Air garam (juga dikenali sebagai pekasin, padanan bahasa Inggeris: brine) merupakan air yang larutan garamnya berkepekatan tinggi (biasanya natrium klorida atau kalsium klorida). Dalam pelbagai konteks, air garam boleh merujuk kepada larutan garam antara kira-kira 3.5% (kepekatan biasa air laut, atau tahap kepekatan terendah larutan yang digunakan untuk pengasinan makanan) sehingga kira-kira 26% (larutan tepu biasa, bergantung pada suhu). Air garam terbentuk secara semula jadi disebabkan oleh penyejatan air masin tanah tetapi ia juga dihasilkan sewaktu perlombongan natrium klorida.[1] Air garam digunakan untuk pemprosesan dan masakan (penjerukan dan pengasinan), penyahaisan jalan dan struktur berkaitan, serta dalam beberapa proses teknologi lain. Ia juga merupakan hasil sampingan daripada banyak proses perindustrian seperti penyahgaraman, maka ia memerlukan rawatan air sisa untuk pelupusan yang betul atau penggunaan selanjutnya (pemulihan air tawar).[2]

Dalam alam semula jadi sunting

 
Seorang juruteknik NASA mengukur tahap kepekatan air garam menggunakan hidrometer pada kolam penyejatan garam di San Francisco.

Air garam dihasilkan dalam pelbagai kaedah secara semula jadi. Pengubahsuaian air laut melalui penyejatan menghasilkan pemekatan garam dalam cecair sisa, dan sejenis deposit geologi yang dipanggil sebagai evaporit terbentuk apabila ion terlarut berlainan mencapai tahap tepu mineral yang biasanya melibatkan gipsum dan halit. Pelarutan mendapan garam sedemikian ke dalam air juga berupaya menghasilkan air garam. Apabila air laut membeku, ion terlarut cenderung kekal dalam larutan sehingga menghasilkan cecair yang dipanggil air garam kriogenik. Pada masa pembentukan, air garam kriogenik ini mengikut definisi lebih sejuk berbanding suhu beku air laut dan boleh menghasilkan brinikel apabila penurunan air garam sejuk berupaya untuk membekukan air laut di sekelilingnya.

Air garam yang tumbuh di permukaan sebagai mata air masin dikenali sebagai "jenut" atau "salina".[3] Kandungan pepejal terlarut dalam air bawah tanah sangat berbeza dari satu lokasi ke lokasi lain di Bumi, baik dari segi juzuk tertentu (contohnya seperti halit, anhidrit, karbonat, gipsum, garam fluorida, halida organik, dan gram sulfat) dan dari segi tahap kepekatan. Menggunakan salah satu daripada beberapa klasifikasi air bawah tanah berdasarkan jumlah pepejal terlarut (JPT), air garam ialah air yang mengandungi lebih daripada 100,000 mg/L JPT.[4] Air garam biasanya dihasilkan semasa operasi penyiapan telaga, terutamanya selepas keretakan hidraulik telaga.

Rujukan sunting

  1. ^ Westphal, Gisbert; Kristen, Gerhard; Wegener, Wilhelm (2005), "Sodium Chloride", Ullmann's Encyclopedia of Industrial Chemistry (dalam bahasa Inggeris), Weinheim: Wiley-VCH, doi:10.1002/14356007.a24_317.pub4
  2. ^ Panagopoulos, Argyris; Haralambous, Katherine-Joanne; Loizidou, Maria (November 2019). "Desalination brine disposal methods and treatment technologies – A review". Science of the Total Environment. 693: 133545. Bibcode:2019ScTEn.693m3545P. doi:10.1016/j.scitotenv.2019.07.351. PMID 31374511.
  3. ^ "The Scioto Saline-Ohio's Early Salt Industry" (PDF). dnr.state.oh.us. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2012-10-07.
  4. ^ "Global Overview of Saline Groundwater Occurrence and Genesis". igrac.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-07-23. Dicapai pada 2017-07-17.