Pulau Kukup

pulau di Pontian, Johor, Malaysia
  • Koordinat: 1°19'24"N 103°25'45"E

Pulau Kukup terletak di hadapan bandar Kukup, Pontian, Johor, Malaysia. Dirasmikan sebagai Taman Negara pada 31 Januari 2003.

Pulau Kukup
ڤولاو كوكوڤ، جوهر
Geografi
StatusPulau
Negara Malaysia
Negeri Johor
DaerahPontian

Geografi sunting

Pulau ini menjadi penampan angin kencang dari Selat Melaka. Lokasinya di antara Selat Melaka dan Selat Kukup. Pulau ini juga berhampiran dengan Pulau Pisang. Pulau ini menjadi lokasi menarik bagi burung ramsar - yang terbang singgah semasa berhijrah dari benua Australia yang panas ke hemisfera utara yang lebih sejuk. Pulau ini mendapat pengiktirafan sebagai tapak tarikan biodeversiti ramsar sebagai kawasan pembiakan 12 spesis fauna termasuk 76 spesis burung.

Hutannya terdiri daripada pokok bakau dan menjadi habitat untuk anak - anak ikan, udang, ketam, siput, kerang dan lain-lain. Pengangkutan utama untuk ke pulau ini adalah menggunakan perkhidmatan bot pancung boleh disewa di Jeti Kukup Laut berdekatan dengan Pusat Perdagangan Kukup.

Pulau Kukup merupakan sebuah mukim yang terletak tidak jauh dari Tanjung Piai iaitu bahagian paling selatan benua Asia. Tidak lengkap kunjungan ke Tanjung Piai tanpa singgah ke pekan Kukup yang mempunyai tarikan dan sejarahnya tersendiri.Pulau Kukup yang terletak di perairan Selat Melaka lebih dikenali sebagai satu lagi taman negara di dalam Negeri Johor.

Pulau Kukup merupakan salah satu Taman Negara yang telah diwartakan di negeri Johor bersama-sama:

  • Taman Negara Tanjung Piai
  • Taman Negara Gunung Ledang
  • Taman Negara Endau - Rompin Peta
  • Taman Negara Endau - Rompin Selai
  • Taman Laut Sultan Iskandar

Pulau Kukup turut mendapat pengiktirafan sebagai Tanah Lembab Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar). Pulau Kukup merupakan pulau paya bakau tanpa penduduk kedua terbesar di dunia. Kawasan hutan bakau seluas 647 hektar di Pulau Kukup mewakili tiga per empat daripada keseluruhan hutan bakau di negara ini.

Terdapat 5 jenis sungai yang ada di Pulau Kukup antaranya:

  • Sungai Solok
  • Sungai Ular
  • Sungai Sedang
  • Sungai Tongkang
  • Sungai Jempol

Kontroversi mengenai status sebagai Taman Negara sunting

Pada 25 Oktober 2018, Kerajaan negeri Johor telah mewartakan untuk pembatalan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara berikutan kesemua Taman Negara di Johor telah diswastakan secara berperingkat sejak dari kerajaan negeri terdahulu.

Akibat dari pembatalan rizab tersebut, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengumumkan bahawa kesemua status bekas Taman Negara di Johor akan diisytiharkan sebagai Tanah Kesultanan Johor (milik penuh institusi Diraja) berkuat kuasa serta merta bagi menjaga perlindungan selepas pertukaran status rizabnya. Namun begitu, ia tidak mengubah fungsi, dasar, polisi dan penggunaan taman-taman tersebut.[1]

Namun pada 5 Disember 2018, kedudukan Pulau Kukup yang telah diletakkan di bawah Enakmen Tanah Kesultanan akan terus kekal digunakan sebagai Taman Negara Johor dan dijaga serta dikawalselia oleh Kerajaan Negeri Johor dibawah Perbadanan Taman Negara Johor bagi menjadikannya sebuah produk pelancongan di negeri Johor.

Sejarah awal sunting

Catatan Abdullah Munsyi, sasterawan Melayu terawal ada menyatakan bahawa "Maka di situlah (Pulau Kukup) tempatnya ditangkap perompak, sebab ia boleh kelihatan orang. Orang tidak boleh melihat dia. Maka sebab itulah kerap orang terserempak didapatinya dengan senangnya."[2]

Ahli sejarah, Salleh Md. Don mengatakan kegiatan lanun di perairan Kukup memuncak pada zaman penjajahan Belanda antara 1818-1824.Kegiatan menyamun dan merampas barang dagangan di situ menyebabkan golongan pelayar takut untuk melalui perairan Kukup.Setiap kapal dagangan, tongkang dan perahu nelayan yang diserang akan ditelungkup (lingkup) oleh lanun. Daripada perkataan 'telungkup' itulah Kukup mendapat nama.

Mitos sunting

  1. Pulau Kukup juga terkenal dengan legenda puteri kayangan lima beradik yang kehilangan adik bongsu mereka selepas jatuh cinta dengan seorang pelayar. Untuk mencari puteri bongsu, keempat-empat puteri kayangan itu telah menyumpah pulau itu tenggelam dengan harapan adik mereka akan timbul di permukaan. Malangnya adik bongsu mereka tidak juga ditemui dan pulau itu bertukar menjadi pulau yang dipenuhi lumpur sehingga dipenuhi pokok bakau.
  2. Mitos kedua pula mengatakan Pulau Kukup dijaga oleh seekor "ular gergasi". Masyarakat terdahulu pernah terserempak dengan ular yang mempunyai saiz luar biasa. Ular itu dikatakan menghuni kawasan lapang di tengah-tengah Pulau kukup. Ular itu dipercayai sering berenang berulang-alik ke Pulau Pisang, Malaysia dan Pulau Karimon, Indonesia

Rujukan sunting

Pautan luar sunting