Alan Mathison Turing (23 Jun 19127 Jun 1954) ialah ahli matematik, ahli logik, dan ahli kriptografi British. Beliau telah dianggap sebagai bapa sains komputer moden.

Alan Turing

Turing pada usia 16 tahun
Kelahiran
Alan Mathison Turing

(1912-06-23)23 Jun 1912
Maida Vale, London, England
Meninggal dunia7 Jun 1954(1954-06-07) (umur 41)
Wilmslow, Cheshire, England
WarganegaraInggeris
KerakyatanUnited Kingdom
PendidikanSherborne School
Pusat pendidikan
Terkenal kerana
Anugerah
Kerjaya saintifik
BidangMatematik, kriptanalisis, logik, sains komputer, matematik dan teori biologi
Institusi
TesisSystems of Logic Based on Ordinals (1938)
Penasihat kedoktoranAlonzo Church[2]
Pelajar kedoktoranRobin Gandy[2]
Tandatangan

Melalui Ujian Turing, Turing memberikan sumbangan yang penting dan provokatif kepada perdebatan kecerdasan buatan: sama ada mesin mempunyai kesedaran dan dapat memikir atau tidak. Beliau membekalkan pemformalan yang terpengaruh kepada konsep algoritma dan pengiraan melalui Mesin Turingnya, dan merumuskan versi "Turing" untuk tesis Church-Turing yang kini diterima secara meluas, iaitu mana-mana satu model pengiraan yang praktikal akan mempunyai keupayaan mesin Turing yang sama ataupun sebahagian daripadanya.

Semasa Perang Dunia II, Turing bertugas di Bletchley Park yang merupakan pusat pemecahan tulisan rahsia dan untuk sejangka masa, juga merupakan ketua Hut 8, iaitu bahagian yang bertanggungjawab kepada pemecahan tulisan rahsia tentera laut Jerman. Beliau mereka beberapa teknik untuk memecah tulisan rahsia Jerman, termasuknya kaedah bombe, melalui sebuah mesin elektromekanik yang dapat mencari pengesetan mesin Enigma.

Selepas peperangan, Turing telah bertugas di Makmal Fizik Negara ("National Physical Laboratory") dan mereka mesin ACE, yang merupakan salah satu rekaan-rekaan awal untuk komputer yang dapat menyimpan atur cara. Pada tahun 1948, Turing menyertai Makmal Komputeran Max Newman di Victoria Universiti Manchester, di mana beliau membantu membina komputer Manchester dan mula berminat di dalam bidang biologi matematik. Dia telah menulis satu tesis yang bertumpu kepada kimia asas morfogenesis dan meramalkan reaksi kimia ayunan seperti reaksi Belousov–Zhabotinsky, yang pertama kali diperhatikan pada tahun 1960-an.

Pada tahun 1952, Turing telah didakwa atas kesalahan homoseksual, yang pada ketika itu dianggap sebagai perlakuan jenayah. Beliau menerima hukuman pengasian secara kimia, sebagai pilihan alternatif kepada hukuman penjara. Turing meninggal dunia pada tahun 1954, 16 hari sebelum hari jadinya, dari keracunan sianida. Sebuah inkues mendapati bahawa kematian beliau merupakan tindakan bunuh diri berdasarkan bukti yang dijumpai (selaras dengan kematian keracunan secara tidak sengaja). Pada tahun 2009, berikutan satu kempen internet, Perdana Menteri Britiain, Gordon Brown membuat kenyataan maaf secara terbuka bagi pihak kerajaan British atas layanan mereka terhadap Turing pada masa itu. Raja Permaisuri England II telah menganugerahkan keampunan kepada beliau pada tahun 2013, setelah beberapa dekad kematiannya.

Kehidupan awal sunting

Turing dilahirkan di Maida Vale, London. Manakala ayahnya, Julius Mathison Turing (1873-1947) pada masa itu, masih bercuti dari tugasnya dengan Servis Awam Indian (ICS) di daerah Chhatrapur, Bihar dan Orissa di India British. Ayah Turing merupakan anak kepada paderi Reverend John Robert Turing, yang berasal dari keluarga pedagang Scottish yang bertapak di Netherlands (yang juga termasuk dengan seorang baron). Ibu Turing, Ethel Sara (nama sebelum kahwin:Stoney, 1881-1976), merupakan anak perempuan kepada Edward Waller Stoney, ketua jurutera Landasan Kereta Api Madras. Keluarga Stoneys merupakan golongan atasan Protestan Anglo-Irish dari Daerah Tipperary dan Longford. Ethel menghabiskan kebanyakan zaman kanak-kanaknya di Daerah Clare.

Tugas Julius dengan ICS membawa keluarganya ke India British, di mana datuknya ialah seorang jeneral di dalam pasukan tentera Bengal. Walau bagaimanapun, Julius dan Ethel mahu membesarkan anak-anak mereka di Britain. Maka, dengan itu mereka berpindah ke Maida Vale, London di mana Turing dilahirkan pada 23 Jun 1912, seperti yang direkodkan oleh plat biru di luar rumah kelahirannya (kemudiannya manjadi Hotel Colonnade). Turing mempunyai seorang abang, John (ayah kepada Sir John Dermot Turing, baron ke-12 daripada baron-baron keluarga Turing).

Arahan bertugas ayah Turing masih aktif dan semasa zaman kanak-kanak Turing, mereka mengembara antara Hastings di England dan India. Mereka meninggalkan kedua-dua anak mereka untuk tinggal bersama sepasang suami isteri askar yang telah bersara. Di Hastings, Turing tinggal di rumah tumpangan Baston, Upper Maze Hill, St Leonards-on-Sea, pada masa sekarang ditanda dengan plat biru juga.

Di dalam kehidupan awal beliau, beliau menunjukkan tanda-tanda seorang genius di mana beliau menonjolkannya pada hari-hari kemudian. Ibu bapa beliau membeli sebuah rumah di Guiford pada tahun 1927 dan Turing tinggal di sana sewaktu musim cuti sekolah. Lokasi tersebut juga ditanda dengan plat biru.

Pendidikan sunting

Sekolah sunting

Ibu bapa Turing mendaftarkan beliau di St. Michael, sebuah sekolah harian di Jalan Charles 20, St Leonards-on-Sea pada usia 6 tahun. Pengetua wanita sekolah tersebut mengenali bakat beliau sejak dari awal lagi. Begitu juga dengan pengajar-pegajar beliau yang seterusnya. Pada tahun 1926, beliau yang berusia 13 tahun memasuki Sekolah Sherbone, sebuah sekolah bebas di pakan pasar Sherbone di Dorset. Hari pertama semester pertama sekolah bertembung dengan peristiwa Mogok Umum 1926 di Britain, tetapi Turing begitu bertekad untuk menghadiri sekolah sehingga beliau menunggang basikal sejauh 97 km tanpa teman, dari Southampton ke Sherborne dan hanya berhenti untuk bermalam di sebuah rumah penginapan.

Kecenderungan semula jadi Turing di dalam bidang matematik dan sains tidak mendapat penghormatan dan penghargaan daripada sesetengah guru di Sherborne, atas definisi mereka yang pendidikan seharusnya bertumpu kepada kajian klasik. Guru besar beliau menulis surat kepada ibu bapanya: "Saya berharap dia tidak akan ketinggalan di dalam pelajarannya. Sekiranya dia berniat untuk meneruskan persekolahan di sekolah awam, dia mesti menumpukan perhatian untuk menjadi seorang yang berpelajaran. Jika dia seharusnya menjadi seorang pakar saintifik, dia sedang membazirkan masanya di sekolah awam". Namun begitu, beliau masih menunjukkan kebolehan yang menakjubkan di dalam subjek yang disukai dan menyelesaikan masalah-masalah yang rumit pada tahun 1927, tanpa mempelajari asas kalkulus. Pada tahun 1928, beliau mempelajari hasil kerja Albert Einstein. Bukan sahaja dia dapat memahaminya, dia juga dapat menyimpulkan soalan Einstein mengenai Hukum Pergerakan Newton daripada sebuah teks, di mana ia tidak pernah dijelaskan.

Universiti dan kerja pengkomputeran sunting

Selepas Sherborne, beliau mengambil kursus sarjana muda dari tahun 1931 sehingga tahun 1934 di Kolej King, Cambridge, di mana dia mendapat kepujian pertama di dalam bidang matematik. Pada tahun 1935 (umur 22 tahun), beliau telah dilantik sebagai rakan sekutu Kolej King atas disertasi beliau yang membuktikan pusat had teorem ("Central Limit Theorem"), walaupun pada hakikatnya, teorem tersebut telah dibuktikan oleh Jarl Waldermar Lindeberg pada tahun 1922.

Pada tahun 1936, beliau menerbitkan tesis beliau "On Computable Numbers, with an Application to the Entscheidungsproblem" (1936). Di dalam tesis ini, beliau merumuskan semula keputusan komputeran dan bukti had Kurt Gödel (tahun 1931); menggantikan bahasa formal sejagat berdasarkan aritmetik milik Gödel dengan peralatan hipotetikal yang formal dan mudah yang kemudiannya dikenali sebagai Mesin Turing.

Kriptanalisis sunting

Semasa Perang Dunia II, Turing merupakan peserta utama di dalam pemecahan tulisan rahsia Jerman di Bletchley Park.

Bombe sunting

Dalam masa beberapa minggu ketibaannya di Bletchley Park, Turing telah menyatakan sebuah mesin elektromekanikal yang dapat memecahkan Enigma dengan lebih efektif berbanding mesin Poland "bomba kryptologiczna", di mana nama "Bombe" diperolehi. Mesin Bombe, dengan penambahbaikan yang dicadangkan oleh ahli matematik Gordon Welchman, menjadi peralatan automatik yang paling utama untuk menyahkod mesej rahsia Enigma.

Komputer pada peringkat awal dan Ujian Turing sunting

Pada tahun 1945 hingga tahun 1947, Turing tinggal di Hampton, London sambil mengerjakan rekaan komputer ACE (Automatic Computing Engine)/"(Masin Komputeran Automatik)" di Makmal Fizik Negara (NPL). Dia membentangkan satu kertas kerja pada 19 Februari 1946, di mana ia mengandungi kandungan terperinci tentang rekaan komputer simpanan atur cara yang pertama.

Pada tahun 1949, beliau menjadi timbalan pengarah Makmal Mesin Komputeran dan terus terlibat di dalam pembuatan perisian untuk salah satu komputer simpanan atur cara yang terawal iaitu Manchester Mark 1. Dalam tempoh ini, beliau turut terus melakukan kajian abstrak untuk matematik. Di dalam "Computing Machinery and Intelligence" (Mind, Oktober 1950), Turing mengenal pasti masalah kecerdasan buatan dan mencadangkan satu eksperimen yang dikenali Ujian Turing, yang merupakan satu cubaan untuk mendefinisikan satu piawai untuk sebuah mesin dikategorikan sebagai "cerdas". Ideanya adalah sebuah komputer dianggap "berfikir" sekiranya seorang manusia yang bertanya soalan tidak dapat membezakan sama ada ia komputer atau manusia melalui sesebuah perbualan. Di dalam tesisnya, Turing mencadangkan sebaliknya membina satu atur cara untuk mensimulasikan pemikiran orang dewasa, ia adalah lebih baik untuk membina satu atur cara yang lebih mudah untuk mensimulasikan pemikiran kanak-kanak dan membuatkan ia tertakluk kepada satu siri pendidikan. Satu versi terbalik Ujian Turing telah digunakan secara meluas di internet; ujian CAPTCHA untuk menentukan sama ada seorang pengguna itu adalah seorang manusia atau komputer.

Formasi corak dan biologi matematik sunting

Semasa akhir riwayatnya, Turing melibatkan diri dalam biologi matematik, menerbitkan tesisnya yang bertajuk "The Chemical Basis of Morphogenesis" pada tahun 1952. Beliau berminat di dalam morfogenesis iaitu pembentukan bentuk dan corak di dalam organisma biologi. Minat utama di dalam bidang tersebut ialah memahami phyllotaxis Fibonacci, iaitu kewujudan Fibonacci di dalam struktur tumbuhan. Beliau mencadangkan bahawa sesuatu sistem kimia yang bertindak balas antara satu sama lain dan meresap melalui ruangan, yang diistilahkan sebagai sistem reaksi-resapan dan mungkin sumber utama untuk fenomena morfogenesis. Ketidakstabilan dalam sistem persamaan perbezaan separa telah digunakan untuk pembinaan model sistem reaksi-resapan di mana ketisakstabilan tersebut telah membolehkan gangguan rawak yang kecil ke homogen peringkat awal untuk memacu pembentukan corak-corak.

Sabitan atas kesalahan kelakuan tidak senonoh sunting

Pada tahun 1952, Turing yang berusia 39 tahun telah memulakan hubungan dengan Arnold Murray, seorang lelaki penganggur. Turing terjumpa Murray sebelum hari Krismas di luar pawagam Regal semasa beliau sedang berjalan di Jalan Manchester Oxford dan kemudiannya mengajaknya makan tengah hari. Pada 23 Januari, rumah Turing telah dipecah masuk. Murray memberitahu Turing bahawa penceroboh tersebut adalah kenalan dia dan Turing melaporkan kes itu kepada pihak polis. Semasa Turing disiasat, beliau mengaku bahawa dia mempunyai hubungan seksual dengan Murray. Perlakuan homoseksual merupakan perlakuan jenayah di Britain pada masa itu. Turing dan Murray kemudiannya disabitkan kesalahan berkelakuan tidak senonoh, di bawah Seksyen 11, Akta Jenayah Pindaan 1885. Prosiding awalan tahanan untuk perbicaraan telah diadakan pada 27 Februari di mana peguam bela Turing mempertahankannya.

Setelah diyakinkan oleh abang dan peguam belanya, Turing mengaku salah. Kes tersebut, Regina menentang Turing dan Murray telah dibicarakan pada 31 Mac 1952. Turing disabitkan kesalahan dan diberi pilihan hukuman antara penjara dan pemantauan, dengan syarat beliau berjanji untuk menjalani rawatan hormon dengan tujuan pengurangan dorongan seksual. Dia bersetuju untuk menerima rawatan hormon secara suntikan (estrogen sintetik) dan rawatan ini berterusan selama 1 tahun. Rawatan tersebut menyebabkan Turing mengalami mati pucuk dan gynaecomastia. Dan maka itu, mematuhi andaian Turing bahawa "tidak akan ada keraguan di mana saya akan menjadi seorang lelaki yang lain sekali, tetapi sebagai seorang yang saya tidak ketahui". Murray dilepaskan dengan keadaan bersyarat.

Sabitan Turing menyebabkan beliau sekatan sekuriti dan dihalang untuk meneruskan perundingan kriptografi untuk Ibu Pejabat Komunikasi Kerajaan (GCHQ) iaitu Agensi Isyarat British yang telah berevolusi dari GCHQ pada tahun 1946 (walaupun beliau masih memegang posisi akademik). Beliau telah dilarang untuk memasuki Amerika Syarikat pada tahun 1952 selepas sabitannya, tapi bebas melawat negara Eropah yang lain. Pada masa itu, terdapat kerisauan awam mengenai pemerangkapan pengintip homoseksual oleh Ejen Soviet disebabkan pendedahan ahli pertama dan kedua dari kumpulan Cambridge Five iaitu Guy Burgess dan Donald Maclean (pengintip dua muka). Turing tidak pernah dituduh atas pengintipan, tetapi sebagai persamaan dengan semua yang telah bertugas di Bletchley Park, beliau tidak dibenarkan untuk membicarakan kertas kerja peperangannya di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Kematian sunting

Pada 8 June 1954, pembantu rumah Turing telah mendapati dia meninggal dunia. Beliau telah meninggal sehari sebelum itu. Hasil pemeriksaan post-mortem mengenal pasti keracunan sianida sebagai punca kematian. Semasa mayatnya ditemui, sebiji epal yang digigit separuh telah dijumpai di tepi katil beliau dan epal tersebut tidak diuji untuk kehadiran sianida. Epal tersebut merupakan spekulasi, yang mana inilah cara beliau membunuh diri melalui pengambilan sianida dalam dos maut. Sebuah inkues telah mengenal pasti beliau sememangnya telah membunuh diri dan mayatnya telah dibakar di Krematorium Woking pada 12 Jun 1954. Abu mayat Turing ditaburkan di sana, seperti ayahnya.

Teori alternatif kematian sunting

Profesor falsafah Jack Copeland telah mempersoalkan pelbagai aspek sejarah keputusan koroner. Dia mencadangkan penjelasan alternatif untuk kematian Turing, iaitu tidak sengaja terhidu asap sianida daripada satu peralatan untuk penyaduran sudu emas, di mana potasium sianida telah digunakan untuk meleburkan emas. Turing mempunyai peralatan tersebut di dalam sebuah bilik kecil yang lain. Copeland mendapati bahawa keputusan autopsi adalah cara keracunan sianida lebih kepada penghiduan, berbanding pengambilan. Turing juga mempunyai tabiat untuk memakan epal sebelum waktu tidur dan ia bukanlah di luar kebiasaan yang epal tersebut dimakan separuh sahaja. Turing juga dilaporkan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sabitan jenayah dan hukuman rawatan hormon (dihentikan setahun sebelum kematiannya) yang dikenakan ke atasnya dengan sifat jenaka serta tidak menunjukkan emosi kesedihan sebelum kematiannya. Beliau turut menyenaraikan kerja-kerja yang hendak dilengkapkan di pejabatnya selepas cuti hari minggu. Pada masa itu, ibu Turing mempercayai bahawa kematian Turing adalah secara tidak sengaja, kesan daripada kelalaian anaknya dalam menyimpan bahan-bahan kimia makmal. Penulis biografi, Andrew Hodges, mencadangkan bahawa Turing mungkin sengaja berbuat demikian, supaya ibunya menafikan beliau membunuh diri.

Andrew Hodges dan seorang lagi penulis biografi, David Leavitt telah mencadangkan Turing telah "melakon semula" satu segmen dari filem Walt Disney, "Snow White and the Seven Dwarfs (1937)", yang merupakan kisah dongeng kegemaran Turing. Dalam perkataan-perkataan mereka (Leavitt), "beliau mempunyai minat tehadap segmen cerita di mana Permaisuri Jahat merendamkan epal di dalam bru yang beracun".

Pengiktirafan dan penghormatan sunting

  • Anugerah Turing, dinamakan sempena beliau merupakan anugerah tahunan Persatuan Mesin Komputeran (Association for Computing Machienery, ACM) untuk sumbangan-sumbangan teknikal atau teoritikal di dalam komuniti komputeran. Ia dianggap sebagai penghormatan yang tertinggi di dalam dunia komputeran, bersamaan dengan Anugerah Nobel.
  • Pada tahun 1999, majalah Time telah menamakan Turing sebagai salah seorang orang-orang yang terpenting di dalam abad ke-20.
  • Pada 13 March 2003, sebuah set koleksi setem telah dikeluarkan oleh Saint Vincent and the Grenadines untuk meraikan pencapaian terhebat pada abad ke-20, di mana salah satunya merupakan potret Turing yang terdiri daripada nombor binari, 0 dan 1.
  • Pada 28 Oktober 2004, sebuah arca gangsa Turing yang diukir oleh John W. Mills telah dilancarkan di Universiti Surrey, Guildford, menandakan ulang tahun ke-50 tarikh kematian beliau.
  • Majalah Alumni Universiti Princeton menamakan Turing sebagai ahli alumni kedua yang terpenting, selepas Presiden James Madison.

Permohonan maaf oleh kerajaan Britain dan pengampunan sunting

Pada Ogos 2009, John Grahan-Cumming telah memulakan satu petisyen untuk menggesa kerajaan Britain memaafkan sabitan kesalahan homoseksual Turing. Petisyen tersebut menerima 30 lebih ribu tandatangan. Pada 24 Disember 2013, Raja Permaisuri England II menandatangani pengampunan untuk sabitan kesalahan Turing dan ianya berkuatkuasa dengan serta-merta. Pada Ogos 2014, baginda mengumumkan bahawa Turing telah diampunkan secara rasmi.

Sambutan ulang tahun ke-100 sunting

Untuk meraikan tahun kelahiran ke-100 Turing, Jawatankuasa Penasihat Seratus Turing mengelola Tahun Alan Turing, satu acara selama 1 tahun di seluruh dunia untuk mengenang dan menghargai kehidupan Turing dan pencapaiannya.

Gambaran beliau dalam adaptasi sunting

Beliau telah dipaparkan di bidang hiburan melalui beberapa saluran. Antaranya ialah, persembahan teater, kesusteraan, muzik dan filem. Filem-filem termasuklah "Codebreaker" dan "The Imitation Game".

Penganugerahan dan kepujian sunting

Turing telah dilantik sebagai Rakan Sekutu Persatuan Diraja (FRS) pada tahun 1951. Selain itu, beliau mempunyai beberapa penghormatan yang dinamakan sempenanya:

  • Good–Turing frequency estimation
  • Turing completeness
  • Turing degree
  • Turing Institute
  • Turing Lecture
  • Turing machine examples
  • Turing patterns
  • Turing reduction
  • Turing switch

Rujukan sunting

  1. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan frs tidak disediakan
  2. ^ a b Alan Turing di Mathematics Genealogy Project

Pautan luar sunting