Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi

Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi dari Kampung Titi Serong, Jalan Kuala Perlis, Perlis merupakan salah seorang peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang didapati bersalah pada 11 Mei 2005, kerana gagal menghadiri program tersebut. Ahmad Hafizal didakwa sengaja mengingkari notis bertarikh 9 Julai 2004 yang memintanya melaporkan diri di Kem Dusun Resort, Kuala Nerang, Kedah, pada 25 Julai 2004. Dia telah dikenakan hukuman penjara 14 hari atau RM600 oleh Majistret Wan Norzanuar Wan Ahmad, selepas dia gagal membayar denda berjumlah RM600 akibat kesempitan wang. Ahmad Hafizal telah memilih untuk hukuman penjara 14 hari. Denda RM600 itu dikenakan walaupun laporan kebajikan dan pegawai probation jelas menunjukkan bahawa keluarganya diketahui miskin. [1]

Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi merupakan anak kedua dari empat beradik yang dibesarkan oleh seorang ibu tunggal. Ahmad Hafizal tidak menamatkan persekolahannya dan hanya tamat pelajaran tingkatan dua SMK Syed Alwi di Kayang. Disebabkan oleh kesempitan hidup, Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi telah bekerja mengambil upah membuat bendang dengan gaji harian bagi membantu untuk menanggung perbelanjaan ibu dan dua adiknya, sementara abangnya pula (21 tahun) dilaporkan sedang mencari pekerjaan di Melaka, dan dua orang adiknya berusia 16 dan 15 tahun.

Akhbar The Star telah melaporkan, bagaimana Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi dilaporkan oleh telah meminjam RM7 daripada ibunya untuk menghadiri kesnya di mahkamah.[2]

Ketika perbicaraan, Ahmad Harizal, tidak diwakili peguam dan tanpa ditemani keluarga, dituduh mengikut Seksyen 18(1) Akta Khidmat Negara 2003 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM3,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kangar OCPD Supt Yusof Mohd Diah telah mengesahkan bahawa Ahmad Harizal ditempatkan dipenjara polis daerah Kangar sebelum dipindahkan ke penjara Sungai Petani. Pemuda UMNO Perlis yang mengetahui mengenai hal tersebut cuba untuk membayar wang jaminan bagi Ahmad Harizal tetapi gagal kerana melebihi waktu pejabat.

Selepas dipenjara satu hari, Ahmad Hafizal Ahmad Fauzi telah dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Kangar pada jam 8.45 pagi, setelah denda itu dibayar kira-kira jam 8.15 pagi, oleh Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, Yusof Othman. Denda itu dikurangkan kepada RM557.15 selepas mengambil kira Ahmad Harizal sudah menjalani hukuman penjara selama sehari. Remaja itu, yang memakai T-shirt biru, jeans dan berselipar, pakaian yang sama ketika dijatuhkan hukuman kelmarin, kemudian dibawa menaiki Proton Perdana ke Hotel Putra Palace.

Kes-kes lain sunting

Menurut laporan, dianggarkan seramai 8,599 remaja yang terpilih untuk PLKN dan masih gagal mendaftarkan diri sehingga semalam, dan berhadapan dengan kemungkinan waran tangkap akan dikeluarkan dan mereka akan diheretkan ke mahkamah.

Pihak DAP telah menyeru kerajaan agar kegagalan remaja untuk menghadiri program ini selepas mereka dipilih tidak seharusnya dipandang satu kesalahan yang serius, lebih-lebih lagi, di dalam satu situasi di mana perlaksanaan Program ini dari awalnya tidak dapat memberi keyakinan kepada orang ramai serta penyebaran maklumat berkenaannya tidak menyeluruh. Tambahan lagi objektif Program ini adalah bertujuan untuk membentuk displin, perpaduan dan patrioisme.[3]

DAP mendakwa Akta bagi Program ini telah diluluskan di dalam Dewan Rakyat secara tergesa-gesa pada bulan Jun tahun lalu dan ini telah menimbulkan pelbagai masalah di dalam perlaksanaan seperti, infrastruktur yang tidak lengkap, kelayakan jurulatih yang kurang memuaskan, kejadian rogol[4],[5], pergaduhan, penyalahgunaan dadah, kecurian, gangguan seksual[6] termasuk dua kejadian mati lemas pelatih. [1] Diarkibkan 2005-06-30 di Wayback Machine

Ruang Awang Selamat dalam Utusan Malaysia turut mencadangkan agar hukuman kerja sosial diperkenalkan memandangkan kesalahan tersebut tidak setimpal dengan hukuman penjara yang menempatkannya bersama-sama perompak, perogol dan lain-lain penjenayah.

Ulasan pihak rasmi sunting

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yakin polis, pendakwa dan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan bersimpati sekiranya Ahmad Harizal yang hanya tamat pelajaran tingkatan dua itu memberi alasan jelas.

“Sebaliknya, Ahmad Harizal tidak memohon penangguhan dan alasannya diragui. Kerajaan tidak terbabit dalam kes pendakwaan, ini semua (tugas) polis dan pendakwa. Kita tidak dimaklumkan siapa yang hendak didakwa."
“Ini budi bicara mereka, yang kita tentukan cuma di segi undang-undang dan mereka yang dipilih wajib menghadiri PLKN,” katanya sambil berharap semua pihak menghormati keputusan mahkamah.

Pihak pendakwaraya, Abdul Gani berkata, beliau berpuas hati dengan siasatan polis terhadap kes Ahmad Hafizal dan remaja itu turut mengakui tahu mengenai program itu serta menerima sendiri surat memintanya melapor diri.

“Kita bukan tidak berhati perut dan sebab itu kita sudah beri arahan untuk memohon semakan,” katanya lagi.

Dalam kesemua ulasan tersebut, tidak satupun mengambil kira taraf pendidikan yang diterima oleh Ahmad Hafizal, yang jelas tidak tahu prosedure dan kesan tindakannya. [7]

Rujukan sunting

Pautan luar sunting