Pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali

(Dilencongkan dari Tragedi Batang Kali 1948)

Pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali berlaku pada 12 Disember, 1948 apabila 24 orang penduduk kampung menjadi mangsa pembunuhan kejam yang dilakukan oleh tentera Britain memburu anggota Parti Komunis Malaya. Pembunuhan beramai-ramai ini berlaku apabila Platun Ke-7, Kompeni Golf mengepung sebuah kebun getah di Sungai Rimoh, Batang Kali, Selangor dan melepaskan tembakan ke atas 24 orang penduduk kampung yang tidak bersenjata dengan disaksikan isteri dan anak-anak mereka.

Siasatan awal sunting

Meskipun beberapa tuntutan telah dibuat sejak tahun 1948, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menutup kes ini pada tahun 1997 di sebabkan kekurangan bukti. Pada 30 Januari 2009, kerajaan Britain telah menolak desakan para waris keluarga yang menuntut supaya satu penyiasatan awam ditubuhkan berhubung tragedi ini. Akan tetapi kerajaan Malaysia menimbangkan keputusan itu.

Susulan sunting

Tuntutan maaf sunting

Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan mahu kerajaan Britain memohon maaf sebagaimana yang dilakukannya dalam kejadian Ahad Berdarah pada 30 Januari, 1972 di Ireland Utara. Kerajaan disaran menubuhkan satu inkuiri awam untuk memaklumkan masyarakat apa sebenarnya yang berlaku dalam kejadian tersebut.

Tentera Britain tergamak membakar sebuah kampung di Batang Kali itu hanya kerana bimbangkan ancaman komunis walaupun penduduk kampung itu sebenarnya tidak bersenjata mahupun membahayakan tentera terbabit. Pakar sejarah negara Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Khim berkata kerajaan perlu membawa isu tersebut kepada pengetahuan umum dan antarabangsa supaya keadilan bagi keluarga mangsa dapat dituntut. Waris boleh mengemukakan permohonan maaf, bayaran saguhati dan sebagainya.[1]

Tuntut pampasan RM425 juta sunting

Pada 13 Ogos 2009 ,parti MCA mengadakan mesyuarat tertutup dengan saudara mara dan waris mangsa yang telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak. Mereka meminta kerajaan Britain mengeluarkan satu kenyataan memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa serta pembayaran pampasan sebanyak 80 juta pound (RM425 juta).[2] Satu-satunya mangsa yang terselamat ialah Chong Hong yang ketika itu berusia 20-an.

Quek Ngee Meng dilantik sebagai peguam jawatankuasa bertindak. Mereka telah menemui pegawai pertahanan dan hal ehwal luar Britain pada Julai 2009 dan memperoleh beberapa maklumat rahsia di bawah Akta Kebebasan Maklumat United Kingdom. Kementerian Luar Britain mengakui wujud tindakan menyembunyikan campur tangan politik pada ketika itu dan siasatan menyeluruh tidak boleh lengkap atau bebas sepenuhnya.

Pada Januari 2009, Pejabat Luar Britain menolak diadakan siasatan tetapi pada April 2009 menimbang semula cadangan itu. Pada 2 April 2010, saksi terakhir dalam peristiwa ini, Tham Yong (berumur 78 tahun), meninggal dunia tanpa sempat melihat sebarang perkembangan lanjut.

Rujukan sunting