Hanyutan benua

(Dilencongkan dari Teori hanyutan benua)

Teori hanyutan benua menyatakan bahawa benua-benua Bumi bergerak berbanding satu sama lain di atas dasar lautan. Teori ini mula-mula dicadangkan oleh Abraham Ortelius pada tahun 1596.[1] Konsep ini lalu dibangunkan dan diperkenalkan oleh Alfred Wegener pada tahun 1912. Teori hanyutan benua kini diikuti oleh teori plat tektonik yang menjelaskan pergerakan benua-benua Bumi dengan lebih tepat.

Lakaran oleh Antonio Snider-Pellegrini yang menggambarkan Atlantik yang tertutup dan terbuka (1858).

Sejarah sunting

Sejarah awal sunting

Abraham Ortelius (Ortelius 1596), Theodor Christoph Lilienthal (1756), Alexander von Humboldt (1801 and 1845), Antonio Snider-Pellegrini (Snider-Pellegrini 1858), dan ramai lagi sedar bahawa bentuk benua di bahagian Lautan Atlantik yang bertentangan kelihatan seakan-akan serupa (persamaan ini paling ketara di antara benua Afrika dan Amerika Selatan) dan boleh dipadankan. W. J. Kious telah menggambarkan apa yang difikirkan oleh Ortelius seperti berikut:

Abraham Ortelius di dalam hasil kerjanya Thesaurus Geographicus ... mencadangkan bahawa kedua-dua benua Amerika telah "terkoyak dari Eropah dan Afrika ... melalui gempa bumi dan banjir" dan berkata: "Kesan-kesan rekahan itu amat jelas, jika seseorang melihat peta dunia dan memikirkan betul-betul tentang pesisir pantai ketiga-tiga [benua] itu."

Pada 1889, Alfred Russel Wallace mengatakan "Asalnya, ia merupakan satu kepercayaan yang sangat umum, malah di kalangan ahli geologi, tetapi ciri-ciri hebat yang terdapat di permukaan Bumi, tidak kurang daripada yang kecil, adalah terdedah kepada perubahan yang berterusan, dan dalam jangka masa waktu geologi yang diketahui, benua-benua dan lautan-lautan yang hebat telah bertukar tempat antara satu sama lain berulang kali." Beliau memetik kata-kata Charles Lyell "Oleh itu, benua-benua, walaupun kekal selama beberapa zaman geologi, mengubah kedudukannya secara keseluruhan dalam jangka masa beberapa zaman" dan mendakwa orang pertama yang meragukan hal ini ialah James D. Dana pada 1849.

Dalam tulisannya; Manual of Geology (1863), Dana berkata "Semua benua dan lautan memiliki garis bentuk atau rupa yang telah ditentukan sejak azali lagi. Ini telah dibuktikan berkenaan Amerika Utara daripada kedudukan dan penyebaran lapisan-lapisan mendapan pertama usia Silur - yang dari zaman Potsdam - dan ini mungkin akan membuktikan keadaan zaman primordial benua-benua lain juga". Dana sangat berpengaruh di Amerika - buku Manual of Mineralogy karangannya masih lagi diterbitkan dalam bentuk yang telah disemak semula - dan teori beliau dikenali sebagai Teori Ketetapan (Permanence theory).

Rujukan sunting

  1. ^ USGS:Historical perspective on plate tectonics, semakan terakhir 19 September 2011.