Ahmad Maher Ismail

(Dilencongkan dari Ahmad Maher Bin Ismail)


Dato' Haji Ahmad Maher bin Haji Ismail (November 1904 - 16 Mac 1968) adalah bekas mufti negeri Kelantan. Beliau telah dilantik sebagai mufti negeri pada bulan Jun 1941 bagi menggantikan Dato' Hj Ibrahim bin Yusoff. Dato' Haji Ahmad Maher memegang jawatan mufti sehinggalah beliau meninggal dunia pada 16 Mac 1968.

Cendekiawan Islam
Mufti negeri Kelantan
Nama: Haji Ahmad Maher bin Haji Ismail
Gelaran: Tok Ayah
Lahir: November 1904
Wafat: 16 Mac 1968
Mazhab: Syafii
Etnik: Melayu
Rantau: Semenanjung Tanah Melayu
Bidang: Mufti Besar Kelantan

Latar belakang sunting

Beliau merupakan putera sulung kepada Tok Kemuning (salah seorang tokoh ulama di Nusantara yang terkemuka) ini telah dilahirkan di Ma’ala, Mekah pada bulan Ramadhan 1322H (November 1904) semasa ayahandanya sedang belajar di sana.

Pada usia 9 tahun, beliau kemudian kembali ke Kelantan dan diserahkan untuk belajar di Pondok Tok Kenali dan kemudiannya mengikuti halaqah kitab di Masjid Besar Kota Bharu. Di samping itu berguru juga kepada Tok Khatib Haji Nik Abdullah, Haji Ahmad Hakim dan Maulana Tok Khurasan. Pada tahun 1925, beliau berangkat ke Mesir untuk menyambung pelajaran di Universiti al-Azhar, di mana beliau beroleh gelaran "Maher" daripada gurunya Syeikh Mohd. Bakhit bin Husain al-Hanafi kerana kemahirannya dalam ilmu Usul al-Fiqh dan Balaghah.Allahyarham adalah seorang yang pandai dan pintar berbahas. Beliau juga dikurniakan daya ingatan yang luar biasa. Beliau merupakan anak Melayu yang pertama yang pernah mendapat Syahadah Ulya (Sijil Tinggi) di Mesir dalam masa singkat di al-Azhar Syarif. Beliau banyak menghafaz mutun dan bijak berhujjah.

Beliau pernah mengajar di Masjidil Haram dan menjadi pengarang Majalah Pengasuh. Semasa debat "Jilatan Anjing", beliau bersama Tengku Haji Ibrahim mempertahankan mazhab Syafi'ie. Manakala Haji Abbas Taha, Haji Wan Musa dan Dr. Burhanuddin Helmi dengan fahaman Kaum Muda dan debat dimenangi beliau apabila Haji Abbas Taha gagal membalas hujahnya.

Sekembali ke Kelantan, beliau dilantik menjadi Nazir Pelajaran di Pejabat Pelajaran MAIK pada 1hb Julai 1931, dan kemudiaannya pada 15hb Oktober 1935, menjawat jawatan Qadhi Besar Kelantan. Pada tahun 1938 dilantik sebagai Mufti Khas Sultan Ismail. Berikutan permohonan bersara oleh Dato' Haji Ibrahim Yusoff daripada jawatan Mufti pada Jun 1941, beliau dilantik memangku jawatan berkenaan sehinggalah apabila beliau disahkan dalam jawatannya pada 1hb Januari 1945.

Dato' Haji Ahmad Maher ialah seorang Mufti yang mempunyai banyak kebolehan. Di samping alim dalam berbagai-bagai ilmu Islam dan ilmu-ilmu alat, beliau juga seorang pentadbir yang cekap dan berdedikasi. Selama tempoh perkhidmatannya selaku Nazir Pelajaran MAIK, beliau telah mengadakan beberapa pembaharuan dalam sistem kurikulum pengajian halaqah kitab di Masjid Muhammadi Kota Bharu. Kerana pembaharuan-pembaharuan beliau inilah Masjid Muhammadi kemudiannnya muncul menjadi sebuah pusat pengajian ilmu-ilmu Islam secara teratur dan sistematik sehingga berjaya melahirkan ramai ilmuan Islam yang terkenal dan dihormati. Setakat ini, beliau adalah Mufti Kelantan tunggal yang pernah dilantik menjadi Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan (1955-1960).

Sebagai ulama' terkenal, beliau menerima ramai pelajar yang ingin berguru dengannya tentang ilmu agama. Di antara muridnya yang juga menjadi ulama yang tidak kurang juga terkenal ialah Haji Yahya Junid, Padang Lumut, Kedah. Tuan Omar Haji Abdul Aziz Abu Bakar, Pondok Terusan, Kelantan. Haji Mokhtar Ismail, Pekalang Asar, Perlis. Haji Husin Hafiz Umbai, Melaka. Lebai Isa Kaplo, Kedah. Haji Ahmad Osman Kodiang, Kedah. Haji Osman Bukit Besar, Kedah. Haji Abdul Jalil Sungaui Udang, Melaka Ustaz Mohd Nor Salleh Sumatra, Perak dan kemudian berhijrah ke Kelantan, menetap di Banggol Ara. Haji Awang Beta, Kelantan. Haji Ismail Cenderung Batu, Kelantan.

Beliau pernah dianugerah pingat S.P.M.K, D.J.M.K dan gelaran Datok Kaya Purba oleh Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim. Kekal menjadi Mufti sehingga ke akhir hayatnya pada 16hb Mac 1968 atau 17 Zulhijjah 1387, ketika beliau berusia 65 tahun 5 bulan. Beliau dikebumikan di Kubur Banggol, Kota Bharu, Kelantan. Allahyarham meninggalkan anak yang ramai.

Keluarga sunting

Beliau telah berkahwin dengan empat orang isteri iaitu;

  • Che Som,
  • Cik Zainab,
  • Wan Aminah, dan
  • Che Eshah.

Daripada empat isteri ini, isteri yang paling dihormati oleh rakyat ialah Che Eshah binti Hassan. Che Eshah Binti Hassan merupakan isteri yang ketiga. Beliau telah dikurniakan 9 orang anak bersama beliau iaitu;

  • Dato' Haji Ahmad Rastom.Isteri,Datin Hjh.Tengku Rahimah
  • Hjh. Karimah.Suami,Haji Ahmad Fahim
  • Haji Ahmad Pakhri.Isteri,Hjh. Nur Syidah
  • Dato' Dr. Haji Ahmad Razin.Isteri,Datin Hjh. Rogayah
  • Ir. Haji Ahmad Nasim.Isteri,Tengku Hjh. Adrina
  • Ar. Haji Ahmad Tamim.Isteri,Hjh. Nora Abdul Rahman
  • Haji Ahmad Zaki.Isteri,Teh Kanita
  • Hjh. Hanum.Suami,Haji Nor Azlan
  • Haji Ahmad Wardi.Isteri,Hjh. Rohayu

Rujukan sunting


Pautan luar sunting