Anjing beruang Karelia

baka anjing dari Finland

Anjing beruang Karelia[a] ialah satu baka anjing Finland. Di tanah airnya, ia dipandang oleh ramai sebagai khazanah negara. Anjing beruang Karelia memburu pelbagai haiwan. Refleks pantas dan sifat tidak takut yang ada padanya telah menjadikannya sangat popular untuk pemburuan buruan besar termasuk beruang perang, elk, dan babi hutan. Kebolehan baka ini untuk memburu beruang merupakan perkara yang membuat baka ini memperoleh namanya. Anjing beruang Karelia merupakan antara 10 baka paling umum di Finland.[1]

Anjing beruang Karelia
Seekor anjing beruang Karelia dewasa
Negara asalFinland
Anjing (Canis lupus familiaris)

Sejarah sunting

Anjing beruang Karelia berasal daripada anjing Komi. Anjing ternakan asasi berasal dari Karelia Ladoga, Karelia Olonets, dan Karelia Timur yang merupakan tempat penggunaan anjing ini untuk perburuan. Pembiakbakaan bermula pada tahun 1936 untuk menghasilkan anjing tegap yang menyalak terhadap buruan besar dan dinamai anjing beruang Karelia. Piawaian pertama diasaskan pada tahun 1945 dan anjing pertama didaftarkan pada tahun 1946.[2]

Anjing beruang Karelia digunakan terutamanya untuk memburu haiwan kecil yang berbulu, seperti tupai dan marten. Seperti anjing pemburu elk Norway, anjing beruang Karelia juga digunakan dalam pemburuan elk, lynx, serigala, dan, seperti yang tersebut dalam namanya, memburu beruang perang Eropah. Dalam pemburuan beruang, sekurang-kurangnnya sepasang anjing beruang digunakan untuk mengganggu haiwan berkenaan, dengan menyalak nyaring-nyaring, untuk mengalihkan perhatian beruang sementara manusia pemburu datang untuk membunuh.

Anjing beruang Karelia telah digunakan untuk mengurangkan konflik manusia–beruang di Amerika Syarikat, di Kanada, dan di Jepun, melalui anjing yang dibiakbakakan dan program yang dikembangkan dan diperkenalkan oleh Institut Beruang Wind River dan pengasasnya Carrie L. Hunt. Program-program berskala lebih besar telah dijalankan oleh institut itu dengan kerjasama Taman Alberta, Taman Negara Yosemite, Taman Negara Glasier, dengan Ikan, Hidupan Liar, dan Taman Montana, dan dengan Jabatan Ikan dan Hidupan Liar Negeri Washington.[3] Anjing beruang Karelia diperkenalkan pada tahun 2004 ke Karuizawa, Jepun, sebuah pekan resort popular sejauh 170 km (110 bt) ke barat laut Tokyo, dan mengurangkan angka insiden beruang daripada 255 pada tahun 2006 kepada empat pada tahun 2017.[4]

Perihal sunting

Piawaian baka untuk anjing beruang Karelia dan laika kini mensyaratkan anjing bertanda hitam dan putih, namun pada asalnya baka ini menyertakan individu dengan lapis bulu kelabu serigala daripada pelbagai cahaya warna, lapis bulu merah seperti spits piawai, serta spesimen hitam dan sawo matang.

Penampilan sunting

 
Warna hitam padu diterima juga.

Anjing jantan berdiri setinggi 54–60 cm (21–24 in) pada paras kelasa; betinanya lebih rendah, iaitu setinggi 49–55 cm (19–22 in). Beratnya ialah 37–44 lb (17–20 kg) untuk betina dan 55–62 lb (25–28 kg) untuk jantan.

Baka ini mempunyai lapis bulu lurus dengan rerambut pengawal keras dan lapis bulu bawah halus, lembut, dan tebal.

Perangai sunting

 
Anjing beruang Karelia unggul mempunyai mata cerah dan cerdik.

Anjing beruang Karelia semula jadinya agresif terhadap haiwan lain. Ia biasanya memerlukan pensosialan atau akulturasi sengaja dengan apa-apa yang kerap di sekitarnya pemiliknya kerap berada. Ia sangat penyayang dengan pemiliknya, namun dapat menjadi agresif terhadap orang asing. Pensosialan dan pelatihan betul adalah penting kerana pembawaan agresifnya. Anjing beruang Karelia sangat kuat menjaga wilayah dan bakal menyedarkan pengendalinya terhadap kehadiran mana-mana orang asing atau haiwan lain yang berdekatan yang tidak diketahui.

Ia pemburu senyap namun kuat dan menyedarkan pengendalinya hanya apabila mangsa sudah ditahan. Ia terus mengepung mangsa di situ dengan menyalak nyaring-nyaring dan pantas-pantas dan berlari-lari ke belakang dan ke hadapan atau mengelilingi haiwan itu sehingga pengendalinya datang untuk menyelesaikannya. Anjing beruang Karelia telah diketahui menahan haiwan selama tempoh sangat panjang. Jika beruang mencuba untuk pergi, anjing itu bakal menggigit beruang itu di belakang dan, jika tidak, ia memperparah beruang itu untuk mengekalkan beruang itu daripada melarikan diri. Ia tidak selalu perlu berburu dengan tuannya kerana ia dapat dilatih untuk bekerja dengan orang lain. Walau bagaimanapun, ia cenderung terhadap keresahan perpisahan oleh sebab sifat suka bergaulnya. Anjing beruang Karelia sangat jarang menggigit manusia, namun ia mungkin membunuh haiwan lain jika berasa terancam atau lapar.

Ia merupakan anjing pemburu sangat gemar bergaul yang lebih menyukai persekitaran luaran dan memerlukan banyak ruang untuk bebas berlari dan mendapatkan cukup senaman. Sebagai tambahan, ia memerlukan banyak rangsangan mental dan fizikal kerana baka pekerja ini terbiasa terhadap kehadiran kerja yang perlu dilakukan. Trait-trait ini cenderung menghalang baka ini daripada menjadi anjing teman popular.

Baka berkaitan sunting

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: انجيڠ برواڠ کاريليا; Suomi: karjalankarhukoira; Svensk: karelsk björnhund; bahasa Inggeris: Karelian bear dog

Rujukan sunting

  1. ^ "Karelian Bear Dog". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 Januari 2024.
  2. ^ "FCI-Standard N° 48 KARJALANKARHUKOIRA (Karelian Bear Dog)" [Piawaian FCI No. 48 Anjing Beruang Karelia] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Kelab Kenel Finland. Disemak oleh Renée Sporre-Willes. 27 Mei 2015. Dicapai pada 1 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  3. ^ Washington Department of Fish & Wildlife - KBR Program (Inggeris) Diarkibkan 11 November 2013 di Wayback Machine Dicapai pada 1 Januari 2024.
  4. ^ The Japan Times - Bear dogs help resort town coexist with nature (Inggeris) Dicapai pada 1 Januari 2024.

Pautan luar sunting