Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM

pusat perubatan di Malaysia

Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM atau HCTM (Dulu dikenali sebagai Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM)) merupakan hospital pengajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang memberikan perkhidmatan rawatan secondary dan tertiary dan merupakan pusat rujukan dari seluruh negara. Hospital ini telah bertukar nama menjadi Hospital Canselor Tuanku Muhriz, HCTM sempena nama Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus pada tahun 2014.[1] Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah Canselor UKM dan telah berangkat di upacara itu. Hospital ini menyediakan kemudahan-kemudahan perubatan yang terkini dan berupaya memberikan perkhidmatan perubatan yang terbaik. Ia terletak di Cheras, Kuala Lumpur, Malaysia.

Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM
Kerajaan
Geografi
LokasiKuala Lumpur, Wilayah Persekutuan,  Malaysia
Organisasi
PembiayaanKeuntungan
JenisMengajar
Perkhidmatan
Jabatan kecemasanYa
Sejarah
Diasaskan1993
Pautan
Laman sesawangLaman Web Rasmi Hospital Canselor Tuanku Muhriz

HCTM bertanggungjawab mengendalikan sistem pengurusan kesihatan kepada penduduk di Daerah Hulu Langat dan kawasan liputannya. HCTM akan memberikan perkhidmatan-perkhidmatan kepakaran dan perundingan melalui pensyarah-pensyarah dan doktor-doktor pascasiswazah dari Jabatan Kesihatan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Perubatan Keluarga (JKP).

Semua perkhidmatan di hospital ini akan disalurkan ke sistem komputer berpusat. Setiap jabatan di hospital ini boleh berhubung antara satu sama lain dengan menggunakan komputer. Dengan ini segala urusan dapat dilaksanakan dengan cekap. Sistem komputer berpusat ini juga membolehkan segala maklumat terkini tentang pesakit disalurkan ke setiap jabatan dengan cepat.

HCTM menjadi hospital pertama di Malaysia menggunakan Sistem Case-mix. Sistem Case-mix adalah suatu sistem pengelasan penyakit yang menggabungkan jenis penyakit yang dirawat di sesebuah hospital dengan kos rawatan yang terlibat. Sistem ini mengumpulkan episod-episod rawatan yang sama seperti rawatan akut, pembedahan harian dan lain-lain lagi kepada kumpulan klasifikasi yang lebih bermakna dan berfaedah.

Khidmat rundingan juga boleh didapati melalui teleperubatan yang membolehkan pakar-pakar perubatan di seluruh negara mendapatkan nasihat dan pandangan pakar-pakar perubatan HCTM.

HCTM mempunyai hubungan yang erat dengan hospital- hospital lain di seluruh dunia. Sebagai contoh, pakar-pakar Obstetrik dan Ginekologi, Neurosurgeri, Endokrinologi dan Ortopedik di hospital ini sentiasa mengadakan hubungan kerja dengan pakar-pakar dari Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan sebagainya. Tiap-tiap jabatan pula, sentiasa menjemput profesor-profesor dari luar sekurang-kurangnya dua kali setahun. Ini adalah satu daripada cara untuk menentukan pencapaian prestasi yang tinggi dalam semua bidang.

Pakar-pakar perubatan di hospital ini dilihat setanding dengan pakar-pakar perubatan dari negara barat. Ini dapat dibuktikan apabila pakar-pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu menjalankan kes-kes perubatan yang agak serius seperti pemisahan kembar siam, implan koklea, pembedahan laparoskopik, pembedahan skoliosis dan sebagainya.

UKM telah berjaya melatih dan mengeluarkan lebih 3,000 doktor perubatan dan 1,200 pakar dalam pelbagai bidang yang kini bertugas di seluruh negara. Beberapa orang pakar keluaran UKM telah dilantik sebagai profesor pakarunding kanan bukan sahaja di universiti ini malah di universiti dan hospital lain. Hospital ini juga mampu melahirkan pakar-pakar yang berkaliber di bidang sub kepakaran seperti Hematologi dan Kardiologi. Kelengkapan peralatan yang serba moden dan canggih membolehkan pakar-pakar tersebut berkhidmat dengan cekap dan berkesan.

HCTM mempunyai kekuatan dan kecemerlangan yang tersendiri dalam bidang-bidang Psikiatri, Pediatrik, Neurologi, Neurosurgeri, Neonatologi, Nefrologi, Hematologi, Ginekologi, Endokrinologi, pembedahan spinal dan sebagainya. Hal ini membolehkan rakyat Malaysia tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk tujuan perubatan di luar negara kerana perbelanjaan tersebut dapat dikurangkan jika mereka mendapat rawatan di HUKM. Hasil rawatan yang bakal diterima tidak kurang hebatnya.

Selain memberikan perkhidmatan rawatan kepada pesakit dalam, HCTM juga telah memperkenalkan dan mempelopori konsep perkhidmatan rawatan harian di mana pesakit-pesakit akan diberikan rawatan dan pembedahan tanpa perlu dimasukkan ke dalam wad. Konsep ini adalah lebih cekap dan kos-efektif. Perkhidmatan-perkhidmatan rawatan harian tersebut ialah Rawatan Bedah Harian, Onkologi, Hematologi, Hemodialisis, Endoskopi, Ginekologi dan Psikiatri.

HCTM juga telah mencatat sejarah sebagai institusi perubatan pertama mempunyai Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) yang serba moden untuk kemudahan kanak-kanak istimewa. Pusat ini menjadi pusat sumber dan rujukan selain menjadi pilihan untuk mendapatkan rawatan, latihan serta pendedahan mengenai perkembangan kanak-kanak istimewa.

Rujukan sunting

  1. ^ "MAJLIS PENAMAAN HOSPITAL CANSELOR TUANKU MUHRIZ". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-01-27. Dicapai pada 2016-01-19.

Pautan luar sunting