Imam Tirmidzi
Imam Al-Tarmidzi atau Al-Tirmidzi atau Al-Turmudzi, nama asalnya adalah Abu Isa Muhammad bin Isa bin Surah Al-Turmudzi (Arab: أبو عيسى محمد الترمذي ) ialah seorang perawi hadis dari Parsi yang terkenal. Beliau pernah belajar hadis dari Imam Bukhari.
Cendekiawan Islam Zaman Kegemilangan Islam | |
---|---|
Nama: | Abū Īsā Muhammad ibn Īsā as-Sulamī at-Tirmidhī |
Gelaran: | Imam Tirmidhī |
Lahir: | 824 M (209 H) |
Wafat: | 892 M (13 Rajab 279 H) |
Mazhab: | Shafi'i |
Rantau: | Parsi |
Bidang: | Hadis |
Karya: | Sunan al-Tirmidhi/Jami' at-Tirmizi |
Beliau menyusun kitab "Sunan Al-Turmudzi" dan "Al Ilal". Beliau mengatakan bahawa dia sudah pernah menunjukkan kitab Sunannya kepada ulama-ulama Hijaz, Iraq dan Khurasan dan mereka semuanya setuju dengan isi kitab itu. Karyanya yang masyhur ialah Kitab Al-Jami’ (Jami' at-Tirmizi/Sunan al-Tirmidhi). Ia juga tergolong salah satu "Sunan Sittah" (Enam Kitab Utama Bidang Hadis) dan ensiklopedia hadis terkenal.
Perkembangan Dan Pengembaraannya
suntingDatuk kepada Abu ‘Isa at-Tirmizi berketurunan Mirwaz, kemudian pindah ke Tirmiz dan menetap di sana. Di kota inilah cucunya bernama Abu ‘Isa dilahirkan. Sejak kecil Abu ‘Isa sudah berminat mempelajari ilmu dan mencari hadith. Untuk keperluan inilah ia mengembara ke berbagai negeri: Hijaz, Iraq, Khurasan dan lain-lain. Dalam pengembaraannya itu beliau banyak mengunjungi ulama’-ulama’ besar dan guru-guru hadith untuk mendengar hadith yang kemudiannya dihafal dan dicatatnya dengan baik di perjalanan atau ketika tiba di suatu tempat.
Setelah menjalani perjalanan panjang untuk belajar, mencatat, berdiskusi dan bertukar fikiran serta mengarang, di akhir kehidupannya beliau mendapat musibah menjadi buta, dan beberapa tahun lamanya beliau hidup dalam kegelapan; dalam keadaan seperti inilah akhirnya at-Tirmidzi meninggal dunia. Beliau wafat di Tirmiz pada malam Isnin 13 Rajab tahun 279 H dalam usia 70 tahun.
Guru-Gurunya
suntingBeliau belajar dan meriwayatkan hadith dari ulama’-ulama’ terkenal. Antaranya adalah Imam al-Bukhari, dimana beliau belajar hadith dan ilmu fiqh. Juga beliau belajar dengan Imam Muslim dan Abu Daud. Bahkan at-Tirmizi juga belajar hadith dengan sebahagian dari guru kepada guru-gurunya.
Guru lainnya ialah Qutaibah, Ishaq bin Musa, Mahmud bin Gailan, Said bin ‘Abdur Rahman, Muhammad bin Basysyar, ‘Ali bin Hajar, Ahmad bin Muni’, Muhammad bin al-Musanna dan lain-lain.
Murid-Muridnya
suntingHadith-hadith dan ilmu-ilmunya dipelajari dan diriwayatkan oleh banyak ulama’. Antaranya ialah Makhul ibnul-Fadl, Muhammad bin Mahmud ‘Anbar, Hammad bin Syakir, ‘Ai-bd bin Muhammad an-Nasfiyyun, al-Haisam bin Kulaib asy-Syasyi, Ahmad bin Yusuf an-Nasafi, Abul-‘Abbas Muhammad bin Mahbud al-Mahbubi, yang meriwayatkan kitab Al-Jami’ daripadanya, dan lain-lain.
Kekuatan Hafalannya
suntingAbu ‘Isa at-Tirmizi diakui oleh para ulama’ kepakarannya dalam hadith, kesolehan dan ketaqwaannya. Ia terkenal juga sebagai seorang yang dapat dipercayai, amanah dan sangat teliti. Salah satu bukti kekuatan dan cepat hafalannya ialah kisah berikut yang dikemukakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Tahzib at-Tahzib-nya, dari Ahmad bin ‘Abdullah bin Abu Daud, yang berkata:
Saya mendengar Abu ‘Isa at-Tirmizi berkata: Pada suatu waktu dalam perjalanan menuju Makkah, dan ketika itu saya telah menulis dua jilid berisi hadith-hadith yang berasal dari seorang guru. Guru tersebut kebetulan berjumpa dengan kami. Lalu saya bertanya-tanya mengenai dia, mereka menjawab bahawa dialah orang yang ku maksudkan itu. Kemudian saya menemuinya. Saya mengira bahawa “dua jilid kitab” itu ada padaku. Ternyata yang aku bawa bukanlah dua jilid tersebut, melainkan dua jilid lain yang mirip dengannya. Ketika saya telah bertemu dengan dia, saya memohon kepadanya untuk mendengar hadith, dan ia mengabulkan permohonan itu. Kemudian ia membacakan hadith yang dihafalnya. Di celah-celah pembacaan itu ia mencuri pandang dan melihat bahawa kertas yang ku pegang masih putih bersih tanpa ada tulisan sesuatu apa pun. Demi melihat kenyataan ini, ia berkata: “Tidakkah engkau malu kepadaku?”. Lalu aku bercerita dan menjelaskan kepadanya bahawa apa yang ia bacakan itu telah ku hafal semuanya. “Cuba bacakan!”, suruhnya. Lalu aku pun membacakan seluruhnya dengan lancar. Ia bertanya lagi: “Apakah telah engkau hafalkan sebelum datang kepadaku?” . “Tidak”, jawabku. Kemudian saya meminta lagi agar dia meriwayatkan hadith yang lain. Ia pun kemudian membacakan empat puluh buah hadith yang tergolong hadith-hadith yang sulit atau gharib, lalu berkata: “Cuba ulangi apa yang ku bacakan tadi”. Lalu aku membacakannya dari pertama sampai selesai; dan ia berkomentar: “Aku belum pernah melihat orang seperti engkau”.
Pandangan Para Pengkritik Hadith Terhadapnya
suntingPara ulama’ besar telah memuji dan menyanjungnya, dan mengakui akan kemuliaan dan keilmuannya. Al-Hafiz Abu Hatim Muhammad ibn Hibban, pengkrtitik hadith, menggolongkan at-Tirmizi ke dalam kelompok “Tsiqah” atau orang-orang yang dapat dipercayai dan kukuh hafalannya, dan berkata:
“At-Tirmizi adalah salah seorang ulama’ yang mengumpulkan hadith, menyusun kitab, menghafal hadith dan bermuzakarah (berdiskusi) dengan para ulama’ ”.
Abu Ya’la al-Khalili dalam kitabnya ” ‘Ulumul Hadith” menerangkan; Muhammad bin ‘Isa at-Tirmizi adalah seorang penghafal dan ahli hadith yang baik yang telah diakui oleh para ulama’. Ia memiliki kitab “Sunan“ dan kitab “Al-Jarh wat-Ta’dil”. Hadith-hadithnya diriwayatkan oleh Abu Mahbub dan banyak ulama’ lain. Ia terkenal sebagai seorang yang dapat dipercaya, seorang ulama’ dan imam yang menjadi ikutan dan yang berilmu luas. Kitabnya “Al-Jami’us Shahih” sebagai bukti atas keagungan darjatnya, keluasan hafalannya, banyak bacaannya dan pengetahuannya tentang hadith yang sangat mendalam.
Fiqh at-Tirmizi Dan Ijtihadnya
suntingImam at-Tirmizi, di samping dikenal sebagai ahli dan penghafal hadith yang mengetahui kelemahan-kelemahan dan perawi-perawinya, ia juga dikenal sebagai ahli fiqh yang mempunyai wawasan dan pandangan luas. Barang siapa mempelajari kitab “Jami’ “nya ia akan mendapati tingginya ilmu dan dalamnya penguasaan beliau terhadap berbagai mazhab fiqih. Kajian-kajiannya mengenai persoalan fiqh mencerminkan beliau adalah seorang ulama’ yang sangat berpengalaman dan mengerti betul duduk permasalahan yang sebenarnya. Salah satu contoh ialah penjelasannya terhadap sebuah hadith mengenai penangguhan membayar hutang yang dilakukan si berutang yang sudah mampu, sebagaimana berikut:
“Muhammad bin Basysyar bin Mahdi menceritakan kepada kami Sufyan menceritakan kepada kami, dari Abi az-Zunad, dari al-A’rai dari Abu Hurairah, dari Nabi s.a.w, bersabda: “Penangguhan membayar hutang yang dilakukan oleh si berhutang yang mampu adalah suatu kezaliman. Apabila seseorang di antara kamu dipindahkan hutangnya kepada orang lain yang mampu membayar, hendaklah pemindahan hutang itu diterimanya”.
Imam at-Tirmizi memberikan penjelasan sebagai berikut:
Sebahagian ahli ilmu berkata: “Apabila seseorang dipindahkan piutangnya kepada orang lain yang mampu membayar dan ia menerima pemindahan itu, maka bebaslah orang yang memindahkan (muhil) itu, dan bagi orang yang dipindahkan piutangnya (“muhtal”) tidak dibolehkan menuntut kepada muhil”. Fatwa ini adalah pendapat asy-Syafi’i, Ahmad dan Ishaq.
Sebahagian ahli ilmu yang lain berkata: “Apabila harta seseorang (“muhtal”) menjadi rugi disebabkan muflis muhal ‘alaih, maka baginya dibolehkan menuntut bayar kepada orang pertama (“muhil”)”.
Mereka memakai alasan dengan perkataan Usman dan lainnya, yang menegaskan: “Tidak ada kerugian atas harta benda seorang Muslim”.
Menurut Ishak, perkataan, “Tidak ada kerugian atas harta benda seorang Muslim” ini adalah, “Apabila seseorang dipindahkan hutangnya kepada orang lain yang dikiranya mampu, namun ternyata orang lain itu tidak mampu, maka tidak ada kerugian atas harta benda orang Muslim (yang dipindahkan hutangnya) itu”.
Itulah salah satu contoh yang menunjukkan kepada kita, bahawa betapa cemerlangnya pemikiran fiqh at-Tirmizi dalam memahami nas-nas hadith, serta betapa luas dan asli pandangannya itu.
Karya-Karyanya
suntingImam at-Tirmizi banyak menulis kitab-kitab. Di antaranya:
• Kitab Al-Jami’, terkenal dengan sebutan Sunan at-Tirmizi.
• Kitab Al-‘Ilal.
• Kitab At-Tarikh.
• Kitab Asy-Syama’il an-Nabawiyyah.
• Kitab Az-Zuhd.
• Kitab Al-Asma’ wal-kuna.
Di antara kitab-kitab tersebut yang paling besar dan terkenal serta beredar luas adalah Al-Jami’.