Abdullah Ayub

Tun Abdullah bin Ayub S.S.M., P.M.N., P.S.M., S.P.M.J., S.P.C.M., D.P.M.J., D.P.C.M., P.G.D.K., D.P.M.T., D.P.S.K., J.M.N., K.M.N. (3 Januari 1926 – 13 Disember 2018) merupakan bekas Ketua Setiausaha Negara Malaysia ke-6 (1 Januari 1979 – 30 Disember 1980).[1]


Abdullah Ayub

SSM, PMN, PSM; SPMJ (Johor); SPCM (Perak); DPMJ (Johor); DPCM (Perak); PGDK (Sabah); DPMT (Terengganu); DPSK (Kelantan); JMN, KMN
ABDULLAHAYUB.jpg
Ketua Setiausaha Negara ke-6
Dalam jawatan
1 Januari 1979 – 30 November 1980
RajaSultan Yahya Petra
Sultan Ahmad Shah
Perdana MenteriTun Hussein Onn
Didahului olehTun Abdullah Mohd Salleh
Digantikan olehTan Sri Hashim Aman
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia
Dalam jawatan
1974–1978
Didahului olehRaja Tun Mohar Raja Badiozaman
Digantikan olehThong Yaw Hong
Butiran peribadi
Lahir3 Januari 1926
Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak
Meninggal dunia13 Disember 2018(2018-12-13) (umur 92)
Kuala Lumpur, Malaysia
Tempat persemadianTanah Perkuburan Islam Bukit Kiara
PasanganToh Puan Puteh Rafeah Arifin (m. 2001)
Toh Puan Anna Abdul Ranee

Kehidupan awalSunting

Tun Abdullah Ayub telah dilahirkan pada 3 Januari 1926 di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pasir Panjang Laut dan di Anglo-Chinese School, Sitiawan, sebelum meneruskan persekolahan beliau di Sekolah King Edward VII di Taiping, Perak. Berkat dari ketekunan dan ketabahan beliau dalam pelajaran, Tun Abdullah telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Cambridge School Certificate dan berjaya meneruskan pengajiannya ke Raffles College dan Universiti Malaya, Singapura. Beliau lulus Ijazah B.A (Hons) dalam tahun 1953 dan telah dianugerahkan "Queen's Scholarship" kerana pencapaian yang amat cemerlang.[2][3]

KerjayaSunting

Kerjaya Tun Abdullah dalam pentadbiran bermula apabila beliau diterima masuk sebagai Pegawai Pelatih (Probationer Officer) Malayan Civil Service (M.C.S) pada 5 Januari 1954 dan ditempatkan sebagai Penolong Pesuruhjaya Buruh di Pejabat Buruh Selangor.

Selepas lulus Pengajian Bahasa Cina, Tun Abdullah telah ditempatkan di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri sebagai Setiausaha Sulit kepada Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra mulai Ogos 1956. Beliau telah ditukarkan pula ke Kementerian Dalam dan Keadilan untuk membantu menyediakan persiapan perayaan Hari Merdeka dan Pertabalan Yang di-Pertua Agong yang pertama pada 31 Ogos 1957. Tun Abdullah kemudian telah dihantar untuk mengikuti Kursus Pentadbiran Awam di Universiti Cambridge, England selama setahun dari tahun 1958 hingga 1959.

Sekembalinya Tun Abdullah dari England, beliau telah ditugaskan di Kementerian Buruh dan Kebajikan Masyarakat sebagai Ketua Penolong Setiausaha dan selepas itu ke Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan akhirnya ditukarkan ke Perbendaharaan di awal tahun 1961. Tun Abdullah mempunyai kerjaya yang lama di Perbendaharaan iaitu hampir 15 tahun (1961–1972, 1974–1978). Dalam tempoh itu, beliau telah memegang beberapa jawatan penting dalam kementerian dan telah dinaikkan pangkat daripada Tingkatan Tertinggi H hingga Turus A. Beliau telah menjadi Ahli Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara (N.D.P.C.) selama beberapa lama dan kemudian menyandang jawatan pengerusinya.

Kecemerlangan yang ditunjukkan oleh Tun Abdullah semasa menjalankan tugas telah membawa beliau ke jawatan-jawatan yang lebih tinggi dan penting kepada negara Malaysia. Hal ini terbukti apabila beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 1 Julai 1972. Selain itu, beliau juga berkhidmat di Kementerian Kewangan sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan daripada Ogos 1974 hingga Disember 1978. Beliau juga telah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Kecemerlangannya sebagai seorang pentadbir mencapai kemuncaknya apabila Tun Abdullah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara untuk mengetuai Perkhidmatan Awam di negara ini pada 1 Januari 1979. Dalam pada itu, beliau telah dilantik untuk menjadi Pengerusi Lembaga Letrik Negara. Sebaik sahaja bersara daripada Perkhidmatan Awam pada 3 Januari 1981, Tun Abdullah terus dilantik sebagai Pengerusi Tribunal Perkhidmatan Awam.

AnugerahSunting

Jasa-jasa beliau dihargai dengan anugerah-anugerah darjah SPCM, SPMJ, DPMT, DPSK, PGDK yang diterima daripada beberapa buah negeri di Malaysia dan tidak ketinggalan di peringkat persekutuan dengan Anugerah-anugerah Bintang KMN, JMN dan Darjah PSM pada tahun 1974 dan Darjah PMN pada tahun 1979, yang kedua-duanya membawa gelaran Tan Sri. Pada tahun 2011, beliau telah dikurniakan Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun.

Meninggal duniaSunting

Tun Abdullah Ayub meninggal dunia pada 13 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Beliau berusia 92 tahun.[4][5][6] Jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara selepas solat zuhur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada pukul 3 petang.[7][8]

RujukanSunting

  1. ^ "Mantan Ketua Setiausaha Negara". Pejabat Ketua Setiausaha Negara. Dicapai pada 28 Januari 2021.
  2. ^ Fatini Yaacob, (2014). Tun Abdullah Ayub, riwayat seorang pentadbir : Ketua Setiausaha Negara, 1979-1981. Anna Abdul Ranee, 1958-, Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, (ed. 1st). Johor Bahru, Johor Darul Ta'zim, Malaysia. ISBN 978-983-52-0972-7. OCLC 891494939.CS1 maint: extra punctuation (link)
  3. ^ "Ucapan YAB Perdana Menteri di Majlis Perpisahan untuk Yang Berbahagia Tan Sri Abdullah Ayub, Ketua Setiausaha Negara, di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada 2hb Januari, 1981" (PDF). Yayasan Kepimpinan Perdana. 2 Januari 1981. Dicapai pada 28 Januari 2021.
  4. ^ "Tun Abdullah Ayub meninggal dunia". Berita Harian. 13 Disember 2018. Dicapai pada 28 Januari 2021.
  5. ^ "Bekas KSN Abdullah Ayub meninggal dunia". Sinar Harian. 13 Disember 2018. Dicapai pada 28 Januari 2021.
  6. ^ "Former KSN Abdullah Ayub passes away". New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). 13 Disember 2018. Dicapai pada 28 Januari 2021.
  7. ^ "Jenazah Tun Abdullah Ayub selamat dikebumikan". Sinar Harian. 13 Disember 2018. Dicapai pada 28 Januari 2021.
  8. ^ "Former chief secretary to govt Abdullah Ayub buried". Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). 13 Disember 2018. Dicapai pada 28 Januari 2021.


Penyandang Terdahulu Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia
19741978
Penyandang Kemudian
Y. B. M. Raja Tun Mohar Raja Badiozaman Y. Bhg. Tan Sri Dato' Thong Yaw Hong