Anjing Kintamani-Bali

baka anjing dari Indonesia
(Dilencongkan dari Anjing Kintamani)

Anjing Kintamani-Bali,[1] anjing Kintamani Bali,[a] atau anjing Kintamani[b] ialah satu baka yang asli di Pulau Bali, Indonesia dan berasal dari kawasan Kintamani. Ia merupakan haiwan peliharaan popular untuk orang Bali dan merupakan satu-satu baka rasmi Bali. Baka ini dikembangkan daripada anjing jalanan tempatan yang bebas merayau di Bali dan diiktiraf oleh FCI pada tahun 2019.[1]

Anjing Kintamani-Bali
Anjing Kintamani hitam
Nama lainAnjing Kintamani
Anjing gunung Bali
Anjing Bali
Nama ringkasKinta
Negara asalIndonesia
Trait
Berat Jantan 15–18 kg (33–40 lb)
Betina 13–16 kg (29–35 lb)
Tinggi Jantan 49–57 cm (19–22 in)
Betina 44–52 cm (17–20 in)
Bulu Lapis bulu ganda sederhana panjang dan kasar dengan kolar
Warna Putih, perang kekuning-kuningan (kuning air), merah, brindle', atau hitam
Jangka hayat 14 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Zuriat sunting

Sebuah kajian genetik menunjukkan bahawa anjing Kintamani adalah asli di Bali dan diturunkan daripada anjing jalanan Bali. Anjing jalanan Bali paling rapat sejajar dengan dingo Australia, lebih jauh berkaitan dengan baka-baka asal Asia yang diiktiraf oleh AKC tetapi bukan baka-baka asal Eropah. Oleh itu, anjing Kintamani telah dikembangkan daripada anjing Bali dengan sedikit kehilangan kepelbagaian genetik.[2]

Leluhur anjing jalanan Bali tiba di Bali pada sekitar 3,000 tahun lalu dan sebahagian besarnya telah terasing sejak itu. Langkah kawalan rabies yang dilaksanakan pada tahun 1926 bermakna anjing asing tidak dapat memasuki Bali. Oleh itu, anjing ini telah membiak dengan bebas dan bebas berkeliaran selama beribu-ribu tahun dengan perubahan genetik terhad.[3]

Ciri sunting

Anjing Kintamani terlihat lebih kurang seperti campuran antara anjing Samoyed dengan malamut. Ia mempunyai bulu panjang, muka lebar, dahi rata, dan pipi rata seperti anjing-anjing China seperti cau-cau dan terdorong kepada kehidupan sebagai anjing peliharaan. Walaupun banyak yang menjalani kehidupan sama seperti anjing kampung biasa, ia menggali lubang untuk menyarangkan anak-anaknya dan sesetengah pula tinggal di dalam gua kecil di antara bebatuan di sekitar Kintamani. Di sana, ia dianggap sebagai anjing berpenampilan elok yang lebih kerap dicari-cari sebagai anjing peliharaan baik. Anjing Kintamani lembut di sekitar orang, namun mengekalkan cukup tingkah laku tegas untuk menjadikannya sebagai anjing pengawal layak perhatian (tetapi tidak ganas).[2]

 
Anjing Kintamani berusia 7–8 tahun

Warna lapis bulu yang paling diingini ialah putih – sebaik-baiknya dengan telinga berhujung aprikot. Para pembiak baka kerap mengurung anjing di dalam gua gelap dan sejuk dekat dengan gunung berapi Kintamani, dengan menegaskan bahawa ini merupakan langkah penting dalam mengembangkan lapis bulu putih tebal. Piawaian FCI juga menerima warna perang kekuning-kuningan (kuning air), merah, brindle, dan warna hitam. Pada variasi perang kekuning-kuningan, merah, dan belang, topeng hitam lebih diutamakan.

Ketinggian kelasa bagi anjing Kintamani betina ialah 44–52 sentimeter (17–20 inci), 49–57 sentimeter (19–22 inci) untuk jantan, hampir sama dengan pendirian anjing jalanan Bali. Ciri fizikal anjing Kintamani yang diingini termasuk telinga tegak, ekor melengkung ke hadapan yang tertahan di garis tengah, lapis bulu sederhana hingga panjang, mata perang berbentuk badam, dan pigmen kulit hitam.

Anjing jalanan Bali terdapat dengan banyak warna dan corak lapis bulu dan mereka hampir selalu berbulu pendek dan berekor antara lurus dengan melengkung. Kedua-duanya masih beranak di dalam korok yang digali ke dalam bumi, seperti trait anjing liar.

Perangai sunting

Sebagai baka sangat berdikari, anjing Kintamani dapat menjadi agresif dalam menjaga wilayah namun masa sama juga lembut dan penyayang dengan keluarga sendiri. Walaupun kebanyakan baka anjing tidak gemar memanjat dan berada di tempat tinggi, anjing Kintamani akan memanjat dari bumbung ke bumbung dan meluangkan sebahagian hari dengan gembira dengan duduk terlentang atau tidur di atas dinding kebun. Ia berkaki ringan dan bergerak dengan bebas, lancar, dan licik, dan akan menyalak apabila berhadapan dengan bunyi atau kelibat bagi sesuatu yang tidak dikenali.

Akreditasi sunting

 
Anjing Kintamani di Kintamani

Pihak berkuasa Kabupaten Bangli memudahkan Pameran dan Pertandingan Anjing Kintamani pada setiap tahun untuk mempromosikan anjing Kintamani. Pihak berkuasa ini juga membimbing para pembiak baka anjing Kintamani, membuat peraturan tentang kawasan penulenan anjing Kintamani, dan telah membuat projek perintis demonstrasi di beberapa buah desa.[4]

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ کينتاماني-بالي; انجيڠ کينتاماني بالي; bahasa Inggeris: Kintamani-Bali dog; Balinese kintamani
  2. ^ Jawi: انجيڠ کينتاماني; bahasa Inggeris: Kintamani dog; kintamani

Rujukan sunting

  1. ^ a b "FCI-Standard N° 362 ANJING KINTAMANI-BALI (Kintamani-Bali Dog)" [Piawaian FCI No. 362 Anjing Kintamani-Bali] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Himpunan Trah Anjing Kintamani-Bali. 26 Mac 2019. Dicapai pada 6 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  2. ^ a b Puja IK, Irion DN, Schaffer AL, Pedersen NC (2005). "The Kintamani dog: genetic profile of an emerging breed from Bali, Indonesia". J. Hered. (dalam bahasa Inggeris). 96 (7): 854–859. doi:10.1093/jhered/esi067. PMID 16014810.
  3. ^ Corrieri, Luca; Adda, Marco; Miklósi, Ádám; Kubinyi, Enikő (2018). "Companion and free-ranging Bali dogs: Environmental links with personality traits in an endemic dog population of South East Asia". PLOS ONE (dalam bahasa Inggeris). 13 (6): e0197354. Bibcode:2018PLoSO..1397354C. doi:10.1371/journal.pone.0197354. PMC 5988322. PMID 29870525.
  4. ^ "Kontes Anjing Kintamani di Bangli Layak Dapat Penghargaan Dunia" (dalam bahasa Indonesia). 16 Jun 2014.