The Happiest Millionaire


The Happiest Millionaire ialah sebuah filem muzikal terbitan Disney tahun 1967 yang dibintangi oleh Fred MacMurray dan berdasarkan kisah benar seorang jutawan asal Philadelphia yang bernama Anthony J. Drexel Biddle. Filem ini menerima pencalonan Anugerah Akademi untuk Rekaan Busana Terbaik buat Bill Thomas. Skor muzik digubah oleh Robert dan Richard Sherman. Lakon layarnya ditulis oleh AJ Carothers berasaskan drama yang diadaptasikan daripada cereka My Philadelphia Father oleh Cordelia Drexel Biddle.[1] Inilah filem terakhir yang melibatkan Walt Disney yang meninggal dunia sewaktu penerbitan filem ini.

The Happiest Millionaire
Fail:The Happiest Millionaire - 1967 - Poster.png
1967 Theatrical poster
PengarahNorman Tokar
PenulisCordelia Drexel Biddle(book)
A.J. Carothers
Dihasilkan olehWalt Disney
Bill Anderson
DibintangiFred MacMurray
Tommy Steele
Greer Garson
Gladys Cooper
Geraldine Page
Hermione Baddeley
John Davidson
Lesley Ann Warren
Muzik olehLagu:
Richard M. Sherman
Robert B. Sherman
Skor:
Jack Elliott
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehBuena Vista Distribution Company
Tarikh tayangan
23 Jun 1967
Masa tayangan
144 minit
164 minit (Theatrical)
172 Min (Director's Cut)
NegaraAmerika Syarikat/Kanada
BahasaInggeris

Bill Thomas, pereka busana yang mencecah takat 200 filem pada tahun 1965, mereka lebih daripada 250 helai busana yang serba mewah bagi pelakon-pelakon utama filem ini sahaja. Lebih 3000 helai pakaian lengkap yang bernilai $250,000 diperlukan untuk seluruh penerbitan.

Plot sunting

Kisahnya bermula pada musim luruh 1916, mengenai seorang pendatang Ireland bernama John Lawless (Tommy Steele) yang memohon jawatan butler untuk berkhidmat di bawah seorang jutawan yang aneh laku, iaitu Anthony J. Drexel Biddle (Fred MacMurray). Walaupun keluarga Biddle agak pelik, namun Lawless mampu membiasakan dirinya dan disukai oleh Mr. Biddle. Dalam babak-babak yang seterusnya, Lawless bertindak sebagai pencerita dan pengulas.

En. Biddle meluangkan masa di Biddle Boxing and Bible School (yang terletak di kandang kudanya) dan juga bersama aligator belaan di rumah pemuliharaannya. Dia juga amat berharap agar Amerika Syarikat melibatkan diri dalam perang di Eropah (Perang Dunia I) meskipun kerajaan mengamalkan dasar berkecuali. Isterinya, Cordelia (Greer Garson) menerima kelakuannya yang aneh dengan rasa penuh bangga. Dua anak lelaki mereka, iaitu Tony (Paul Petersen) dan Livingston (Eddie Hodges) menuju ke sekolah asrama dan tidak kelihatan dalam filem ini lagi. Anak perempuan mereka pula, Cordy (Lesley Ann Warren, dalam julung kalinya berlakon dalam filem), ialah seorang tomboi yang berkelakuan langsang, diajar oleh guru peribadi dan jarang bergaul dengan masyarakat jelata. Cordy hampa dengan kesukarannya untuk menarik pelamar dan ingin melihat dunia di luar mahligai Biddle.

Setelah didesak oleh ibu saudaranya, Mary (Gladys Cooper) dan Cordy sendiri, En. Biddle dengan berat hatinya membenarkan Cordy pergi ke sekolah asrama juga. Di sana, teman sebilik Cordy mengajarnya cara untuk memikat lelaki dengan sifat-sifat kewanitaan yang digelar "Bye-Yum Pum Pum". Di sebuah majlis tarian sosial yang diacarakan oleh ibu bapa saudaranya, Cordy berjumpa lalu jatuh cinta dengan Angier Buchanan Duke (John Davidson, dalam julung kalinya berlakon dalam filem). Angie menceritakan kepada Cordy rasa kagumnya akan ciptaan kereta baru serta keinginannya untuk berpindah ke Detroit, Michigan untuk mencari rezeki daripada mengambil alih perniagaan tembakau keluarganya.

Pada musim sejuk, Cordy kembali ke rumah asalnya untuk memberitahu ibu bapanya bahawa dia sudah bertunang. Pada mulanya, En. Biddle sukar menerimanya kerana tidak ingin melepaskan puteri kesayangannya. Akan tetapi, setelah berjumpa dengan Angie dan menyaksikan kemahiran Jiu Jitsu yang dipamerkan oleh si tunang itu, En. Biddle akhirnya menerima pertunangan tersebut. Selepas itu, Cordy dan Angie pergi ke Bandar Raya New York untuk berjumpa dengan ibunya (Geraldine Page). Tidak lama kemudian, keluarga Biddle dan keluarga Duke membuat persiapan untuk majlis perkahwinan yang penuh kebesaran.

Akan tetapi, Cordy sering disakiti oleh komen-komen yang mengaibkan daripada ibu Angie. Lebih memburukkan keadaan, perancangan keluarga masing-masing untuk perkahwinan itu membuatkan Cordy dan Angie berasa tersisih. Ketegangan ini memuncak apabila Cordy sedar bahawa Angie telah mengetepikan rancangan untuk ke Detroit demi mengambil tempatnya dalam perniagaan keluarganya atas kehendak ibunya. Dengan marahnya Cordy membatalkan perkahwinan itu, menyelar Angie sebagai anak manja ibunya, sehingga Angie meluru keluar dari rumah. Kedua-dua keluarga mereka pun kecundang dalam pergolakan. En. Biddle menghantar John Lawless untuk memujuk Angie.

John menjumpai Angie di sebuah kedai arak setempat sambil memikirkan tindakan seterusnya. Dalam babak nyanyian sambil menari yang merangsangkan, John cuba memujuk Angie agar balik ke pangkuan Cordy. Namun, Angie berdegil dan memikirkan cara lain untuk mengatasi masalah-masalahnya, antaranya termasuk hasrat untuk menyertai Legion Asing. Angie tanpa sengaja mencetuskan pergaduhan dalam kedai arak (dengan sedikit bantuan daripada John) lalu dihumban ke penjara.

Keesokan pagi, En. Biddle datang untuk menjamin Angie. Dia memujuk Angie supaya melupakan impiannya dan menerima tempatnya dalam perniagaan keluarga. Kata-katanya itu menimbulkan kesan yang dikehendaki, iaitu mendorong Angie untuk melanggar pesan ibunya lalu berkahwin lari dengan Cordy ke Detroit. Bagaimanapun, Cordy percaya bahawa bapanya memujuk Angie. Oleh itu, untuk membuktikan keikhlasannya, Angie menjunjung Cordy keluar dari bangunan penjara sambil mendengar sorakan para banduan, untuk memulakan kehidupan yang baru (Versi pendek berakhir di sini).

Sebaik sahaja pasangan Biddle pulang, sekumpulan wakil Kor Marin tiba untuk memaklumkannya bahawa dia dilantik sebagai "kapten sementara" di Kor Marin dan dikehendaki segera ke Pulau Parris untuk membantu melatih para rekrut memandangkan Amerika sudah terlibat dalam perang. En. Biddle dengan sukacitanya menerima pelawaan itu, lalu diucap tahniah oleh para pelajar Bible Boxing Class yang muncul secara tiba-tiba. Di sebalik senarai penghargaan penutup, kelihatan sebuah kereta yang menuju ke arah latar langit bandar raya (nampaknya seperti Detroit) yang dipenuhi dengan kilang-kilang yang meruahkan asap yang menghitamkan langit kota.

Lagu sunting

  1. "Fortuosity"
  2. "What's Wrong with That?"
  3. "Watch Your Footwork"
  4. "Valentine Candy"
  5. "Strengthen The Dwelling"
  6. "I'll Always Be Irish"
  7. "Bye-Yum Pum Pum"
  8. "Are We Dancing"
  9. "Detroit"
  10. "I Believe in This Country"
  11. "There Are Those"
  12. "Let's Have A Drink On It"
  13. "It Won't Be Long 'Til Christmas (Let Them Go)" (Roadshow sahaja)

Perbezaan versi sunting

Filem ini dipratayangkan pada tempoh 172 minit, termasuk overtur, muzik waktu rehat, muzik selingan, dan muzik keluar. Bagaimanapun, pihak Disney memutuskan untuk memendekkan filem ini kepada 160 minit untuk tayangan perdana. Disebabkan sambutan yang kurang memuaskan daripada pengulas dan pengunjung pawagam, pihak studio memotongnya lagi kepada 144 minit. Setelah sekali lagi gagal menyelesaikan masalah itu, filem itu dipotong lagi menjadi 118 minit. Versi lengkap 172 minit dipulihkan untuk tayangan Disney Channel dan keluaran DVD, begitu juga dengan versi-versi yang lebih singkat itu. Versi penuh bergelar edisi "Road Show".

Rujukan sunting

  1. ^ p.55 Burt, Nathaniel The Perennial Philadelphians: The Anatomy of an American Aristocracy 1999 University of Pennsylvania Press

Pautan luar sunting