Sejarah awal sunting

Pada mulanya, bangsa Palau terawal mungkin datang dari Australia, Polynesia dan Asia. Bergantung pada salasilah keluarga tersendiri, orang-orang Palau mungkin terdiri dari orang-orang Melanesia, Micronesia dan Polynesia. Menurut pakar genetik, terdapat dua strain pertalian darah Melanesia yang berbeza: satu dikaitkan dengan orang asli Australia dan Papua New Guinea sementara yang satu lagi diketahui berasal dari Asia.

Di Eropah dan Australia, Palau lebih dikenali dengan nama "Kepulauan Hitam". Peta dan lukisan perkampungan lama boleh ditemui di pustaka Internet Australia, di samping gambar foto kaum Ibedul yang bertatu dan bercucuk badan dari pulau Koror dan Ludee.

Pentarikhan radiokarbon dan penemuan arkeologi terkini telah menarik perhatian baru kepada kepulauan ini. Tanah-tanah perkuburan yang digali di pulau-pulau ini menunjuukan Palau pernah menyaksikan upacara pengebumian terawal yang pernah dikenali di Oceania. Sebelum ini adanya pertikaian lama mengenai sama ada bangsa Palau diasaskan sekitar tahun 2500 SM atau 1000 SM, kedua-duanya disangkal kajian ini. Lebih-lebih lagi, Pulau Jawa yang merupakan rakan dagang lama Palau, juga diperhati dengan teliti semenjak penemuan spesis Homo floresiensis.

Selama beribu-ribu tahun, orang Palau mengamalkan masyarakat nasab ibu yang dipercayai diturunkan dari orang Jawa. Mengikut tradisi, tanah, wang, dan gelaran diturunkan kepada waris wanita. Tanah puak masih diturunkan melalui kaum wanita dan anak perempuan sulung, tetapi adanya sentimen nasab bapa moden tinggalan Jepun. Kerajaan Jepun pernah cuba merampas dan mengagih semula tanah puak kepada pemilik persendirian ketika Perang Dunia II; semenjak itu tidak banyak yang dilakukan agar adat lama dipulihkan. Keterlibatan undang-undang masih kelihatan di kalangan pelbagai puak.[1]

Hubungan dengan Eropah sunting

Para sejarawan banyak berminat terhadap laluan perkapalan pengembara Eropah. Salah satu misteri yang banyak mencetuskan pertikaian adalah mengenai sama ada Ruy López de Villalobos dari Sepanyol menemui kepulauan Palau pada tahun 1543. Tiadanya bukti kukuh yang wujud tetapi ada yang merasa beliau pernah melihat satu hujung di pulau paling selatan di kalangan kepulauan.

Palau merupakan salah sebuah pulau Laut Selatan yang terlewat pernah ditemui—bukan sahaja akibat kepincangan kemahiran berlayar bahkan juga masyarakat pulau-pulau berhampiran tidak tahu apa-apa mengenai Melanesia. Palau ketika itu menjalinkan hubungan luar yang terhad—terutamanya dengan pulau Yap dan Jawa.

Andai bukan penduduk pulau yang terhempas kapal dan berlindung di Filipina, orang Eropah tidak mungkin dapat menemui jalan ke Palau sehingga lewat lagi. Kapten Inggeris Henry Wilson juga mengalami kapal karam di pantai pulau Ulong pada tahun 1783.[2] Wilson menggelar Palau sebagai “Kepulauan Pelew”.

Pemerintahan Sepanyol dan Jerman sunting

Seperti Guam, Kepulauan Mariana, Micronesia dan Kepulauan Marshall, Palau menjadi sebahagian Hindia Timur Sepanyol, di bawah pentadbiran Filipina Sepanyol sehingga Perang Sepanyol-Amerika pada tahun 1898.

Pada tahun 1885, setelah Jerman menduduki beberapa pulaunya, timbulnya pertikaian yang dikemukakan kepada Paus Leo XIII, yang cuba mengesahkan tuntutan Sepanyol terhadap pulau-pulau itu (tetapi disertakan ganti rugi kepada Britain dan Jerman). Pada tahun 1899, setelah tewas dalam Perang Sepanyol-Amerika, Sepanyol menjual pulau-pulau berkenaan kepada Jerman menerusi Perjanjian Jerman-Sepanyol 1899. [3][4]

Setelah itu, pihak Jerman melancarkan transformasi ekonomi di Micronesia di bawah pentadbiran New Guinea Jerman, dengan melombong bauksit (bijih aluminum), fosfat, dan lain-lain sumber asli. Perlombongan itu diteruskan di seluruh Micronesia walaupun setelah pihak Jerman menyerahkan kepulauan tersebut kepada Jepun mengikut syarat-syarat Persetiaan Versailles, selepas Perang Dunia Pertama. Pihak Jepun meneruskan dan meluaskan operasi perlombongan.

Pemerintahan Jepun sunting

Pada tahun 1914, Jepun menyerang kepulauan Palau. Beberapa tahun kemudian, Jepun mengambil alih pemerintahan Palau secara rasminya mengikut Persetiaan Versailles setelah tumpasnya Jerman di Perang Dunia Pertama. Sepanjang tiga dekad, pihak Jepun menguatkuasa perubahan kebudayaan. Pengenalan ekonomi pasaran eksklusif yang cenderung kepada warga Jepun menghentikan pemilikan puak secara seketika.[5]

Perang Dunia Kedua sunting

Peleliu menjadi tempat kejadian pertempuran hebat antara tentera Amerika dan Jepun mulai September 1944 dan berakhir dengan kemenangan pihak Berikat, walaupun banyak sekali nyawa yang melayang dari kedua-dua pihak. Walaupun adanya bayaran ganti rugi, kekalahan selepas Perang Dunia Kedua tidak dapat memulihkan ketenteraman sepenuhnya. Campur tangan AS cuba bertujuan meluaskan semantik undang-undang yang diperlukan untuk pulih dari peristiwa yang meliputi tiga negara berlainan dengan tiga bahasa berbeza.

Selepas Perang Dunia Kedua, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memainkan peranan dalam menetapkan bahawa AS mentadbir Palau sebagai sebahagian Wilayah Amanah Kepulauan Pasifik. Tidak lama kemudian, pada tahun 1979, rakyat Palau mengundi agar tidak menyertai Persekutuan Micronesia atas sebab perbezaan bahasa dan budaya. Setelah lama mengalami tempoh peralihan yang menyaksikan kematian dua presiden secara ganas (Haruo Remeliik pada tahun 1985 dan Lazarus Salii pada tahun 1988), Palau mengundi agar bebas bersekutu dengan Amerika Syarikat pada tahun 1994 sambil memilih untuk mengekalkan kemerdekaan mengikut Perjanjian Perkaitan Bebas.

Masih terdapat kira-kira seratus orang anggota tentera Amerika yang tersenarai "Missing In Action" (MIA) di Palau semenjak Perang Dunia Kedua. Sejak tahun 1993, sekumpulan kecil sukarelawan Amerika yang bergelar dirinya BentProp Project telah mencari di perairan dan hutan-hutan Palau dalam cubaan mencari maklumat yang boleh memudahkan pengenalpastian dan penemuan semula mayat-mayat MIA Amerika ini.

Rujukan sunting

  1. ^ SG Travel at Yahoo on Palauan matriarchal social systems
  2. ^ SG Travel at Yahoo on Henry Wilson
  3. ^ Sandafayre.com on Palauan history
  4. ^ United States Department of State article on Palau
  5. ^ "Hawaii.com on Palauan history". Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-05-07. Dicapai pada 2009-06-28.