Vulgata (bahasa Inggeris: Vulgate) adalah penterjemahan Alkitab ke dalam bahasa Latin yang disiapkan pada awal abad ke-5. Kebanyakan daripada kerja penterjemahan adalah hasil kerja Jerome yang ditugaskan oleh Paus Damasus I untuk menyemak semula Alkitab Latin kuno. Seperti Alkitab Peshitta (penterjemahan bahasa Suryani yang lebih tua, teks Perjanjian Lama Vulgata diterjemahkan terus dari bahasa Ibrani dari teks Tanakh Masoretis dan bukannya dari teks Septuaginta yang ditulis di dalam bahasa Yunani. Walaupun tidak diterima secara meluas pada mulanya, ia akhirnya dijadikan versi Alkitab yang sahih dan rasmi Gereja Katolik Rom. Dari abad ke-13, istilah versio vulgata (Melayu: penterjemahan umum) mula dipergunakan secara meluas apabila merujuk kepada versi ini.

Hubungan dengan Alkitab Latin kuno sunting

Dari lewat Zaman Klasik Purba sehingga ke Zaman Pertengahan Eropah, istilah Vulgata lazimnya digunakan untuk merujuk kepada Alkitab bahasa Yunani Septuaginta. Teks Alkitabiah di dalam bahasa Latin yang diguna pakai sebelum Vulgata Latin lazimnya dirujuk secara berkelompok sebagai Vetus Latina (Melayu: Latin Kuno). Ia juga dirujuk sebagai Vulgata Latin Kuno. Namun demikian, istilah Latin kuno ini cuma membawa maksud bahawa ia adalah lebih tua daripada Vulgata Latin dan bukan kerana ia ditulis di dalam bahasa Latin kuno. Begitu juga dengan istilah Vulgata Latin yang digunakan untuk hasil kerja Jerome di mana ia merujuk kepada versi umum bahasa Latin dan bukan kerana ia ditulis di dalam bahasa Latin vernakular.

Kitab-kitab yang dimuatkan di dalam Vetus Latina tidak diterjemahkan atau disunting oleh satu orang ataupun satu lembaga yang tetap tetapi ia dikumpulkan dari penterjemahan-penterjemahan yang telah diusahakan dari abad ke-1 ke abad ke-2. Kitab-kitab Perjanjian Lama yang digunakan oleh Vetus Latina pula diterjemahkan dari teks Septuaginta dan bukannya teks Ibrani dan setiap kitab yang terkandung di dalamnya berbeza dari segi kualiti penterjemahannya dan gaya bahasanya.

Walaupun Vulgata Jerome telah diterima sebagai teks Alkitab yang rasmi oleh tradisi Gereja Barat, teks Vetus Latina masih diguna pakai oleh beberapa golongan tertentu bahkan beberapa kelompok di Gaul terus menggunakan teks lama ini untuk beberapa abad lamanya [1].

Kronologi kerja-kerja penterjemahan Jerome sunting

 
St. Jerome di dalam bilik bukunya, fresko karya Domenico Ghirlandaio, 1480 (Ognissanti, Florence)

Jerome tidak memulakan tugasnya dengan tujuan untuk menterjemahkan semula keseluruhan Alkitab. Namun demikian, hakikat perubahan di dalam program kerjanya dapat dijejak daripada tinggalan surat-suratnya yang agak banyak. Kerja beliau bermula pada tahun 382 apabila beliau ditugaskan oleh Paus Damasus I untuk menyemak semula teks-teks Latin kuno keempat-empat Injil berdasarkan perbandingan dengan teks-teks Yunani semasa yang paling baik. Kerja ini telah disiapkan menjelang kemangkatan Paus Damasus pada 384 dan penyemakan pertama kitab Mazmur (Mazmur Versio Romana) dan kitab Ayub Latin berdasarkan teks Septuaginta juga disiapkan pada tahun itu. Beliau juga telah menyiapkan penyemakan surat-surat Paulus pada tahun 385. Jumlah kitab-kitab lain yang disemak dan disunting oleh Jerome selepas itu tidak dapat dikenal pasti pada masa ini dan cuma sebahagian kecil daripada hasil karya beliau dari zaman ini masih kekal di dalam teks Vulgata [2].

Pada 385, Jerome diusir dari Rom dan beliau terpaksa menetap semula di Bethlehem (Baitul Laham) di mana beliau menghasilkan versi baru kitab Mazmur (Mazmur Versio Gallicana) yang diterjemahkan dari teks Yunani Hexapla yang disusun oleh Origen. Beliau juga telah menterjemahkan beberapa kitab lagi dari teks Septuaginta ke bahasa Latin namun kebanyakkan daripada hasil karya ini juga tiada di dalam teks Vulgata. Dari 390 sehingga 405, beliau mula penterjemahan terus daripada teks Ibrani dan menterjemahkan semula kesemua 39 kitab Perjanjian Lama, termasuk penyemakan ketiga kitab Mazmur. Hasil karya ini terkandung di dalam beberapa manuskrip awal Vulgata [2].

Di dalam prolog-prolog yang ditulis Jerome, beliau tidak mengiktirafkan kitab-kitab yang terkandung di dalam Septuaginta tetapi tidak ditemui di dalam teks Ibrani sebagai sebahagian daripada kanon Alkitab dan kitab-kitab ini ditakrifkan beliau sebagai apokrifa (Melayu: teks yang disembunyikan) [3]. Namun demikian, kesemua kitab-kitab ini dikandungkan di dalam kesemua manuskrip-manuskrip dan edisi-edisi lengkap Vulgata.

Dari teks kitab-kitab Perjanjian Lama yang tidak dijumpai di dalam teks Ibrani, Jerome telah menterjemahkan kitab Tobit dan kitab Yudit dari bahasa Aramia dan Tambahan-tambahan pada kitab Ester serta Tambahan-tambahan pada kitab Daniel dari bahasa Yunani. Kitab-kitab yang lain seperti Barukh, Kebijaksanaan Salomo, Sirakh, kitab pertama dan kedua Makabe, kitab ketiga dan keempat Esdras, dan Doa Manaseh dikekalkan dalam teks Latin kuno di dalam manuskrip Vulgata dan gaya-gaya bahasa yang digunakan dapat dibezakan daripada gaya bahasa yang digunakan oleh Jerome. Di dalam teks Vulgata, tambahan-tambahan pada kitab Ester dan Daniel digabungkan ke dalam kitab-kitab Ester dan Daniel yang diterjemahkan oleh Jerome dari teks Ibrani.

Buku Kidung Mazmur sunting

Buku-buku yang cuma mengandungi kitab Mazmur diguna pakai untuk tujuan liturgi dan ibadat beberapa tradisi Kristian. Ia dikenali sebagai Buku Kidung Mazmur (bahasa Inggeris: Psalter). Mazmur Versio Romana (Latin: Versio Romana ataupun Latin: Psalterium Romanum) merupakan semakan pertama kitab Mazmur Jerome pada tahun 384. Ia berasaskan Mazmur Versio Vetus Latina dan disemak dengan teks Septuaginta. Versi ini secara umumnya telah diganti oleh versi-versi Jerome yang lebih baru kecuali di England di mana ia terus diguna pakai sehingga penaklukan England oleh Normandy pada tahun 1066.

Walaupun beberapa manuskrip Vulgata yang awal mengandungi versi Mazmur terjemahan Jerome dari teks Ibrani, versi kitab Mazmur yang terkandung di dalam edisi-edisi Vulgata yang lebih baru adalah versi Mazmur Versio Gallicana yang diterjemahkan Jerome dari teks Yunani Hexaplar.

Perkembangan pada abad ke-20 sunting

Dua edisi baru Buku Kidung Mazmur dikeluarkan pada abad ke-20 untuk tujuan liturgi. Mazmur Versio Piana adalah penterjemahan semula dari teks-teks asal dan ditugaskan oleh Paus Pius XII kepada Institut Alkitabiah Pontifikal di Rom di bawah penyeliaan Augustin Bea. Ia diterbitkan pada tahun 1945 dan boleh dijumpai di dalam buku-buku wirid yang diterbitkan di antara 1945 sehingga 1970. Mazmur Versio Nova Vulgata pula dikeluarkan pada tahun 1969 hasil dari projek penyemakan semula seluruh teks Vulgata.

Edisi-edisi Vulgata sunting

Manuskrip-manuskrip dan edisi-edisi awal sunting

Beberapa manuskrip yang memuatkan isi Vulgata awal masih kekal sehingga hari ini. Kodeks Amiatinus yang bertarikh dari abad ke-8 adalah manuskrip lengkap Vulgata yang tertua yang masih kekal. Kodeks Fuldensis yang bertarikh dari persekitaran tahun 545 mengandungi sebahagian besar dari teks Perjanjian Baru di dalam versi Vulgata, cuma keempat-empat Injil Vulgata itu diselaraskan menjadi sebuah naratif bersambung menurut susunan Diatessaron.

Sepanjang Zaman Pertengahan, teks Vulgata tidak terlepas dari perubahan akibat dari kesilapan di dalam proses penyalinan tangan yang dilakukan oleh penyalin-penyalin dan katib-katib apabila salinan-salinan Vulgata dibuat di biara-biara di rantau Eropah. Sejak dari mulanya, teks Vetus Latina telahpun dimasukkan ke dalam salinan-salinan Vulgata yang dihasilkan. Nota-nota birai juga telah dimasukkan dengan tidak sengaja ke dalam teks utama.

Pada tahun 550, Cassiodorus telah berusaha untuk memulihkan teks Vulgata kepada teks yang asal dan sahih. Alcuin dari York juga telah menyelia satu usaha pembetulan Vulgata dan hasil kerjanya dipersembahkan kepada Charlemange pada tahun 801. Usaha-usaha untuk memulihkan teks Vulgata juga telah dilakukan oleh Theodulphus selaku Uskup Orléans (787?-821), Lafranc selaku Uskup Agung Canterbury (1070-1089), Stephen Harding selaku Abbas ketiga Biara Cîteaux (1109-1134) dan Diakon Nicolaus Maniacoria (pada awal abad ke-13). Universiti Paris berserta dengan tarekat-tarekat Dominikan dan Franciskan menghimpun daftar-daftar bacaan Vulgata yang dikenali sebagai correctoria, iaitu senarai bacaan Vulgata yang rasmi di mana perbezaan-perbezaan telah dikenal pasti. [4]. Malangnya, banyak daripada teks bacaan yang disyorkan masa itu kini telah dikenal pasti sebagai sisipan semata-mata.

Walaupun kemunculan teknologi pencetakan telah mengurangkan kemungkinan berlakunya kesilapan salinan, edisi-edisi cetak awal Vulgata cuma menyalinkan manuskrip-manuskrip yang sedia ada. Antara edisi cetak yang paling terkenal dari zaman ini adalah Alkitab Gutenberg (ataupun Edisi Mazarin) yang diterbitkan oleh Johannes Gutenberg dan Johann Fust pada tahun 1455. Pada tahun 1504, Vulgata cetak yang pertama yang mengandungi variasi bacaan diterbitkan di Paris. Salah satu daripada teks Alkitab Poliglot Complutum adalah edisi Vulgata yang disusun dari perbandingan teks-teks kuno dengan teks Yunani Septuaginta [5].

Pada tahun 1516, Erasmus menerbitkan sebuah edisi yang disemak supaya lebih suai dengan teks Yunani dan Ibrani yang sedia ada. Edisi-edisi semakan yang lain termasuk edisi-edisi yang diterbitkan oleh Xanthus Pagninus (1518), Augustinus Steuchius (1529), dan Isadore Clarius (1542). Pada tahun 1528, Robertus Stephanus menerbitkan edisi kritis yang pertama. Edisi ini telah digunakan sebagai asas untuk edisi-edisi Sistine dan Clement yang diterbitkan kemudian. Edisi kritis John Hentenius dari Louvain diterbitkan pada tahun 1547 [6].

Pada tahun 1550, Stephanus telah melarikan diri ke Geneva dan beliau menerbitkan edisi kritisnya yang terakhir pada tahun 1555. Edisi ini merupakan edisi Alkitab pertama yang dibahagikan kepada fasal dan ayat dan ia telah menjadi teks rujukan Alkitabiah yang piawai untuk theologi Reform lewat abad ke-16.

Edisi-edisi kemudian sunting

Istilah "Vulgata" kini diberikan kepada tiga kumpulan teks atas-talian yang berbeza. Teks yang digunakan dapat dikenal pasti melalui ejaan nama Hawa dalam Kejadian 3:20.

  • Hava: Edisi Stuttgart; edisi ini cuba memperbetulkan teks Vulgata seperti mana yang terdapat di dalam teks awal dengan keutamaan diberikan kepada pengenyahan bacaan-bacaan sisipan yang terdapat di dalam Vulgata Clement
  • Eva: Nova Vulgata; Alkitab Latin rasmi Gereja Katolik Rom sejak tahun 1979. Beberapa bahagian edisi semakan ini bukan setakat semakan semula Vulgata Clement sahaja tetapi merupakan penterjemahan baru terus daripada teks kuno Yunani dan Ibrani

Vulgata Clement sunting

 
Prolog Injil Yohanes, Vulgata Clement, Edisi 1922

Vulgata Clement (Nama penuh Latin: Biblia Sacra Vulgatae Editionis Sixti Quinti Pontificis Maximi iussu recognita atque edita) merupakan edisi Vulgata yang paling dikenali umat Katolik sebelum reformasi liturgi yang berlaku selepas Majlis Vatikan II yang berlangsung dari tahun 1962 sehingga tahun 1965.

Pada zaman selepas Reformasi, Gereja Katolik Rom telah mengesahkan semula Vulgata sebagai teks Alkitab Latin yang sahih di dalam Majlis Trent sebagai sebahagian usaha gereja itu untuk menangkis dakwaan-dakwaan dan doktrin-doktrin Protestan [7]. Untuk memperkukuhkan deklarasi ini, majlis telah menugaskan Paus untuk menghasilkan satu teks piawai Vulgata daripada perbandingan di antara pelbagai edisi-edisi Vulgata yang telah dihasilkan pada Zaman Pembaharuan (bahasa Inggeris: Renaissance) dan juga manuskrip-manuskript yang dihasilkan pada Zaman Pertengahan.

Kerja ini ditaja oleh Paus Sixtus V (1585-90) dan dikenali sebagai Vulgata Sistine. Ia berdasarkan edisi Stephanus dan diperkemaskan supaya suai dengan teks Yunani. Namun demikian, oleh kerana edisi ini dicetak secara terburu-buru maka terdapat banyak kesilapan cetak. Paus Clement VII (1592-1605) telah mengarahkan supaya pembetulan dan penyemakan dibuat dan edisi Sistine ini diganti oleh edisi baru terbitan Clement yang berdasarkan edisi kritis Hentenius. Edisi ini dikenali pada hari ini sebagai Vulgata Sixtus-Clement ataupun Vulgata Clement walaupun nama yang dipaparkan pada tajuk rasmi edisi ini adalah Sixtus. 3 cetakan edisi ini dibuat oleh Clement iaitu pada tahun 1592, 1593, dan 1598.

Vulgata Clement ini berbeza dari manuskrip-manuskrip yang ia didasarkan di mana prakata-prakata yang ditulis Jerome itu dihimpunkan menjadi satu di bahagian depan. Kitab-kitab 3 & 4 Esdras bersama dengan Doa Manaseh juga dikeluarkan dari Perjanjian Lama dan dipaparkan sebagai lampiran.

Teks Mazmur menggunakan versi Mazmur Versio Gallicana seperti kebanyakan daripada edisi-edisi Vulgata yang awal.

Vulgata Clement 1592 menjadi teks Alkitab yang piawai Upacara Rom (bahasa Inggeris: Roman Rite) Gereja Katolik Rom sehingga tahun 1979 apabila Nova Vulgata diisytiharkan.

Cetakan kemudian sunting

Cetakan yang dibuat Clement pada tahun 1598 merupakan cetakan rasmi Vatikan yang terakhir. Tugas mencetak Vulgata Clement diserahkan kepada pencetak-pencetak yang lain. Walaupun cetakan-cetakan Vulgata Clement yang dibuat oleh pencetak-pencetak lain telah menyalinkan teks edisi rasmi itu dengan tepat namun gaya ejaan, tanda baca, gaya huruf, dan batas perenggan yang diguna pakai agak bebas.

Pada tahun 1906, seorang biarawan Capuchin yang bernama Michael Hetzenauer telah menghasilkan sebuah edisi yang memulihkan penggunaan gaya teks Clement sambil mengambil kira variasi yang wujud diantara 3 cetakan Clement serta correctoria rasmi yang dikeluarkan oleh Vatikan. Biblioteca de Autores Cristianos di Madrid, Sepanyol menghasilkan satu cetakan semula Vulgata Clement pada tahun 1982 yang bertajuk Biblia Sacra Iuxta Vulgatum Clementinam (ISBN:8-479-14021-6). Walaupun cetakan ini tidak mengandungi Apokrifa namun ia memuatkan petikan-petikan daripada pelbagai dokumen-dokumen magisterium dan versi Mazmur Piana bersama-sama dengan versi Gallicana.

Edisi-edisi kritis sunting

Beberapa edisi kritis diterbitkan setelah penerbitan Vulgata Clement. Pada tahun 1734, Dominic Vallarsi menerbitkan sebuah edisi pembetulan Vulgata. Kebanyakan daripada edisi-edisi kritis yang dikeluarkan kemudian dihadkan kepada Perjanjian Baru. Diantara edisi-edisi yang penting termasuk edisi Ferdinand Florens Fleck (1840) [8], edisi Constantin von Tischendorf (1864) dan edisi Oxford oleh John Wordsworth dan Henry Julian White (1889).

Pada tahun 1907, Paus Pius X menugaskan biarawan-biarawan dari Biara Benedictine St. Jerome di Rom untuk menghasilkan sebuah edisi kritis sebagai asas untuk penyemakan semula Vulgata Clement [9] [10]. Walaupun hanya penyemakan Perjanjian Lama berjaya dihasilkan, ia menjadi pelengkap bagi edisi Perjanjian Baru Wordsworth-White dan antara hasil usaha ini adalah edisi Nova Vulgata. Edisi Benedictine ini juga dijadikan asas untuk teks Perjanjian Lama edisi Stuttgart [11].

Edisi Stuttgart sunting

Edisi ini diterbitkan buat pertama kalinya pada tahun 1969 oleh Persatuan Alkitab Jerman (Jerman: Deutsche Bibelgesellschaft) di Stuttgart, Jerman. Edisi ini juga dikenali dengan tajuk Biblia Sacra Vulgata dan Biblia Sacra iuxta vulgatam versionem. Edisi Stuttgart cuba menyusun semula sebuah naskhah Vulgata awal yang lebih memiripi hasil Jerome 1,600 tahun yang lalu melalui kaedah perbandingan kritis di antara manuskrip-manuskrip bersejarah yang utama dan penting sebagai usaha untuk meluputkan kesilapan-kesilapan penyalinan yang terkumpul selama satu milenium.

Edisi ini meringkaskan maklumat-maklumat yang terkandung di dalam edisi-edisi kritis yang diterbitkan sebelumnya ke dalam satu jilid yang padat dan ia berdasarkan edisi-edisi kritis Vulgata yang diterbitkan sebelumnya [11], termasuk edisi Benedictine, dan Perjanjian Baru Wordsworth-White, yang mengandungi variasi-variasi bacaan daripada pelbagai manuskrip-manuskrip dan edisi-edisi awal Vulgata. Edisi ini juga menyediakan senarai perbandingan istilah sebagai nota kaki.

Salah satu daripada ciri-ciri edisi Stuttgart yang penting untuk penyelidik-penyelidik Vulgata adalah kemasukan kesemua prolog-prolog yang ditulis Jerome. Ini memiripi gaya edisi-edisi yang diterbitkan pada Zaman Pertengahan dan merangkumi prolog-prolog yang ditulis untuk seluruh Alkitab, Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru, setiap kitab utama dan juga bahagian-bahagian utama (Taurat, Injil, Kitab-kitab Nabi, dan lain lain). Dari segi ejaan, edisi ini juga lebih mengekalkan ortografi Latin Zaman Pertengahan berbanding dengan edisi Clement. Ini boleh dilihat dari kecenderungan edisi ini dimana oe lebih digunakan berbanding dengan ae dan kata nama khas lebih sering menggunakan huruf H berbanding dengan huruf E (misalnya, Helimelech daripada Elimelech). Namun demikian, sama juga seperti edisi-edisi Zaman Pertengahan, penggunaan ejaan secara menyeluruh tidak konsisten.

Edisi Stuttgart juga mengikut gaya edisi-edisi Zaman Pertengahan dengan penggunaan pemisah baris ayat daripada tanda huruf moden sebagai penunjuk struktur ayat. Oleh itu, ia boleh kelihatan agak janggal kepada pembaca-pembaca yang telah biasa dengan struktur Vulgata Clement.

Nova Vulgata sunting

Nova Vulgata ((Nama penuh Latin: Nova Vulgata Bibliorum Sacrorum Editio (ISBN 978-88-209-2163-7) adalah edisi Latin yang lazimnya diterbitkan oleh Gereja Katolik Rom masa kini dan diluluskan untuk kegunaan liturgi. Majlis Vatikan II melalui dokumen Sacrosanctum Concilium telah memandatkan satu penyemakan semula Kidung Mazmur Latin berdasarkan hasil pengajian teks dan linguistik moden sambil mengekalkan ataupun memperbaiki gaya bahasa Latin Kristianinya. Pada tahun 1965, Paus Paul VI telah melantik satu suruhanjaya untuk menyemak semula keseluruhan teks Vulgata berdasarkan prinsip yang sama [12]. Suruhanjaya ini menerbitkan hasil kerja mereka di dalam 8 bahagian beranotasi, dan kritikan dari para cendekiawan-cendekiawan Katolik diundang apabila setiap behagian itu diterbitkan. Kidung Mazmur Latin siap diterbitkan pada tahun 1969 manakala Perjanjian Baru disiapkan pada tahun 1971. Edisi Nova Vulgata yang lengkap diterbitkan pada tahun 1979 [13].

Teks asas bagi kebanyakan daripada Perjanjian Lama Nova Vulgata adalah daripada edisi kritis yang dihasilkan oleh biarawan-biarawan Biara Benedictine St. Jerome atas arahan Paus Pius X. Namun demikian, teks asas yang digunakan untuk kitab Tobit dan kitab Yudit adalah dari Vetus Latina. Perjanjian Baru Nova Vulgata pula berdasarkan edisi 1969 Vulgata Stuttgart. Kesemua daripada teks-teks asas ini disemak dan dibandingkan dengan edisi-edisi kritis terkini bahasa-bahasa Yunani, Ibrani dan Aramia [14]. Beberapa perubahan juga telah dibuat di bahagian-bahagian di mana para cendekiawan-cendekiawan berpendapat bahawa hasil Jerome terdapat kekurangan dari segi penyerapan makna teks asal ataupun diterjemahkan secara tidak jelas [15].

Nova Vulgata juga tidak mengandungi beberapa kitab-kitab yang terdapat di dalam edisi-edisi awal yang telah disahkan yang ia diluar kanon Alkitab oleh Majlis Trent iaitu kitab Doa Manaseh, 3 & 4 Esdras dan Surat kepada Jemaat di Laodicea.

Pada tahun 1979, Paus John Paul II telah mengisytiharkan Nova Vulgata sebagai Alkitab Latin rasmi Gereja Katolik Rom melalui Titah Rasuli Scripturarum Thesaurus [16]. Namun demikian, Nova Vulgata tidak diterima secara menyeluruh oleh umat Katolik, terutamanya daripada golongan konservatif yang menganggap bahawa beberapa ayat di dalam Perjanjian Lama lebih memiripi penterjemahan baru daripada semakan semula hasil karya Jerome. Gaya tulisan yang diguna pakai oleh Nova Vulgata juga dianggap janggal kepada mereka yang telah biasa menggunakan Vulgata Clement.

Dokumen Liturgiam Authenticam [17] yang diisytiharkan pada tahun 2001 telah menetapkan Nova Vulgata sebagai sumber utama bagi semua penterjemahan liturgi dari Upacara Rom kepada bahasa vernakular untuk "memastikan pengekalan tradisi penterjemahan yang sahih dengan Liturgi Latin".

Novum Testamentum Latine sunting

Pada tahun 1984 dan 1992, Kurt dan Barbara Aland menerbitkan Novum Testamentum Latine. Ini merupakan satu cetakan semula Perjanjian Baru yang terdapat di dalam Nova Vulgata dengan sumber tambahan yang memuatkan variasi-variasi pembacaan dari edisi-edisi sebelumnya. Edisi-edisi yang dimuatkan di dalam sumber tambahan termasuk edisi Stuttgart, Alkitab Gutenberg, teks Latin dari Alkitab Poliglot Complutum, edisi Wittenberg (yang lebih dicenderungi oleh Martin Luther berbanding dengan edisi-edisi lain), edisi-edisi Erasmus, Stephanus, Hentenius, Christophus Plantinus, Paus Sixtus V, Paus Clement VIII, dan edisi Wordsworth-White [12].

Edisi Novum Testamentum Latine ini merupakan pengemaskinian penerbitan yang membawa tajuk yang sama yang telah diterbitkan pada tahun 1906 di mana teks Vulgata Clement dimuatkan bersama dengan sumber tambahan yang membandingkan teks itu dengan edisi-edisi Paus Sixtus V, Wordsworth-White, Lachman, dan Tischendorf bersama-sama dengan manuskrip-manuskrip Kodeks Amiatinus dan Kodeks Fuldensis.

Kepentingan Vulgata di dalam bidang kritikan teks sunting

Kitab-kitab Perjanjian Baru, Mazmur, sebahagian besar daripada kitab-kitab Deuterokanonika, dan kitab-kitab Apokrifa di dalam Perjanjian Lama dari Vulgata merupakan hasil terjemahan daripada teks-teks awal bahasa Yunani [11].

Di dalam penterjemahan setiap daripada 39 kitab Alkitab Ibrani, Jerome diberikan kebebasan yang relatif dalam terjemahan teks kepada Latin. Namun demikian, manuskrip teks Masoretis paling awal yang masih wujud sehingga ke hari ini (bertarikh kira-kira 600 tahun selepas Jerome), mengekalkan teks Ibrani berkonsonan (tiada tanda vokal) yang memiripi teks yang digunakan oleh Jerome. Oleh demikian, walaupun teks Perjanjian Lama Jerome ini mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi, nilainya di dalam pengajian kritikan teks agak terhad. Kitab Tobit dan Yudit diterjemahkan oleh Jerome dengan perasaan enggan dan beliau telah menggunakan seorang pengantara Yahudi untuk menterjemahkan teks bahasa Aramia kepada bahasa Ibrani secara lisan dari mana ia akan diparafrasakan oleh Jerome kepada bahasa Latin. Namun demikian, bahagian-bahagian Perjanjian Lama yang diterjemahkan oleh Jerome dari bahasa Yunani ataupun yang dikekalkan daripada versi Latin lama merupakan bukti sekunder yang awal dan penting untuk teks Septuaginta.

Paus Damasus telah mengarahkan Jerome supaya bersikap konservatif di dalam tugas penyemakan Injil Latin lama. Ini jelas dapat diperlihatkan daripada variasi di dalam perbendaharaan kata Latin untuk istilah Yunani yang sama. Misalnya, istilah "Imam Besar" diterjemahkan Jerome kepada princeps sacerdotum di dalam Injil Matius, summus sacerdos di dalam Injil Markus dan pontifex di dalam Injil Yohanes. Perbandingan teks Jerome dengan teks Latin awal menunjukkan bahawa penyemakan Jerome bertujuan untuk memperbetulkan penyusunan rangkai kata gaya teks Barat yang biasanya lebih berbentuk parafrasa supaya lebih selari dengan gaya teks Alexandria dan gaya teks Byzantium. Oleh kerana metodologi Jerome yang konservatif, dan kekurangan manuskrip-manuskrip awal dari zaman ini yang berasal dari luar Mesir, maka teks Jerome dianggap penting di dalam bidang kritikan teks. Kitab-kitab Perjanjian Baru yang lain yang terkandung di dalam Vulgata tetapi tidak diterjemahkan oleh Jerome juga dianggap penting kerana ia mengandungi ciri-ciri parafrasa yang dianggap wujud di dalam gaya teks Barat ataupun secara langsung menurunkan warisan teks Latin kuno. Teks Kitab Wahyu Vulgata dianggap paling penting dari perspektif bidang kritikan teks kerana teks awal kitab ini di dalam bahasa Yunani agak jarang dijumpai.

Penilaian di atas merujuk kepada edisi kritis Vulgata yang diterbitkan sejak lewat abad ke-19 di mana gaya teks yang lazim digunakan di Itali pada pertengahan abad ke-6 telah cuba disusun kembali. Teks Clement mempunyai beberapa perbezaan di dalam bacaan yang penting seperti Comma Johanneum (1 Yohanes 5:7-8), penjelasan yang merujuk kepada Mazmur 22 (Matius 27:35), dan rujukan kepada Malaikat di Bethesda (Yohanes 5:4). Oleh sebab itu, ia dianggap kurang penting di dalam bidang kritikan teks.

Prolog-prolog sunting

Selain daripada teks Alkitab, Vulgata juga mengandungi 17 prolog dimana 16 daripadanya ditulis oleh Jerome. Walaupun digelar prolog, ia lebih bersifat seperti kata pengantar kepada individu-individu tertentu yang menyertai salinan terjemahan-terjemahannya. Oleh kerana prolog-prolog ini tidak bertujuan untuk dibaca umum maka ia mengandungi beberapa komen oleh Jerome yang agak kriptik dan tidak mudah difahami.

Senarai Prolog-Prolog Vulgata
Prolog Kitab-kitab Taurat Prolog Kitab Yosua Prolog Kitab Raja-Raja (Prologus Galeatus) Prolog Kitab-kitab Tawarikh
Prolog Kitab Esdras Prolog Kitab Tobit Prolog Kitab Yudit Prolog Kitab Ester
Prolog Kitab Ayub Prolog Kitab Mazmur Prolog Kitab Yesaya Prolog Kitab Yeremia
Prolog Kitab Yehezkiel Prolog Kitab Daniel Prolog Kitab-kitab Nabi-Nabi Minor Prolog Kitab-kitab Injil
Prolog Surat-surat Paulus (Primum Quaeritur)

Turut dikaitkan dengan korpus penulisan ini ialah Catatan-catatan mengenai Tambahan kepada Kitab Ester dan Prolog Mazmur Ibrani.

Salah satu tema yang seringkali muncul di dalam prolog-prolog Perjanjian Lama ialah kecenderungan Jerome terhadap Hebraica Veritas (Kesahihan Ibrani) berbanding dengan Septuaginta. Ini merupakan satu kecenderungan yang sering dipertahankan Jerome apabila beliau berhadapan dengan pengkritik. Beliau menegaskan bahawa teks Ibrani lebih menggambarkan Kristus berbanding dengan teks Yunani.

Diantara prolog-prolognya yang paling menarik perhatian ialah Prologus Galeatus di mana Jerome telah memberi satu gambaran kanon Perjanjian Lama berjumlah 22 naskhah kitab yang dikatakan mewakili setiap daripada 22 abjab Ibrani. Sebagai gambaran alternatif, beliau menjumlahkan 24 naskhah kitab yang dikatakan mewakili 24 pemimpin yang telah meletakan mahkota mereka di hadapan domba Allah seperti yang terkandung di dalam kitab Wahyu.

Juga menarik perhatian adalah Primum Quaeritur yang mempertahankan pendapat bahawa Paulus adalah penulis kitab Ibrani dan juga membandingkan kesepuluh surat-surat Paulus kepada jemaat-jemaat dengan 10 Hukum Allah. Namun demikian penulis Primum Quaeritur masih tidak dapat dikenal pasti dan penyunting-penyunting edisi Stuttgart berpendapat bahawa versi surat-surat ini mula popular di kalangan kelompok Pelagian.

Di samping itu, banyak manuskrip-manuskrip surat-surat ini mengandungi catatan-catatan pendek yang menunjukkan di mana setiap surat itu ditulis dan dimana penerima-penerima surat itu bermastautin. Adolf von Harnack mengemukakan pendapat bahawa nota-nota ini ditulis oleh Marcion dari Sinope atau salah seorang daripada pengikutnya. Harnack memberikan perhatiannya bahawa,

Kami sememangnya sudah tahu bahawa bacaan-bacaan fahaman Marcion telah disisip ke dalam teks surat-surat Paulus yang digunakan oleh gereja, namun sejak 7 tahun yang lalu kami telah mendapat tahu bahawa prakata-prakata fahaman Marcion ini diterima secara langsung oleh pihak Gereja sebagai sebahagian daripada bacaan surat-surat Paulus! Jasa baik De Bruyne di mana beliau telah membuktikan bahawa prakata-prakata ini, yang telah pertama kali dijumpai di dalam Kodeks Fuldensis dan seterusnya di dalam beberapa manuskript-manuskrip yang lain, berasal dari kelompok Marcionit dan pihak Gereja langsung tidak menyedari kehadiran sang iblis ini.

Pengaruh Vulgata di atas budaya Barat sunting

Pengaruh Vulgata di atas budaya, kesenian dan kehidupan tamadun Barat Zaman Pertengahan amat ketara. Daripada Zaman Pertengahan sehingga zaman-zaman Renaissance dan Reformasi, karya agung Jerome ini berdiri teguh sebagai tunggak terakhir zaman kegemilangan Rom dan batu asas Gereja Latin yang menjadi salah satu unsur yang menyatukan benua Eropah yang berpecah belah melalui keimanan Katolik. Sebagai versi Alkitab yang utama tamadun Barat untuk lebih daripada seribu tahun (400-1530), Vulgata telah menjadi inspirasi untuk karya-karya budaya seperti lukisan-lukisan, kidung-kidung, dan lakon pentas keagamaan yang tidak terkira banyaknya.

Walaupun tradisi Reformasi di Geneva dari abad ke-16 telah memulakan gerakan untuk menggantikan versi Vulgata dengan versi-versi Alkitab vernakular yang diterjemahkan terus dari sumber-sumber bahasa asal, namun kegunaan Vulgata bukan setakat dikekalkan malah diperkembangkan di dalam perbahasan theologi. Teks Vulgata juga digunakan sebagai teks rujukan Latin di dalam khutbah-khutbah Latin John Calvin yang diterbitkan dan juga edisi Perjanjian Baru Yunani yang dihasilkan oleh Theodore Beza. Di dalam Gereja-Gereja Protestan yang mengambil contoh teladan dari Geneva seperti di England dan Scotland, mulanya penghargaan yang lebih mendalam untuk gaya bahasa dan prosa yang dikandungkan Vulgata.

Versi Alkitab Bahasa Inggeris yang boleh dikatakan sepadan dengan Vulgata dari segi pengaruhnya iaitu Alkitab Versi Raja James juga menunjukkan pengaruh Vulgata terutamanya dari segi cara Jerome memadankan perbendaharan kata keagamaan Latin dengan gaya prosa yang fasih dan gaya irama syair yang bersemangat.

Terjemahan-terjemahan berdasarkan Vulgata sunting

Sebelum terbitnya Surat amanat Paus Pius XII berjudul Divino Afflante Spiritu pada tahun 1943, teks Vulgata merupakan sumber utama untuk penterjemahan Alkitab ke dalam bahasa vernakular, khususnya di kalangan penganut Katolik. Penterjemahan-penterjemahan Alkitab yang utama yang berdasarkan Vulgata termasuk:

  • Bahasa Inggeris
Injil-Injil Lindisfarne (antara abad ke-7 sehingga abad ke-8), penterjemahan-penterjemahan Bahasa Inggeris Awal (sebelum 1066), Alkitab Wyclif (1382-1395), Alkitab Douay-Rheims (1582-1610), Alkitab Confraternity (1941-1970) dan Alkitab Knox (1945-1950).
  • Bahasa Melayu se-Nusantara
Alkitab Ende (1964-1970)

Rujukan sunting

  1. ^ "What is the Vetus Latina". The Vetus Latina. Vetus Latina Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-10-14. Dicapai pada 2008-08-02.
  2. ^ a b Saltet, Louis (1910). "St. Jerome". The Catholic Encyclopedia. 8. New York: Robert Appleton Company. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonth= ignored (|access-date= suggested) (bantuan)
  3. ^ "Prologi Sancti Hieronymi In Biblia Sacra (Prolog-Prolog Santa Jerome di dalam Alkitab Kudus)". The Latin Library. Ad Fontes Academy, Centreville, VA, USA. Dicapai pada 2008-08-02.
  4. ^ Maas, Anthony (1910). "Correctories". The Catholic Encyclopedia. 4. New York: Robert Appleton Company. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonth= ignored (|access-date= suggested) (bantuan)
  5. ^ Reilly, Wendell (1910). "Polyglot Bibles". The Catholic Encyclopedia. 12. New York: Robert Appleton Company. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonth= ignored (|access-date= suggested) (bantuan)
  6. ^ "Vulgate". The International Standard Bible Encyclopedia (1915). Michael D. Marlowe. Dicapai pada 2008-08-03.
  7. ^ "Canons and Decrees of the Council of Trent: The Fourth Session". 04-08-1546. Dicapai pada 2008-08-03. Check date values in: |date= (bantuan)
  8. ^ Hieronymus, Eusebius Sophronius (1840). Novum Testamentum Vulgatae Editionis Juxta Textum Clementis VIII. Leipzig: Sumptibus Et Typis Caroli Tauchnitz. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan); Cite has empty unknown parameter: |1= (bantuan)
  9. ^ Gasquet, Francis Aidan Cardinal (1912). "Revision of Vulgate". The Catholic Encyclopedia. 15. New York: Robert Appleton Company. Unknown parameter |accessyear= ignored (|access-date= suggested) (bantuan); Unknown parameter |accessmonth= ignored (|access-date= suggested) (bantuan)
  10. ^ Hieronymus, Eusebius Sophronius (1926). Biblia Sacra Iuxta Latinam Vulgatam Versionem Ad Codicum Fidem. Romae: Typis Polyglottis Vaticanis. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  11. ^ a b c Hieronymus, Eusebius Sophronius (1994). Biblia Sacra Vulgata Editio quinta: Index Codicum et Editionum. Stuttgart: Deutsche Bibelgesellschaft. ISBN 9783438053039. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  12. ^ a b Hieronymus, Eusebius Sophronius (1984). Novum Testamentum Latine: Praefatio in Editionem Primam. Stuttgart: Deutsche Bibelgesellschaft. ISBN 9783438053008. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  13. ^ Clifford, Richard J. (S.J.) (2001). "The Authority of the Nova Vulgata: A Note on A Recent Roman Document". The Catholic Biblical Quarterly (63): 197–202. Dicapai pada 2008-08-05. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  14. ^ Hieronymus, Eusebius Sophronius (1986). Nova Vulgata Bibliorum Sacrorum Editio: Praenotanda. Vatican: Libreria Editrice Vatican. ISBN 9788820915230. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  15. ^ Hieronymus, Eusebius Sophronius (1986). Nova Vulgata Bibliorum Sacrorum Editio: Praefatio ad Lectorum. Vatican: Libreria Editrice Vatican. ISBN 9788820915230. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  16. ^ Pope John Paul II (05-14-1979). "Scripturarum Thesaurus". L'Osservatore Romano.
  17. ^ (05-07-2001). "Liturgiam Authenticam". Congregationis de Cultu Divino et Disciplina Sacramentorum.

Pautan luar sunting