Tongkang Pechah merupakan salah satu pekan di Daerah Batu Pahat, Johor, Malaysia. Terletak kira-kira 15 km dari Bandar Batu Pahat, Tongkang Pechah terletak di tengah-tengah antara Pekan Parit Sulong dan Seri Medan. Di sini juga merupakan kawasan percantuman antara 2 sungai utama di Batu Pahat, iaitu Sungai Simpang Kanan dan Sungai Simpang Kiri. Tongkang Pechah merupakan Mukim Ke-6 menurut sistem mukim di Daerah Batu Pahat.

Tongkang Pechah agak terkenal di dalam dan luar Johor kerana di sinilah beroperasinya 3 kilang pembuat biskut terkenal di Malaysia, iaitu Munchy, Hup Seng dan Hwa Tai. Selain daripada itu, terdapat juga kilang-kilang lain terbina di pekan ini, terdiri daripada kilang pembuatan tekstil, makanan ringan dan plastik. Getah dan kelapa sawit juga merupakan sumber mata pencarian bagi penduduk di sekitar pekan ini.