Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak

Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak merupakan salah sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan milik kerajaan (awam) yang terletak di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Tahap gred pembelajaran di sekolah ini adalah antara tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Sekolah ini bersebelan kiri dengan Sekolah Rendah Kebangsaan Polis Depot dan Sekolah Rendah Kebangsaan Padang Tembak pada arah barat lautnya.

Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak
Cogan kata Tekun Belajar
Ditubuhkan 1965
Jenis Sekolah Menengah Kerajaan (awam)
Guru besar Tuan Ahmad Nawawi bin Sha'ari (2022-sekarang)
Gred Tingkatan 1 - Tingkatan 5
Lokasi Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia
Laman web http://www.smkptkl.edu.my/v1/

Sejarah sekolah sunting

Sejarah Awal sunting

Sekolah ini pada awalnya dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Polis Depot (SMKPD). Sesi persekolahannya dimulakan pada tahun 1965. Sekolah ini ditubuhkan pada mulanya dengan tujuan untuk mendidik dan memberikan pelajaran kepada kanak-kanak di sekitar kem tentera dan Polis Depot kerana lokasinya yang berhampiran dengan kem tentera dan Polis Depot iaitu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur (dahulunya dikenali sebagai Jalan Gurney). Pada mulanya lokasi sekolah ini berada di bawah Negeri Selangor dan kemudiannya diletakkan di bawah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada tahun 1974.

Bangunan asalnya hanya menumpang di Sekolah Rendah Kebangsaan Polis Depot. Pada awal penubuhannya sekolah ini hanya mempunyai 140 orang murid dan hanya menerima pelajar tingkatan satu serta lelaki sahaja. Oleh sebab menumpang di Sekolah Rendah Kebangsaan Polis Depot maka sesi persekolahan hanya pada sebelah petang sahaja dan ditempatkan dalam 4 buah bilik darjah sahaja. Bilangan guru pula hanya seramai 8 orang termasuk pengetua. Pengetua sekolah pada ketika itu adalah merupakan pengetua pertama SMKPTKL iaitu Encik Yusof bin Hassan.

Setelah hampir setahun sekolah ini dibuka, bilangan murid semakin meningkat menyebabkan sekolah ini memerlukan sebuah bangunan sendiri. Pada 4 Julai 1966, bangunan Sekolah Menengah Polis Depot siap dibina dan warga sekolah tersebut berpindah ke bangunan baru. Bilangan murid pada ketika itu seramai 247 orang dari tingkatan 1 dan 2 sahaja. Manakala bilangan guru pula seramai 14 orang. Pada tahun 1967, murid-murid Sekolah Menengah Polis Depot menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran buat pertama kali.

Pada tahun 1968, sekolah ini telah menampung murid-murid tingkatan 1 hingga 4 seramai 648 orang. Pada Januari 1969, murid-murid tingkatan 4 yang naik ke tingkatan 5 telah dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di Kampung Pandan, Kuala Lumpur kerana kekurangan tenaga pengajar, kemudahan dan peralatan mengajar terutama bagi mata pelajaran Sains. Pada tahun 1970, disebabkan ketiadaan murid tingkatan 4 dan 5 maka jumlah murid yang tinggal ketika itu hanya seramai 422 orang sahaja.

Pada 16 Disember 1971, Toh Puan Hajah Siti Zainab bt Haji Baharuddin merupakan pengetua wanita yang pertama mula berkhidmat di sekolah ini. Beliau juga merupakan isteri kepada bekas Yang Dipertua Pulau Pinang. Setelah hampir setahun berkhidmat di sekolah ini, pada tahun 1972 beliau telah menukarkan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Polis Depot kepada Sekolah Menengah Padang Tembak, Kuala Lumpur (SMKPTKL). Pada masa yang sama juga sekolah ini mula menerima murid-murid perempuan serta memulakan 2 aliran bahasa penghantar iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

Pada tahun 1977 buat pertama kalinya murid-murid sekolah ini menduduki peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bilangan murid sekolah ini telah bertambah menjadi seramai 1500 orang pada tahun yang sama. Pada tahun 1977 SMKPTKL hanya mempunyai satu aliran bahasa penghantar sahaja iaitu bahasa Melayu.

Setelah 15 tahun SMKPTKL ditubuhkan barulah perasmian penubuhannya dibuat pada 23 Jun 1981 oleh Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak yang merupakan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu. Pada 20 November 1988, SMPTKL Jalan Gurney ditukar kepada SMKPTKL Jalan Semarak sempena perhimpunan Semarak Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.[1]

2010 sunting

 
Bangunan pertama Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak yang juga menempatkan dewan sekolah atau lebih dikenali sebagai Dewan Semarak Budi

Sekolah ini pada tahun 2010 telah berusia 45 tahun mempunyai prasarana yang lengkap dan kondusif bagi warganya. Kini sekolah ini mempunyai 6 blok yang berasingan dengan 68 bilik darjah termasuk bengkel Kemahiran Hidup, makmal sains, makmal komputer, dewan terbuka, pejabat pentadbiran dan lain-lain. Sekolah ini mempunyai 2 sesi iaitu tingkatan 1 dan 2 di sesi petang manakala tingkatan 3, 4 dan 5 di sesi pagi. Tingkatan 1 Jujur dan 2 Jujur masih berada dalam sesi pagi kerana kelas ini adalah kelas khas iaitu mengikuti Kelas Kemahiran Al-Quran dan Bahasa Arab.

Sekolah ini juga dilengkapi dengan sebuah bilik perpustakaan. Perpustakaan yang ada sekarang pernah dikunjungi oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sempena perasmian SMKPTKL pada 23 Jun 1981. Bagi aliran Vokasional, bengkel teknik mata pelajaran seperti Seni Perusahaan, Ekononomi Rumah Tangga, Katering dan Penyajian, Reka Cipta, Grafik Berkomputer, dan Kemahiran Hidup. Terdapat juga makmal komputer yang lengkap bagi menampung murid-murid yang mengambil mata pelajaran Teknologi Maklumat, Komputer Dalam Pendidikan, Grafik Berkomputer dan Reka Cipta. Para pelajar yang tidak mengikuti aliran Vokasional mempelajari pelajaran Perdagangan.

Dalam bidang sukan, sekolah ini mempunyai sebuah pasukan bola tampar yang handal hingga sekarang. Begitu juga dengan pasukan hoki, bolasepak dan ping-pong. Sebelum perang, sekolah ini terkenal kerana mempunyai gelanggang hoki atau padang yang baik.

Untuk menjalankan aktiviti-aktiviti permainan dan sukan, sekolah ini membahagikan murid-muridnya kepada lima buah rumah sukan. Nama-nama rumah sukan ini diambil dari sempena nama jawatan-jawatan yang pernah wujud pada zaman kesultanan Melaka iaitu Panglima, Syahbandar, Laksamana, Temenggong, dan Bendahara.

Sekolah ini juga telah menubuhkan beberapa buah kelab dan persatuan untuk memperkembangkan minat dan bakat para pelajar dalam berbagai-bagai aktiviti. Bagi para pelajar yang berkebolehan dan sihat tubuh badan, Kelab Tae Kwando, Silat dan Persatuan Bulan Sabit Merah telah ditubuhkan. Dalam persatuan, terdapat Persatuan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, Sains, Geografi, Lukisan, dan lain-lain. Persatuan–persatuan ini melaksanakan berbagai-bagai aktiviti seperti ceramah, perbincangan dan lawatan sambil belajar. Sekolah ini juga mempunyai Pasukan Pengakap yang bergerak cergas di samping Pasukan Kadet. Murid-murid Pasukan Kadet ini dilatih oleh jurulatih tentera dan Kem Tentera Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada setiap minggu. Di samping itu, bersesuaian dengan perkembangan sains, teknologi dan komputer, pihak sekolah ini telah berusaha keras melengkapkan makmal komputer sekolah sehingga menjadi salah satu makmal sekolah menengah harian yang lengkap dan terkini di Wilayah Persekutuan.

Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak, Kuala Lumpur mencerminkan kegemilangan masa silam sekolah. Sekolah ini telah berjaya melahirkan dan membentuk keperibadian yang tersendiri dan boleh berbakti kepada agama, bangsa dan negara.[1]

Profil sekolah sunting

Klasifikasi[2] Info[2]
Nama sekolah SMK Padang Tembak, Jalan Semarak, 54100 Kuala Lumpur
Kod Sekolah WEA0199
Gred Sekolah Sekolah Bestari
Pengetua Pn Hajah Puziah Bt Ahmad
Pen Kanan Tadbir dan Kurikulum Raja Norazam Bt Raja Salleh
Pen Kanan HEM En Kamarudin B Ramli
Pen Kanan Kokurikulum Pn Badariah Bt Bakar
Pen Kanan Petang Pn Maimunah Bt Ismail
Guru Kanan Bahasa Pn Yasinah Bt Kutik
Guru Kanan Sains Pn Hadilah Bt Abd Hamid
Guru Kanan Teknik dan Vokasional Pn Chan Yuit Ngoh
Guru Kanan Kajian Kemanusiaan Pn Subidah Bt Tumin
No Telefon 03-2698 7535
No Fax 03-2693 5421
E-mail smkptkl@yahoo.com

Lencana sekolah sunting

Tafsiran sunting

Obor – Melambangkan semangat perjuangan warga SMKPTKL yang berkobar-kobar dan bersungguh-sungguh serta semarak bagaikan api yang menyala pada api.

Perisai – Sebagai lambang perlindungan iaitu melindungi daripada segala gejala yang boleh merosakkan dari segi akhlak, akidah dan pemikiran murid-muridnya.

Buku - Melambangkan ketekunan dan kerajinan seorang murid menimba ilmu akan membawanya menuju kejayaan.

Gelung Putih Separuh – Melambangkan destinasi yang dituju terus ke motto sekolah ‘Tekun Belajar’.

Empat Pecahan Jalur Hijau di Antara Obor – Melambangkan proses pemupukan dan seterusnya menerapkan unsur-unsur Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek.

Warna:

  • Merah – Melambangkan kesetiaan dan ketabahan pelajar-pelajar menempuh cabaran untuk mencapai kecemerlangan iaitu kecemerlangan akademik dan seterusnya kecemerlangan dalam hidup.
  • Putih – Mewujudkan satu masyarakat pelajar yang berjiwa suci dan bersih dari segi J.E.R.I (jasmani, emosi, rohani dan intelektual) dan ketulusan budi.
  • Kuning – Melambangkan kematangan murid-murid setelah mencapai kejayaan dalam menimba ilmu.
  • Biru – Melambangkan kedamaian dalam suasana sekolah iaitu pelajar pelbagai kaum.
  • Hijau – Melambangkan usaha yang berterusan dalam menuntut ilmu sebagai satu ibadat yang wajib ditunaikan.

Reka bentuk lencana sekolah ini telah direka semula oleh Toh Puan Hajah Zainab bt. Haji Baharuddin semasa beliau menjadi pengetua SMKPTKL pada tahun 1972.[3]

Visi,Misi,Moto,Ikrar dan Falsafah sekolah sunting

Visi sekolah sunting

SMKPT Cemerlang 2015[4]

Misi sekolah sunting

Kami Warga Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak Akan Berusaha Memastikan Kurikulum Dan Kokurikulum Cemerlang, Sahsiah, Disiplin Pelajar Terpuji Dan Pengurusan Pentadbiran Yang Cekap Dengan Sokongan Komuniti Setempat.[4]

Moto sekolah sunting

Tekun belajar[5]

Ikrar sekolah sunting

Bahawasanya kami, pelajar-pelajar SMK Padang Tembak, Kuala Lumpur dengan ini berikrar dan berjanji :

Akan sentiasa mematuhi, undang-undang dan peraturan sekolah, Menghormati dan memelihara disiplin setiap masa, Patuh kepada nasihat dan teguran yang diberi, Bersama Menghargai konsep disiplin kendiri, Bersama mewujudkan,suasana disiplin yang baik dan harmoni, kepada diri dan seluruh warga sekolah kami, Menghindari segala bentuk amalan, yang bertentangan dengan prinsip dan budaya hidup kami, yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan disiplin sekolah kami.[5]

Falsafah sekolah sunting

Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak, Jalan Semarak, Kuala Lumpur ialah sebuah Institusi Pendidikan yang berpotensi melahirkan individu mempunyai keistimewaan dan keupayaan tersendiri yang boleh diperkembangkan.[6]

Pengetua sekolah sunting

Tahun menjawat[7] Nama[7]
1965-1971 Encik Yusof b. Hassan
1971-1975 Toh Puan Hajah Siti Zainab bt Haji Baharuddin
1975-1980 Encik Jamaluddin b. Ali
1980-1982 Encik Dzulkifli b. Bahari
1982-1988 Puan Hajah Hamidah bt. Hj. Shamsuddin
1988-1992 Encik Khalili b.Murshid
1992-1998 Tuan Hj. Ismail b. Shamsuddin
1998-2001 Puan Hajah Sumiah bt.Sahid
2001-2006 Puan Rohani bt. Ibrahim
2006-2007 Pn. Azizah Idris
2007-2008 Pn. Saamah Muhayat
2008 Pn. Rozah Ariffin
2008-2012 En. Naseh B. Hassan
2012-sekarang Pn Hajah Puziah Ahmad

Piagam sekolah sunting

Sesungguhnya kami, warga SMKPT Kuala Lumpur, akan sentiasa komited untuk melaksananakan peranan dinamik dan cemerlang dalam usaha untuk melahirkan warga negara yang positif dan produktif selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara dan Wawasan 2020 melalui program pendidikan yang berkualiti.[8]

  • Berusaha untuk mencapai tahap 100% kelulusan dalam peperiksaan PMR dan SPM.
  • Berusaha melaksanakan aktiviti kurikulum yang dapat membantu pelajar memperkembangkan tahap keterampilan intelek, kecemerlangan prestasi, kekuatan rohani dan keluhuran budi yang tinggi.
  • Memastikan pelajar diberi latihan kepimpinan, kemahiran dan kebolehan melaksanakan aktiviti yang terancang.
  • Mewujudkan program-program pembangunan kerohanian dan kegiatan sukan serta riadah yang berterusan.
  • Memberikan perkhidmatan yang bermutu, cekap dan berkesan yang memenuhi keperluan pelanggan.
  • Membina suasana dan persekitaran sekolah yang bersih, indah dan selamat serta kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran.

Subjek ditawarkan sunting

Penilaian Menengah Rendah (PMR) sunting

  1. Bahasa Melayu
  2. Bahasa Inggeris
  3. Matematik
  4. Sains
  5. Sejarah
  6. Geografi
  7. Pendidikan Islam
  8. Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan II (ERT)
  9. Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan IV (P&K)
  10. Bahasa Arab

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sunting

  1. Bahasa Melayu
  2. Bahasa Inggeris
  3. Pendidikan Islam
  4. Pendidikan Moral
  5. Sejarah
  6. Matematik
  7. Sains
  8. Literature in English
  9. Geografi
  10. Pendidikan Seni Visual
  11. Matematik Tambahan
  12. Perdagangan
  13. Prinsip Perakaunan
  14. Ekonomi Asas
  15. Ekonomi Rumah Tangga
  16. Reka Cipta
  17. Information and Communication Technology
  18. Fizik
  19. Kimia
  20. Biologi
  21. Tasawwur Islam
  22. Katering dan Pengajian
  23. Grafik Berkomputer

Pautan luar sunting

  1. ^ a b "Sejarah Sekolah". 25 Mac 2011. Dicapai pada 18 Ogos 2011.
  2. ^ a b "Profil sekolah". 25 Mac 2011. Dicapai pada 18 Ogos 2011.
  3. ^ "Lencana sekolah". 25 Mac 2011. Dicapai pada 18 Ogos 2011.
  4. ^ a b "Visi dan misi". 25 Mac 2011. Dicapai pada 18 Ogos 2011.
  5. ^ a b "Moto dan ikrar". 25 March, 2011. Dicapai pada 18 Ogos 2011. Check date values in: |date= (bantuan)
  6. ^ "Falsafah sekolah". 25 March, 2011. Dicapai pada 18 Ogos 2011. Check date values in: |date= (bantuan)
  7. ^ a b "Pengetua sekolah". 25 Mac 2011. Dicapai pada 18 Ogos 2011.
  8. ^ "Piagam sekolah". 25 Mac 2011. Dicapai pada 18 Ogos 2011.
  9. ^ "Subjek ditawarkan". 25 Mac 2011. Dicapai pada 18 Ogos 2011.