Schuko

jenis plag dan soket arus ulang-alik

"Schuko" (disebut /ˈʃuːkoː/) adalah nama panggilan bagi sejenis plag dan soket AC domestik yang didefinisikan sebagai piawaian "CEE 7/4" atau secara tidak rasminya "Jenis F" . Plag Schuko terdiri daripada dua pin bulat berdiameter 4.8 mm (19 mm panjang, dengan jarak 19 mm antara keduanya) bagi pin hidup dan neutral, termasuk dua sesentuh leper di bahagian atas dan bawah untuk sambungan bumi. Soket Schuko membentuk ruang kaviti di mana plag dimasukkan. Plag dan soket Schuko adalah salah satu jenis penyambung AC bersimetri. Ia boleh dipalamkan dengan dua cara (tidak berkutub); oleh itu, sambungan hidup dan bumi boleh jadi pada mana-mana pin pada plag peralatan elektrik. Seperti kebanyakan soket Eropah yang lain, soket Schuko boleh menerima plag Europlug. Plag Schuko dianggap selamat apabila digunakan pada soket Schuko tetapi kurang selamat jika digunakan pada beberapa jenis soket yang lain.

Soket Schuko berkembar dengan satu plag dipalamkan. Bintik di bahagian tengah adalah kepala skru dan bukannya lubang ketiga.
Plag kacukan Schuko/Perancis CEE 7/7.

"Schuko" adalah kependekan bagi istilah Jerman Schutzkontakt (harfiah: sesentuh perlindungan), yang menandakan plag dan soket ini dilengkapi sesentuh bumi (dalam bentuk klip dan bukan pin). Penyambung Schuko biasanya digunakan pada litar 230 V, 50 Hz, dengan kadaran arus sehingga 16 A.

Sejarah sunting

Sistem Schuko berasal dari Jerman melalui paten (DE 370538) yang diberikan pada tahun 1926 kepada Albert Büttner, pengeluar perkakas elektrik. Hari ini ia digunakan di lebih 40 negara, terutamanya di benua Eropah.

Perancis, Belgium, Republik Czech, Slovakia dan Poland menggunakan plag dan soket (CEE 7/5) dengan saiz dan jarak pin yang sama tetapi menggunakan pin bumi pada bahagian soket dan bukannya klip bumi seperti plag asal Schuko. Ia juga tidak mempunyai takuk panduan seperti plag Schuko. Kebanyakan plag acuan serta plag pemasangan sendiri Schuko moden adalah plag kacukan CEE 7/7 yang turut mempunyai lubang untuk pin bumi pada soket Perancis.

CEE 7/7 kini menjadi piawaian de facto di serata Kesatuan Eropah serta negara-negara lain yang mengikuti piawaian CENELEC. Negara yang tidak menggunakan piawaian CEE 7/7 di Kesatuan Eropah adalah:

Di Itali, (CEI 23-16/VII) merupakan piawaian dominan, walaupun Schuko turut menjadi piawaian yang diiktiraf serta diguna pakai. Peralatan elektrik dijual sama ada menggunakan plag Itali atau Schuko. Hanya sebilangan kecil soket menerima kedua-dua jenis plag; selebihnya hanya menerima salah satu jenis sahaja. Soket Schuko biasanya digunakan pada peralatan elektrik dengan kadaran arus yang lebih tinggi seperti mesin basuh, serta lazim digunakan di Tyrol Selatan, dengan kaitan budaya, ekonomi serta pelancongan dengan Austria.

Walaupun Schuko tidak menjadi piawaian rasmi di Belgium atau Perancis, ia kadang-kadang digunakan dalam pendawaian lama di bahagian timur Belgium dan Alsace. Pendawaian baru tertakluk kepada piawaian kebangsaan.

Di beberapa bahagian Republik Ireland, soket Schuko digunakan sehingga tahun 1960an. Atas sebab keselamatan serta keseragaman dengan UK serta bagi mengelak penggunaan soket berbeza di Ireland Utara dan Republik Ireland, kerajaan memutuskan penggunaan piawaian BS 1363 (diserap ke Piawaian Ireland sebagai IS401 (Plag) dan IS411 (Soket). Keseragaman ini berlaku serentak dengan pemansuhan penggunaan plag dan soket BS 546 di UK (yang turut digunakan di beberapa tempat di Ireland). Penggunaan piawaian BS 1363 juga menghapuskan situasi di mana plag Schuko yang dibumikan boleh digunakan pada soket yang tidak dibumikan ataupun pada soket BS 546 yang tidak mempunyai sambungan bumi yang serasi. UK turut mengalami masalah yang sama; percampuran plag lama 2 pin dan 3 pin mewujudkan pelbagai masalah keserasian serta pembumian. Piawaian BS 1363 baru direka bentuk agar tidak serasi dengan kesemua sistem lama, memaksa pengeluar elektrik mematuhi peraturan keselamatan elektrik termasuklah pembumian elektrik.

Ciri keselamatan sunting

 
Gambar rajah plag dan soket Schuko CEE 7/4.

Apabila dimasukkan ke dalam soket, plag Schuko menutup ruang kaviti (1)  serta mewujudkan sambungan bumi melalui klip bumi (2sebelum pin hidup dan neutral (3)  bersentuhan dengan sesentuh masing-masing; oleh itu, ia mencegah pengguna daripada menyentuh pin yang bersambung. (Maka sistem Schuko tidak memerlukan penebat pin separa seperti pada plag Europlug, BS 1363 dan AS 3112.) Sepasang lekuk panduan bertebat (4)  pada bahagian kiri dan kanan memberi lebih kestabilan, membolehkan plag yang lebih besar dan lebih berat digunakan dengan selamat (seperti plag dengan transformer atau pemasa terbina dalam).

Keserasian dengan plag/soket lain sunting

 
Soket Belanda tidak dibumikan yang boleh memuatkan plag Schuko.

Semua soket Schuko boleh memuatkan plag Jenis C dua pin tidak dibumikan. Plag Schuko pula boleh dipalamkan pada kebanyakan soket 2 pin yang tidak dibumikan, namun ia kurang selamat kerana soket sedemikian tiada ruang kaviti bagi menempatkan klip bumi untuk plag Schuko. Selain itu, kebanyakan peralatan elektrik yang disasarkan bagi kegunaan kedua-dua negara Jerman dan Perancis menggunakan plag kacukan CEE 7/7 yang serasi pada kedua-dua soket Schuko dan soket Jenis E.

Bagi soket BS 1363 seperti yang digunakan di United Kingdom, Malaysia dan Singapura, penggunaan plag Schuko bukan sahaja kurang selamat (kerana tiada pin bumi) malah sukar untuk dipalamkan. Jika boleh pun, pin plag Schuko berkemungkinan akan merosakkan lubang soket.

Walaupun secara umumnya soket Schuko tidak berkutub, adalah disyorkan untuk melakukan pendawaian bagi soket tersebut dengan cara yang sama seperti pendawaian plag kacukan CEE 7/7 (pada pandangan soket, penyambung hidup di sebelah kiri dan neutral di sebelah kanan) bagi tujuan keseragaman agar plag sejagat CEE 7/7 dipalamkan dengan gaya berkutub dalam kebanyakan kes (apabila lubang bumi plag di sebelah atas). Walau bagaimanapun, tiada piawaian pemantauan khas bagi tujuan tersebut, maka dalam kebanyakan kes pendawaian sambungan hidup dan neutral dilakukan secara rawak. Sebab itulah kekutuban soket perlu sentiasa diuji setiap kali hendak menentukan yang mana satu sambungan hidup dan yang mana sambungan neutral.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  • Piawaian Jerman DIN 49440: Soket Schuko
  • Piawaian Jerman DIN 49441: Plag Schuko
  • IEC/TR 60083