Wladimir Peter Köppen (Rusia: Владимир Петрович Кёппен; 25 September 1846 di Saint Petersburg, Rusia – 22 Jun 1940 di Graz, Austria) ialah seorang ahli geografi, meteorologi, kaji iklim dan botani kelahiran Rusia yang berketurunan Jerman. Setelah menelaah di St. Petersburg, beliau menghabiskan kebanyakan hayat dan kerjaya profesionalnya di Jerman dan Austria. Sumbangan terbesar beliau kepada bidang sains ialah perkembangan sistem pengelasan iklim Köppen yang masih digunakan pada masa kini, itupun dengan sedikit pengubahsuaian.

Wladimir Köppen
1921, foto oleh Friedrich Becks
Kelahiran25 September 1846
Meninggal dunia22 Jun 1940(1940-06-22) (umur 93)
WarganegaraRusia/Jerman
Pusat pendidikanUniversiti Saint Petersburg
Terkenal keranaSistem pengelasan iklim Köppen
Kerjaya saintifik
BidangGeografi, Meteorologi, Kaji Iklim, Botani
InstitusiUniversiti Heidelberg
Universiti Leipzig

Latar belakang dan pendidikan sunting

Datuk Köppen menyertai sekohort ahli fizik Jerman yang diundang oleh Tsarina Catherine II ke Rusia untuk memperbaiki sanitasi di situ, kemudian dia menjadi tabib peribadi kepada Tsar Rusia. Bapanya Peter Köppen ialah seorang ahli geografi, sejarah dan ethnografi kebudayaan kuno Rusia, dan juga seorang penyumbang penting kepada pertukaran intelektual antara ahli sains Eropah Barat dan Rusia. Wladimir menghadiri sekolah menengah di Simferopol, Crimea, lalu memulakan kajian botani di Universiti St. Petersburg. Beliau sering berkunjung ke estet keluarganya di pantai Crimea dari St. Petersburg, berulang alik ke Simferopol, di pedalaman semenanjung. Kepelbagaian flora dan geografi di semenangjung Crimea, serta peralihan geografi yang amat ketara antara ibu kota dan tempat kediamannya banyak mempengaruhinya agar berminat terhadap hubungan antara iklim dan alam semulajadi. Pada tahun 1867, beliau berpindah ke Universiti Heidelberg dan mempertahankan disertasi kedoktorannya mengenai kesan suhu terhadap pertumbuhan tumbuhan di Universiti Leipzig pada tahun 1870.

Kerjaya dan jasa sunting

Dari tahun 1872 hingga 1873, Köppen menyertai khidmat meteorologi Rusia. Pada tahun 1875, beliau berpindah ke Jerman lalu menjadi ketua Divisi Meteorologi Marin yang baru ditubuhkan dalam balai cerap tentera laut Jerman (Deutsche Seewarte) di Hamburg. Di situ, beliau bertanggungjawab menubuhkan khidmat ramalan cuaca untuk kawasan barat laut Jerman dan kawasan laut yang berhampiran. Setelah empat tahun berkhidmat, barulah beliau dapat beralih ke minat utamanya, iaitu penyelidikan asas, sekaligus meninggalkan pejabat meteorologi.

 
Peta pengelasan iklim Köppen sedunia.

Köppen memulakan kajian sistematik mengenai iklim serta menggunakan belon sebagai alat uji kaji untuk memperoleh data dari lapisan-lapisan tertinggi atmosfera. Pada tahun 1884, beliau menerbitkan versi pertama peta zon iklim yang berplot julat suhu bermusim. Hasil kerja ini membawa kepada perkembangan sistem pengelasan iklim Köppen sekitar tahun 1900, yang sentiasa diperhalusi oleh Köppen sehingga akhir hayat. Versi penuh sistemnya dikeluarkan buat julung kalinya pada tahun 1918, diikuti pengubahsuaian demi pengubahsuaian, sehingga terbitnya versi akhir pada tahun 1936.

Selain menghuraikan pelbagai jenis iklim, beliau juga berjinak dengan bidang paleoklimatologi. Pada tahun 1924, Köppen bersama menantunya Alfred Wegener menerbitkan kertas kerja bertajuk Die Klimate der Geologischen Vorzeit (Iklim zaman silam geologi) yang memberikan sokongan kukuh kepada teori zaman air batu oleh Milutin Milankovic.

Menjelang akhir hayatnya, Köppen bekerjasama dengan ahli kaji iklim Jerman, Rudolf Geiger, untuk menghasilkan kertas kerja lima jilid, iaitu Handbuch der Klimatologie (Buku Panduan Kaji Iklim). Sayangnya, kertas kerja itu tidak dapat disiapkan, namun beberapa bahagiannya, tiga daripadanya oleh Köppen, sempat diterbitkan. Setelah Köppen meninggal dunia pada tahun 1940, Geiger terus mengusahakan pengubahsuaian pada sistem pengelasan iklimnya.

Köppen merupakan seorang saintis tersohor yang berjaya menghasilkan lebih 500 kertas kerja, sambil mengekalkan retained his keingintahuan intelek dan kepelbagaian minatnya sepanjang hayatnya. Pada tahun 1890, beliau mengarang atlas awan yang pertama.[1]

Selain minat sainsnya, beliau juga bergiat dalam hal-ehwal sosial, dengan meluangkan banyak masa dan tenaganya kepada pembaharuan penebusan tanah dan sekolah, serta pemakanan golongan kurang bernasib baik. Beliau juga kuat mendukung penggunaan bahasa Esperanto demi keamanan dunia, hinggakan pernah menterjemah sebilangan terbitannya ke dalam bahasa buatan tersebut.

Rujukan sunting

  • Allaby, Michael (2000). Encyclopedia of Weather and Climate. New York: Facts On File, Inc. ISBN 0-81-604071-0.
  1. ^ H. H. Hildebrandsson, W. Köppen, and G. Neumayer (1890). Cloud Atlas. Hamburg. Unknown parameter |note= ignored (bantuan)CS1 maint: multiple names: authors list (link)