Alasyia, juga dieja Alasiya, ataupun Kerajaan Alasyia,[1] ialah sebuah negeri yang wujud pada pertengahan dan lewat Zaman Gangsa, dan bertempat di Timur Laut Mediterranean. Ia merupakan ibu pusat sumber-sumber penting, terutama sekali tembaga, untuk Mesir Purba dan negeri-negeri lain di Asia Barat Jauh Kuno. Ia ada disebut dalam beberapa teks purba dan kini dijangka ialah nama purbakala Kiprus, atau sebahagian Kiprus. Ini disahkan dengan analisis ilmiah dilakukan di Univerisit Tel Aviv pada tablet tanah liat yang dikirim dari Alasyia ke para pemerintah negeri lain.[2]

Peta Asia Barat Jauh Kuno di zaman Amarna

Teks-teksSunting

Nama negeri dialihaksarakan kepada "Alasyia" dan ditemui dalam teks-teks Mesir, Het, Akkadia, Mikenai (Linear B) dan Ugarit. Ia sepadan dengan Elisyah yang disebut dalam Alkitab. Sesetengah surat Amarna datang daripada raja atau para menteri Alasyia. Ia biasanya menyebut tentang tembaga yang dieksport dari Alasyia dan permohonan kiriman perak atau gading sebagai bayaran. Satu surat merujuk kepada bayaran 500 talentum tembaga (kira-kira sebanyak 12.5 tan) dan memberi alasan kenapa tembaga yang dihantar itu sedikit jumlahnya. Firaun pada masa itu juga digelar oleh Raja Alasyia sebagai "saudara" baginda, menunjukkan bahawa raja menganggap mereka berdua mempunyai darjat yang sama, barangkalian atas kuasa ekonomi kerajaan baginda. Papirus Anastasi IV, ditulis beberapa abad kemudian, juga menyebut tentang tembaga (dan lembu) dihantar dari Alasyia ke Mesir.[3]

Untuk mengenal pasti lokasi Alasyia, tempat tersebut mesti mempunyai sumber pengeluaran tembaga yang besar semasa Zaman Gangsa Lewat. Ada beberapa petunjuk dalam teks-teks. Surat Amarna menyebut tentang sebuah kapal dimiliki oleh Raja Alasyia dan orang-orang Lukki (mungkin sebahagian daripada Bangsa Laut, seperti lanun) menawan kampung-kampung di Alasyia.[4]

Dalam surat lain, Raja Ugarit merayu minta pertolongan Raja Alasyia untuk melindungi Ugarit daripada Bangsa Laut. Satu catatan Ugarit menulis berkenaan pengusiran dua putera ke "bumi Alasyia". Satu teks lagi dari Ugarit mungkin mempunyai petunjuk lokasi ibu kota Alasyia, dan mungkin juga kota tersebut berada di atas gunung. Akan tetapi, ia biasa diterjemahkan kepada persisiran.[5] Catatan nama raja Kiprus pertama ialah "Kusymesyusya" seperti yang tertulis pada surat-surat ke Ugarit pada sekitar abad ke-13 SM.[6]

Penghujung Kisah Wenamun mencatat tentang bagaimana Wenamun, seorang pendeta dari Mesir, pernah sesat arah dalam sebuah pelayaran Jubail ke Mesir dan tiba di persisiran Alasyia. Wenamun kata beliau hampir dibunuh oleh sekelompok perusuh, tetapi diselamatkan oleh Hatbi, seorang "puteri pekan".

Sesetengah teks-teks akhir yang bercakap tentang Alasyia datang dari Kerajaan Het (bertempat di Turki moden) dan berbangga dapat mengalahkan Alasyia dengan kuasa mereka. Namun, oleh sebab ia datang dari laporan tentera ia amat sukar untuk menentukan hal yang sebenarnya.

Senarai surat Amarna dari AlasyiaSunting

  • EA 33; Tajuk: Membuat Perikatan
  • EA 34; Tajuk: Membalas teguran Firaun
  • EA 35; Tajuk: Tangan Nergal
  • EA 36; Tajuk: Lebih lanjut berkenaan tembaga
  • EA 37; Tajuk: Lebih lanjut berkenaan perak
  • EA 38; Tajuk: Perkelahian saudara
  • EA 39; Tajuk: Bebas-Cukai
  • EA 40; Tajuk: Bebas-Cukai, Wizurai ke Wizurai

Pencarian kotaSunting

Alasyia mesti berada di sebuah sumber tembaga yang besar di Zaman Gangsa, di persisiran, dan di Timur Laut Mediterranean.

Ada ilmuan yang berpendapat kota itu berada di Suriah atau Turki, namun kini biasanya (walaupun bukan oleh semua orang) dipersetujui Alasyia berada di suatu tempat di Kiprus.[7] Tambahan lagi, tapak Enkomi diduga sebagai ibu kota kerajaan Alasyia, yang merangkumi seluruh pulau Kiprus.[8]

Pengesahan Kiprus ialah Alasyia ditentukan pada tahun 2003 dalam rencana terbitan Goren et al. dalam American Journal of Archaeology membutiri analisis petrografi dan kimia daripada beberapa surat Amarna dan Ugarit yang dihantar dari Alasyia. Ujian asal-usul tanah liat yang digunakan untuk membuat tablet surat menunjukkan bahawa Suriah tidak padan untuk menjadi lokasi Alasyia, manakala tanah liat dari Kiprus padan.

Tetapi, analisis ini menunjukkan bahawa tanah liatnya tidak berasal dari sebarang tempat berdekatan Enkomi dan bahawa tanah liat yang sesuai berada dekat dengan kawasan Kalavasos dan Alassa (nama itu pun mungkin kognat kepada Alasyia). Kawasan-kawasan ini, terutamanya Kalavasos, ialah tapak Zaman Gangsa Lewat penting dan bertempat dekat dengan sumber tembaga.

Tambahan pula, Armstrong[9] mengemukakan alasan bahawa ada banyak bukti keanekaan tempat dan tiada bukti yang mengatakan bahawa Alasyia ialah satu jasad beribu pusat di pulau Kiprus pada Zaman Gangsa Lewat.

Maka ia belum lagi diketahui jika kerajaan Alasyia merangkumi seluruh pulau Kiprus, dengan ibu kotanya bertukar tempat (mungkin pertamanya ialah Enkomi) atau memang pun ada di Kalavasos, atau Alasyia hanya ada di satu kawasan di Kiprus.[10]

RujukanSunting

  1. ^ Knapp, A. Bernard. (1985). "J Article Alashiya, Caphtor/Keftiu, and Eastern Mediterranean Trade: Recent Studies in Cypriote Archaeology and History". Journal of Field Archaeology (dalam bahasa Inggeris). 12 (2): 231–250.
  2. ^ Goren et al. (2003)
  3. ^ Knapp (1996)
  4. ^ Armstrong (2003)
  5. ^ Goren (2003)
  6. ^ Eric H. Cline (22 September 2015). 1177 B.C.: The Year Civilization Collapsed. Princeton University Press. ISBN 978-1-4008-7449-1.
  7. ^ Wachsmann (1986)
  8. ^ Knapp (1997)
  9. ^ Armstrong (2003)
  10. ^ Goren et al. (2003); Armstrong (2003)

SumberSunting

Pautan luarSunting