mahir memasang koktel molotov yang diperbuat daripada minyak tanah dan petrol. Seluruh pengikut Ibrahim Libya menunaikan solat hajat, membaca surah Yassin dan berzikir sebagaimana pahlawan Islam dahulu.

Sepasukan polis yang terdiri daripada Pasukan Polis Hutan, Senoi Praaq, Polis Anti-Pengganas Unit Tindakan Khas (UTK berpakaian Komando 69), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta Tugas Am bertindak melakukan serbuan di madrasah tersebut. Dalam serbuan tersebut, seorang pegawai kanan Pasukan Polis Hutan, seorang anggota pangkat rendah dan dua orang konstabel tertembak. Keempat-empat mereka telah terkorban akibat serangan tersebut. Mengikut sumber dalaman pula, mereka yang terkorban terkena peluru sesat dari pasukan tersebut itu sendiri semasa serbuan dibuat.[1][2] Tiada pula penduduk yang pernah dibicara kerana memiliki senjata api selepas kejadian tersebut.

Dua helikopter polis digunakan bagi membawa pegawai polis yang terkorban. Mangsa yang cedera dan mati dihantar ke Hospital Sungai Petani dan Hospital Alor Star. Dianggarkan seramai 14 penduduk Memali terbunuh dalam serbuan tersebut termasuk Ibrahim Libya. Menurut sumber, beliau ditembak berpuluh kali di dadanya oleh anggota Unit Tindakan Khas (UTK) seperti Osama Bin Laden[perlu rujukan], dan sempat mengucapkan kalimah syahadah dipangkuan seorang pegawai kanan polis yang memangkunya sebelum beliau meninggal dunia seperti dalam filem Bollywood.[3] Jenazah Ibrahim serta pengikutnya dikebumikan dalam kubur panjang tanpa dimandikan kerana dipercayai tergolong sebagai para syuhada.[4] Sultan Kedah sendiri turun mencemar duli untuk mengunjungi makam tersebut.

Kawasan Memali pada keseluruhan hari itu adalah mendung dan gelap menurut penduduk di situ. Tiada sebarang aktiviti harian dijalankan dan banyak kedai ditutup berikutan insiden ini.

Status mereka sebagai syahid disahkan oleh ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid dan Ustaz Azahari Abd Razak berdasarkan mereka yang mempertahankan diri dan harta mereka adalah syahid. Bagaimanapun mereka yang mengeluarkan fatwa berkenaan disingkirkan daripada menganggotai badan fatwa berkenaan.[5]

Korban sunting

  1. Ustaz Ibrahim Mahmud, Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam. Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.
  2. Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.
  3. Syafie bin Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.
  4. Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.
  5. Abdul Manaf bin Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
  6. Ghazali bin Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.
  7. Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.
  8. Wan Abdullah @ Idris bin Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah ketika itu.
  9. Mohd Aroff bin Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.
  10. Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
  11. Abdullah bin Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
  12. Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
  13. Ahmad bin Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.
  14. Haji Abdul Rahman bin Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986.[6]

Laporan Kertas Putih 1986 sunting

Kerajaan Malaysia telah menerbitkan sebuah laporan kertas putih pada 25 Februari 1986 dan memaparkan rakaman video rasmi kejadian tersebut di televisyen nasional.[7] Kertas Putih mengenai insiden itu menyatakan bahawa ekstremis-ekstremis tersebut cuba menyebarkan ajaran sesat dan mengganggu ketenteraman awam. Kertas putih yang dilampirkan tersebut menjelaskan kejadian sebenar dengan sangat terperinci termasuk latar belakang punca kejadian, kronologi dan gambar-gambar senjata dan lain-lain yang dijadikan bukti.

Kertas putih ini turut menyentuh berkenaan Amanat Haji Hadi yang dikatakan berkait rapat dengan faktor terjadinya insiden Memali tersebut.[8] Daripada bukti kertas putih yang mengemukakan peristiwa Memali ini, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi. Versi pertamanya dicetak dalam tulisan jawi, yang dicetak oleh bahagian Penerangan PAS Kelantan untuk sebaran pilihan raya kecil Selising, Kelantan pada tahun 1983. Seterusnya, terdapat versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Pemuda PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video polis mengenai peristiwa ini.[9]

Tayangan video sunting

Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan rakaman video yang diambil dari pita polis operasi tersebut dan menyiarkannya ketika waktu perdana televisyen pada siaran RTM1, stesen televisyen utama kerajaan.[10][11][12] Video ini memaparkan segmen penduduk kampung yang bersenjata parang, lastik dan koktel molotov (bom petrol) memprotes dan menyatakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap anggota polis yang mengepung penempatan tempat tinggal mereka selama beberapa bulan. Video itu turut menunjukkan seorang polis berpangkat sarjan yang cedera parah merungut kesakitan ketika menunggu bantuan. Pihak FRU pula menggunakan dua buah kereta perisai bagi memecahkan pintu papan di rumah Ibrahim Libya. Kelihatan juga beberapa orang perempuan tua yang bagaikan histeria mahu mempertahankan Ibrahim Libya. Kanak-kanak dan wanita turut dijadikan benteng hadapan menghalang pihak polis yang bertindak.

Walau bagaimanapun, tayangan video berkenaan dikatakan telah disunting oleh pihak berkuasa untuk menampakkan kumpulan yang diserang sebagai pengganas.

Video berkenaan turut menayangkan pengakuan daripada bapa Ustaz Ibrahim Libya, Haji Mahmud Senapi, adiknya, Ismail Mahmud dan orang kanannya, Yusuf Husein. Ketiga-tiga mereka ketika itu masih berada di dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka membuat pengakuan salah serta mendedahkan beberapa perancangan kumpulan mereka. Mereka turut menyatakan kesal di atas penglibatan mereka di dalam kumpulan Ustaz Ibrahim Libya dan menyeru rakyat Malaysia supaya memaafkan mereka.

Walau bagaimanapun selepas dibebaskan, ketiga-tiga mereka telah menyampaikan ceramah ke seluruh Malaysia di atas pentas PAS, mendedahkan bahawa mereka sebenarnya telah dipaksa membuat pengakuan berkenaan.

Kontroversi sunting

Pada 27 Mac 2014 di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan, Tun Musa Hitam mendedahkan bahawa Tun Dr Mahathir bin Mohamad ada di Kuala Lumpur sewaktu tragedi Memali berlaku dan bukannya di China.[13][14] Dr Mahathir bagaimanapun menyatakan beliau sudah tidak ingat di mana beliau berada ketika itu dan perlu memeriksanya kembali.[15] Akhirnya pada 10 April Dr Mahathir mengakui beliau hanya pergi ke China pada 20 November, sehari selepas peristiwa ini terjadi.[16][17]

Kekecohan dan kebangkitan isu sunting

Pada 13 Ogos 2017, sekitar 5.30 petang, kekecohan telah tercetus pada forum Nothing to Hide 2.0 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan berkenaan dengan tragedi Memali. Sekumpulan peserta yang tidak berpuas hati dengan penjelasan beliau secara tiba-tiba menimbulkan kekecohan dengan membaling barang ke arah pentas khas yang disediakan, di mana Dr Mahathir berada ketika itu. Dua bom asap turut dilemparkan ke atas peserta, sekali gus mencetuskan panik di kalangan pemimpin dan peserta yang mengikuti forum itu. Berlaku pergelutan dalam kalangan penyokong Dr Mahathir dan peserta yang tidak berpuas hati.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan kemudiannya diselamatkan oleh penganjur program. Kesemua pemimpin Pakatan Harapan yang hadir turut diiring keluar dengan ketat oleh pihak keselamatan forum. Program tersebut yang pada awalnya dijadual berakhir pada jam 6 petang terpaksa dihentikan awal. [18] Parti Islam Se-Malaysia dan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) juga mendesak satu siasatan rapi dilakukan terhadap kekecohan yang berlaku semasa forum tersebut. Pihak polis akhirnya menjalankan siasatan rapi mengenai punca kekecohan di forum tersebut.[19] Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS melahirkan kekesalan dan kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku di negara demokrasi seperti Malaysia yang seharusnya membina budaya politik lebih matang.[20][21]

Berikutan kekecohan ini, beberapa pihak kembali membangkitkan isu ini dan telah mengesa kerajaan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dapat ditubuhkan bagi menyiasat tragedi Memali tersebut.[22][23][24]

Buku-buku mengenai Memali sunting

  • Memoir tragedi Memali oleh Riduan Mohamad Nor, C. N. al Afghani [25]
  • Peristiwa Memali: Kertas Perintah 21, Tahun 1986 : Dikemukakan Dalan Dewan Rakyat/Dewan Negara Menurut Perintah [26]
  • Peristiwa Memali Dicetak oleh Jabatan Percetakan Negara., 1986 - 25 pages [27]
  • Memali : A policeman remembers' [28]
  • Air Mata Di Bumi Memali CN Al Afghani

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Memali Dendam 3 Dekad[pautan mati kekal] FMT Staff, 17 Ogos 2018
  2. ^ Cubaan Halal Darah Korban Memali[pautan mati kekal] Berita Harian, 11 Januari 2018
  3. ^ Imbasan Peristiwa Memali 1985 di Dewan Utama MDPP
  4. ^ Paradoxes of Mahathirism: an intellectual biography of Mahathir Mohamad, Boo Teik Khoo
  5. ^ "Tuan Guru Azahari Razak: Ulama tegas tapi terbuka". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-05. Dicapai pada 2012-07-17.
  6. ^ Korban Peristiwa Memali Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000, 7 Julai 2000
  7. ^ Laporan Kertas Putih 1986 Diarkibkan 2018-06-19 di Wayback Machine Library Perdana
  8. ^ Kertas Perintah 21 Tahun 1986 April 2014
  9. ^ "Amanat Haji Hadi". Diarkibkan daripada yang asal pada 2001-11-08. Dicapai pada 2001-11-08.
  10. ^ Insiden Memali
  11. ^ Malaysian politics: the second generation, Gordon Paul Means
  12. ^ LAWASIA human rights bulletin, Volumes 5-10, Law Association for Asia and the Western Pacific
  13. ^ Memali Kembali | Mahathir ada di Kuala Lumpur, bukan di China - Tun Musa Hitam TV Wow, 28 Mac 2014
  14. ^ Selepas hampir 30 tahun, Musa Hitam dedah Dr Mahathir berada di KL ketika peristiwa Memali Diarkibkan 2014-03-28 di Wayback Machine The Malaysian Insider
  15. ^ "Ex-minister defends Dr M in Memali uproar". The Malay Mail Online. 30 Mac 2014. Dicapai pada 31 Mac 2014.
  16. ^ "Dr Mahathir confirms he was in the country during the Memali incident". The Malaysian Insider. MSN Malaysia News. 10 Apr 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-04-13. Dicapai pada 11 April 2014.
  17. ^ "Dr Mahathir confirms being in KL on day of Memali incident in 1985". The Star Online. 10 April 2014. Dicapai pada 11 April 2014.
  18. ^ Kecoh Bom Asap Dibaling Ke Arah Dr Mahathir Diarkibkan 2019-08-26 di Wayback Machine FMT Staff, 13 Ogos 2017
  19. ^ Nothing To Hide 2.0: 14 Suspek Ditahan Malaysiankini
  20. ^ [1] Themalaysiansight
  21. ^ Pas Kesal Program Nothing to Hide 2.0 Kecoh Diarkibkan 2019-09-04 di Wayback Machine Harakah Daily
  22. ^ Cadangan Tubuh RCI Bagi Peristiwa Memali Bukan Untuk Aniaya Sesiapa Astro Awani
  23. ^ [2] Malaysiankini
  24. ^ [3] Malaysiankini
  25. ^ Memoir tragedi Memali oleh Riduan Mohamad Nor, C. N. al Afghani
  26. ^ "Peristiwa Memali: Kertas Perintah 21, Tahun 1986 : Dikemukakan Dalan Dewan Rakyat/Dewan Negara Menurut Perintah" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2018-06-19. Dicapai pada 2017-08-15.
  27. ^ Peristiwa Memali, Dicetak oleh Jabatan Percetakan Negara., 1986 - 25 pages
  28. ^ Ex-OCPD: Bukit Aman made poor decisions in Memali