Perkahwinan Diraja Raja Dr Nazrin Shah

DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Zara Salim Davidson diijabkabulkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria di Istana Iskandariah, Bukit Chandan , bandar diraja Kuala Kangsar, Perak pada hari Khamis 17 Mei 2007. Pada 18 Mei 2007, Zara Salim Davidson dilantik sebagai Raja Puan Besar Perak. Pada hari Sabtu 19 Mei 2007 majlis persandingan diadakan di Istana Iskandariah, tepian Sungai Perak, bandar Kuala Kangsar, Perak.

Persandingan Raja Dr Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim Davidson

Berita perkahwinan ini bermula pada 8 Mei 2007, kira-kira dua minggu sebelumnya dalam media massa di Malaysia. Perkahwinan ini disifatkan sebagai julukan "Royal Wedding of the Year" dan merupakan perkahwinan diRaja Perak yang gemilang sebagaimana dirakam dalam Misa Melayu, karangan Raja Chulan tahun 1756.

Majlis pernikahan secara sederhana dan ringkas itu adalah atas kehendak Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan putera sulungnya, Raja Dr Nazrin sendiri. Namun begitu adat istiadat diraja dikekalkan. Istiadat pernikahan kerabat diraja negeri Perak sepenuhnya, sepatutnya membabitkan lima peringkat iaitu meminang, akad nikah, berlimau, bersanding dan bersiram sampat. Tetapi berlimau dan bersiram sampat ditiadakan.

Mula Bercinta sunting

Raja Dr Nazrin mula berkenalan dengan Zara Salim Davidson sejak 2005 lagi ketika Raja Dr Nazrin berumur 48 tahun ketika menyertai majlis makan malam di Seri Hartamas, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor.

Majlis Akad Nikah sunting

Majlis Pernikahan di adakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dengan mas kahwin 250 gram emas tulen dalam bentuk lima syiling.

Istiadat pernikahan pengantin diraja dimulakan dengan Orang Kaya Temenggong Perak, Paduka Raja Datuk Seri Wan Fathir Wan Hussain menghadap Sultan Perak untuk memulakan istiadat berkenaan. Ia diikuti dengan jejawat membawa masuk bingkisan Raja Muda untuk Zara Salim Davidson sebanyak sembilan bunga pahar berserta mas kahwin 250 gram emas tulen dan sebentuk cincin bertatahkan berlian.

Rombongan pihak perempuan diketuai Datuk Tunku Hamdy Tunku Ahmad Tajuddin, membawa 11 bunga pahar berserta sebentuk cincin perak untuk Raja Muda sebagai kurniaan balas yang dipersembahkan kepada ketua rombongan pengantin lelaki, Raja Ashman.

Raja Dr Nazrin berbaju Melayu dan samping putih sedondon melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz, kira-kira jam 11 pagi di Balai Istiadat mengikut adat istiadat diraja Perak. Raja Datuk Seri Ashman Shah, iaitu Raja Kecil Tengah Perak serta Datuk Seri Mohd Salleh Ismail, suami kepada adinda baginda, Raja Datuk Seri Azureen, menjadi saksi pernikahan.

Zara Salim Davidson memakai kebaya labuh kontemporari daripada renda Perancis dihiasi taburan kristal dan manik serta dipadankan dengan kain sarung sifon sedondon putih gading, hasil rekaan pereka fesyen terkemuka Radzuan Radzwil, yang juga anak jati kelahiran Bandar Diraja Kuala Kangsar. Zara mengenakan selendang putih `French netting' sepanjang tiga meter yang ditaburi kristal. Kasut sifon warna sedondon bertatah kristal putih

Salim Davidson mewakilkan wali kepada Datuk Harussani Zakaria untuk mengijab kabulkan anaknya dengan Raja Dr Nazrin dan upacara menandatangani surat mewakilkan wali itu diadakan, di Bilik Merah, Istana Iskandariah. ibu Zara, Sharifah Azaliah Syed Omar Shahabudin dan abangnya, Jeffri Salim Davidson.

Akad nikah disempurnakan Mufti Negeri, Datuk Seri Harussani Zakaria, di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, kerabat diraja Perak, keluarga Zara serta 300 jemputan khas.

Kemudian Mufti Kerajaan Perak membacakan doa kesyukuran, diikuti selawat oleh kumpulan Haqqani Maulud Ensemble. Seterusnya Raja Dr Nazrin ke bilik bersebelahan Balai Istiadat di mana Zara sedia menanti untuk upacara menyarung cincin.

Turut hadir ialah bonda saudara Raja Nazrin, Datuk Lily Abdul Majid dan sepupu Raja Dr Nazrin, Datin Nina Jureen.

Mas kahwin dan Hantaran sunting

Majlis Pengurniaan darjah Raja Puan Besar Perak sunting

Tuanku Zara Salim Davidson yang telah diijab kabul sebagai isteri Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah hari Khamis 17 Mei 2007, diisytihar pula sebagai Raja Puan Besar Perak pada satu istiadat di Istana Iskandariah, Bukit Chandan pada hari Jumaat 18 Mei 2007.

Orang Kaya Temenggong Paduka Raja, Datuk Seri Wan Fathir Wan Hussain membaca perisytiharan kurnia gelaran itu, melaungkan ‘Daulat, Daulat, Daulat’ dan diikuti hadirin serta paluan nobat.

150 kerabat diraja terdekat serta dif kenamaan, bermula jam 10.05 pagi Jumaat dengan Datuk Seri Wan Fathir Wan Hussain, yang juga Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, membaca perisytiharan kurnia gelaran yang diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkuat kuasa mulai Jumaat 18 Mei 2007.

Pengurniaan gelaran itu dibuat mengikut Bahagian Kedua Fasal 35(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang memperuntukkan Sultan Perak mengurniakan gelaran itu kepada isteri Raja Muda Perak

Tunku Soraya Sultan Abdul Halim dan Datuk Seri Noraini Jane mengiringi Zara Salim Davidson. Tunku Soraya ialah puteri Sultan Kedah serta isteri Raja Kechil Sulung Perak, Raja Datuk Seri Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris, manakala Noraini Jane, adalah isteri Raja Kechil Tengah Raja Datuk Seri Ashman Shah.

Sultan Perak turut menganugerahkan Tuanku Zara Salim Davidson dengan Darjah Kerabat Seri Paduka Sultan Azlan Shah Perak Yang Dihormati (DKSA), darjah tertinggi yang dikurniakan khas kepada ahli-ahli keluarga Diraja.

Turut hadir ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun , Raja Nazrin Shah ; Raja Di Hilir Perak, Datuk Seri Raja Jaafar Raja Muda Musa , Salim Davidson dan Sharifah Azaliah Syed Omar Shahabudin serta Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dan isteri.

Gelaran Raja Puan Besar Perak dikhaskan untuk isteri Raja Muda Perak kosong sejak dua dekad lalu berikutan kemangkatan Raja Muda Perak , Raja Ahmad Siffuddin Sultan Iskandar Shah pada April 1987.

Gelaran itu terakhir disandang oleh isteri Almarhum Raja Ahmad Siffuddin, Raja Nor Izan Raja Abdul Rashid selama tiga tahun dan selepas kemangkatan baginda, Raja Nor Izan menggunakan gelaran Yang Teramat Mulia sehinggalah Raja Nor Izan meninggal dunia 14 Julai 1998.

Majlis Persandingan Diraja sunting

Majlis persandingan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim Davidson serba sederhana tetapi menepati adat istiadat persandingan diraja Perak di Istana Iskandariah, Bukit Chandan pada hari Sabtu, 19 Mei 2007 di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, bandar diraja Kuala Kangsar, Perak.

Tetamu diraja ialah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Permaisuri Sultanah Haminah Hamidun serta Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Raja Dihilir Perak, Datuk Seri Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah turut hadir.

Majlis persandingan bermula 9.00 malam dengan keberangkatan ketiga-tiga sultan, para jejawat istana yang membawa alat kebesaran diraja serta payung dan lembing kerajaan.

Pasangan pengantin diraja, Raja Dr Nazrin dan Tuanku Zara Salim Davidson yang memakai busana tradisional diraja berwarna kuning keemasan kelihatan anggun memasuki Balairong Seri 9.10 malam. Mempelai menuju ke singgahsana untuk istiadat bersanding diiringi 16 jejawat perempuan membawa lilin dan 10 jejawat perempuan lagi menambur bunga rampai. Perarakan masuk pasangan diraja ke Balairong Seri didahului iringi paluan kompang dan bacaan selawat daripada kumpulan Haqani Maulud Ensemble.

Istiadat merenjis tepung tawar dimulakan Sultan Kedah dan Sultanah Kedah, diikuti Sultan Perak dan Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan Sultan Selangor dan kekanda sulung Sultan Perak, Raja Datuk Seri Baharum Shah.Tujuh das tembakan meriam dilepaskan.

Seterusnya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan diikuti bapa Tuanku Zara, Salim Davidson dan ibunya, Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabuddin melakukan istiadat merenjis air mawar. Bacaan doa selamat oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harusani Zakaria.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan isteri Datin Seri Kamariah Mokri. Lain-lain ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu; Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Aziz Shamsuddin.

Istiadat perkahwinan diraja juga dihadiri kerabat diraja dan rakan rapat Raja Dr Nazrin dari dalam dan luar negara, termasuk bekas Menteri Alam Sekitar Indonesia Nabil Makarim iaitu rakan Raja Dr Nazrin ketika belajar di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Lebih 800 tetamu dan orang kenamaan hadir pada majlis istiadat itu yang menjadi acara kemuncak istiadat perkahwinan pasangan itu yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut dari hari Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Istiadat persandingan diraja itu diikuti dengan majlis santapan diraja di Dewan Santapan.

Jamuan rakyat dan penaja sunting

Masjid di seluruh Perak juga akan mengadakan doa kesyukuran selepas solat Jumaat untuk memohon restu perkahwinan Raja Muda Perak.

Jamuan rakyat turut diadakan secara serentak di Arena Square di Kuala Kangsar yang dijangka dihadiri kira-kira 5,000 jemputan termasuk anak yatim dan pelajar sekolah di bandar Kuala Kangsar. Antara menu makanan ialah nasi tomato, nasi putih, nasi beriani, dalca, ayam beriani dan acar buah. Pengusaha katering yang dipilih ialah Doten Food Services, Ezy Bekal, E&E Catering, EJ Catering, Abby Catering, Roslee Catering dan Satbaro Catering.

Layar gergasi disediakan di Arena Square dan di Ipoh. Layar ini dipasang oleh Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Kerja Raya.

Persembahan bunga api setinggi 300 meter berlangsung selama 30 minit di tepi Sungai Perak, berhampiran Jambatan Sultan Abdul Jalil dan Istana Bukit Chandan dan Arena Square, tempat makan malam untuk rakyat. MCA Perak dengan Dewan Perhimpunan Cina Perak serta Dewan Perusahaan dan Perniagaan Cina Perak menaja pertunjukan bunga api

Barisan Nasional (BN) Perak menyumbang RM30,000 bagi mengadakan jamuan di rumah orang tua dan rumah anak yatim terpilih pada Jumaat ini sempena majlis perkahwinan diraja itu. Khemah yang boleh menempatkan 1,300 jemputan dengan ukuran 100 meter x 20 meter di Dataran Sungai Perak .

Celcom dengan kerjasama Bernama menawarkan klip video persandingan. Ada tujuh klip video, setiap satu selama dua minit, boleh dimuat turun selepas Sabtu. Selain itu, ia menawarkan dua tayangan klip video antara 10 dan 5 minit. Klip video itu termasuk istiadat akad nikah dan menyarung cincin yang berlangsung pada Khamis, diikuti perisytiharan Tuanku Zara sebagai Raja Puan Besar Perak semalam dan istiadat persandingan diraja . Klip itu boleh diakses melalui portal Channel X WAP di http://wap.channelX.com.my Diarkibkan 2013-05-11 di Wayback Machine. Klip berkenaan disenaraikan di bawah menu videos&more. Pelanggan akan dicaj 50 sen bagi klip dua minit dan 99 sen bagi tayangan klip

Panjut lampu pelita juga dipasang selama dua hari di sepanjang tebing Sungai Perak di Kampung Sayong yang bertentangan dengan Istana Iskandariah dan bandar Kuala Kangsar. Lebih 2000 pelita panjut dipasang oleh 17 agensi kerajaan negeri Perak.

Lampu warna - warni dipasang sepanjang jalan raya Tiger Lane yang menempatkan Istana Kinta dan Hotel Impiana Casuarina di Ipoh, tempat penginapan rasmi jemputan kehormat. Bandar diraja dilimpahi cahaya pelbagai warna.

Lembaga Air Perak yang akan menyediakan makanan untuk pelajar sekolah di daerah Parit . Kelab Lumba Kuda Perak akan menaja jamuan untuk Persatuan Pemulihan Sultan Azlan Shah . Baiduri Perak (Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah Ipoh), Institut Teknologi Perak (Sekolah Izzudin Shah Ipoh), Persatuan Murid Tua Maktab Melayu Kuala Kangsar (Maktab Melayu Kuala Kangsar), Promserv Group of Companies (Asrama Bintang Rumah Wanita Cacat Infant Jesus), Pusat Jagaan Sri Joy (Persatuan Daybreak), Syarikat M Salim Sdn Bhd (Sekolah Semangat Maju Kampung Tawas), Best Hearing Aid Centre Sdn Bhd (Rumah Kanak-kanak Lelaki Salvation Army) dan Taska Little Land (Rumah Orang Tua Salvation Army).

Datuk Tajuddin Abdul Rahman dari Kampung Gajah akan menaja jamuan di Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah, Pasir Salak dan Datuk Yeoh Beng San bagi jamuan di Hannah Home Ipoh. Datuk Mohd Annuar bin Zaini, Pengerusi Metropolitan Utilities Corporation Sdn Bhd dan Bernama, akan menaja Rumah Anak Yatim Badan Khidmat Islam Perak (Bakip) dan Sekolah Idrisiah, Kuala Kangsar .Persatuan Murid Tua Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCOBA) akan menaja jamuan bagi 700 pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Media sunting

Liputan bebas media, jamuan, jemputan dan upacara yang disediakan mestilah terkawal bagi mengelakkan kontroversi yang disengaja atau tidak disengajakan. Kerapkali berlaku backlash iaitu kesan tidak dikehendaki. Utusan Malaysia dan Kosmo dikatakan tidak menepati arahan tentang penyiaran gambar Zara Salim Davidson.

Ketua Unit Media Jabatan Penerangan Perak, Zainuddin Sapar menyatakan 100 pas media disediakan kepada wartawan akhbar, media elektronik dan majalah yang memohon. Pusat media akan dibuka di Resort Sungai Perak, 1.5 km dari Istana Iskandariah dikendalikan oleh Bernama menyediakan kemudahan komputer, telefon, internet dan faksimile untuk wartawan secara percuma dan dibuka hingga Ahad 20 Mei 2007. Bernama akan membekalkan foto dan visual ekslusif.

Raja Dr Nazrin berangkat ke pusat media untuk melihat kefungsian pusat media itu. Ramai rakyat terkilan tidak dapat menyaksikan siaran langsung majlis pernikahan dan persandingan diraja itu sebagaimana Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohd Jiwa.

Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran atau mana-mana pihak lain tidak dibenarkan menggunakan rakaman CCTV untuk sebarang penerbitan lain dan tidak boleh sama sekali dibuat salinan. Salinan rakaman CCTV itu hendaklah diserahkan kepada kerajaan negeri Perak, demikian permintaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.


Ucapan Tahniah sunting

Dr Mahathir bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Unit Rawatan Koronari, Institut Jantung Negara (IJN) turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua mempelai diraja.

Jamuan mewah akan mengundang pembaziran dan kemelut berhutang sebagaimana pengalaman sejarah raja-raja Melayu terdahulu. Kehendak Raja Dr Nazrin ini menepati konsep Islam Hadhari yang diwarwarkan oleh Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia.


Lihat juga sunting

Rujukan sunting