Sejarah Negeri Sembilan

Penghijrahan orang Minangkabau sunting

Pada permulaan abad ke-14 Masihi, orang-orang Minangkabau dari Tanah Minangkabau, pulau Sumatera di kawasan barat daya Semenanjung Tanah Melayu melalui Melaka dan sampai ke Rembau. Orang Minangkabau ini telah berjaya memujuk hati orang Asli lalu berlakulah perkahwinan antara orang-orang Minangkabau ini dengan penduduk asli dan daripada keturunan mereka dinamakan suku Biduanda.

Suku Biduanda ini ialah pewaris asal Negeri Sembilan dan apabila hendak memilih pemimpin maka hanya mereka dari suku Biduanda inilah yang akan dipilih. Orang-orang Minangkabau yang datang kemudian adalah dari suku kampung-kampung asal mereka di Minangkabau. Pada peringkat awal kebanyakan yang tiba dari Tanah Datar dan Payakumbuh. Dari suku Biduanda inilah asalnya pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang dipanggil Penghulu dan kemudiannya Undang.

Asal nama Negeri Sembilan sunting

Nama Negeri Sembilan mula digunakan pada abad ke-16 untuk merujuk kepada sebuah konfederasi sembilan buah negeri atau luak yang telah dibuka oleh orang Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Segamat yang kini menjadi sebahagian daripada Johor, Naning yang kini menjadi sebahagian daripada Melaka, Rembau, Sungai Ujong, Johol, Jelebu dan Jelai yang kini adalah sebahagian daripada Negeri Sembilan, Hulu Pahang yang kini menjadi sebahagian daripada Pahang, dan Kelang yang kini menjadi sebahagian daripada Selangor[1]. Saiz Negeri Sembilan sekarang lebih kecil berbanding dahulu Negeri Sembilan yang asal.

Pembentukan institusi Yamtuan Besar sunting

Pemerintah tertinggi Negeri Sembilan dikenali sebagai Yamtuan Besar, atau nama rasminya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Sebelum wujudnya institusi Yamtuan Besar, Negeri Sembilan pada ketika itu berada di bawah naungan Kesultanan Johor. Johor tidak berupaya memberi perlindungan kepada Negeri Sembilan disebabkan kemelut-kemelut yang dialami oleh kesultanan tersebut. Gelaran tersebut telah dikurniakan oleh Sultan Johor ke atas Raja Mahmud, seorang putera raja yang diutus dari Kerajaan Pagar Ruyung. Baginda ditabalkan sebagai Yamtuan Besar yang pertama pada 1773 di Kampung Penajis, Rembau, menggunakan gelaran Raja Melewar. Istilah Yang di-Pertuan Besar adalah gelaran pemimpin Melayu sebelum kedatangan agama-agama Buddha, Hindu dan Islam. Ini dibuktikan melalui pendiri kerajaan Srivijaya pertama iaitu Sri Jayanasa menggunakan gelaran Dapunta Hyang yang bermaksud Yang Dipertuan Yang Suci.

Berbeza dengan sistem beraja negeri-negeri Melayu yang lain, Negeri Sembilan mengamalkan sistem beraja elektif, di mana setiap empat orang kerabat lelaki daripada wangsa Pagaruyung akan dipilih dan dilantik menjadi Yamtuan Besar menerusi musyawarah Datuk-datuk Undang yang Empat yang mentadbir luak-luak Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau.

Adat Perpatih sunting

Negeri Sembilan mengamalkan Adat Perpatih yang diasaskan oleh Dato' Pepatih Nan Sebatang. Seperti yang di ketahui umum, adat ini lebih mementingkan kaum wanita daripada lelaki. Keutamaan wanita di dalam Adat Perpatih sebenarnya lebih kepada bersifat matrilineal, iaitu mewarisi harta pusaka dan membawa darah keturunan, berbeza dengan Adat Temenggong yang diasaskan oleh Dato' Ketumanggungan, harta dan darah keturunan diwarisi oleh kaum lelaki. Adat ini diamalkan di semua negeri di Malaysia kecuali Negeri Sembilan. Menurut Adat Perpatih, wanita yang mengandungkan dan melahirkan anak maka wanitalah yang membawa darah keturunan kepada pewaris iaitu anaknya. Dari segi harta pula, hanya harta pusaka iaitu termasuk tanah dan rumah induk diwarisi oleh wanita bertujuan agar kaum wanita tidak terabai sekiranya dicerai suami. Namun demikian harta sepencarian adalah milik bersama lelaki dan wanita dan di bahagi mengikut hukum Islam. Hasil positif daripada pengamalan Adat Perpatih ini, harta pusaka tidak tergadai kerana tidak boleh dijual malah di dalam sesebuah kampung, biasanya terdiri daripada saudara mara kerana tanah pusaka telah dibahagi dari awal keturunan kepada generasi sekarang. Dalam erti kata lain, di dalam sebuah kawasan, biasanya terdiri dari keluarga dari satu keturunan.

Kegemilangan Kesultanan Melaka pada kurun ke-15 telah menjadikan Adat Temenggong dominan di Alam Melayu. Sultan Melaka memberi perlindungan kepada perantau dari Minangkabau untuk menetap di Naning. Selepas Portugis menguasai Melaka pada 1511, perlindungan itu dilanjutkan oleh Kesultanan Johor sebagai pewaris Kesultanan Melaka.[2]

Rujukan sunting

  • Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj (2000). Tambo Alam Naning. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). ISBN 9836247211.

Nota kaki sunting

  1. ^ Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj, Tambo Alam Naning, DBP, 2000, ms 164
  2. ^ Kesinambungan Raja-raja Melayu

Pautan luar sunting