Tunku Dhiauddin ibn Sultan Zainal Rashid I

Tunku Dhiauddin ibn Sultan Zainal Rashid I (1835 - 25 Mei 1909) atau lebih dikenali sebagai Tengku Kudin (Jawi: تڠكو كودين) ialah seorang putera Kesultanan Kedah. Beliau dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1835. Beliau dikatakan terpengaruh dengan cara hidup Eropah dan mendapat pendidikan separuh Eropah.[1] Nenda beliau ialah Sultan Ahmad Tajuddin II dan kekanda beliau ialah Sultan Ahmad Tajuddin III.

Tengku Kudin
Tunku Dhiauddin ibn Sultan Zainal Rashid I
Kelahiran1835
Meninggal dunia25 Mei 1909
PejabatRaja Muda Kedah dan Wizurai Selangor
PasanganTengku Arfah binti Sultan Abdul Samad
Anak-anakTengku Ampuan Maharum (Permaisuri Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Syah)
BapaSultan Zainal Rashid I
Tandatangan

Beliau pernah dilantik sebagai Raja Muda Kedah semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin III tetapi telah dilucutkan jawatan kerana terlibat dengan Perang Saudara Selangor.[2]

Beliau dilantik oleh Sultan Abdul Samad sebagai Wizurai (Wakil Yamtuan) kerajaan Selangor pada 26 Jun 1868 selepas beliau mengahwini Puteri baginda iaitu Tengku Arfah.[3]

Keluarga sunting

Tengku Kudin telah beristeri semasa menjadi Raja Muda di Kedah, sebelum diarahkan membantu dalam perang saudara di Selangor. Nama-nama isteri-isteri tersebut serta keturunannya daripada isteri-isteri tersebut masih menjadi rahsia.[perlu rujukan]

Pada bulan Jun tahun 1868, Tengku Kudin telah berkahwin dengan Tengku Arfah, puteri Sultan Abdul Samad.[4]

Penglibatan Dalam Perang Kelang sunting

Ketika Tengku Kudin berada di Selangor, perang berlaku di antara Raja Mahadi dengan Raja Abdullah bin Raja Jaafar dan dikenali sebagai Perang Kelang. Tengku Kudin telah dilantik oleh Sultan Abdul Samad sebagai Wakil Mutlak baginda. Antara tugasnya adalah untuk menyelesaikan peperangan di antara Raja Mahadi dengan Raja Ismail (anak Raja Abdullah). Surat kuasa tersebut berbunyi :

Pada Hijrah Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam 1285, pada hari arba', 5 Rabiulawal, beta Sultan Abdul Samad ibni Tengku Abdullah yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Selangor di Bandar Temasya telah mengurniakan surat ini kepada Tunku Dhiauddin ibni al-Marhum Sultan Zainul Rasyid iaitu telah menjadi anak (menantu) kita. Kita menyatakan kepada sekalian anak raja, Orang-orang Besar dan sekalian rakyat yang diam dalam perintah kita bahawa kita telah menyerahkan negeri ini dan jajahan takluknya kepada anak kita Tunku Dhiauddin supaya diperintah dan dimajukannya bagi faedah kita dan putera-putera Raja Musa, Raja Kahar dan Raja Ya'akub dan juga bagi faedah sekalian rakyat negeri ini, supaya sekalian mereka itu menerima keadilan dalam serba perkara. Kita telah memberi kuasa kepada anak kita Tunku Dhiauddin boleh berbuat sebarang apa yang boleh memajukan negeri kita dan yang mendatangkan faedah kepada kita.

Raja Mahadi tidak dapat menerima Tengku Kudin kerana beliau adalah orang dagang. Dalam pada itu putera-putera Sultan Abdul Samad iaitu Raja Kahar, Raja Musa dan Raja Ya'akub juga tidak berpuas hati terhadap kuasa yang diberikan kepada Tengku Kudin. Termasuk juga Orang Besar Selangor, Dato' Bandar Langat juga menentang penganugerahan kuasa ini.

Pada tahun 1869, Raja Ismail dengan bantuan Raja Sulaiman bin Raja Hasan dari Sungai Raya melancarkan serangan ke atas Raja Mahadi. Sementara itu Raja Ismail juga meminta bantuan Tengku Kudin. Gabungan angkatan ini menyerang Raja Mahadi di Klang. Tengku Kudin tiba di Klang pada Oktober 1869. Beliau mengutus surat kepada Raja Mahadi menyatakan kedatangannya untuk mendamaikan perselisihan di antara Raja Mahadi dengan Raja Ismail. Cadangan Tengku Kudin ini tidak diterima oleh Raja Mahadi. Sikap Raja Mahadi ini dimaklumkan oleh Tengku Kudin kepada Sultan Abdul Samad. Dengan itu, Sultan Abdul Samad menghantar 200 orang ke Klang untuk membantu angkatan Tengku Kudin.

Tengku Kudin melancarkan serangan ke atas kubu Raja Mahadi. Sementara itu, Tengku Kudin menyekat bekalan makanan kepada Raja Mahadi dan perniagaan bijih timah di antara Klang dengan pihak luar. Dalam serangan itu, Tengku Kudin dibantu oleh pasukan di bawah pimpinan De Fontaine. De Fontaine membedil kubu Raja Mahadi di atas Bukit di Klang. Peperangan berlarutan hingga tahun 1870. Pada tahun 1870, Raja Mahadi akhirnya tidak dapat mengatasi angkatan Tengku Kudin dan meninggalkan kubunya di Klang; manakala kubunya di Kuala Selangor pula pada tahun 1871.

Namun demikian pada tahun 1872, Raja Mahadi datang lagi dengan kali ini beliau mendapat sokongan daripada Raja Muda Musa, Raja Kahar, Raja Berkat (Panglima Raja Selangor), Raja Mahmud Kapak Cina (anak Raja Berkat), Raja Itam (pembesar Sabak Bernam), Raja Ali (pembesar Jeram), Raja Asal, Syed Mashhor, Panglima Kanting, Imam Perang Berantai, Panglima Tanggong dan Chong Chong (salah seorang pemimpin Kongsi gelap Cina). Angkatan Raja Mahadi ini berjaya menguasai Kuala Selangor dan Klang. Namun begitu angkatan Tengku Kudin yang mendapat bantuan Yap Ah Loy dan orang Pahang menyerang balas pada tahun 1873. Raja Mahadi telah dikalahkan dan berundur. Pada tahun 1874, Raja Mahadi berlindung di Singapura. Raja Mahadi terus merancang menawan kembali Klang. Dalam pada itu pemerintah British menawarkan elaun sebanyak $350.00 sebulan supaya menamatkan perjuangan beliau. Tawaran ini ditolak oleh Raja Mahadi hingga mengakibatkan beliau dipenjarakan di Singapura. Kemudiannya beliau dibebaskan kerana British tidak mempunyai bukti kukuh untuk menahannya. Gabenor Negeri-negeri Selat telah menawarkan Raja Mahadi pulang ke Klang, tetapi tidak diperkenankan oleh Sultan Abdul Samad. Raja Mahadi meninggal dunia di Singapura pada 10 Januari 1882.[5]

Pasca Perang Kelang sunting

Tengku Kudin disingkirkan oleh British apabila British merasakan penglibatan beliau dalam pentadbiran Selangor akan menyebabkan konflik Perang Saudara akan berterusan. Oleh itu beliau dipencenkan dengan pampasan sejumlah $30,000 dalam bentuk bon dan diberi pencen setiap bulan sebanyak $500, manakala isteri beliau diberi $200 sebulan dengan dibayar oleh kerajaan Selangor. Selepas itu Tengku Kudin kembali ke Kedah dan terlibat pula dengan konflik takhta kerajaan Kedah. Peranan beliau dalam politik Kedah pula dianggap sebagai seorang pembangkang.[6]

Kemangkatan sunting

Tengku Kudin mangkat di Pulau Pinang. Mayatnya dibawa pulang ke Kedah dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  • Mohammad Isa Othman (1990). Politik Tradisional Kedah 1681-1942. Dewan Bahasa Pustaka. ISBN 9836215832.
  • J M Gullick (2004). A History of Selangor. The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. ISBN 9679948102.
  • Abdullah Zakaria bin Ghazali (2016). Tunku Kudin Dalam Sejarah Selangor, Jurnal Malawati Bil. 8. ISBN 9789834392000.

Nota kaki sunting

  1. ^ Mohamad Isa Othman, 1990, ms. 37
  2. ^ Mohamad Isa Othman, 1990, ms. 39
  3. ^ Abdullah Zakaria bin Ghazali, 2016, ms. 4
  4. ^ J.M Gullick, 2004, ms 225
  5. ^ Abdullah Zakaria bin Ghazali, 2016, ms. 8-10
  6. ^ Mohamad Isa Othman, 1990, ms. 38