Topik-topik Kerajaan Rom
Kemaharajaan Rom
Republik Rom
Empayar Rom
Prinsipat Dominat
Empayar Barat Empayar Timur
Majistret biasa
Majistret luar biasa
Jawatan, gelaran, dan gelaran kehormat
Politik dan undang-undang:

Senat Rom (bahasa Latin: Senatus Romanus) ialah majlis perundingan yang merupakan sebahagian penting kerajaan bagi kedua-dua Republik Rom dan Empayar Rom. Perkataan Senatus berasal daripada perkataan bahasa Latin senex ("orang tua" atau "orang tua-tua") sekaligus difahami bermaksud sesuatu yang lebih kurang seperti "Pertetuaan".

Pengasasan sunting

Tradisi menganggap bahawa Senat ditubuhkan buat pertama kali oleh Romulus, pengasas mitos Rom, sebagai majlis penasihat yang terdiri daripada 100 ketua keluarga yang dipanggil Patres ("Bapa-bapa"). Menurut legenda, ketika permulaan Republik Rom, Lucius Junius Brutus menambah bilangan Senator menjadi tiga ratus. Mereka juga digelarkan Conscripti ("Orang Kerahan"), kerana Marcus Junius Brutus telah mengerah mereka. Oleh itu, ahli-ahli Senat digelarkan sebagai "Patres et Conscripti", yang kemudian digabungkan menjadi "Patres Conscripti" ("Bapa-bapa Kerahan").

Kuasa sunting

Penduduk-penduduk Rom dibahagikan kepada dua kelas, iaitu Senat dan Rakyat Rom (seperti dapat diperlihatkan daripada singkatan yang masyhurnya, SPQR); Rakyat Rom terdiri daripada semua warganegara Rom yang bukan ahli Senat, umpamanya marhaen dan murba. Kuasa dalam negeri terletak pada Rakyat Rom melalui Dewan Undangan Peratusan (Comitia Centuriata), Dewan Undangan Kepuakan (Comitia Tributa), dan Majlis Marhaen (Concilium Plebis). Berbeza dengan kepercayaan yang popular, Senat Rom bukannya badan perundangan; senatus consultum hanya merupakan cadangan undang-undang, bukannya undang-undang pada dirinya. Penggubalan undang-undang yang benar terletak pada dewan-dewan perundungan Rom serta Majlis Marhaen yang bertindak atas cadangan-cadangan Senat dan yang juga memilih majistret-majistret kota. Tempoh republik akhiran menukarkan haluan Budaya Rom.

Bagaimanapun, Senat Rom mempunyai pengaruh (auctoritas) yang kuat dalam politik Rom. Sebagai lambang Rom, Senat merupakan badan rasmi yang:

  • menghantar dan menerima duta-duta bagi pihak kota;
  • melantik pegawai-pegawai untuk menguruskan tanah-tanah awam — termasuk gabenor-gabenor wilayah ;
  • mengendalikan perang-perang; dan
  • memperuntukkan wang awam.

Senat juga mempunyai prerogatif untuk memberi kuasa kepada ketua-ketua majistret kota dan konsul-konsul untuk mencalonkan diktator ketika menghadapi keadaan kecemasan (biasanya ketenteraan). Pada tempoh akhiran Republik, Senat mengelakkan penggunaan diktator dengan mengambil jalan keluar melalui senatus consultum de republica defendenda. Digelarkan senatus consultum ultimum, badan ini mengisytiharkan pemerintahan tentera dan memberikan kuasa kepada konsul-konsul untuk "menjaga Republik supaya kepentingannya tidak terjejas", menurut In Catilinam, ucapan pertama Cicero.

Seperti Comitia Centuriata dan Comitia Tributa, tetapi berlainan daripada Concilium Plebis, Senat beroperasi di bawah sekatan-sekatan agama yang tertentu. Mesyuarat badan ini hanya boleh diadakan di dalam sebuah kuil yang ditahbiskan, biasanya Curia Hostilia (upacara-upacara Hari Tahun Baru diadakan di dalam kuil Jupiter Optimus Maximus, dan mesyuarat-mesyuarat perang di dalam kuil Bellona), dan sidangnya hanya boleh bermula selepas doa, persembahan, dan penerimaan petanda yang baik. Mesyuarat Senat juga hanya boleh diadakan antara matahari terbit dan matahari jatuh, dan tidak boleh diadakan ketika mana-mana satu dewan perundangan sedang bersidang.

Keahlian sunting

Senat Rom mempunyai lebih kurang 300 ahli pada tempoh pertengahan dan akhiran Republik. Keahlian dilucuti oleh penapis jika seseorang Senator dianggap "melanggar moral umum". Mengikut kelaziman, semua majistret diterima dalam Senat untuk seumur hidup, tetapi bukan semua senator merupakan majistret; mereka yang bukan majistret dipanggil senatores pedarii dan tidak dibenarkan bercakap. Oleh itu, Senat Rom didominasikan oleh keluarga-keluarga ningrat dan marhaen yang sudah mapan kerana kumpulan-kumpulan ini lebih mudah memanjat cursus honorum dan memperoleh hak-hak bercakap.

Senat Republik Akhiran sunting

Pada tempoh akhiran Republik, sebuah puak yang amat konservatif termuncul, diketuai berturut-turut oleh Marcus Aemilius Scaurus, Quintus Lutatius Catulus, Marcus Calpurnius Bibulus dan Cato si Lebih Muda, dan yang menggelarkan diri sebagai boni ("Orang-orang Baik") atau Optimat. Republik tempoh akhiran disifatkan dengan ketegangan sosial antara puak Optimat dengan orang kaya baru (nouveau riche atau Populares) yang semakin menunjukkan kemarahan, keganasan, dan resahan awam yang garang; contoh-contoh Optimat termasuk Lucius Cornelius Sulla, dan Pompey Agung, sedangkan Gaius Marius, Lucius Cornelius Cinna dan Julius Caesar merupakan Populares. Bagaimanapun, label-label Populares dan Optimat tidak begitu konkrit sebagaimana yang kekadang dianggap, dan ahli-ahli politik seringnya menukarkan puak mereka.

Hierarki sunting

Kedua-dua konsul bersilih ganti setiap bulan sebagai presiden Senat, sedangkan princeps senatus bertindak sebagai ketua dewan. Jika kedua-dua konsul tidak hadir (biasanya kerana peperangan), majistret kanan yang seringnya merupakan Praetor Urbanus akan bertindak sebagai presiden. Pada asalnya, pengemukaan perkara-perkara kepada Senat, baik cadangan sendiri mahupun cadangan-cadangan daripada senator-senator, adalah tugas presiden tetapi ini kemudian menjadi domain princeps. Antara senator-senator yang mempunyai hak bercakap, satu susunan yang tegar mentakrifkan siapa yang boleh bercakap dahulu, dengan ningrat selalu mendahului marhaen yang mempunyai pangkat yang sama, dan dengan princeps bercakap dahulu.

Amalan utama sunting

Perdebatan dalam Senat tidak dihadkan dan amalan yang kini dipanggil ucapan penghalang atau merundingkan merupakan muslihat pilihan (satu amalan yang masih diterima di Kanada, United Kingdom, dan Amerika Syarikat pada hari ini). Pengundian diadakan melalui bersuara ataupun menunjukkan tangan bagi perkara-perkara yang tidak penting, tetapi untuk perkara-perkara yang penting atau formal, keputusan dibuat melalui pembahagian dewan; satu korum untuk urusan diperlukan, tetapi tidaklah diketahui bahawa korum ini terdiri daripada berapa senator. Senat ini dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan yang terdiri daripada sepuluh ahli, dengan setiap kumpulan diketuai oleh seorang ningrat. Oleh itu, sekurang-kurang 30 orang senator ningrat diperlukan untuk membentukkan korum.

Gaya pakaian sunting

Semua senator berhak memakai cincin senator (pada asalnya diperbuat daripada besi, tetapi kemudiannya diperbuat daripada emas; keluarga-keluarga ningrat yang lama seperti Julii Caesares meneruskan memakai cincin besi sehingga akhir Republik) dan tunik putih (tunica clava) dengan jalur ungu yang berukuran 13 sentimeter lebar pada bahu kanan. Senator pedarius memakai toga virilis (juga dipanggil toga pura) yang putih tanpa hiasan (kecuali yang diterangkan di atas), sedangkan seorang senator yang pernah memegang jawatan majistret kurul berhak memakai toga praetexta, sejenis toga putih dengan tepi ungu yang lebar. Serupa juga, semua senator memakai kasut kulit tertutup yang berwarna merah manggis, tetapi senator-senator yang pernah menyandang jawatan majistret kurul menambahkan satu gancu berbentuk bulan sabit. Semua senator dilarang melibatkan dalam sebarang perniagaan yang tidak kena mengena dengan pemilikan tanah, tetapi peraturan ini seringnya tidak diendahkan.

Kelas penunggang kuda sunting

Sehingga 123 SM, semua senator juga merupakan penunggang kuda, biasanya dipanggil sebagai "knights" (kesatria) dalam karya-karya bahasa Inggeris. Pada tahun itu, Gaius Sempronius Gracchus menggubal undang-undang untuk memisahkan golongan senator menjadi dua kelas, dan mengasaskan golongan penunggang kuda sebagai Ordo Equester ("Darjah Penunggang Kuda"). Usahaniaga penunggang-penunggang kuda tidak disekat dan golongan ini datangnya daripada kuasa plutokrasi yang amat kuat dalam politik Rom. Anak-anak lelaki senator dan ahli-ahli bukan senator dalam keluarga-keluarga senator terus dikelaskan sebagai penunggang kuda dan berhak memakai tunik dengan jalur ungu yang sempit (7.5 sentimeter) sebagai peringatan tentang asal kesenatoran mereka.

Kemerosotan Senat (abad pertama SM - abad ke-6 Masihi) sunting

Julius Caesar memperkenalkan sejenis keahlian Senat yang berlainan semasa kediktatorannya. Beliau menambah bilangan keahlian sehingga 900 orang dan memasukkan banyak warganegara Rom daripada latar belakang Latin dan Itali, termasuk penyokong-penyokong setia yang membuktikan kecekapan dan keberanian mereka semasa perang-perang saudara. Walaupun bertujuan untuk melemahkan kuasa puak-puak reaksioner seperti "Orang-orang Baik", pembaharuan ini mengakibatkan Senat tidak lagi penting, disebabkan badan itu dikuasai oleh pemerintahan tertinggi. Sebagai saki-baki bekas diri, Senat Rom terus kekal dalam politik Rom sehingga keakhiran Empayar Rom Barat tetapi tidak pernah memperoleh semula penguasaannya yang dahulu. Perbuatan terakhirnya yang dicatatkan ialah penghantaran dua perwakilan kedutaan ke istana Tiberius II Constantine di Constantinople pada tahun 578 dan 580.

Senat Rom Timur sunting

Pada waktu yang sama, satu Senat yang berasingan telah ditubuhkan oleh Constantine I di Constantinople yang kekal dari segi nama, jika bukan dari segi kepentingan, selama berabad-abad; sila lihat Senat Byzantine.

Rujukan sunting

  • The Histories (Sejarah-sejarah) oleh Polybius
  • Cambridge Ancient History (Sejarah Kuno Cambridge), Jilid 9-13.
  • F. Millar, The Emperor in the Roman World (Maharaja di Dunia Rom), Duckworth, 1977, 1992.
  • M. Crawford, The Roman Republic (Republik Rom), Percetakan Fontana, 1978.
  • A. Cameron, The Later Roman Empire (Empayar Rom Akhiran), Percetakan Fontana, 1993.

Lihat juga sunting