Angkatan Islam Singapura

parti politik di Singapura

Angkatan Islam Singapura atau ANGKASA (pernah dikenali sebagai Angkatan Islam) adalah sebuah parti politik Islam di Singapura yang diluluskan penubuhan secara rasmi pada 6 Ogos 1958 di Singapura. Pada peringkat awalnya, Angkatan Islam merupakan sebuah 'cabang' kepada Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS). Angkatan Islam mendakwa mereka berjuang untuk kemajuan dan melindungi kepentingan orang Islam di Singapura[1].

Angkatan Islam Singapura
Singapore Islamic Movement
Huí Jiào Zhèn Xiàn
Ditubuhkan06 Ogos 1958 (1958-08-06)
PecahanParti Islam Se-Malaysia (PAS)
Ibu pejabat20, Maxwell Road,
#09-17, Maxwell House,
Singapore 069113
IdeologiIslam
Demokrasi Islam
Parlimen
0 / 89
Politik Singapura
Parti politik
Pilihan raya

Angkatan Islam Singapura menyertai Pilihan Raya pada 1959 dan 1963 menggunakan nama Parti Islam Se-Tanah Melayu.

Sesuai dengan perubahan Singapura yang telah merdeka pada tahun 1965, PAS Cawangan Singapura telah ditukarkan namanya kepada Angkatan Islam mulai awal tahun 1966[2]. Dalam Pilihan Raya 1972, Angkatan Islam Singapura menghantar calon di bawah gabungan United National Front (Barisan Bersatu Kebangsaan). Dalam Pilihanraya era 1980-an, Angkatan Islam membuat kemunculan semula dan bergerak sendirian.

Pada 14 Mac 2011, Angkatan Islam secara rasmi menambah "Singapura" di belakang nama mereka menjadikan nama mereka sebagai Angkatan Islam Singapura atau "Angkasa".[3]

Sejarah penubuhan sunting

Pra-kemerdekaan Tanah Melayu sunting

Pada awal penubuhannya, ANGKASA merupakan cawangan kepada Persatuan Islam Se-Tanah Melayu atau kini dikenali sebagai PAS. PAS Cawangan Singapura adalah antara yang terawal berkembang kerana kedudukan pulau Jajahan Mahkota British ini lebih bebas dan terbuka untuk perkembangan Islam.

Beberapa pemimpin awal PAS ketika itu adalah tokoh politik terkenal di Singapura seperti Ustaz Abdul Rahman Jamaluddin al-Jampuli yang merupakan Naib Yang Dipertua Agung PAS 1951-1953, Peguam Ahmad Mohamed Ibrahim (Tan Sri Prof Emeritus Ahmed Ibrahim), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS 1953-1954 dan Sheikh Fadhlullah Suhaimi, pengasas PAS. Mereka yang menjadi penggerak awal PAS di Singapura telah memohon pendaftaran PAS Cawangan Singapura pada 1952 mengikut Ordinance of Society Singapore, tetapi kelulusannya tertangguh.

Antara faktor yang menangguhkan kelulusan ini ialah kerana rusuhan isu Natrah di Singapura pada Disember 1950 yang menyebabkan dua tokoh utamanya, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Karim Ghani ditahan. Dr Burhanuddin al-Helmy adalah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Isu Natrah yang dibebaskan pada pertengahan 1952, telah dilantik sebagai ahli kehormat PAS Cawangan Johor Bahru pada 23 April 1954.

Faktor ini dilihat mengancam kedudukan British di Singapura yang mengakibatkan British menolak permohonan PAS mendaftarkan cawangannya di Singapura pada 8 Mei 1954.

Tidak mengalah dengan keputusan British ini, ahli-ahli PAS Singapura, setelah dibentuk kerajaan rakyat melalui Pilihan Raya Umum Singapura 1955 dengan melantik David Paul Marshall sebagai Ketua Menteri, telah mengadakan pertemuan di rumah Ustaz Mohd Taha Suhaimi, anak Sheikh Fadhlullah Suhaimi pada 24 Februari 1957[4].

Pra-kemerdekaan Singapura sunting

Dalam pertemuan yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy ini, mereka telah bersetuju menubuhkan semula PAS Cawangan Singapura dan melantik Ustaz Mohd Taha sebagai Ketua PAS Cawangan Singapura. Pada 8 Ogos 1958, pendaftaran PAS Cawangan Singapura telah diluluskan oleh Kerajaan Singapura. PAS Cawangan Singapura telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama pada 20 November 1958.

Bekas Setiausaha Agung Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Singapura, Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah telah dilantik sebagai Ketua PAS Cawangan Singapura. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketujuh pada 25-27 Disember 1958, PAS Cawangan Singapura telah mendapat status autonomi dan PAS Cawangan Singapura diperakui setaraf dengan Perhubungan PAS Negeri di mana ketuanya adalah dengan sendiri menjadi Pesuruhjaya PAS Singapura.

Sepanjang sejarah PAS Singapura, ia telah dipimpin oleh Ustaz Mohamed Taha Suhaimi (1957-1958), diikuti oleh Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah (1958-1962). Setelah Ustaz Abdullah Zawawi dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS pada 1962, Ustaz Mohamed Taha Suhaimi kembali memimpin PAS Singapura sehingga 1966[5].

Pasca-kemerdekaan Singapura sunting

Ekoran pemisahan Singapura dari Malaysia pada 1965, Ordinance of Society Singapore telah menetapkan semua pertubuhan berdaftar di Singapura dilarang mempunyai hubungan dengan pertubuhan di luar dari negara Singapura. Ini menyebabkan PAS Cawangan Singapura terpaksa berpisah dengan PAS dan mula dikenali sebagai Angkatan Islam (AI) yang dipimpin oleh Wanjor Abu Bakar.

Penglibatan pilihan raya sunting

Dalam Pilihanraya Umum 1959, PAS cawangan Singapura menghantar 3 orang calon[6] iaitu Pengarah Pilihanraya Cawangan, Wanjor Abu Bakar (Siglap)[7], Ketua Penerangan Cawangan, Syed Ahmad bin Syed Husain Dahlan (Geylang Serai)[8] dan Ahli Jawatankuasa Cawangan, Yahiya bin Haji Mohamed Ghouse (Kampong Kembangan)[9][10]

Dalam Pilihanraya Umum Singapura 1963, PAS cawangan Singapura menghantar 2 orang calon[11] iaitu Yang Dipertua Cawangan, Mohamed Taha bin Suhaimi (Geylang Serai)[12] dan Naib Yang Dipertua Cawangan, Mohamed Dali Muin (Kampong Kembangan)[13]

Dalam Pilihanraya Umum Singapura 1972, Angkatan Islam menghantar 5 orang calon di atas tiket Barisan Bersatu Kebangsaan (United National Front) iaitu Yang Dipertua, Yahiya bin Haji Mohamed Ghouse (Siglap), Penolong Setiausaha, Omar Ninggal (Changi), Ahli Jawatankuasa, Syed Ahmad bin Syed Husain Dahlan (Pasir Panjang), Naib Yang Dipertua, Raja Rom Raja Jaafar (Geylang Serai) dan Ahli Jawatankuasa, Shaikh Abdul Hamid Mattar (Alexandra).

Dalam Pilihanraya Umum Singapura 1984, Angkatan Islam menghantar seorang calon[14] iaitu Setiausaha, Mohamad Sani bin Jan (Pasir Panjang)[15].

Dalam Pilihanraya Umum Singapura 1988, Angkatan Islam menghantar seorang calon[16] iaitu Setiausaha, Mohamad Sani bin Jan (Kampong Glam)[17].

Calon-calon pilihan raya Singapura sunting

Seramai 7 orang calon yang telah dihantar sejak berada dalam PAS lagi, dan kesemuanya hilang wang deposit pilihanraya.

No Nama Kawasan Penggal Parti Keputusan Catatan
1 Wanjor Abu Bakar Siglap 1959 - 1963 PAS Hilang Wang Deposit Mendapat 234 daripada 12,892 undi.
2 Syed Ahmad Syed Husain Dahlan Geylang Serai 1959 - 1963 PAS Hilang Wang Deposit Mendapat 460 daripada 12,694 undi.
3 Yahiya Haji Mohamed Ghouse Kampong Kembangan 1959 - 1963 PAS Hilang Wang Deposit Mendapat 317 daripada 11,552 undi.
4 Mohamed Taha bin Suhaimi Geylang Serai 1963 - 1967 PAS Hilang Wang Deposit Mendapat 1,201 daripada 14,424 undi.
5 Mohamed Dali Muin Kampong Kembangan 1963 - 1967 PAS Hilang Wang Deposit Mendapat 344 daripada 14,914 undi.
6 Yahiya Haji Mohamed Ghouse Siglap 1972 - 1976 UNF-AIS Hilang Wang Deposit Mendapat 584 daripada 14,844 undi
7 Omar Ninggal Changi 1972 - 1976 UNF-AIS Hilang Wang Deposit Mendapat 1,412 daripada 17,159 undi
8 Syed Ahmad Syed Husain Dahlan Pasir Panjang 1972 - 1976 UNF-AIS Kalah Mendapat 3,623 daripada 13,104 undi
9 Raja Rom Raja Jaafar Geylang Serai 1972 - 1976 UNF-AIS Hilang Wang Deposit Mendapat 833 daripada 12,801 undi
10 Shaikh Abdul Hamid Mattar Alexandra 1972 - 1976 UNF-AIS Hilang Wang Deposit Mendapat 1,427 daripada 23,446 undi
11 Mohamad Sani bin Jan Pasir Panjang 1984 - 1988 AI Hilang Wang Deposit Mendapat 359 daripada 16,075 undi.
12 Mohamad Sani bin Jan Kampong Glam 1988 - 1991 AI Hilang Wang Deposit Mendapat 280 daripada 18,959 undi.

Isu-isu berkaitan sunting

Menyertai Majlis Tindakan Bangsa Melayu dan Islam Singapura (1959) sunting

Majlis Tlndakan Bangsa Melayu dan Islam Slngapura akan mengemukakan 11 orang calon bagi pilihan raya besar akan datang, demlklan diumumkan oleh Ismail Haj! Hussain, Setiausaha Agong Majlis tersebut pada 2 Mac 1959. Katanya, Majlis itu kini mewakill empat buah parti poiltik yang telah mengadakan satu perjanjian piilhan raya dalam satu sidang wakil-wakil berbagai-bagai badan semalam (1 Mac 1959). Parti-parti politik yang berkenaan itu ialah Kesatuan Melayu Singapura, PAS Cabang Singapura, Persatuan Melayu Semenanjung dan Parti Rakyat. Majlis itu turut menjemput UMNO Singapura untuk menyertainya.[18]

Ismail memberitahu Berita Harian, bahawa mereka mempunyai 25 orang nama calon yang bersiap sedia untuk pilihan raya tersebut. Mereka akan berunding dengan parti-parti politik bukan Melayu yang bertanding dalam pilihan raya dan meminta mereka agar jangan bertanding dalam kawasan-kawasan yang Majlis tersebut hantar.

Tujuan penubuhan majlis tersebut ialah untuk menyatupadukan segala badan politik Melayu dan Islam di bawah satu lambang kerana bertandng dalam pilihan raya, dan megelakkan perpecahan dalam undi Melayu. Tujuan Muktamad mereka ialah untuk mendapatkan perwakilan yang lebih baik dalam Dewan Perhimpunan Undangan

Kiriman Tahniah PAS Singapura kepada PAS Terengganu (1959) sunting

PAS Singapura telah mengirimkan kawat tahniah kepada PAS Terengganu di atas kemenangan PAS negeri itu dalam pilihan raya umum 1959. Kawat itu dikirimkan oleh Abdul Hamid Matar, Setiausaha PAS Singapura dengan kenyataan seperti berikut[19]:

"PAS Singapura menghucapkan tahniah atas kejayaan PAS Trengganu. Kejayaan itu samoga capat dijadikan dasar untok PAS memperjuangkan chita2 ra'ayat."

Persidangan Agong Tahunan PAS Singapura 1963 (1963) sunting

PAS Singapura telah mengadakan persidangan agung tahunannya di ibu pejabatnya di No. 8, Onan Road pada pagi 20 Oktober 1963. Ustaz Taha Suhaimi selaku Ketua PAS Singapura telah berucap mengingatkan orang Melayu supaya mengikuti setiap perkembangan politik di tanah air. Beliau turut menyeru ahli PAS supaya tidak berpcah belah[20].

Membentuk Barisan Bersatu Kebangsaan (UNF) (1969) sunting

Sebuah gabungan parti-parti politik pembangkang telah ditubuhkan pada 26 April 1969 dengan nama Barisan Kebangsaan Bersatu atau United National Front yang menggabungkan empat parti politik tempatan. Penubuhan ltu telah diputuskan dalam satu sidang perwakilan dari Parti Cina Slngapura (SCF). Angkatan Islam (AIS) dan Persatuan Melayu Singapura (PMS), hasil dari forum anjuran Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) minggu sebelumnya.

Dalam foram tersebut, keempat-empat buah parti telah bersetuju pada prinsipnya untuk menubuhkan satu gabungan parti pembangkang bagi mengelakkan berlakunya pemerintahan satu parti politik dalam Repablik Singapura pada masa akan datang[21].

Iltizam pengkukuhan Angkatan Islam (1971) sunting

Ura-ura hendak membubarkan Angkatan Islam kerana kurang mendapat sokongan telah ditolak oleh mesyuarat agung parti itu pada 25 Julai 1971 dengan sebulat suara. Sebaliknya, mesyuarat agung tersebut berazam akan bergiat dengan segala kemampuan tenaga mereka yang ada agar parti itu dapat disusun tenaganya semula sesuai dengan pergolakan dan kemajuan yang berlaku di Republik Singapura ketika itu[22].

Mesyuarat agung yang berlaku selama kira-kira empat jam pada pagi tersebut bertempat di Lorong Engku Aman, telah memilih pucuk pimpian baharu - kebanyakannya muka-muka baharu ː

Kepimpinan AI 1971
No. Jawatan Nama
1 Yang Dipertua Kapten Muhamad Said
2 Naib Yang Dipertua Syed Ahmad Syed Husain Dahlan
3 Setiausaha Yahiya Haji Mohamed Ghouse
4 Penolong Setiausaha Omar Ninggal
5 Bendahari Shariff Ujang
6 Penolong Bendahari Hassan Bakri
7 Anggota Jawatankuasa Abdullah Musa
8 Anggota Jawatankuasa Mohamad Ali Abu Bakar
9 Anggota Jawatankuasa Supardi
10 Anggota Jawatankuasa Syed Junid bin Muhamad Aljunid
11 Anggota Jawatankuasa Hajah Zahrah Ismail
12 Anggota Jawatankuasa Che Ainon Haji Taib
13 Anggota Jawatankuasa Salim Sohod
14 Anggota Jawatankuasa Shaikh Abdul Hamid Mattar
15 Anggota Jawatankuasa Buang Haji Taib

Angkatan Islam keluar OIAA (1971) sunting

Pada 12 Ogos 1971, Angkatan Islam telah keluar dari Organisasi Islam Asia Afrika (OIAA) yang berpusat di Jakarta, Indonesia. Penarikan diri persatuan itu ialah kerana dikatakan wakilnya di OIAA yang juga menjadi salah seorang pemimpin Angkatan Islam "telah membelakangkan persatuan ini". Keputusan itu telah diambil dalam mesyuarat jawatankuasa itu pada 10 Ogos 1971. Sumber berita, Berita Harian, mendapati bahawa wakil Angkatan Islam ke OIAA ialah Syed Ahmad Dahlan Al-Husaini yang merupakan Naib Yang Dipertua yang baru dipilih dalam mesyuarat agung persatuan itu pada bulan sebelumnya[23].

Penubuhan kolej Islam di Singapura (1972) sunting

Angkatan Islam Singapura, sebuah badan siasah di sini (Singapura) juga telah mengalu-alukan ranchangan yang sedang diatorkan oleh persekutuan seruan Islam itu. Enche Omar Ninggal, penolong setiausaha AIS yang berharap bagi peribadinya berkata:

"Kami sedia memberikan apa jua sokongan, samada pada segi moral mahupun material.

"Ranchangan itu sudah saharusnya diberi sokongan oleh satiap lapisan masharakat di sini, kerana projek tersebut akan membawa kebaikan untok mereka.

"Mudahan chita-chita baik Jam'iyah itu akan menchapai kejayaannya," dia mengharapkan.[24]

Menyertai Barisan Bertindak Umat Islam Singapura (1979) sunting

BARISAN Bertindak Umat Islam Singapura adalah satu jawatankuasa tertinggi terdiri dari tiga badan siasah iaitu (1) Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura, (2) Angkatan Islam dan (3) Persatuan Melayu Singapura, yang telah ditubuhkan pada 14 April 1974 di rumah PKM.

Kebanyakan dari anggota ketiga badan siasah tersebut adalah dari golongan orang-orang Melayu. Tujuan pertubuhan ini ia-lah untuk menjaga kebajikan orang Islam dan juga mempertahankan ugama mereka[25].

Kemunculan mengejut dalam pilihan raya umum Singapura 1984 (1984) sunting

Kemunculan parti tersebut pada Hari Pencalonan Rabu lalu telah memeranjatkan ramai pemerhati politik. Parti yang aktif dalam tahun-tahun 1950an itu pernah disangka telah lama terkubur hinggalah bila ia muncul untuk bertanding dalam pilihanraya ini. Ia merupakan saki-baki kegiatan politik dalam zaman itu dan mempunyai nama yang lain sebelum menjadi AIS sejurus setelah Singapura berpisah dari Malaysia[26].

Manifesto AIS untuk Pilihan Raya Umum Singapura 1984 (1984) sunting

Angkatan Islam Singapura menekankan :

  • Menggalakkan kesedaran ke-Islaman kepada orang-orang Islam di Singapura
  • Kebebasan dalam semua segi agama tanpa gangguan pemerintah.
  • Gabungan antara semua badan Islam di Singapura berdasarkan kepada persaudaraan Islam.
  • Menyemak semula akta undang-undang Islam supaya seimbang dengan ajaran Islam yang sebenar terutama mengenai perkahwinan, harta wakaf dan zakat.
  • Perubatan percuma untuk orang-orang miskin.
  • Menyemak semula harga penyewaan flat HDB dan bekalan air elektrik untuk orang-orang miskin[27]

Rujukan sunting

  1. ^ http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/beritaharian19720818-1.2.54.aspx?q=Parti+Islam+Sa-malaya&page=3&sort=relevance&token=sa-malaya%2cislam%2cparti&sessionid=d777dff3681544848664d5ae4607864e
  2. ^ Berita Harian, 24 Julai 1971, Halaman 12
  3. ^ http://www.singapore-elections.com/political-parties/ai-pmip.html
  4. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-10-12. Dicapai pada 2016-05-08.
  5. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-10-12. Dicapai pada 2016-05-08.
  6. ^ http://www.singapore-elections.com/general-election/1959/seats.html
  7. ^ http://www.singapore-elections.com/general-election/1959/siglap.html
  8. ^ http://www.singapore-elections.com/general-election/1959/geylang-serai.html
  9. ^ http://www.singapore-elections.com/general-election/1959/kampong-kembangan.html
  10. ^ Berita Harian, 16 April 1959, Halaman 1
  11. ^ http://www.singapore-elections.com/general-election/1963/seats.html
  12. ^ http://www.singapore-elections.com/general-election/1963/geylang-serai.html
  13. ^ http://www.singapore-elections.com/general-election/1963/kampong-kembangan.html
  14. ^ http://www.singapore-elections.com/general-election/1984/seats.html
  15. ^ http://www.singapore-elections.com/general-election/1984/pasir-panjang.html
  16. ^ http://www.singapore-elections.com/general-election/1988/seats.html
  17. ^ http://www.singapore-elections.com/general-election/1988/kampong-glam.html
  18. ^ Berita Harian, 3 Mac 1959, Halaman 5
  19. ^ http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/beritaharian19590624-1.2.26?ST=1&AT=search&k=pas%20singapura&QT=pas,singapura&oref=article
  20. ^ http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/beritaharian19631021-1.2.5?ST=1&AT=search&k=pas%20singapura&QT=pas,singapura&oref=article
  21. ^ Berita Harian, 28 April 1969, Halaman 10
  22. ^ http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/beritaharian19710726-1.2.52
  23. ^ http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/beritaharian19710812-1.2.13?ST=1&AT=filter&K=angkatan+islam&KA=angkatan+islam&DF=&DT=&Display=0&AO=false&NPT=&L=&CTA=&NID=beritaharian&CT=&WC=&YR=&QT=angkatan,islam&oref=article
  24. ^ Berita Harian, 10 Ogos 1972, Halaman 5
  25. ^ Berita Harian, 22 Julai 1974, Halaman 4
  26. ^ Berita Harian, 16 Disember 1984, Halaman 8
  27. ^ Berita Harian, 17 Disember 1984, Halaman 3