Abdul Majid Mat Isa

Sejarah penglibatan Cikgu Abdul Majid Mat Isa dalam Silat Gayong bermula pada bulan 20hb Jun 1956 ketika beliau berusia 18 tahun di bawah tunjuk ajar Meor Abdul Aziz, abang kandung Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim.

Antara yang turut serta ialah Abdul Hamid, Abdul Rahman (abang Cikgu Abdul Majid) dan orang-orang kampung seramai 14 orang. Seterusnya gelangang tersebut dikelolakan oleh Ismail Mansur dari Pulau Pinang. Setelah enam bulan berlalu, gelanggang tersebut diambil alih pula oleh Kamari Melan dari Singapura.

Semasa Dato' Meor Abdul Rahman bersama Dato' Onn Jaafar melawat ke gelanggang tersebut, persembahan Abdul Majid bersama dua rakan pelatihnya Ramli Ibrahim dan Ramli Maarof telah mengkagumkan kedua-dua pelawat tersebut. Bertolak dari lawatan tersebut, Dato' Onn telah meeminta Abdul Majid dan dua rakanya itu untuk mengikuti kursus lanjutan Seni Silat Gayong di Gelanggang Gayong Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura. Beliau juga turut berlajar daripada Dato' Meor Abdul Rahman, ayahandanya Daeng Uda Mohd Hashim serta Tuan Guru Hj Hussein Dol.

Setelah genap setahun, Abdul Majid diarahkan kembali ke Kedah kerana diamanahkan oleh Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia untuk mengembangkan silat tersebut ke seluruh negeri Kedah.

Dari asuhan Cikgu Abdul Majid lahirlah kumpulan jurulatih handalan tanahair seperti Cikgu Awang Daud, Cikgu Ismail Chik, Cikgu Ahmad Lazim, Cikgu Adiwijaya dan Cikgu Ahmad Ismail.

Pada awal tahun 1960, Cikgu Abdul Majid, sekali lagi ke Singapura menjalani latihan seni senjata di bawah bimbingan Cikgu Nordin Abdul Rahman. Turut mengajar ialah Cikgu Siti Aishah Meor Abdul Rahman, anak perempuan Dato' Meor Abdul Rahman yang pakar bermain kain 'cindai'.

Pada tahun 1978, akibat daripada pergeseran di kalangan ahli-ahli Silat Gayong, Dato' Meor Abdul Rahman telah menarik jawatan Guru Kanan Tertinggi daripada Cikgu Abdul Majid.

Pada tahun 1978 juga, beliau telah mengasaskan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.

RujukanSunting

  • TETAK-Tempur Tangan Kosong Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung, Sarjana Media, Kuala Lumpur, 2008