Wilayah Ekonomi Pantai Timur

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (East Coast Economic Region) atau ECER merupakan wilayah pembangunan ekonomi di Malaysia yang dirasmikan pada hari Selasa, 29 Oktober 2007 oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Wilayah Ekonomi Pantai Timur
Koridor Ekonomi
NegaraMalaysia
NegeriPahang, Terengganu, Kelantan

Program atas inisiatif kerajaan pusat ini merupakan program ekonomi ketiga selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di utara Semenanjung Malaysia. ECER melibatkan tiga buah negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan serta daerah Mersing di Johor. Luas kawasan yang terlibat ialah 66,736 kilometer persegi atau 51 peratus daripada keluasan Semenanjung Malaysia. ECER melibatkan 3.9 juta penduduk.

Pembangunan ECER ini adalah selama 12 tahun dari tahun 2007 hingga 2020. Peneraju utama ialah perbadanan minyak dan gas iaitu Petronas.

Perasmian sunting

Perasmian peringkat negeri Terengganu diadakan di Taman Awam Batu Burok. Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan anggota Exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa yang mewakili Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Abdullah Ahmad Badawi turut merasmikan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC) dan Taman Ilmu. KTCC merupakan destinasi pelancongan, persidangan dan pameran antarabangsa (M.I.C.E) yang bertemakan "pintu masuk ke ECER dan bandar maritim". Taman Ilmu di Besut bakal menjadi pusat kecemerlangan industri pendidikan dan "edutourism" yang mampu menarik pelajar dari seluruh dunia ke Terengganu.

Perasmian peringkat negeri Kelantan diadakan di Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab. Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat menyambut baik usaha Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi. Datuk Husam Musa berjanji kerajaan PAS akan memberi komitmen "1,000 peratus" untuk menjayakan 23 projek di Kelantan sepanjang tempoh 12 tahun itu.

Kos sunting

Kos pembangunan akan dibiayai oleh syarikat Petronas iaitu sebuah perbadanan milik kerajaan Malaysia. Fasa pertama melibatkan kos RM6 bilion. Kos sebenar ialah RM112 bilion. Ia akan disalurkan melalui melalui kajian semula program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) serta penambahan peruntukan semasa kajian separuh penggal RMK9.

227 projek bernilai RM112 bilion dalam tempoh 12 tahun akan dilaksanakan oleh Petronas dan lain-lain.

Teras pembangunan sunting

Teras utama pembangunan ialah:

  • Pelancongan - membina kemudahan pusat peranginan dan hotel bertaraf antarabangsa di kawasan pesisir pantai. Bakal menarik kehadiran 7.4 juta pelancong luar negara dan 21.4 juta pelancong tempatan menjelang 2020.
    • Kuala Terengganu akan menjadi hab aktiviti pinggir pantai, terminal pelayaran, marina, pasaran kraftangan, pusat membeli belah, taman dan beberapa taman tema.
    • Taman Negara Endau-Rompin.
    • Jeti Mersing.
    • Pulau Tioman bakal menjadi daya tarikan pelancongan negara.
    • Pengkalan Kubur menjadi pusat pelancongan sempadan dan pusat perdagangan peringkat Asia Tenggara / segitiga pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand.
    • Kota Baru City Centre (KBCC) di Palekbang berhampiran Kota Baru akan dibangunkan.
    • Sungai Nenggiri, Sungai Burok, Sungai Jenera, Sungai Pulan serta kawasan sekitarnya akan dimajukan sebagai taman negara.
  • Projek pembangunan Kuantan Sentral serta Bukit Gambang Resort City bagi negeri Pahang
  • Industri minyak, gas dan petrokimia.
  • Industri pembuatan - industri hiliran berasaskan minyak sawit, kayu dan susu getah serta hasil pertanian lain untuk mengeluarkan barangan seperti bahan oleokimia, perabot, sarung tangan dan makanan halal.
    • Taman Industri Halal di Pasir Mas dibina bagi menjana sektor hiliran.
  • Pertanian
    • Hulu Setiu - projek agropolitan seluas 2,000 hektar .
    • Kuala Berang, Hulu Terengganu - Pusat Penyelidikan dan Pembiakan Kambing Nukleus. Dijangka mengeluarkan 10,000 induk kambing seperti Jamnapari, Boer dan Anglo Nubian yang bermutu tinggi pada 2015. Ketika ini Malaysia mengimport 70,000 ekor kambing dari Australia dan New Zealand setiap tahun. Perjanjian kerjasama (MoU) antara Pusat Penyelidikan dan Pembiakan Kambing Nukleus, di antara JPH dengan Marditech Corporation Sdn Bhd dan Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) telah ditandatangani.
    • Pusat penyelidikan baka ternakan seluas 800 hektar akan dibina di Tersat, Kuala Berang.
    • Ladang integrasi kambing dengan ladang getah seluas 2,000 hektar, milik Risda di Besut dan Hulu Terengganu. Kambing cepat matang dan peratusan penggunaan tanahnya adalah rendah berbanding lembu dan kerbau.
    • Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan memajukan 5,200 keluarga di Gua Musang. Ia melibatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
    • Gunung Musang, Dabong dan Lembangan Sungai Nenggiri diwartakan sebagai Taman Negeri. Lebih 10,000 orang Asli daripada suku Temiar yang miskin tegar akan menikmati kemajuan ECER ini.
    • Lembah Pertanian Moden di Bachok dan Pasir Puteh - ladang buah-buahan dan sayur-sayuran seluas 2,000 hektar.
    • Terminal Makanan Nasional (Teman) di Kota Baru di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bakal memajukan 4,000 petani.
    • Ladang ayam di Gua Musang.
    • Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) akan memajukan 4250 keluarga dengan pertanian komersial.
    • Projek tebatan banjir dan pencegahan hakisan pantai.
  • Pendidikan
    • Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
    • Taman Ilmu di Besut seluas 283 hektar akan menjadi bandar baru universiti. Bakal didiami kira-kira 10,000 penduduk.
  • Prasarana
    • Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dinaiktaraf sebagai lapangan terbang antarabangsa (Penerbangan terus ke Mekah dari Kuala Terengganu)
    • Empangan akan dibina oleh syarikat tempatan.
    • Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra turut diperbesarkan.
    • Jalan pesisir pantai dari Kota Baru ke Mersing akan dilebarkan menyamai lebuh raya.
  • Perikanan / Pelabuhan
    • Pelabuhan Kemaman.
    • Pelabuhan Kuantan akan dinaiktaraf.
    • Jeti nelayan di Tok Bali, Pasir Puteh.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

Pautan luar sunting