Panglima Bukit Gantang

Tan Sri Dato' Seri Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz (lahir pada 4 Mei 1905) juga dikenali sebagai Dato' Panglima Bukit Gantang merupakan bekas Menteri Besar Perak yang pertama dari 1 Februari 1948 hingga 1 Ogos 1957. Beliau mendapat gelaran Orang Kaya-kaya Dato’ Panglima Bukit Gantang dari Perak iaitu sebagai salah seorang Orang Besar Berempat Perak.

YBhg Dato' Panglima Bukit Gantang
Tan Sri Dato' Seri Haji

Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz

PMN; SPCM (Perak)
Menteri Besar Perak pertama
Dalam jawatan
1948–1957
Digantikan olehMohamed Ghazali bin Jawi
Butiran peribadi
Lahir(1905-05-04)4 Mei 1905
Sayong, Kuala Kangsar, Perak
Meninggal dunia15 April 1959(1959-04-15) (umur 53)
Canning Garden Estate, Ipoh, Perak
Parti politikNAP (1953-1959)
UMNO (1946-1953)
ProfesionPeguam
AnugerahLihat

Beliau berasal dari keturunan bangsawan Perak (Orang Besar Berempat Perak) dan merupakan anak pembesar Melayu yang pertama dapat melanjutkan pelajaran ke England. Beliau juga salah seorang daripada empat wakil Sultan ke London untuk Rombongan Kemerdekaan.

Keluarga sunting

Dato' Panglima Bukit Gantang dilahirkan pada 4 Mei 1905 di Sayong, Perak yang merupakan sebuah perkampungan kecil di tepian Sungai Perak, berhampiran Kuala Kangsar. Ibu beliau bernama Teh Halimah iaitu anak tunggal kepada Dato’ Setia Bijaya Jeragan Abdul Syukor dari isteri yang pertama. Datuk dan bapanya Toh Muda Abdul Aziz bin Haji Mahmud Taib mendapat gelaran Datuk Panglima Bukit Gantang. Beliau adalah anak kedua dari 14 orang adik-beradik. Sejak kecil beliau dipelihara oleh datuknya di Ipoh.

Pendidikan sunting

Dato' Panglima Bukit Gantang mendapatkan pendidikannya di Sekolah Melayu Pekan Baru, Ipoh. Beliau melompat ke darjah empat dalam tempoh tiga tahun. Kemudian, beliau menyambungkan pelajarannya ke Sekolah Anderson di Ipoh ketika berumur 10 tahun. Beliau lulus peperiksaan Cambridge [en] pada bulan Mei 1925 dan cemerlang dalam pelajaran Kesusasteraan dan Bahasa Inggeris. Hasilnya, beliau layak untuk melanjutkan pelajaran ke universiti luar negeri.

Beliau menuntut di di Universiti London dalam bidang undang-undang dan aktif dalam persatuan pelajar. Pada tahun 1928, beliau menjadi Presiden Persatuan Anak-Anak Melayu Great Britain. Beliau dikatakan berciri seorang yang cerdas kerana sentiasa lulus dalam peperiksaan undang-undang. Sebagai ganjaran, beliau diberi beberapa pas untuk membawa beberapa rakan pelajar ke mahkamah untuk mendengar perbicaraan penuh di Mahkamah England dan Wales.

Ketika Sultan Ibrahim dari Johor melawat pelajar-pelajar Melayu di England, Beliau selaku pemimpin pelajar gagal memberi ucapan dalam Bahasa Melayu, sebaliknya berucap dalam Bahasa Inggeris. Tindakan ini dikatakan sebagai tidak disenangi oleh Tunku Abdul Rahman.

Beliau pulang ke tanah air setelah lulus dalam peperiksaan Bar Final Examination [en] di London.

Rakan seangkatannya yang belajar di London ialah Tunku Abdul Rahman, Raja Muda Raja Haji Bot dari Selangor, Nik Ahmad Kamil Nik Mahmud dari Kelantan, Abdul Hamid Mustafa dan Syed Sheh Hassan Barakbah dari Kedah.

Kerjaya sunting

Sekembali ke Malaysia, beliau telah membuat latihan Chamber selama enam bulan di Mahkamah Tinggi Malaysia. Setelah selesai, beliau bekerja dengan peguam J. Dunford Wood di Ipoh. Beliau membuka firma guamannya sendiri di No.21, Jalan Hale (Jalan Bandaraya) Ipoh. Selain itu, beliau juga menubuhkan Persatuan Drebar-drebar (Pemandu-pemandu) Melayu Perak (PDMPK) pada tahun 1930.

Pada 1936, beliau mendapat gelaran Dato’ Panglima Bukit Gantang dari Sultan Perak. Beliau dipilih kerana menggantikan datuknya sebagai Dato’ Panglima Bukit Gantang dan bapanya yang berturut-turut meninggal dunia sebelum itu. Kematian ini menyebabkan beliau terus dilantik sebagai Dato’ Panglima Bukit Gantang tanpa perlu menjadi Toh Muda terlebih dahulu mengikut adatnya.

Politik sunting

Beliau dilantik menjadi salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak pada tahun 1937 memandangkan pendidikan tinggi yang diterimanya.

Dato' Panglima Bukit Gantang menubuhkan Perikatan Melayu Perak pada 27 Januari 1946 bersama Zainal Abidin Haji Abas dan Putih Mariah Ibrahim Rashid untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan menentang pertubuhan Malayan Union. Beliau juga memainkan peranan penting dalam usaha menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Perak bersama pembesar-pembesar negeri seperti Megat Khas dan Megat Yunus pada tahun 1946 yang diketuai di peringkat persekutuan oleh Dato' Onn Jaafar dari negeri Johor.

Beliau menjadi Menteri Besar Perak dari dari 1 Februari 1948 hingga 1 Ogos 1957 dan dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang pertama sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

Disingkir dari UMNO sunting

Beliau rapat dengan Dato' Onn Jaafar yang menubuhkan UMNO dan kemudian parti IMP. Beliau selaku Menteri Besar Perak telah menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Perak (National Association of Perak). Pada peringkat awal, parti-parti politik ketika itu bercorak kenegerian sahaja dan seseorang boleh menyertai dua atau lebih parti politik.

Kemudian, pada Mac 1953 Dato' Panglima Bukit Gantang (walaupun sebagai Pengerusi UMNO Perak) telah mula mengusahakan penubuhan sebuah parti politik yang lain di luar kekuasaan UMNO dan memberikan sokongan politiknya kepada Dato Onn Jaafar yang telah menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (Independence of Malaya Party / IMP).

Pada April 1953, beliau disingkirkan dari UMNO kerana tindakan beliau mengepalai Gerakan Menteri-menteri Besar untuk mengadakan Persidangan Kebangsaan pada 27 April 1953. Namun, cawangan-cawangan UMNO di peringkat negeri Perak memilih untuk menyokong beliau dengan majoriti undi percaya 37 berbanding 15. Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman memberi amaran kepada cawangan-cawangan UMNO di Perak bahawa mereka akan dipecat jika berterusan mengakui Dato' Panglima Bukit Gantang sebagai pengerusi UMNO Perak. Hasilnya, sebahagian besar UMNO Perak keluar menyertai Dato' Panglima Bukit Gantang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Perak (NAP) yang menjadi teman politik Dato' Onn Jaafar dan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) beliau. Bagaimanapun, parti tersebut gagal mendapat sokongan dalam Pilihan raya umum Tanah Melayu 1955 dengan meraih hanya 12.88 peratus undi di negeri Perak dan tewas di kesemua lapan kerusi yang ditanding. Akhirnya, beliau keluar dari parti tersebut dan menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai Menteri Besar Perak hingga tahun 1957.

Meletak jawatan sunting

Beliau meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar secara rasmi pada 31 Julai 1957 kerana keuzuran. [1]

Anugerah sunting


Penyandang Terdahulu Menteri Besar Perak
1 Feb 1948 - 1 Ogos 1957
Penyandang Kemudian
Jawatan belum ada Mohamed Ghazali bin Jawi

Rujukan dan pautan sunting

  • Kamaruddin Yaakob (1998). Riwayat Hidup Menteri-menteri Besar Perak Darul Ridzuan. Yayasan Perak. Pencetakan Zainon Kasim Sdn. Bhd.