Ah Long merupakan istilah popular bagi 'ceti haram'. Ia merujuk kepada orang perseorangan ataupun badan yang menawarkan pinjaman kewangan secara haram pada kadar faedah yang sangat tinggi kepada si peminjam, disusuli dengan ugutan ataupun ancaman keganasan. Mereka menawarkan pinjaman kredit kepada sesiapa yang tidak sanggup atau tidak berupaya untuk memperoleh pinjaman daripada sumber yang sah (seperti bank) kerana telah disenarai hitam, diisytihar muflis dsb.

Sepanjang sejarah, undang-undang yang membenarkan amalan riba menyebabkan aktiviti ceti haram sangat lazim. Ramai peminjam wang yang menyelit di antara aktiviti sah dan tidak sah. Di dunia barat sejak kebelakangan ini, ceti haram sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah dan kongsi gelap.

Terdapat banyak peminjam wang sah berdaftar yang menyediakan kemudahan pinjaman kepada seseorang yang tidak boleh memperoleh pinjaman di kebanyakan institusi kewangan arus perdana, seperti bank-bank besar. Mereka beroperasi menggunakan wang tunai, sementara institusi kewangan arus perdana semakin banyak beroperasi secara elektronik, bermakna mereka tidak akan melayan permohonan sesiapa yang tidak memiliki akaun bank.

Di Malaysia dan Singapura sunting

Ah Long (diambil daripada perkataan Cina "Naga" (Bahasa Cina: 阿龍) atau kependekan daripada frasa Kantonis "daai ji lung", 大耳窿) adalah istilah bagi ceti haram di Malaysia dan Singapura. Mereka meminjamkan wang kepada sesiapa yang tidak berupaya memperoleh pinjaman daripada bank atau institusi kewangan yang sah, disasarkan terutamanya kepada kaki judi. Mereka mengenakan kadar faedah yang sangat tinggi (sebih kurang 40% sebulan/satu malam bersamaan dengan 1422%/33087% setahun melalui kaedah himpunan baki berterusan.)[perlu rujukan] dan sering kali mengugut akan menggunakan keganasan kepada peminjam yang gagal membayar pada masa yang ditetapkan. [1] [2]

Beberapa tahun lalu, sebelum pengguna telefon bimbit di Malaysia diwajibkan mendaftar nombor telefon bimbit mereka, Ah Long mengiklankan perkhidmatan mereka dengan mengedarkan kad perniagaan mereka.

Cat merah sunting

Apabila peminjam gagal membayar pada masa yang ditetapkan, Ah Long akan menyembur, menyimbah atau menconteng dengan cat merah pada dinding rumah atau bangunan milik peminjam bertujuan untuk mengugut mangsa serta memalukan peminjam tersebut sehinggalah si peminjam membayar hutangnya. Menurut polis serta pihak berkuasa tempatan, terdapat beberapa kes di mana peminjam dibelasah ataupun harta benda mereka dimusnahkan, malah ada mangsa yang membunuh diri. [1]

Kepala khinzir sunting

Ada kalanya kepala khinzir digantung di luar rumah peminjam, sebagai salah satu cara memalukan mangsa serta untuk menanda peminjam yang melarikan diri.

Kecurian barang sunting

Pada masa sekarang, Ah Long tidak lagi menunggu mangsa yang masih belum membayar hutang mereka tetapi mereka memecah masuk rumah mangsa dan mencuri beberapa barang sehinggalah nilainya sama dengan nilai pinjaman. Cara ini digunakan bagi menjimatkan masa dan tenaga.

Sepanduk identiti mangsa sunting

Kes-kes terkini menunjukkan Ah Long juga mempamerkan salinan kad pengenalan mangsa di atas sepanduk besar serta menggantungkannya di atas pagar. Memandangkan Ah Long hanya memerlukan salinan kad pengenalan sebagai dokumen untuk permohonan pinjaman, taktik sedemikian menjadi lazim sehinggakan peminjam akan berasa malu kerana identitinya dipaparkan di khalayak ramai dan seterusnya akan melunaskan hutang mereka dengan segera.

Kurung peminjam sunting

Malah,ada di antara ah long yang berani mengambil tindakan terhadap peminjam yang gagal bayar dengan menahan dan mengurung mereka dalam bilik kecil,sama seperti lokap tahanan. Pada 27 Mei 2009, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah menyatakan polis berjaya membebaskan 3 lelaki yang dikurung dalam rumah kedai empat tingkat di Jalan PBS 14/2, Serdang Raya, Selangor[3].Dua Ah Long berusia 30 dan 33 tahun merantai mereka di di leher, tangan dan kaki seperti haiwan dalam sebuah bilik sempit bersaiz 7 kaki x 5 kaki yang menyerupai lokap tahanan. Ah Long tersebut berjaya ditahan di sebuah bank di Desa Jaya, Kepong. [4]

Rujukan sunting

  1. ^ a b Jangan pinjam dari ceti haram
  2. ^ Kilang telah dikosongkan, maka ceti haram membelasah pemilik
  3. ^ "Polis selamatkan 3 tahanan along". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-05-30. Dicapai pada 2009-05-27.
  4. ^ Polis Bebaskan Peminjam Ah Long Yang Dikurung, Dirantai

Pautan luar sunting