Haji Abdul Rahim bin Ahmad merupakan qari al-Quran di Malaysia. Beliau pernah dinobatkan sebagai Johan dalam Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa mewakili Malaysia.

Latar belakang sunting

Beliau merupakan anak kelahiran bandar Patani, Thailand di sebuah kampung di Cerang Nahong. Beliau dilahirkan pada tahun 1951. Bapanya bernama Haji Ahmad bin Haji Ibrahim, manakala ibunya bernama Zawariyah binti Yusof.

Pendidikan sunting

Formal sunting

Pada peringkat awal pengajian, sekitar tahun 1960-an, Haji Abdul Rahim dihantar oleh ibu bapanya menimba ilmu di Madrasah Arab Ugama Muassasah al-Thaqafah al-Islamiyyah di Ponbeng. Thailand. Di sana beliau ditempatkan di peringkat rendah sehingga menengah. Pengajian beliau tamat di peringkat menengahsahaja memandangkan beliau tidak berkesempatan menyambung ke peringkat yang lebih tinggi.

Tidak Formal sunting

Peringkat pertama pengajian, Haji Abdul Rahim hanya bertalaqqi musyafahah al-Quran (membaca secara dengar-baca-semak) melalui perantaraan kedua-dua orang tuanya sahaja. Beliau telah berjaya khatam 30 juzuk. Kelebihan dan keupayaan ini seharusnya dipandang tinggi kerana amat jarang sekali kanak-kanak seusia dan sezaman dengan beliau mampu khatam al-Quran[1]

Peringkat kedua pengajian, Haji Abdul Rahim berguru dengan Haji Ahmad Syukri bin Haji Soleh. Haji Abdul Rahim sempat belajar tarannum dengan Haji Ahmad Syukri hanya satu surah iaitu awal surah Ma’idah dan usia beliau ketika itu dalam lingkungan 15-16 tahun. Dengan kesungguhan dan usaha yang berterusan, beliau dapat mengenali lagu yang tujuh itu melalui sistem pengajaran Haji Ahmad Syukri. Pendekatan kaedah pengajaran yang dilakukan oleh Haji Ahmad Syukri ialah tikrar (ulangan) sehingga setiap pelajar tersebut mampu membaca sesebuah tarannum itu tanpa pantauan.[1]

Pada peringkat ketiga, Haji Abdul Rahim belajar tarannum adalah bersama Haji Ahmad Maasom. Kira-kira pengajian beliau dengan perantaraan Haji Maasom Pergau adalah selama 12 tahun ketika berusia 27 tahun dari tahun 1975 hingga 1987. Bimbingan yang dilakukan oleh Haji Ahmad Maasom menjadi tapak asas kepada beliau mengenali dan seterusnya menguasai ilmu tarannum sehingga bergelar johan peringkat antarabangsa. Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau  berulang alik dari pondok Tok Guru Haji Abdul Ghani berdekatan dengan masjid Bandar Pasir Mas di Kubang Bemban ke rumah Haji Matsom menaiki basikal sejauh kira-kira 3 kilometer [1].

Kerjaya sunting

Di peringkat permulaan, Haji Abdul Rahim diberi amanah menjawat jawatan sebagai bilal Masjid Negeri bagi negeri Kelantan iaitu Masjid Muhammadi, Kota Bharu dan Masjid Kubang Kerian. Bagaimanapun, pada tahun 2010 beliau mengambil pendekatan untuk menamatkan tugas sebagai bilal untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam dunia tilawah al-Quran melatih dan mendidik qari dan qariah sama ada dari peringkat Ibtida’i (rendah) mahupun Aliy (tinggi).

Keterlibatan dalam pertandingan tilawah al-Quran sunting

Setelah hampir 15 tahun menimba ilmu seni taranum al-Quran, maka Haji Abdul Rahim mula berjinak-jinak melibatkan diri secara serius dengan menyertai musabaqah tilawah al-Quran. Tiga tahun berturut turut iaitu pada tahun 1992, 1993 dan 1994, beliau telah menjadi johan dalam Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan. Pada tahun 1993 dan 1994 pula, beliau mewakili Malaysia ke peringkat Antarabangsa dan menjadi johan dalam Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa.

Sebelum menyandang johan peringkat kebangsaan di majlis tilawah al-Quran, beliau telah beberapa kali menyandang johan serta mewakili negeri Kelantan iaitu pada tahun 1982, 1983 dan 1985.

Pengiktirafan sunting

  • Pernah diundang oleh kerajaan Maghribi, Pakistan, Brunei, Singapura dan Iran sebagai qari jemputan
  • Dijemput oleh kerajaan Thailand sebagai Hakim Tilawah al-Quran, pembimbing peserta dan panel kurus tahsin dan sebagainya.
  • Diberi kepercayaan sebagai hakim dalam pertandingan hafazan dan tarannum peringkat Kebangsaan di Negara Maldives pada tahun 2011.
  • Pingat oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia
    • Kesatria Mangku Negara (KMN) - 1995
  • Pingat oleh Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra
    • Pingat Jasa Bakti (JB)
  • Dilantik sebagai karyawan tamu UKM pada tahun 2010.

Rujukan sunting

  1. ^ a b c Wan Hilmi Wan Abdullah. 2014. Pengaruh Tarannum Qari-qari Mesir Terhadap Qari-qari di Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.