Acar buah

hidangan sampingan tradisi Melayu

Acar Buah adalah sejenis hidangan etnik Melayu khususnya di Malaysia. Walaupun disebut acar, daripada segi rupa dan rasanya, hidangan ini lebih menyerupai sambal yang manis. Acar jenis ini mudah dibuat, dan mudah juga disimpan, kerana ia tahan lama. Hidangan ini boleh didapati di seluruh Semenanjung Malaysia dengan mudah. Acar buah juga dihidangkan sebagai lauk sampingan dalam kenduri kahwin orang Melayu, mengiringi nasi minyak dan lauk-lauk yang lain.

Asal-usul sunting

Tidak ada sejarah yang jelas mengenai hidangan ini. Namun, bolehlah dianggap hidangan ini adalah modifikasi orang Melayu terhadap hasil-hasil jeruk supaya sesuai dijadikan lauk sampingan bersama nasi putih atau nasi minyak. Ada juga kemungkinan hidangan ini berasal dari hidangan achar orang Tamil, yang mempunyai bahan asas, serta rupa hidangan yang hampir serupa.

Kaedah penyediaan sunting

Bahan asas sunting

Buah-buahan kering dan jeruk buah-buahan digunakan sebagai bahan masakan dalam membuat acar buah, antara bahan-bahan yang digunakan ialah;

  • Limau jeruk
  • Prun
  • Kismis
  • Buah pala
  • Jeruk campur

Bahan tumis sunting

  • Bawang Merah
  • Bawang Putih
  • Cili giling atau pes cili
  • Halia
  • Garam dan Gula secukup rasa

Bahan-bahan di atas akan dimasak, seperti mana membuat sambal, sehinggalah cilinya masak, dan air daripada jeruk dan buah-buahan itu berkurang.

Hidangan sunting

Kebiasaanya, acar buah boleh dimakan bersama nasi putih, atau nasi minyak, disamping lauk-lauk seperti daging masak hitam, ayam masak merah dan lain-lain. Acar buah lazim juga dihidangkan di meja bufet kenduri kahwin orang Melayu, kenduri majlis bercukur atau pun majlis-majlis lain.

Pada masa ini, acar buah sudah boleh didapati dengan mudah, tanpa perlu menunggu kenduri kahwin atau hari keraian, kerana hidangan ini sudah dijual di kedai-kedai runcit serta kiosk makanan di stesen minyak Petronas. Sementelah hidangan ini mudah dipek, serta mempunyai jangka hayat (shelf life) yang panjang, maka acar buah sangat sesuai untuk dijadikan barang dagangan.