Setiu merupakan salah satu daerah di negeri Terengganu, Malaysia. Daerah ini bersempadan dengan daerah Besut di utara, daerah Hulu Terengganu di barat, daerah Kuala Nerus di selatan, daerah Kuala Terengganu di tenggara dan Laut Cina Selatan di timur. Jumlah penduduk di daerah Setiu ialah seramai 59.651 orang (2020). Bandar Permaisuri ialah ibu daerah Setiu yang berperanan sebagai pusat pentadbiran dan komersial utama yang terletak di bahagian tengah daerah ini. Bandar-bandar utama lain di Setiu ialah Sungai Tong dan Chalok.

Daerah Setiu
ستيو
Lokasi Daerah Setiu di Terengganu
Lokasi Daerah Setiu di Terengganu
Setiu is located in Bumi
Setiu
Setiu (Bumi)
Koordinat: 5°35′N 102°45′E / 5.583°N 102.750°E / 5.583; 102.750Koordinat: 5°35′N 102°45′E / 5.583°N 102.750°E / 5.583; 102.750
Negara Malaysia
Negeri Terengganu
PusatBandar Permaisuri
Pihak berkuasa tempatanMajlis Daerah Setiu
Kerajaan
 • Pegawai daerahHaji Mohd Sophian bin Abu Bakar[1]
Keluasan
 • Jumlah1,304.36 km2 (503.62 batu persegi)
Penduduk
 (2020)[3]
 • Jumlah59,651
 • Kepadatan46/km2 (120/batu persegi)
Zon waktuUTC+8 (MST)
 • Musim panas (DST)UTC+8 (Tidak dinilai)
Poskod
22xxx
Kod panggilan+6-09-6
Awalan plat kenderaanT

Etimologi sunting

Nama Setiu dikatakan berasal daripada nama seorang pahlawan Bugis yang bernama Tok Setiu. Beliau bersama pengikutnya melarikan diri dari tempatnya akibat kalah berperang dan tidak mahu hidup bertuankan Belanda. Setelah beberapa lama belayar mereka tiba di Terengganu yang berada di bawah pemerintahan Sultan Ahmad II.

Dengan restu Sultan Ahmad II, beliau membuka perkampungan yang dinamakan Kampung Bukit Tok Setiu. Tok Setiu mendapat tentangan daripada Tok Itam dan orang-orangnya kerana berebut suatu kawasan sehingga tercetusnya peperangan. Dalam peperangan tersebut, pihak Tok Setiu menerima kekalahan. Tok Setiu lalu memohon bantuan daripada Tok Serban Kuning seterusnya dapat mengalahkan pihak Tok Itam.

Kemenangan Tok Setiu telah mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai ketua di kampungnya dan menyebabkan pengaruh beliau semakin kuat. Semasa pimpinannya, beliau telah meninggalkan banyak jasa antaranya membuat tandak-tandak sungai untuk memudahkan pengaliran air dari sungai ke sawah-sawah.

Selain daripada bertugas sebagai ketua kampung, Tok Setiu juga berperanan sebagai guru silat dimana ramai penduduknya yang belajar daripadanya. Tok Setiu meninggal dunia setelah bertikam dengan adiknya akibat fitnah dan dikuburkan berhampiran dengan rumahnya. Kemasyhuran nama Tok Setiu telah mendorong kepada penduduk kampung menamakan tempat itu sebagai Setiu.[4]

Pembentukan Daerah Setiu sunting

Seawal tahun 1921, Terengganu telah dibahagikan kepada lapan daerah dengan salah satunya merupakan Setiu. Pada tahun 1923, daerah Setiu dihapuskan dan digantikan dengan daerah Kemaman. Pada tahun 1935, daerah Setiu diwujudkan semula dengan penambahan jumlah daerah di Terengganu kepada 10. Namun pada tahun yang sama, daerah Setiu dan Besut telah dicantumkan menjadi daerah Besut setelah perubahan sempadan daerah oleh Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri Terengganu.Pada 1 Januari 1985, daerah Setiu diwujudkan semula dengan cantuman beberapa buah mukim di daerah Kuala Terengganu dan Besut.[4]

Geografi sunting

Setiu terletak di pantai timur semenanjung Malaysia dalam negeri Terengganu. Kedudukan daerah Setiu dalam negeri Terengganu adalah di bahagian utara negeri ini, bersempadan dengan daerah Besut di utara, Hulu Terengganu di sebelah barat dan selatan, manakala sempadan di sebelah tenggara adalah daerah baru di Terengganu iaitu Kuala Nerus yang sebelum ini adalah sebahagian daripada daerah Kuala Terengganu. Namun begitu, Setiu masih lagi bersempadan dengan kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu kerana daerah Kuala Nerus masih dibawah pentadbiran (PBT) yang sama dengan daerah Kuala Terengganu.

Bahagian timur daerah ini adalah Laut China Selatan dengan kawasan persisiran pantai yang landai, hutan pantai dipenuhi dengan pohon rhu, nipah dan hutan paya bakau. Terdapat juga beberapa buah pulau iaitu Pulau Bidong, Pulau Gemia, dan Pulau Lang Tengah. Kedudukan Pulau Redang secara geografinya adalah berada paling hampir dengan daerah Setiu tetapi telah dijadikan sebahagian daripada mukim dalam daerah Kuala Terengganu. Terdapat kawasan dataran tanah pamah dan gambut yang luas di sebelah timur daerah ini, kebanyakannya telah di tebus guna untuk aktiviti pertanian komersial.

Laguna Setiu (Setiu Wetlands) atau Tanah Bencah Setiu, sebahagian daripada ekosistem Lembangan Sungai Setiu dan juga sistem yang lebih besar gabungan lembangan tanah lembap kompleks Setiu-Chalok-Bari-Merang terletak di timur daerah Setiu. Berkeluasan 23,000 hektar, ia terdiri daripada lapisan hutan riparian tebing sungai, paya gambut, paya bakau, lagun air payau dengan tumbuhan dan pulau-pulau pasir, katil rumput laut dan pantai berpasir.

Di Malaysia, hanya tanah lembap di daerah Setiu mempunyai sembilan ekosistem yang saling berhubungan iaitu laut, pantai, lumpur, lagun, muara, sungai, pulau, hutan di sepanjang pantai dan paya bakau.

Kawasan berbukit bukau dan bercerun mendominasi sebahagian besar daerah Setiu di bahagian barat. Disini terdapatnya kawasan hutan hujan tropika yang masih dijaga dengan baik, menjadi kawasan tadahan hujan dan hulu sungai kepada beberapa batang sungai.

Demografi sunting

Berdasarkan bancian Malaysia 2020, jumlah penduduk di Daerah Setiu ialah seramai 59,651 orang dengan kepadatan penduduk 46 orang perkilometer persegi yang dikategorikan sebagai taburan penduduk jarang. Majoriti penduduk di daerah Setiu berbangsa Melayu, seramai 58,041 orang.[5][6]

Bilangan penduduk mengikut bangsa pada tahun 2020.[5]
Status Bangsa Jumlah
Warganegara Melayu 58,041
Bumiputera lain 89
Cina 65
India 23
Lain-lain 95
Bukan warganegara - 1,338
Jumlah 59,651

Agama sunting

Di daerah Setiu , agama Islam merupakan agama paling ramai penganut dengan peratusan 99 peratus. Agama lain seperti Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain serta tidak beragama mencatatkan kurang satu peratus.[6]

Bahasa sunting

Majoriti penduduk Setiu menggunakan bahasa Kelantan sebagai bahasa ibunda, dengan minoriti menggunakan bahasa Terengganu dialek Pesisir yang sama dengan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Akan tetapi di pendalaman Setiu terutama sekali di mukim Hulu Nerus, beberapa buah kampung disana menggunakan bahasa Terengganu dialek Hulu atau lebih dikenali sebagai "bahasa Kuala Berang" sebagai bahasa ibunda. Bahasa Malaysia piawai, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab juga diajarkan di sekolah-sekolah di dalam daerah tersebut.

Kemudahan sunting

Terdapat pelbagai kemudahan yang dibina di seluruh daerah Setiu. Terdapat sebanyak 56 buah sekolah di daerah ini;[7]

Jenis sekolah Bilangan
Sekolah Kebangsaan 43
Sekolah Menengah Kebangsaan 10
Sekolah Menengah Agama 1
Sekolah Berasrama Penuh 1
Sekolah Model Khas 1

Daerah Setiu juga mempunyai lapan buah balai polis, sebuah balai bomba, sebuah hospital daerah, klinik kesihatan dan klinik desa di sekitar daerah.

Ekonomi sunting

Pertanian adalah industri utama di daerah Setiu yang mempunyai dataran tanah pamah dan gambut yang luas untuk diusahakan. Tanah jenis aluvium ini sangat sesuai untuk aktiviti pertanian dan perladangan. Di antara tanaman komersial yang diusahakan di Setiu adalah tembakau, tembikai, kelapa, buah naga, roselle, vanila, gajus, nenas, jarak dan pelbagai jenis sayur, kebanyakan tanaman jenis ini diusahakan di sebelah timur daerah ini kerana kesesuaian tanah di kawasan itu. Setiu juga mendapat jolokan sebagai periuk nasi negeri Terengganu bersama sama dengan daerah Besut kerana terdapatnya jelapang Padi yang diusahakan secara meluas di sini, penanaman padi boleh dijumpai di Kampung Bukit Layat, Kampung Jelapang, Kampung Banggol, Kampung Tasek dan Kampung Bukit Kemudu. Terusan dibina bagi mengairi sawah padi.

Bagi menjamin keselamatan makanan negara, Projek Agropolitan Besut-Setiu di Langkap, Setiu yang dibangunkan oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah dilancarkan, projek membabitkan penternakan Biri-biri jenis Dorper secara komersial dan sistematik. Projek Agropolitan Besut-Setiu dilaksanakan atas tanah seluas 236 hektar merangkumi penempatan peserta, kemudahan asas, kawasan penanaman rumput Napier, kawasan padang ragut dan kandang bagi 4,680 ekor ternakan (setakat September 2013).

Perladangan kelapa sawit dan getah adalah komoditi utama yang diusahakan di Setiu. Kebanyakan ladang ini adalah diusahakan dan dibangunkan oleh pihak seperti Felda, RISDA, dan TDM iaitu syarikat perladangan milik kerajaan negeri Terengganu. Bagi menampung kapasiti pengeluaran hasil ladang di sini, kilang kelapa sawit telah dibina di Sungai Tong dan Felda Chalok, terdapat juga sebuah kilang pemprosesan getah asli di Felda Chalok Barat.

Pelancongan sunting

Daerah Setiu mempunyai pelbagai bentuk muka bumi yang menjadi aset untuk menarik kedatangan pelancong ke sini. Di sebelah timur daerah ini adalah persisiran pantai terbentang luas dengan Laut China Selatan yang membiru serta ditambah pula dengan beberapa gugusan pulau tropika yang kaya dengan variasi pelbagai spesis hidupan marin yang pastinya menjadi syurga kepada peminat selam skuba, khazanah laut ini dipulihara rapi dengan sesetengah kawasan terumbu karang diwartakan sebagai taman laut termasuk membina beberapa tukun tiruan untuk mengalakkan pembiakan populasi hidupan marin. Dataran hutan pantai dengan tanah beris putih yang terdapat di hampir separuh keluasan daerah ini juga bukan sahaja sesuai untuk pertanian malah turut menjadi tarikan kepada peminat sukan Ekuistrian atau berkuda dari dalam dan luar negara untuk menerokai trek bentuk muka bumi disini pula. Setiap tahun pelbagai kejohanan kuda lasak diadakan disini seperti Sultan Mizan Cup dan kejohanan peringkat dunia World Endurance Championship. Geografi di sebelah barat daerah ini adalah lebih berbukit bukau yang mengunjur kearah Tanah Tinggi Terengganu yang menjadi hulu sungai kepada beberapa batang sungai utama seperti Sungai Setiu, Sungai Nerus, Sungai Chalok, Sungai Bari, dan Sungai Merang dimana terdapatnya beberapa jeram, lata dan air terjun yang indah di tengah hutan belantara yang masih belum terusik oleh pencemaran, tempat seperti ini sesuai untuk sukan reakreasi air seperti kayak atau sekadar berkunjung untuk beriadah. Diantara destinasi kunjungan popular di Setiu adalah :-

  1. Pulau Redang
  2. Pulau Bidong
  3. Pulau Gemia
  4. Pulau Lang Tengah
  5. Terengganu International Endurance Park(TIEP)
  6. Lata Payung
  7. Lata Changkah
  8. Pantai Rhu Sepuluh
  9. Gunung Tebu
  10. Laguna Setiu, Setiu Wetland
  11. Kampung Budaya Terrapuri

Galeri sunting

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Administrator. "Laman Web Rasmi Pejabat Daerah Dan Tanah Dungun". pdtsetiu.terengganu.gov.my.
  2. ^ Administrator. "LATARBELAKANG DAERAH SETIU". pdtsetiu.terengganu.gov.my.
  3. ^ "Key Findings of Population and Housing Census of Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
  4. ^ a b "Latar Belakang Daerah Setiu". pdtsetiu.terengganu.gov.my. 24 April 2014. Dicapai pada 22 Disember 2023.
  5. ^ a b "MyCendash-Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". dosm.gov.my. Jabatan Perangkaan Malaysia. Dicapai pada 2023-12-16.
  6. ^ a b "Indikator Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Pihak Berkuasa Tempatan" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-253-697-0. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2023-07-24. Dicapai pada 2023-07-24.
  7. ^ "Sekolah di PPD Setiu-Data Sekolah di Malaysia". myschool.daa-taa.com. Dicapai pada 2023-12-16.

Pautan luar sunting