Ahmad Boestamam

aktivis politik Malaysia
(Dilencongkan dari Abdullah Sani Raja Kechil)

Ahmad Boestamam (30 November 1920 – 19 Januari 1983; nama asal: Abdullah Thani bin Raja Kechil) ialah seorang aktivis politik anti penjajah Inggeris di Malaysia. Beliau ditangkap dan dipenjarakan sebanyak 3 kali.

Yang Berhormat Dato'

Ahmad Boestamam
Anggota Parlimen
untuk P070 Setapak, Selangor
Butiran peribadi
LahirAbdullah Sani bin Raja Kechil
(1920-11-30)30 November 1920
Perak Kampung Behrang Ulu, Negeri Perak Malaya
Meninggal dunia19 Januari 1983(1983-01-19) (umur 62)
Hospital Besar Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, Malaysia
Parti politikParti Kebangsaan Melayu Malaya

Parti Ra'ayat

Parti Marhaen
PasanganDatin Rabitah Binti Mohd Wajib
Anak-anak2
PekerjaanAhli politik, Wartawan, Sasterawan

Beliau menggunakan nama Ahmad Boestamam mulanya sebagai nama pena ketika menubuhkan akhbar Harakah pada tahun 1945 di Ipoh, Perak. Nama ini lekat sebagai nama yang popular. Beliau juga pernah menggunakan nama pena Ruhi Hayat dan Jiwalara. Beliau berbakat besar dalam penulisan dan seorang pemidato yang handal. Beliau dianugerahkan Panglima Negara Bintang Sarawak pada tahun 1976 membawa gelaran Datuk.[1]

Masa kecil sunting

Bapanya Raja Kechil, seorang petani, dan ibunya Rasiah. Ahmad Boestamam dibesarkan di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak. Beliau mempunyai dua orang kakak, iaitu Rasunin dan Ramlah. Pada usia enam tahun, Beliau memasuki Sekolah Melayu Behrang Ulu, sebuah sekolah Melayu dan kemudiannya, pada tahun 1933, beliau memasuki Anderson School, Ipoh. Ahmad tamat Darjah Lima dan lulus dengan Gred 1 dalam peperiksaan Kelas Melayu Khas ("Special Malay Class", SMC).

Kerjaya wartawan sunting

Seperti kebanyakan para aktivis politik yang sezaman dengannya, Ahmad ialah seorang wartawan akhbar yang sangat prolifik. Beliau bermula dengan akhbar Saudara di Pulau Pinang, kemudian Warta Kinta di Ipoh, Majlis di Kuala Lumpur, Utusan Melayu di Singapura dan Warta Malaya juga di Singapura. Pekerjaannya itu juga menjadikan beliau bertembung dan bergaul dengan tokoh-tokoh wartawan Melayu lain seperti Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaacob dan Ishak Haji Muhammad.

Kegiatan Boestamam dalam bidang kewartawanan ini telah menyebabkan beliau terlibat dalam arus kerancakan nasionalisme Melayu yang sedang memuncak pada tahun 1930-an. Beliau telah turut sama memberi pendapat dan cadangannya bagi memperbaiki kelemahan ekonomi, sosial dan politik orang Melayu daripada tekanan kerajaan British dan saingan kaum pendatang. Walaupun tulisannya tidak setajam rakan-rakannya yang lain, tetapi beliau telah melahirkan pendapatnya dalam nada dan pendapat yang sama dengan mereka. Persamaan harapannya untuk memajukan orang Melayu sudah cukup untuk membolehkan beliau terlibat secara langsung dalam kegiatan nasionalisme orang Melayu.[2][3]

Ruhi Hayat sunting

Ruhi Hayat ialah nama pena kepada Ahmad Boestamam seorang aktivis politik dan penulis di zaman menentang penjajah Inggeris 1940 hingga 1957. Beliau menggunakan nama Ruhi Hayat untuk cerpen dan sajaknya yang disiarkan di akhbar Utusan Zaman semasa beliau dalam tahanan di Khemah Tahanan Ipoh pada awal 1950-an. Dengan menggunakan nama samaran ini, beliau menulis cerpen dan mendapat imbuhan $5 bagi setiap cerpen sedangkan pihak berkuasa British tidak mengetahuinya. Karya beliau diseludupkan keluar dengan bantuan seorang wadar (penjaga penjara) yang bersimpati dengannya. Pembayaran dibuat dengan wang kiriman yang dihantar oleh salah seorang sidang pengarang Utusan Zaman ketika itu, Usman Awang. Usman Awang hanya menuliskan nota "Bersama-sama ini disertakan wang untuk keperluan saudara membeli rokok" dan mengirimkannya ke Penjara Ipoh. Pihak penguasa penjara tidak mengesyaki apa-apa dan mengkreditkan ke dalam simpanan Ahmad Boestaman. Satu lagi nama samaran yang digunakan oleh Ahmad Boestamam ialah Jiwalara.

Kesatuan Melayu Muda (KMM) sunting

Kepentingan Boestamam dalam kegiatan politik bermula dengan penglibatannya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebagai Penolong Setiausaha semasa menjadi pemberita khas akhbar Majlis di Kuala Lumpur yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob. Walaupun beliau hanya menjadi orang yang keempat penting dalam organisasi yang menjadi ejen Jepun, tetapi ini tidak dipandang ringan oleh kerajaan British. Ahmad dianggap sebagai seorang aktivis politik antipenjajahan yang berbakat besar.

Penangkapan Boestamam pada tahun 1941-1942 bersama-sama dengan 150 orang anggota dan penyokong KMM memulakan kehidupan getir Boestamam sebagai seorang aktivis politik. Beliau telah menjadi lebih terdedah kepada tekanan penjajah, yang secara langsung memberi satu pemantapan kepada sikap antipenjajahannya. Tekanan ini menjadi satu mangkin kepada semangatnya untuk terus bergiat dalam politik. Beliau dibebaskan oleh tentera Jepun yang datang menyerang Tanah Melayu.

Beliau menerbitkan Testamen Politik Api yang mengajukan gagasan ‘merdeka dengan darah’. Kerana karya tersebut, beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut pada tahun berikutnya, dan beliau dikenakan denda $1,200.00.

Gerakan Kiri Tanah Air (KITA) sunting

Ahmad seorang perancang politik yang bijak. Beliau telah menubuhkan Gerakan Kiri Tanah Air (KITA) yang bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya dan British yang sedang berusaha memerangi tentera Jepun. Walaupun penubuhan ini dipaksakan kepadanya oleh MPAJA, tentera Parti Komunis Malaya, tetapi ia juga menjadi satu bukti kepada kerjasama Ahmad dengan kumpulan anti-Jepun. Penglibatan ini boleh digunakan sebagai bukti untuk menafikan kerjasama sepenuhnya dengan Jepun.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sunting

Boestamam kemudian menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). PKM yang mahu menguasai Tanah Melayu dengan cara perlembagaan telah membentuk satu "Barisan Bersatu Malaya" untuk mempengaruhi parti-parti politik Melayu dan kesatuan sekerja India. Penyerapan unsur PKM ke dalam masyarakat ini dipercayai dapat memperkenalkan mereka dengan gagasan sosialisme dan seterusnya komunisme. Dengan itu, cita-cita untuk membentuk sebuah republik komunis di Tanah Melayu akan menjadi lebih mudah.

Dengan itu, Ahmad telah bekerjasama secara sedar dengan pihak PKM yang juga bersifat penjajahan ke atas Tanah Melayu. Hal ini kerana PKM ialah anak Parti Komunis China yang bekerjasama dengan Comintern, iaitu pertubuhan komunis antarabangsa yang berada di bawah pengaruh Rusia.

Ahmad membenarkan PKM mempengaruhi PKMM. Sikapnya ini bukan sahaja kerana pentadbiran Tanah Melayu berada di bawah penguasaan PKM, tetapi juga kerana bantuan kewangan dan pengurusan surat khabarnya, Suara Rakyat dan Voice of the People dipegang oleh PKM. Teraju utama, iaitu Presiden PKMM juga dikuasai oleh PKM, melalui Mokhtaruddin Lasso, seorang pelarian politik Partai Komunis Indonesia (PKI) yang menjadi ketua orang Melayu Regimen ke-10 MPAJA.

Akhirnya, PKM menentukan dasar politik PKMM. Dasar politik untuk melindungi dan berjuang bagi mewujudkan perasaan kebangsaan, memajukan ekonomi, pelajaran dan keadilan bagi masyarakat Melayu telah diubah oleh PKM. PKM juga telah meletakkan satu dasar yang penting yang melambangkan pembentukan sebuah bangsa "Malayan", sesuai dengan dasarnya mewujudkan Barisan Bersatu Malayan pada masa depan. Dengan itu, dasar PKMM tidak lagi bersifat Melayu seratus peratus. Ia telah disesuaikan dengan cita-cita PKM.

Ahmad menyedari hal tersebut, maka untuk mengimbangi pengaruh politik PKM, dalam persidangan yang diadakan pada 30 November 1945, dasar membentuk kemerdekaan bersama Indonesia Raya, telah dimasukkan sebagai salah satu matlamat perjuangan PKMM. Malah, dasar ini memang sengaja ditonjolkan begitu hebat oleh Ahmad dan kumpulannya demi mengelakkan pandangan orang ramai terhadap penguasaan PKM dalam PKMM. Dasar ini juga telah membolehkan keturunan Indonesia yang menetap di Tanah Melayu.

Ahmad disokong oleh PKM. PKM telah membangkitkan pula soal tidak demokratik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) kerana memberi dua sahaja undi kepada PKMM, seperti persatuan negeri-negeri Melayu yang lain, yang dikatakannya lebih kecil daripada PKMM. PKM juga menuduh UMNO sebuah parti yang konservatif dan tidak menggunakannya sebagai biasiswa kepada anak-anak Melayu, yang dianggapnya remeh.

Kerajaan British telah menyokong UMNO. Bagi kerajaan British, UMNO ialah sebuah parti politik yang lebih sederhana, tidak dipengaruhi sebarang unsur luar yang mengancam kedudukan politik dan ekonominya serta tidak mempunyai sejarah penentangan terhadap pihak British, seperti PKMM yang dipimpin oleh beberapa orang bekas anggota KMM. UMNO juga direstui oleh raja-raja Melayu yang merupakan lambang ketuanan orang Melayu. Sokongan raja-raja Melayu kepada UMNO sangat penting diakui kerana raja-raja Melayu merupakan ketua kerajaan negeri yang membuat perjanjian dengan kerajaan British. Kebijaksanaan UMNO menarik raja-raja Melayu memihak kepada mereka telah memerangkap kerajaan British untuk mengakui kepentingan UMNO.

Sekali lagi Ahmad Boestamam dan PKMM telah dipengaruhi oleh PKM untuk menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) sebagai satu badan radikal Melayu yang besar bagi bergabung dengan AMCJA, sebuah gabungan parti politik bukan Melayu yang juga dipengaruhi oleh PKM. Kedua-dua organisasi kemudian menjadi penentang yang penting kerana telah mengeluarkan Perlembagaan Rakyat sebagai satu perlembagaan pilihan kepada orang ramai, selain Perjanjian Persekutuan 1948 yang disediakan oleh UMNO, raja-raja Melayu dan kerajaan British.

Dengan mempunyai satu dasar yang tidak bertumpu kepada kepentingan orang Melayu sepenuhnya, bererti Ahmad Boestamam dan PKMM telah bertentang arus dengan nasionalisme Melayu pada tahun 1946. Dikatakan adanya pertentangan ini kerana penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union ialah kemuncak gerakan nasionalisme mereka selama ini. Gerakan nasionalisme Melayu yang bermula begitu lambat dan tidak begitu mencabar kerajaan British telah menjadi cukup tegang dengan pengenalan Malayan Union. Hal ini kerana gerakan anti-Malayan Union itu telah membangkitkan kesedaran politik yang cukup jelas sehingga melibatkan kaum wanita yang selama ini tertutup dengan peranan tradisional mereka. Pengenalan Malayan Union telah menyatupadukan orang Melayu, bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga raja-raja Melayu dan para pembesar tradisional yang selama ini terpisah dengan rakyat jelata. Penentangan itu merupakan satu gerakan yang telah mencabar kerajaan British sehingga terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.

Tangkapan ke-2 sunting

Pada Februari 1946 ketika semangat menuntut kemerdekaan sedang meluap-luap, Ahmad bersama dengan Dr Burhanuddin al-Helmi juga menubuhkan Angkatan Pemuda Insaf (API), sebuah pergerakan kiri yang radikal di Malaya dan memimpinnya sehingga pertubuhan itu diharamkan oleh pihak British.

Penangkapan Ahmad pada bulan Julai 1948-1954 membekukan kegiatan politik Ahmad untuk satu tempoh yang panjang, iaitu selama tujuh tahun. Beliau terpaksa ditahan begitu lama kerana beliau berbahaya kepada keselamatan politik British di Tanah Melayu dan kawasan sekitarnya, iaitu Nusantara. Pengisytiharan undang-undang darurat juga digunakan untuk kerajaan British mengawal anasir PKM dan sekutunya, termasuk PKMM dan anak buahnya. Ahmad dianggap sebagai sebahagian daripada tenaga penggerak yang berbahaya. Beliau ditahan oleh British dua kali. Kali pertama sejurus sebelum kedatangan Jepun pada tahun 1941 selama tiga bulan.

Parti Rakyat Malaya (PRM) sunting

Parti Rakyat Malaya telah menjadi parti politiknya yang pertama sebaik-baik sahaja beliau dibebaskan pada tahun 1955. Beliau telah menjadi pemimpin pembangkang Melayu dengan menggunakan ideologi sosialisme-marhaenisme ciptaan Sukarno. Dengan bekerjasama dengan Parti Buruh Malaya, beliau berjaya membentuk Socialist Front (SF) yang akhirnya menjadi salah satu parti pembangkang yang terkenal selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Pilihan raya 1959 sunting

Pilihan Raya Umum Malaysia 1959 telah memberi satu pengiktirafan kepada kegiatan politik Ahmad selama ini. Beliau telah memenangi kerusi parlimen Setapak di Kuala Lumpur di bawah tiket Socialist Front. Dengan itu, Ahmad telah menjadi salah seorang anggota pembangkang yang disegani, bersama-sama dengan tokoh-tokoh nasionalis dan politik Melayu yang lain seperti Dato' Onn Jaafar, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Khadijah Sidek, Zulkifli Mohammad dan Othman Abdullah. Tokoh-tokoh pembangkang bukan Melayu yang handal seperti Dr. Seenivasagam, Tan Chee Koon dan Lim Kean Siew telah berganding bahu dengan Ahmad dan rakan-rakan yang lain. Kehadiran Ahmad Boestamam dan kawan-kawannya itu menjadikan kerajaan perikatan terpaksa bekerja keras untuk menentang mereka di Dewan Rakyat. Kehadiran mereka memang sangat menarik dalam sejarah politik berparlimen di Malaysia. Namun, Ishak Haji Muhammad dari Parti Buruh kalah di Temerloh, Pahang.

Ketika itu Perdana Menteri Tanah Melayu ialah Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri ialah Tun Abdul Razak Hussein. Pilihan raya ini ialah yang pertama selepas kemerdekaan 31 Ogos 1957. Pilihan raya umum Tanah Melayu 1959 ini cukup hebat kerana diadakan berperingkat-peringkat, bermula dari negeri Perlis hingga Kelantan. Ketika itu, Sabah dan Sarawak belum menyertai dan membentuk Malaysia. Kerusi Parlimen bertambah daripada 52 (1955) kepada 104 kerusi (1959). Perikatan menang 74 kerusi manakala pembangkang menang 30 kerusi.

Tangkapan ke-3 sunting

Ahmad ditangkap pada tahun 1963, buat kali ketiga dalam sejarah hidup politiknya. Pada kali ini, Ahmad ditangkap oleh kerajaan yang dipilih oleh rakyat sendiri selama empat tahun. Ketika itu, beliau masih menjadi ahli parlimen Setapak. Alasan kerajaan Perikatan adalah kerana Ahmad terlibat dalam usaha Indonesia menentang gagasan Malaysia yang sedang diusahakan oleh Tunku Abdul Rahman, ketua kerajaan Perikatan dan Perdana Menteri Malaysia. Ahmad dituduh bekerjasama dengan Partai Komunis Indonesia (PKI) dan terlibat dalam pemberontakan Brunei 1962. Tuduhan ini sangat menarik kerana ia menimbulkan dua gambaran yang sangat penting. Pertama, ternyata Ahmad dilihat sebagai orang setia dan tetap Indonesia . Kedua, penonjolan satu penglibatan politik Ahmad yang menyeluruh Kepulauan Melayu atau Nusantara. Hal ini bermakna bahawa Ahmad mahu menjadi juara Melayu Raya.

Meninggal dunia sunting

Ahmad mengakhiri sisa-sisa hidupnya dengan menjadi penulis bebas di akhbar-akhbar sebagai perintang waktu dan sedikit pendapatan untuk menyara kehidupannya.

Dua tahun selepas menunaikan fardu haji, beliau meninggal dunia pada pagi 19 Januari 1983 di Hospital Besar Kuala Lumpur kerana penyakit barah paru-paru yang dihidapi beliau selama enam bulan.[4]

Jawatan yang disandang sunting

Antara jawatan yang pernah disandang oleh Ahmad Boestamam ialah:

Hasil penulisan sunting

Ahmad Boestamam dianggap sebagai pejuang dalam dunia politik. Namanya turut tercatat dalam buku-buku sejarah politik seperti Encyclopedia of World Politics karya Walter Theimer yang disunting dan disemak semula serta diperluaskan oleh Peter Campbell di halaman 278 di bawah tajuk “Malaya”.

Demikian juga Sasterawan Negara Dato Dr Usman Awang pernah mengungkap biografi Boestamam dalam bentuk puisi berikut :

“Selama lebih dari 5,745 hari telah direbahkannya dalam penjara” selama ribuan hari lagi dipikulnya dalam beban rasa dan kesulitan kehidupan bersama keluarga. Namun, tidak ada perkataan menyerah untuknya. Ahmad Boestaman-putera besar tanah air adalah contoh dari suatu kegigihan dan API yang dinyalakannya dulu, kini telah menjadi unggul sejarah yang tidak kunjung padam.” (Dewan Sastera, April 1983)

Begitulah Boestamam yang meniti sejarah hidup yang panjang. Beliau menulis lebih dahulu dari Usman Awang, Shahnon Ahmad dan A Samad Ismail. Begitu juga penglibatannya dalam dunia politik tanah air, terlebih dulu dari Tunku Abdul Rahman , Tun Razak atau Tun Dr Ismail. Tetapi kegiatannya yang dulu-duluan itu hanya memberikan taraf kepadanya satu tokoh yang besar, namun dari segi pencapaiannya beliau belum juga berhasil menjadi Usman Awang, Shahnon Ahmad, A Samad Ismail, Tunku, Tun Razak atau Tun Dr. Ismail. - analisis Allahyarham Zakry Abadi tentang Ahmad Boestamam dalam Mastika dua dekad yang lalu. [5]

Ahmad Boestamam sebenarnya menguasai tiga bidang yang diminatinya. Baik sebagai ahli politik, wartawan mahupun sasterawan. Sesungguhnya beliau memperlihatkan komitmen tinggi dalam perjuangan yang terlalu panjang dan penuh dengan cabaran serta dugaan. Beliau amat menyakini dan mempercayai konsep atau gagasan membela golongan marhean. Gagasan beliau jelas terpancar menerusi karya yang dihasilkan sama ada dalam genre puisi, drama, cerpen, esei, memoir, autobiografi mahupun novel.

Sebagai seorang sasterawan prolifik, Ahmad Boestamam telah menghasilkan sebanyak 33 judul buku.

Novel:

  • Hilang Gelap Timbul Terang (1956),
  • Hayati (1958),
  • Kisah Semalam (1958),
  • Pacar Merah Malaya (1959),
  • Lorong Seribu Liku (1964),
  • Merangkaklah Senja Menutup Pandangan (1964),
  • Putus Sudah Kasih Sayang (1965),
  • Garis Hitam membelah Langit (1966),
  • Kembang Layu Di Tapak Tangan (1966),
  • Api dan Air Mata (1967),
  • Api Itu Masih Membara (1967),
  • Konfrontasi (1967),
  • Sorong Makan Tarik Balik (1967),
  • Ali Sastro (1968),
  • Budi Baik Dikenang Orang (1968),
  • Malam Tiada Berbintang (1968)
  • Rumah Kaca Digegar Gempa (1969).

Buku puisi : Dendang dari Neraka (1967);

Esei/Kritikan : Imej dan Cita-cita; Kertas Kerja Hari Sastera 1980;

Memoir : Tujuh Tahun Malam Memanjang (1976), Memoir Seorang Penulis (1979);

Autobiografi: Merintis Jalan ke Puncak (1972),

Biografi : Dr. Burhanuddin : Putera Setia Melayu Raya (1972) dan Datuk Onn Yang Saya Kenal (1979)

Buku Umum : Bagaimana menjadi Seorang Penulis (1979) dan Sorotan Sekilas Malay Dilemma (1981).

Beliau juga pernah menterjemah beberapa buah buku luar negara seperti Pemberontakan di Lembah Nil, Politik Afro Asia, Nasionalisma Melayu karya Prof. William R. Roff dari bukunya “The Origins of Malay Nationalism”.

Sesungguhnya, bidang politik dan penulisan telah mendarah daging dalam jiwanya yang tabah, keras hati dan tekun itu. Kata Sasterawan Negara Allahyarham Keris Mas pula ; “Darah senimanlah yang menjadikan Boestamam seorang pemimpin yang perasa dan juga yang menjadikan dia tidak menundukkan kepala atau mengalah dalam perjuangan untuk bangsa dan tanah air walaupun dia sedar perjuangannya sudah berlalu”. (Dewan Masyarakat, Februari 1983)

Anugerah sunting

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

Notakaki sunting

  1. ^ Chuan Siu Li, An Introduction to the Promotion and Development of Modern Malay Literature, 1942-1962, Yayasan Kanisius, 1975
  2. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-03-25. Dicapai pada 2018-05-29.
  3. ^ http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/beritaharian19680803-1.2.41.aspx
  4. ^ NST (19 Januari 1983). "Datuk Boestaman meninggal di KL". Berita Harian (diterbitkan 20 Januari 1983).
  5. ^ Zabidin Hj Ismail, DATO’ AHMAD BOESTAMAM Wartawan, Sasterawan dan Pejuang Kemerdekaan (1920-1983) Penulis Perak, Mei 8 2011.
  6. ^ Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, SARAWAK SUSUNAN KEUTAMAAN DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT JPM Putrajaya
  7. ^ Denyut Reformasi. Boestamam dan liku2 parti disertainya January 27, 2018.

Bibliografi sunting

Adam, Ramlah (1994). Ahmad Boestamam: Satu Biografi Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. ISBN 10: 9836243453 Check |isbn= value: invalid character (bantuan).
Boestamam, Ahmad (2004). Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. ISBN 9679426126 Check |isbn= value: checksum (bantuan).