Velupillai Prabhakaran

Velupillai Prabhakaran (Tamil: வேலுப்பிள்ளை பிரபாகரன்; 26 November 1954 - 18 Mei 2009) adalah pengasas dan pemimpin bagi Harimau Pembebasan Tamil Eelam (Harimau Tamil), sebuah organisasi yang cuba untuk mewujudkan sebuah negara Tamil yang bebas di utara dan timur Sri Lanka.

Dengan mendakwa bahawa etnik Tamil telah didiskriminasikan di bawah pemerintahan Kerajaan Sri Lanka, Harimau Tamil telah melancarkan satu kempen menyokong pemisahan di Sri Lanka. Kempen yang telah dilancarkan menyebabkan mereka telah dikenali sebagai sebuah pertubuhan pengganas oleh 32 buah negara.

Prabhakaran dikehendaki oleh pihak Interpol atas kesalahan melibatkan keganasan, pembunuhan, jenayah terancang dan konspirasi keganasan.

Waran tangkap terhadapnya juga turut dikeluarkan oleh Kerajaan Sri Lanka dan India. Selepas mengelakkan diri dari ditangkap selama 25 tahun, pada bulan Mei 2009 kerajaan Sri Lanka mengumumkan bahawa Prabhakaran dan beberapa orang pemimpin tertinggi Harimau Tamil telah terperangkap di satu kawasan di pantai Mullaithivu, yang mana telah diisytiharkan sebagai zon keselamatan bagi orang awam.

Pada 18 Mei, 2009, Agensi Berita AFP melaporkan bahawa Velupillai Prabhakaran telah ditembak mati bersama dengan dua orang pembantu rapatnya dalam satu serang hendap semasa percubaan untuk melepaskan diri dari kemaraan pasukan tentera kerajaan Sri Lanka. Beliau dilaporkan cuba melarikan diri dengan menyusup keluar menggunakan sebuah ambulans.

Laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan di Colombo kemudiannya telah menyangkal laporan ini dengan kenyataan bahawa mayat Prabakaran telah dijumpai di pesisir pantai Tasik Nandikadal oleh pasukan tentera dari Division ke-53 yang menggeledah kawasan tersebut selepas pertempuran berakhir dan mayat itu telah dikenal pasti secara positif sebagai mayat Velupillai Prabhakaran.

Bacaan lanjut sunting

  • Rajan Hoole. (2001) 'The Arrogance of power ', UTHR(J), Colombo.
  • Pratap, Anita. Island of Blood: Frontline Reports From Sri Lanka, Afghanistan and Other South Asian Flashpoints (2001).
  • Heilmann-Rajanayagam, Dagmar (1994). The Tamil Tigers: Armed Struggle for Identity. Stuttgart, Germany: Franz Steiner Verlag.

Pautan luar sunting

Temul bual dan ucapan sunting