Angkringan ialah sejenis warung tolak yang menjual berbagai-bagai jenis makanan serta minuman dan yang biasa terdapat di setiap persimpangan jalan di Jawa Tengah dan Yogyakarta. Perkataan ini berasal daripada bahasa Jawa, 'Angkring' ,  yang membawa pengertian "duduk santai".

Warung angkringan yang biasanya ditutup dengan kain terpal plastik biasanya menampung sekitar lapan orang pelanggan. Beroperasi mulai waktu petang setiap hari, ia diterangi dengan lampu minyak tanah, dibantu juga oleh lampu isyarat.

Makanan yang dijual merangkumi nasi kucing, gorengan, sate usus (ayam), sate telur puyuh, krepek, dan lain-lain lagi. Minuman yang dijual juga beraneka jenis seperti teh, kopi, air jeruk, minuman halia, dan susu. Semua dijual pada harga yang sangat murah.

Meskipun harganya murah, namun pelanggan warung ini sangat berbeza-beza, mulai dari tukang beca, tukang bangunan, pekerja pejabat, mahasiswa, seniman, bahkan hingga pegawai dan eksekutif. Antara pembeli dan penjual sering terlihat perbualan-perbualan yang santai dalam suasana yang penuh kekeluargaan.

Angkringan juga terkenal sebagai tempat yang egalitarian kerana berbagai-bagai pelanggan yang datang tanpa membeza-bezakan strata sosial mereka. Mereka menikmati makanan sambil bebas berbual-bual sehingga larut malam — meskipun tak saling kenal — tentang berbagai-bagai topik, termasuk juga kekadangnya topik-topik yang serius. Harganya yang murah dan tempatnya yang santai membuat angkringan amat popular di pusat-pusat bandar sebagai tempat-tempat persinggahan untuk berselera atau sekadar untuk bersantai.

Pautan luar

sunting