Sheikh Ahmed Hoosen Deedat Al-Hafiz (lahir 1 Julai 1918 – meninggal 8 Ogos 2005 pada umur 87 tahun) adalah seorang cendekiawan Muslim dalam bidang perbandingan agama (comparative religion). Beliau juga merupakan seorang pengarang, pensyarah, dan juga pemidato. Beliau dikenali dunia sebagai salah seorang pakar pembicara yang amat handal khususnya dalam sesi perdebatan umum yang memerihalkan tentang masalah keagamaan Islam bersama agama-agama lain. Pada tahun 1957, Deedat bersama dua orang temannya telah mendirikan Islamic Propagation Centre International (IPCI) dan beliau telah menjadi Presidennya sehingga tahun 1996. Deedat meninggal dunia pada tahun 2005 akibat mengalami angin ahmar yang telah dideritanya sejak tahun 1996.

Sheikh Ahmed Deedat
Kelahiran
Ahmed Hussein Deedat

(1918-07-01)1 Julai 1918
Meninggal dunia8 Ogos 2005(2005-08-08) (umur 87)
PekerjaanCendekiawan Muslim, pendakwah, pensyarah, penceramah bebas
Tahun aktif1942–1996
AnugerahKing Faisal International award (1986)
Laman web rasmiahmed-deedat.net

Profil sunting

Masa kecil sunting

Ahmed Hoosen Deedat dilahirkan di daerah Surat, Gujarat, India, pada tahun 1918. Beliau tidak dapat kekal bersama ayahnya sehingga tahun 1926. Ayahnya adalah seorang penjahit, akibat dari pekerjaan ayahnya itu, ayahnya telah mengambil keputusan untuk berhijrah / berimigrasi ke Afrika Selatan tidak lama setelah kelahiran Ahmed Deedat.

Tanpa pendidikan formal dan untuk menghindari kemiskinan yang amat larat, Ahmed Deedat telah pergi ke Afrika Selatan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik bersama ayahnya pada tahun 1927. Perpisahan Deedat dengan ibunya akibat pemrgiannya ke Afrika Selatan bersama ayahnya itu adalah saat terakhir ia bertemu dengan ibunya dalam hidupnya kerana ibunya telah meninggal dunia beberapa bulan kemudian (dari tarikh penghijrahan Deedat bersama ayahnya ke Afrika Selatan).

Di negeri yang asing, seorang anak lelaki kecil berusia 9 tahun tanpa berbekal pendidikan formal dan penguasaan bahasa Inggeris telah mula menyiapkan peranan yang harus dimainkannya berpuluh-puluh tahun kemudian tanpa disedarinya.

Dengan ketekunannya dalam belajar, anak lelaki kecil tersebut (yakni Deedat) tidak hanya dapat mengatasi hambatan bahasa asing, tetapi juga unggul di sekolahnya. Kegemaran dan hobi Deedat dalam membaca telah menolongnya untuk memudahkan dirinya mendapatkan promosi pendidikan sehingga beliau tamat pendidikan pada darjah 6. Kekurangan pembiayaan pelajaran menyebabkan sekolahnya tertunda dan di awal usia 16 tahun untuk pertama kalinya ia bekerja dalam bidang peruncitan.

Yang penting sekali adalah pada tahun 1936, sewaktu beliau bekerja di kedai Muslim berdekatan sebuah sekolah menengah Kristian di pantai selatan Natal. Penghinaan yang tidak henti-henti dari siswa Misionaris menentang Islam selama kunjungan mereka ke kedai Muslim telah menanamkan keinginan beliau yang membara untuk melakukan aksi menghentikan propaganda misionari tersebut.

Mempelajari kitab Bible sunting

Ahmed Deedat telah berjaya menemui sebuah buku berjudul Izharul-Haq yang bererti mengungkapkan kebenaran. Buku ini berisi teknik-teknik dan keberhasilan usaha-usaha umat Islam di India yang sangat besar dalam membalas gangguan Misionaris Kristian ketika era penaklukan Inggeris dan pemerintahan India. Secara khusus, idea untuk menangani debat telah berpengaruh besar dalam jiwa dan diri Ahmed Deedat. Ahmed Deedat juga turut menghafaz Al-Quran sehinggakan beliau digelar Al-Hafiz.

Beberapa minggu setelah itu, Ahmed Deedat membeli Injil pertamanya dan mula melakukan debat dan diskusi dengan siswa-siswa misionaris. Ketika siswa misionaris tersebut mundur dalam menghadapi hujah balik Ahmed Deedat, beliau secara peribadi telah memanggil guru teologi Kristian kepada siswa-siswa misionaris untuk berdebat bersamanya, bahkan pendeta-pendeta Kristian di daerah tersebut juga turut diajak berdebat bersama Deedat.

Keberhasilan-keberhasilan ini telah memacu Ahmed Deedat untuk berdakwah. Bahkan perkahwinan, kelahiran anak, dan persinggahan sebentar selama tiga tahun ke Pakistan sesudah kemerdekaannya tidak mengurangkan keinginannya untuk membela Islam dari penyimpangan-penyimpangan yang memperdayakan hasil dari para misionaris Kristian yang tidak bertanggungjawab.

Dengan semangat kental untuk menyebarkan agama Islam, Ahmed Deedat telah membenamkan dirinya dalam kegiatan dakwah selama lebih 3 dekat. Beliau memimpin kelas bagi subjek Injil dan memberi sejumlah kuliah ilmu. Beliau mendirikan As-Salaam, sebuah institut untuk melatih para pendakwah Islam. Ahmed Deedat, bersama-sama dengan keluarganya, mendirikan bangunan-bangunan termasuk Masjid yang masih dikenali sehingga saat ini.

Ahmed Deedat adalah anggota paling awal yang menganggotai Islamic Propagation Centre International (IPCI) dan menjadi Presidennya, suatu jawatan yang disandangnya sampai tahun 1996. Ia menerbitkan lebih dari 20 buku dan menyebarkan berjuta-juta salinan secara percuma.

Ahmed Deedat mengirimkan beribu-ribu bahan kuliah ke seluruh dunia dan berdebat dengan penyebar-penyebar Injil pada debat umum. Beribu-ribu orang telah memeluk Islam atas Rahmat Allah serta hasil usahanya yang tidak pernah mengenal erti penat lelah.

Sebagai penghargaan yang tertinggi untuk prestasinya yang bersejarah itu, beliau telah dianugerahkan penghargaaan antarabangsa dari Raja Faisal pada tahun 1986. Penghargaan berprestij yang sangat berharga dalam dunia Islam.

Akhir hayat sunting

Sisa sembilan tahun usia hidupnya, Ahmed Deedat hanya boleh berbaring di tempat tidurnya di Verulam, Afrika Selatan. Dan akhirnya pada 8 Ogos 2005, beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya di Trevennen Road di Verulam, provinsi KwaZulu-Natal, Durban. Beribu-ribu orang yang kebanyakan dari umat Islam telah berhimpun di rumahnya dan menunaikan Solat jenazah untuknya. Lantas jasad beliau dimakamkan di pemakaman Verulam.

Karya tulisan sunting

Buku The Choice: Dialog Islam-Kristian adalah buku antara paling terlaris dijual didunia yang ditulis oleh Ahmed Deedat. Buku ini telah disebarkan secara meluas ke Afrika Selatan hingga ke Eropah, Asia, Oceania, bahkan Amerika Utara dan Selatan.

Dalam buku ini Deedat mengupas tentang perbezaan antara Islam dan Kristian. Beliau mengupas habis-habisan beberapa kesalahan yang beliau temukan dalam Alkitab baik dalam Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru.

Berkat usaha penulisan dan penerbitan buku ini pula, beberapa tokoh Kristian telah memeluk Islam. Diantaranya adalah Kenneth Jenkins (sekarang berganti nama menjadi Abdullah al-Faruq) dan mantan misionaris Gary Miller (sekarang namanya adalah Abdul-Ahad Omar).

Terdapat juga naskah pita kaset rakaman suara yang diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Indonesia yang diterbitkan oleh Penerbit Pustaka Da'i dengan judul Benarkah Jesus Tuhan: Debat Kontemporari Ahmed Deedat vs Dr Anis Shorrosh. Pita kaset rakaman ini diambil dari satu sesi perdebatan berprestij antara Ahmed Deedat(sebagai pendebat Islam) dan Dr Anis Shorrosh(sebagai pendebat Kristian) pada tahun 1985. Perdebatan telah berlaku di Dewan Utama Royal Albert Hall, London, Britain. Beribu-ribu pendengar telah hadir ke dalam sesi perdebatan tersebut, antaranya adalah Yusuf Islam. Hasil sesi perdebatan tersebut telah berjaya mengajak lebih banyak masyarakat dunia khususnya masyarakat London untuk memahami Islam secara lebih mendalam.

Rujukan sunting

  • Kata pengantar buku The Choice

Pautan luar sunting