Juruiring atau Pembantu Ketenteraan ialah sebutan rasmi tentera atau dikenali dalam bahasa pasar anggota perkhidmatan sebagai Adikung (Bahasa Perancis: aide-de-camp atau singkatannya ADC bermakna asisten kem), adalah seorang pembantu peribadi ataupun setiausaha kepada seseorang yang berpangkat tinggi. Kebiasaannya juruiring membantu pegawai kanan tentera atau kerajaan, kerabat diraja ataupun ketua negara. Jangan dikelirukan dengan istilah Ajutan, yang merupakan pentadbir kanan dalam sesebuah unit tentera. Juruiring pertama pula adalah adikung paling kanan di antara pembantu peribadi seseorang kenamaan itu.

Adikung Kolonel Jean-Claude Cloutier bersama Wakil Gabenor Quebec Lise Thibault. Aiguillette dipakai di bahu kanan
Bendera adikung Sultan Kelantan

Di sebilangan negara, juruiring adalah satu pelantikan kebesaran (title of honour) yang membolehkan penerima menggunakan huruf ADC selepas namanya, dan menyertai keramaian-keramaian rasmi. Tanda jawatan Adikung biasanya dikenali sebagai aiguilet (aiguillette), iaitu satu tali pintal berwarna emas atau warna lain, yang disangkut di bahu kanan atau kiri pakaian seragam mengikut protokol. Di Britain, jawatan Adikung Diraja diberikan kepada individu sebagai balasan kepada jasa yang tidak ternilai ataupun sebagai jawatan kehormat.

Tugas dan tanggungjawab sunting

Napoleon Bonaparte mempunyai pegawai-pegawai staf dengan kelayakan (ketenteraan) yang tinggi yang digelarkan adikung. Kumpulan pegawai ini bertindak selaku “mata” Napoleon dan juga untuk mentafsir dan menterjemahkan wawasan Napoleon kepada panglima-panglima di medan supaya seiringan dengan perancangan utama.

Dalam banyak perkhidmatan tentera, jawatan adikung ini diberikan gelaran ajutan, dan gelaran Ajutan Jeneral diberikan kepada Ajutan Diraja ataupun ajutan yang paling kanan. Pemegang jawatan awam seperti Gabenor Jeneral Australia, Gabenor Jeneral Kanada ataupun Leftenan Gabenor negeri-negeri (provinsi) di Kanada juga mempunyai adikung untuk membantu mereka, walaupun mereka bukan ketua negara ataupun ketua kerajaan (jawatan mereka adalah sebagai wakil kepada Ratu Elizabeth II dan adalah jawatan istiadat sahaja).

Tanggungjawab adikung adalah termasuk (tetapi tidak terhad kepada) :

  • Menjadi perantara dan penasihat di antara orang kenamaan terlibat dengan pejabat dan pertubuhan.
  • Memberikan nasihat dan bantuan kepada hos majlis rasmi
  • Memenuhi keperluan orang kenamaan terlibat apabila diperlukan
  • Mempastikan protokol yang betul dan tepat digunakan setiap masa
  • Menjaga keselesaan orang kenamaan terlibat

Malaysia sunting

Adikung di Malaysia dilantik oleh Kerajaan Pusat ataupun oleh Kerajaan Negeri dari kalangan pegawai-pegawai dari Polis Diraja Malaysia ataupun dari kalangan pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia terdiri dari Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia ataupun dari Tentera Laut Diraja Malaysia. Terdapat juga pegawai-pegawai bukan daripada kalangan pegawai tentera ataupun polis yang dilantik menjadi adikung.

Raja dan Ketua Negeri

Adikung ditugaskan untuk mengiringi dan membantu DYMM Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-gabenor negeri-negeri Sarawak, Sabah, Melaka dan Pulau Pinang.

Adikung kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Gabenor biasanya terdiri daripada pegawai kanan Tentera berpangkat Leftenan Kolonel ataupun Kolonel (Kepten untuk TLDM). Adikung daripada pasukan Polis Diraja Malaysia pula berpangkat Asisten Komisioner.

Tentera dan Polis

Pegawai-pegawai kanan tentera dan Polis biasanya mempunyai adikung terdiri daripada pegawai-pegawai muda dari perkhidmatan yang sama. Adikung ini adalah sebagai tambahan kepada batman yang biasanya menjaga keperluan peribadi pegawai kanan berkenaan. Tugas adikung lebih berat kepada tugas sebagai Setiausaha ataupun pegawai sulit kepada pegawai kanan berkenaan.

Amerika Syarikat sunting

Perkhidmatan Angkatan Bersenjata
Di dalam Tentera Darat Amerika Syarikat, Tentera Udara Amerika Syarikat, Kor Marin Amerika Syarikat dan Tentera Laut Amerika Syarikat, adikung dilantik untuk membantu pegawai berpangkat Jeneral (gred Gaji O-7 hingga O-10). Pangkat dan bilangan pegawai yang dilantik menjadi adikung bergantung kepada kekananan Jeneral berkenaan. Untuk pegawai-pegawai yang mempunyai lebih dari satu adikung, pegawai adikung yang berpangkat lebih tinggi dianggap sebagai adikung kanan. Tugas beliau termasuk untuk menyelaras pembantu-pembantu yang lain dan juga kakitangan bantuan seperti drebar, orderly dan lain-lain. Untuk kebanyakan pegawai, satu tempoh perlantikan sebagai adikung adalah selama 2 tahun.

Bilangan dan pangkat adikung adalah

Brigedier Jeneral: 1 orang Leftenan
Mejar Jeneral: 1 orang Kapten dan 1 orang Leftenan
Leftenan Jeneral : 1 orang Mejar dan 1 orang Kapten
Jeneral: 1 orang Leftenan Kolonel, 1 orang Mejar dan 1 orang Kapten
Jeneral (Ketua Turus) : 1 orang Leftenan, 1 orang Leftenan Kolonel, dan 1 orang Mejar.

Leftenan Kolonel dan Kolonel yang menjadi pemerintah batalion ataupun briged tidak mempunyai adikung, tetapi peranan adikung biasanya dilaksanakan oleh ajutan dipanggil S-1 (Pegawai Staf 1 – pegawai staf kanan yang bertanggungjawab ke atas perjawatan).

Variasi sunting

Bacaan lanjut sunting

  • Lawrence P. Crocker (September 1996). Army Officer's Guide. ISBN 978-0-8117-2665-8.
  • Australian Army Protocol Manual 1999. Defence Publishing Service DPS: 31568/99.

Pautan luar sunting