Simen (Mal., Sin.;[1][2] Jawi: سيمين) atau semen (Ind.[2][3]) ialah komponen utama yang penting dalam industri pembinaan. Ia merupakan sejenis debu lembut yang mengeras apabila dicampur dengan air disebabkan tindak balas kimia yang menukarkan debu simen menjadi hablur-hablur yang saling berpaut sehinggalah simen itu menjadi keras.

Pekerja membancuh simen untuk dilaputi pada dinding binaan

Kedua-dua "simen" dan "semen" (masing-masing pinjaman Inggeris dan Belanda cement yang berbeza sebutan) datang daripada akar bahasa Latin caementum,[4] yakni bahan sampingan termasuklah abu gunung berapi dan ketulan batu bata ditambah kepada sebatian yang digunakan para tukang batu Rom Purba untuk menghasilkan bahan binaan khusus bernama opus caementicium.

Penghasilan sunting

Simen ialah bahan buatan daripada hasil campuran tanah liat dan batu kerikil atau batu baur. Campuran ini dipanaskan ke suhu setinggi 1400 °C membentuk clinker atau batu hangus yang kemudian ditumbuk halus menjadi tepung. Dalam kebanyakan projek pembinaan, jenis simen yang digunakan adalah daripada jenis Portland yang bergred 20.

Agregat sunting

Di sini agregat mempunyai dua jenis iaitu halus dan kasar. Bagi jenis halus ia terdiri daripada bahan seperti pasir manakala bagi jenis kasar pula terdiri daripada bahan batu baur.

Pasir sunting

Pasir ialah komponen utama dalam mortar dan juga komponen kedua terpenting dalam pembuatan konkrit. Dalam pembuatan mortar mahupun konkrit, ia mestilah bersih dan tidak mengandungi bahan bendasing di dalamnya semasa kerja-kerja pembancuhan dilakukan. Hal ini adalah untuk meningkatkan mutu pembinaan sesebuah bangunan itu sendiri.

Pasir digunakan bersama simen untuk kerja-kerja pembinaan dinding, tiang, bahagian atas tembok, aras lantai, rasuk tanah, tangga dan juga teres. Dalam projek pembinaan , biasanya dua gred pasir digunakan iaitu daripada jenis 1:3 dan 1:6 iaitu bahagian simen dan pasir dicampurkan sekali.

Batu kerikil/baur sunting

Batu kerikil atau batu baur ialah komponen utama dalam pembinaan struktur konkrit. Ia memainkan peranan yang penting dalam proses membancuh konkrit. Batu baur kasar terdiri daripada serpihan batu yang saiznya melebihi 5 mm sehingga saiz maksimum yang dibenarkan untuk kerja-kerja konkrit yang tertentu, biasanya tidak melebihi 50 mm.

Batu ini yang jenis kasar boleh didapati dari lombong atau kuari batu di mana batu besar yang diperolehi dihancurkan mesin dan digredkan mengikut kegunaannya yang tertentu. Kadangkala batu baur besar juga diperolehi dari sungai. Jenis batu ini biasanya berbentuk bulat dan permukaannya licin.

Bagi batu baur yang keras, padat dan tahan lasak menghasilkan konkrit yang bermutu tinggi. Jenis batu yang lazimnya digunakan dalam industri pembinaan tempatan ialah batu granit dan batu kapur kerana dua jenis batu ini mudah didapati dan harganya murah. Bagi kebanyakan projek pembinaan, agregat kasar yang digunakan ialah gred 20.

Rujukan sunting

  1. ^ simen. Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia – melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu.
  2. ^ a b di Istilah MABBIM: "cement". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 6 Mac 2021.
  3. ^ semen. Kamus Besar Bahasa Indonesia Daring. Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa. 2016.
  4. ^ "cement - (snel verhardend bindmiddel)". EtymologieBank, memetik:CS1 maint: postscript (link)
    • van der Sijs, Nicoline (2010). "cement". Nederlandse woorden wereldwijd. Den Haag: SDU Uitgevers. ISBN 9789012582148.
    • M. Philippa, F. Debrabandere, A. Quak, T. Schoonheim & N. van der Sijs, penyunting (2009). "cement". Etymologisch Woordenboek van het Nederlands. Amsterdam.CS1 maint: multiple names: editors list (link)