Seekor Anjing Andalusia

Seekor Anjing Andalusia (bahasa Perancis: Un chien andalou) ialah judul sebuah filem bisu surealis pendek arahan Luis Buñuel dan ditulis bersama dengan pelukis surealis terkenal Salvador Dalí. Ia diterbitkan pada tahun 1929 dan dibintangi Simone Mareuil dan Pierre Batchef; Buñuel dan Dalí turut kelihatan dalam adegan kameo yang ringkas tetapi nama mereka tidak tersenarai dalam kredit.

Walaupun filem suara telah muncul di pasaran pada 1927 iaitu dua tahun sebelum filem ini ditayangkan, pengarahnya memang berniat membikin Seekor Anjing Andalusia tanpa suara, sekaligus menyumbang kepada elemen surealis yang terkandung dalam filem tersebut.

Sejak diterbitkan lapan dekad yang lampau, filem ini telah mendapat pujian meluas dari pengkritik dan penggemar dunia filem. Sebagai sebuah filem surealis, Seekor Anjing Andalusia tidak mempunyai jalan cerita atau plot yang lazim, seperti yang terdapat dalam filem-filem normal. Garis masa dalam filem ini "melompat" secara rawak dari "pada suatu ketika" ke "lapan tahun kemudian" ke "pukul tiga pagi" ke "enam belas tahun dahulu" ke "pada musim panas" tanpa mengikut logik rentetan babak yang dipaparkan. Tidak ada anjing yang dapat dilihat dalam filem ini, dan tidak ada apa-apa petanda yang menunjukkan filem ini bertempat di Andalusia. Buñuel sendiri pernah berkata bahawa filem ini "tidak bermaksud menggambarkan apa-apa idea atau penerangan yang rasional".

Filem ini juga sangat masyhur di kalangan penggiat filem kerana babak pembukanya yang sangat memeranjatkan, walaupun sudah lebih lapan puluh tahun ia diterbitkan.

Sinopsis sunting

Filem ini bermula "pada suatu ketika". Seorang lelaki separuh umur (Buñuel) menghisap curut sambil mengasah pisau cukur di pintu anjung rumahnya lalu menguji ketajaman pisau itu dengan ibu jari. Dia keluar ke anjung sambil merenung bulan purnama di langit. Kamera memintas ke wajah seorang pemudi (Mareuil) yang duduk tenang dan bersahaja sambil lelaki itu membukakan kelopak matanya. Menyusul pula adegan yang menjadi punca kemasyhuran filem ini: ketika bulan purnama di langit diselubungi sekepul awan yang nipis (seperti sebilah pisau cukur), lelaki itu menghiris mata pemudi itu dengan pisau cukurnya, lalu cecair meleleh keluar dari biji matanya yang baru dikelar.

Kad judul seterusnya mengumumkan "lapan tahun kemudian...". Seorang pemuda berbasikal sekitar pekan sambil memakai jubah biarawati dan membawa sebiji kotak misteri pada lehernya. Pemudi dalam adegan pertama sedang membaca sebuah buku di apartmennya, kemudian mencampak buku yang sedang dibaca apabila menyedari kedatangan pemuda itu. (Kita dapat melihat bahawa buku itu mengandungi sesalinan lukisan karya Jan Vermeer, seorang pelukis yang dikagumi Dalí.) Pemudi menjenguk ke luar tingkap dan melihat pemuda itu terjatuh dari basikal di depan apartmennya. Pemudi lantas turun ke bawah dan mengendong sang pemuda.

Kemudiannya, pemudi menyusun pakaian yang dipakai pemuda tadi di atas katilnya. Sambil dia merenung tajam dan memberi tumpuan kepada pakaian yang disusun tadi, sang pemuda tiba-tiba muncul di hadapan pintunya. Kedua-dua mereka melihat telapak tangan sang pemuda yang berlubang; kelihatan semut merayap-rayap keluar dari lubang tersebut. Lubang ini perlahan-lahan secara berturutan bertukar menjadi bulu ketiak seorang wanita, seekor landak laut, dan kepala seorang figura yang kurang jelas jantinanya.

Wanita muda seakan-akan lelaki itu berada di jalan raya di kaki bangunan apartmen. Dia menguis-nguis satu tangan manusia yang terputus menggunakan tongkat. Dua orang polis mengawal orang ramai yang mengerumuninya. Salah seorang anggota polis itu mengutip tangan tersebut lalu meletakkannya di dalam kotak yang dibawa oleh sang pemuda sebentar tadi, kemudian memberi kotak itu kepada wanita/lelaki androgini tersebut. Wanita/lelaki itu memeluk kotak itu dengan wajah tersenyum, seolah-olah terkenang sesuatu yang menggembirakannya. Para polis meminta orang ramai bersurai. Wanita/lelaki itu terus sahaja berdiri di tengah-tengah jalan raya yang sesak, sambil sang pemuda dan sang pemudi melihat sahaja gelagatnya dari tingkap apartmen. Akhirnya wanita/lelaki itu dilanggar kenderaan dan tidak sedarkan diri (tidak jelas samada dia mati atau hanya pengsan). Sang pemuda seperti teruja dan sadis melihat nasib yang menimpa wanita/lelaki muda itu.

Sang pemuda kemudian memandang sang pemudi dengan mata yang penuh rakus, lalu meramas buah dadanya dan membayangkan sang pemudi berbogel di bahagian dada dan punggung. Sambil sang pemuda berangan, sang pemudi menepis tangannya dan berlari-lari sekeliling bilik untuk cuba melepaskan diri. Si pemudi mengambil raket tenis untuk mempertahankan dirinya. Dalam satu lagi rangkaian yang tidak logik, si pemuda tiba-tiba menarik tali yang padanya terikat papan batu yang tertera Sepuluh Rukun Nabi Musa, dua buah piano yang di atasnya terlantar bangkai dua ekor keldai yang sedang mereput, dan dua orang paderi yang kelihatan agak bingung (paderi di sebelah kanan dilakonkan oleh Dalí).

Si pemudi melarikan diri ke bilik sebelah. Si pemuda mengejarnya tetapi tangannya tersepit di pintu. Si pemudi melihat tangan si pemuda yang berlubang dan penuh dengan semut. Dia dapat mengunci pintu namun si pemuda (sekali lagi tanpa logik) sedang berbaring pula di atas katil dalam bilik sebelah sambil berpakaian biarawati serta kotak rahsia terlilit di lehernya seperti pada awal permulaan filem.

Kad judul yang menyusul pula menyatakan "kira-kira pukul tiga pagi...". Seorang lelaki misteri bertopi menekan loceng pintu (mukanya tidak kelihatan kerana kamera merakam dari belakang). Loceng pintu diumpamakan sebagai dua batang lengan sedang menggoncang bekas mencampur minuman ("martini shaker"). Si pemudi pergi membuka pintu, kemudian menghilangkan diri entah ke mana. Lelaki misteri tersebut masuk ke dalam bilik dan mengherdik si pemuda yang sedang baring di atas katil. Lelaki misteri merentap pakaian biarawati yang dipakai si pemuda kemudian mencampakkannya ke luar tingkap. Si pemuda kemudian "didenda" berdiri menghadap dinding.

Tiba-tiba kad judul mengumumkan "enam belas tahun dahulu..." (walaupun tidak ada apa-apa perubahan adegan). Lelaki misteri itu berpusing ke arah kamera; para penonton dapat melihat bahawa ianya lelaki yang sama iaitu si pemuda. Si pemuda kedua ini membelek-belek alat lukisan dan buku di sudut bilik itu, lalu memberi buku-buku tersebut kepada si pemuda pertama. Buku itu kemudiannya tiba-tiba bertukar menjadi sepasang pistol. Si pemuda pertama menembak si pemuda kedua. Si pemuda kedua rebah di sebuah padang di tengah-tengah hutan sambil menggapai-gapai tubuh bogel seorang wanita yang tiba-tiba ghaib. Mayat pemuda kedua diangkut keluar oleh orang awam yang berlalu di situ.

Si pemudi kembali masuk ke dalam bilik dan terlihat seekor kupu-kupu tengkorak di atas dinding. Si pemuda mengelap mulutnya dengan tangan hingga mulutnya hilang. Si pemudi mengejeknya sambil memakai gincu bibir. Bulu ketiak si pemudi tiba-tiba melekat pada kawasan mulut si pemuda. Kerana jijik dengan kejadian ini, si pemudi menjelirkan lidahnya kepada si pemuda lalu keluar dari bilik itu.

Yang menghairankan, sudah ada pantai tersergam indah di depan pintu bilik apartmennya. Si pemudi berjumpa dengan seorang lagi lelaki di tepi pantai. Mereka bercium dan berpelukan lalu berjalan bersama-sama di pesisiran pantai. Mereka terjumpa cebisan pakaian biarawati dan kotak dibawa si pemuda yang telah pecah. Mereka terus berjalan di sepanjang pantai dengan penuh kasih sayang.

Kemudian kad judul terakhir menyatakan "pada musim panas...". Kelihatan mayat si pemudi dan lelaki tersebut tertimbus hingga ke paras dada tanpa apa-apa penjelasan. Filem ini berakhir di sini, seolah-olah tergantung, dan menimbulkan seribu satu persoalan untuk direnungi oleh para penonton.

Nota pembikinan sunting

Adegan pertama yang begitu menyeramkan dalam filem ini — di mana mata si pemudi dihiris dengan pisau cukur — sebenarnya difilemkan menggunakan mata anak lembu yang sudah mati. Tuan pengarah menggunakan lampu set yang sangat terang agar muka anak lembu yang berbulu kelihatan seperti kulit manusia.

Sutradara asal Buñuel mengesyorkan agar mayat si pemudi dan lelaki di akhir filem dihurungi lalat, namun tidak menjadi kerana dana perbelanjaan tidak mencukupi.

Seperkara yang menarik ialah kedua-dua pelakon utama filem ini membunuh diri beberapa tahun kemudian. Pierre Batchef menelan barbiturat berlebihan pada 1932, manakala Simone Mareuil membakar dirinya pada 1954.